Selasa, 30 Jun 2009

KRITERIA KARANGAN CEMERLANG PMR(RESPONS TERBUKA)

a)Penggunaan pelbagai jenis kata yang luas dan tepat

b)Penggunaan pelbagai ayat majmuk yang gramatis tetapi terdapat
kesalahan yang minimum

c)Penggunaan penanda wacana yang betul

d)Ejaan dan tanda baca yang betul

e)Idea yang relevan dengan huraian yang jelas berserta dengan
contoh-contoh yang sesuai

f)Pengolahan menarik dan berkesan dengan pemerengganan yang
sesuai dan format menepati kehendak tugasan

g)Penggunaan ungkapan yang mudah seperti peribahasa, pantun,
cogan kata dan frasa yang menarik

Isnin, 29 Jun 2009

PANDUAN MENGIRA PERKATAAN DALAM KARANGAN/RINGKASAN

Perkataan yang dikira sebagai satu patah perkataan adalah seperti yang berikut:

1. Nama khas.
Contoh: Selangor Darul Ehsan

2. Perkataan berganda.
Contoh: Tolong-menolong, rumah-rumah

3. Kata depan di dan ke.
Contoh: Di sana, di samping, di Johor

4. Tarikh:
Contoh: 12 Januari 2009

5. Angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan:
Contoh:
Seribu lima ratus enam puluh (1,560)

6. Gelaran:
Contoh: Datuk Seri,
Yang Amat Berhormat

Penanda wacana tidak dikira sebagai satu perkataan.
Sebagai contohnya: `selain itu’ dikira sebagai dua patah perkataan.
`di samping itu’ – dua patah perkataan
`bukan itu sahaja’ – tiga patah perkataan
`oleh hal yang demikian’ – empat patah perkataan.

Analisis Pemahaman Kertas 1 Bahasa Melayu PMR 2002 – 2008 (KOMSAS)

Tahun/Jenis

Cerpen

Mama (T2) 2002
Dugong(T3) 2003
Anak Bumi Tercinta(T3) 2005
Tangan Kanan, Kiri atau Kedua-duanya(T2) 2007

Prosa Tradisional

Keberanian Lima Bersaudara(T1) 2002
Putera Besar Lahir ke Dunia(T2) 2003
Raja Bersiong(T3) 2004

Puisi Tradisional

Syair Menyambut Pelajaran(T1) 2006
Pantun Dua Kerat(T1) 2008

Sajak

Ketika Kami Bercerita Tentangnya(T3) 2002
Burung Tempua(T1) 2003
Bicara Buat Guru(T2) 2004
Pesan Tangan Kepada Jari(T2) 2005
Bila Berjauhan(T3) 2007

Drama

Bila Retak Kota Melaka(T1) 2004
Buyung(T2) 2006
Jalan Sempit(T3) 2008

Analisis Soalan Novel PMR (2002 – 2008)

2002
Berdasarkan novel yang anda kaji, tulis secara ringkas tema dan persoalan yang dikesan daripada novel tersebut.


2003
Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan tiga perwatakan watak utama yang anda rasakan menarik dalam novel yang anda kaji.


2004
Nilai bekerjasama, bertanggungjawab dan kegigihan.
Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan satu peristiwa bagi setiap nilai yang dinyatakan di atas.


2005
Latar tempat, masa dan masyarakat.
Latar merupakan unsur penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan satu contoh peristiwa bagi setiap latar di atas.


2006
Perbandingan watak
Jawapan mestilah berdasarkan satu novel yang telah anda kaji di Tingkatan 3 iaitu :
i. Panas Salju
ii. Kanang Cerita Seorang Pahlawan
iii. Merdeka! Merdeka!
iv. Ekspedisi
Berdasarkan satu novel di atas, nyatakan tiga perbandingan watak utama dan watak sampingan.

2007
Kita hendaklah sentiasa mengamalkan sikap Bantu-membantu dalam kehidupan.
Huraikan empat contoh peristiwa yang berkaitan dengan pernyataan di atas, iaitu dua peristiwa daripada sebuah novel Tingkatan 2 dan dua peristiwa daripada sebuah novel Tingkatan 3.

2008
Berdasarkan satu daripada novel dalam tingkatan 3, nyatakan tiga latar tempat. Bagi setiap latar tempat tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Ahad, 28 Jun 2009

PANDUAN MENULIS KARANGAN SYARAHAN

Teknik Penulisan

a)Syarahan boleh ditulis seperti karangan jenis rencana, perbincangan dan perbahasan

b)Syarahan dimulai dengan kata alu-aluan sebagai tanda hormat kepada Tuan Pengerusi Majlis, para jemputan khas dan audiens.(Jika untuk pertandingan perlulah ditulis para hakim yang arif lagi bijaksana selepas Tuan Pengetua)

c)Nyatakan tajuk syarahan yang ingin anda sampaikan

d)Hanya 1 isi dimuatkan dalam 1 perenggan

e)Selitkan unsur-unsur peribahasa, humor, kata-kata hikmat supaya penulisan tidak menjadi kaku dan membosankan

f)Anda perlu menyebut Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, hadirin sekalian, atau sidang hadirin sekurang-kurangnya 3 kali

g)Akhiri syarahan dengan kesimpulan yang menyeluruh dan memohon maaf kepada para hadirin jika terdapat ketelanjuran kata dalam syarahan tadi

Contoh pendahuluan (dimulakan dengan pantun)

Cahaya matahari menyilau mata,
Rasa pedih berusaha menahan;
Lafaz bismillah pembuka kata,
Gelanggang syarahan saya mulakan.

Contoh Pendahuluan:

Assalamulaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum,barisan para hakim yang arif lagi bijaksana,guru-guru, dan rakan-rakan sekalian.Hadirnya saya di pentas yang indah ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Unsur-unsur Budaya Barat Membawa Kesan Buruk Terhadap Cara Hidup Masyarakat Timur’.

Contoh Pengolahan Isi:

Hadirin sekalian,

Dewasa ini ramai artis popular daripada barat dijadikan idola oleh remaja kita.Tambahan pula,media massa di negara kita sering mensensasikan kehidupan artis tersebut. Natijahnya,cara pemakaian yang seksi serta menjolok mata menjadi ikutan.Sebagai contoh, artis Britney Spears yang terkenal dengan cara pemakaian yang seksi dan menjijikkan sering menjadi ikutan para remaja. Sebagai masyarakat yang kaya dengan adab ketimuran, mereka tidak seharusnya menjadikan golongan artis barat ini sebagai idola mereka.

Penutup:

Sebelum kaki melangkah pergi,sebelum kata penutup bicara, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa masyarakat Timur haruslah sentiasa memelihara budaya kita sendiri agar tidak terpinggir oleh budaya Barat. Saya juga ingin memohon jutaan kemaafan kepada para hadirin sekalian atas segala ketelanjuran kata.Sekian, terima kasih.


PANDUAN MENULIS KARANGAN WAWANCARA/TEMU RAMAH

Contoh Soalan:

Sebagai pengarang majalah sekolah anda dikehendaki mewawancara seorang pelajar di sekolah anda yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR tentang rahsianya mencapai kejayaan untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Tuliskan wawancara anda itu selengkapnya.

Pendahuluan

Menerangkan secara ringkas dalam bentuk perenggan:
a. siapa dengan siapa
b. tempat wawancara
c. masa wawancara diadakan
d. tujuan wawancara diadakan

Contoh Pendahuluan:

Pada 16 Mac yang lalu, saya iaitu Aleef Adham sebagai pengarang Majalah SUARA telah menjalankan wawancara dengan seorang pelajar cemerlang dalam PMR yang baru lalu iaitu saudara Amirul Adhwa. Wawancara yang dijalankan di bilik gerakan ini bertujuan untuk dimuatkan ke dalam majalah SUARA keluaran tahun 2008.

Pengenalan:

Ditulis dalam bentuk dialog
a.Mengucapkan salam
b.Memperkenalkan diri
c.Menerangkan tujuan wawancara diadakan

Contoh Pengenalan:

Aleef : Assalamualaikum saudara Adhwa.

Adhwa : Waalaikumsalam.

Aleef : Saya Aleef, selaku pengarang majalah SUARA sekolah kita,terlebih
dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara kerana sudi
diwawancara pada pagi ini.Wawancara kita ini akan dimuatkan di dalam
majalah SUARA keluaran tahun ini.

Isi Wawancara:

Mengandungi soalan pewawancara dan jawapan daripada yang diwawancara
Soalan yang bersesuaian dengan kehendak soalan karangan
Ditulis dalam ayat yang lengkap dan sempurna
Jangan menulis “singkatan” atau “bahasa pasar”
Masukkan 4 isi yang menjurus kepada kehendak soalan karangan

Contoh Isi:

Aleef : Siapakah yang menjadi pendorong kepada saudara sehingga mencapai
kejayaan yang sungguh cemerlang dalam PMR yang lalu?

Adhwa : Selain kedua-dua orang ibu bapa saya,orang yang paling banyak
mendorong saya mencapai kejayaan ialah Guru Tingkatan saya iaitu
Encik Nor Azam.Beliau begitu prihatin dengan pencapaian saya dalam
sebarang peperiksaan yang saya tempuhi sejak saya menjadi anak
muridnya.Terima kasih cikgu.

Penutup:

Nasihat/Saranan oleh orang yang diwawancara kepada pembaca
Ucapan terima kasih pewawancara kepada orang yang diwawancara

Contoh Penutup-Nasihat:

Aleef : Soalan saya terakhir.Apakah nasihat saudara kepada pelajar-
pelajar yang akan menduduki PMR pada tahun ini?

Adhwa : Nasihat saya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki PMR pada
tahun ini adalah selain tekun mengulangkaji pelajaran, kita perlu
menurut segala nasihat ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih
tua daripada kita.Akhirnya kita perlu berdoa kepada Tuhan Yang
Maha Esa.

Contoh Penutup-Terima kasih:

Aleef : Baiklah saudara Adhwa, akhir kata saya ingin mengucapkan tahniah
sekali lagi dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa
bersama-sama dengan saya pada pagi ini.

Adhwa : Terima kasih kembali.

CONTOH 1-HASIL PENULISAN PELAJAR (KARANGAN PENDAPAT) Nur Fatin Najwa- 3 Cempaka 2008

Usaha-Usaha Yang Dapat dilakukan Untuk Memajukan Sektor Pertanian

Dalam meniti arus globalisasi,sektor pertanian semakin dipinggirkan..Apatah lagi apabila Wawasan 2020 diperkenalkan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian.Namun begitu,hal ini tidak patut dipandang enteng kerana kesan peminggiran sektor pertanian kini dirasai ekoran krisis makanan yang berlaku baru-baru ini.Oleh itu, prakarsa yang drastik lagi maslahat perlu dilakukan agar sektor pertanian dapat dimajukan.

Antara prakarsa yang boleh dilakukan adalah dengan memberi subsidi khas kepada para petani.Hal ini kerana mereka kurang dorongan dan galakan untuk mengusahakna tanaman pertanian secara besar-besaran.Sebagai contoh,pihak kerajaan boleh memberikan bekalan baja dan anak benih secara gratis kepada para petani.Dengan ini,mereka akan lebih berdaya saing untuk berjaya dalam bidang pertanian.Jika usaha ini dilakukan ,sudah tentulah hasil pertanian akan meningkat dan seterusnya memajukan sektor pertanian.

Sementara itu,pihak universiti haruslah meluaskan skop pengajian dalam bidang pertanian di uiversiti-universiti tempatan.Hal ini disebabkan terdapat pilihan pengajian pertanian yang terhad kepada bakal penuntut.Tamsilnya,pengajian tentang pertanian boleh dipecahkan kepada bidang kimia,bioteknologi,dan perubatan herba.Sehubungan dengan itu,ramai mahasiswa akan tertarik untuk menceburi bidang ini.Sekiranya terdapat pelbagai pilihan kursus dalam bidang pertanian,maka sudah tentu graduan yang pakar lagi berkualiti dalam bidang pertanian dapat dihasilkan.

Dalam zaman ledakan teknologi ini,penggunaan teknologi moden haruslah diaplikasikan dalam bidang pertanian.Jika kita melepaskan peluang keemasan ini sudah tentulah hal ini akan menyebabkan kerugian yang besar kepada negara kita.Hal ini kerana, terdapat para petani yang masih menggunakan peralatan dan kaedah tradisional untuk bertani.Mereka sepatutnya mengaplikasika konsep ”Pandang ke Timur”yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir Muhammad di mana negara Jepun dijadikan contoh.Walaupun negara Jepun merupakan negara yang maju, namun pergerakan teknologinya seiring dengan sektor pertanian.Dengan ini,para petani moden dapat dilahirkan.Jika kita menggunakan teknologi canggih dalam bidang ini,maka akan majulah sektor pertanian di negara kita.

Akhirulkalam,tiada keruh yang yang tidak dapat dijernihkan,tiada kusut yang tidak dapat dileraikan.Tuntasnya,semua pihak haruslah bersendel bahu dan bekerja keras untuk melaksanakan prakarsa di atas demi memajukan sektor pertanian.Persis kata pepatah,yang pipih tak akan datang melayang,yang bulat tidak akan datang bergolek.


(300 patah perkataan)

Jumaat, 26 Jun 2009

PENANDA WACANA (DIGUNAKAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA)

Penanda wacana - permulaan karangan

a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

Penanda memulakan isi baharu

a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

Penanda huraian isi karangan

a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila

Penanda memberi contoh dalam karangan

a) Sebagai contoh,
b) Tamsilnya,
c) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
d) Antaranya adalah seperti
i) Hal ini timbul apakala

Penanda menghuraikan contoh

a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza

a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa

a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............

Penanda menutup isi

a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

Penanda memulakan perenggan penutup

a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

SOALAN MERINGKAS KARANGAN DAN PEMAHAMAN (1)

Bahagian A(i)

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca berlaku kepupusan haiwan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Hutan Malaysia sangat istimewa kerana mempunyai khazanah flora dan fauna yang pelbagai dan tinggi nilainya. Lebih istimewa lagi, hutan ini adalah antara hutan yang tertua di dunia dan sering menjadi tumpuan. Tidak hairanlah jika terdapat lebih kurang 2000 jenis tumbuhan yang subur dalam satu hektar persegi, manakala haiwan pula lebih kurang 5000 spesies tinggal di situ.

Namun demikian, tumpuan berlebihan yang diberi itu membawa masalah kepada hidupan di hutan Malaysia itu. Banyak laporan telah dibuat tentang pencerobohan hutan serta kerakusan pemburu haram. Haiwan seperti orang hutan, harimau belang dan tapir semakin kurang ditemui. Haiwan-haiwan tersebut sedang mengalami kepupusan, malah terdapat juga haiwan-haiwan lain yang tidak dilaporkan, sedang diancam masalah kepupusan. Kepupusan ini akhirnya akan merugikan negara.

Beberapa pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan, antaranya mewartakan beberapa kawasan sebagai tempat tinggal atau habitat semula jadi haiwan. Taman Negara dapat dijadikan contoh kawasan yang telah diwartakan. Taman ini memberi peluang kepada haiwan liar untuk berkembang biak tanpa sebarang gangguan. Di samping itu, pihak kerajaan telah membina pusat kajian dan zoo sebagai satu alternatif menyelamat dan membantu pembiakan haiwan.

Perubahan iklim atau cuaca yang tidak menentu di seluruh dunia sejak dahulu lagi merupakan faktor penyebab berlakunya kepupusan haiwan. Apa yang lebih menyedihkan jumlah spesies haiwan yang pupus dari semasa ke semasa semakin mendadak. Jika beberapa ratus tahun dahulu hanya satu atau dua haiwan pupus dalam tempoh tersebut tetapi sejak tahun 1985 kepupusan haiwan sangat ketara. Tidak hairanlah dalam jangka masa sehari satu spesies haiwan akan pupus.

Penebangan hutan yang tidak terancang dan berterusan turut mengganggu tempat tinggal haiwan. Habitat mereka menjadi semakin terhad, manakala makanannya pula semakin berkurangan. Seperkara lagi, aktiviti pemburuan haram turut mengancam kehidupan haiwan. Tujuan pemburu haram melakukan aktiviti pemburuan haram ini adalah untuk memperoleh daging haiwan serta organ-organ haiwan yang dapat memberi keuntungan lumayan kepada mereka. Bahagian-bahagian tersebut dijadikan barangan perhiasan serta digunakan untuk tujuan perubatan tradisional. Walaupun berbagai-bagai cara telah dibuat oleh kerajaan dan badan-badan sukarela, masalah kepupusan haiwan terus berlaku. Sikap manusia yang mengetepikan rasa belas kasihan terhadap haiwan turut menjadi faktor penyebab.

Kepupusan haiwan bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada negara tetapi golongan muda turut menjadi mangsa kerana tidak dapat mengenali dengan lebih khusus tentang habitat haiwan serta rupa bentuk haiwan-haiwan tersebut. Bagi mengatasi masalah kepupusan haiwan ini, semua negara mestilah bekerjasama dan duduk semeja untuk mencari serta mengenal pasti cara mengekalkan kehidupan haiwan
ini.

Bahagian A(ii)

1. Apakah maksud frasa satu alternatif yang terdapat dalam petikan
di atas?(2 m)
2. Nyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk menyelamatkan
spesies haiwan daripada terus mengalami kepupusan.(4 m)
3. Berikan pendapat anda cara untuk memberi kesedaran kepada manusia
sejagat tentang kepentingan mempertahankan warisan alam ini daripada
terus mengalami kepupusan.(4 m)

Anda boleh mengirimkan jawapan anda ke damaza06@yahoo.com.my untuk disemak dan mendapatkan jawapan yang betul.

Khamis, 25 Jun 2009

Buat renungan bersama….

Kalau kita menjadi batu,
Biar kita menjadi batu permata,
Kerana kitakan digilap dan disimpan,
Di tempat yang selamat.

Kalau kita menjadi kayu,
Biarlah kita menjadi kayu jati,
Kerana tinggi nilainya.

Kalau kita menjadi air,
Biarlah menjadi air zam zam,
Kerana sebelum diminum dibacakan selawat.

Selasa, 23 Jun 2009

MEMAHAMI KEHENDAK SOALAN KOMSAS

KATA ARAHAN (Soalan)

Nyatakan /
Berikan/
Senaraikan/
Kemukakan

TUGASAN/KEHENDAK SOALAN(Apa yang perlu dijawab)

Berikan idea yang berkaitan tanpa penerangan atau huraian

Contoh:

Contoh soalan : Nyatakan dua contoh latar tempat.

Jawapan : Satu contoh latar tempat ialah Rumah Bonda. Contoh yang lain ialah rumah usang dua tingkat di lereng bukit.

KATA ARAHAN (Soalan)

Jelaskan/
Terangkan/
Huraikan

TUGASAN/KEHENDAK SOALAN(Apa yang perlu dijawab)

Kemukakan idea dan terangkan idea tersebut dengan fakta sokongan agar lebih jelas

Contoh:

Contoh soalan : Jelaskan satu contoh latar tempat

Jawapan : Satu contoh latar tempat ialah Rumah Bonda. Rumah Bonda ialah tempat tinggal Budiman dan rakan-rakannnya iaitu Chong dan Chandra.

KATA ARAHAN (Soalan)

Ulas

TUGASAN/KEHENDAK SOALAN(Apa yang perlu dijawab)

Contoh soalan : Gaya bahasa yang menarik berjaya mendatangkan kesan kepada pembaca. Ulas pernyataan tersebut.

Jawapan : Dalam Anak Din Biola,ayat yang digunakan secara keseluruhannya pendek-pendek. Ayat sebegini bersesuaian dengan sasaran pembaca iaitu pelajar menengah rendah.

KATA ARAHAN (Soalan)

Bandingkan

TUGASAN/KEHENDAK SOALAN(Apa yang perlu dijawab)

Kemukakan persamaan atau perbezaan antara dua perkara atau lebih. Perbandingan itu mestilah berdasarkan aspek tertentu.

Contoh:

Contoh soalan : Bandingkan perwatakan utama yang terdapat dalam novel Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 yang anda kaji.

Jawapan : Dari segi persamaan, kedua-dua watak utama dalam novel yang dikaji merupakan pelajar menengah rendah. Dari segi perbezaan pula, Budiman dalam Anak Din Biola ialah anak yatim piatu manakala Kamarul Azam dalam Tragedi Empat Disember mempunyai ibu bapa.

KATA ARAHAN (Soalan)

Bezakan

TUGASAN/KEHENDAK SOALAN(Apa yang perlu dijawab)

Kemukakan perbezaan antara dua perkara atau lebih. Perbezaan itu mestilah berdasarkan aspek tertentu.

Contoh:

Contoh soalan : Bezakan perwatakan utama yang terdapat dalam novel Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 yang anda kaji.

Jawapan : Dari segi bangsa bagi kedua-dua watak utama adalah berbeza. Kamarul Azam dalam Tragedi Empat Disember berbangsa Melayu manakala Kanang dalam Kanang Cerita Seorang Pahlawan adalah daripada suku kaum Iban.

Isnin, 22 Jun 2009

SOALAN PENULISAN PMR 2002-2008

2002

a)Pasukan rumah sukan anda telah berjaya menjadi johan dalam temasya sukan tahunan sekolah.Tuliskan langkah-langkah yang telah dibuat oleh pasukan rumah sukan anda sehingga berjaya dalam pertandingan tersebut.

b)Sejak akhir-akhir ini permainan tradisional kian dilupakan. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu diambil bagi mempopularkan permainan ini semula?

c)Baru-baru ini anda telah terbaca berita di sebuah akhbar tempatan tentang kejayaan seorang rakan anda yang memenangi pertandingan menulis cerpen peringkat negeri. Tuliskan sepucuk surat mengucapkan tahniah kepada kawan anda itu.

d)Pihak sekolah anda akan mengadakan satu majlis perpisahan untuk meraikan seorang guru yang akan bersara. Dalam majlis tersebut, anda diminta menyampaikan ucapan. Sediakan teks ucapan anda itu.

e)Peribahasa ‘jika tidak dipecahkan ruyung,di mana boleh mendapat sagu’, sering kali disebut dalam masyarakat kita. Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa itu.


2003

a)Setiap orang mempunyai impian dalam hidupnya. Nyatakan impian anda itu dan usaha-usaha yang akan anda lakukan untuk mencapainya.

b)Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak. Berikan pendapat anda tentang pernyataan ini.

c)Sempena kempen ’Cuti-Cuti Malaysia’ anda diberi peluang untuk melancong dalam negara.Nyatakan tempat pilihan anda dan jelaskan beberapa keistimewaan tempat tersebut.

d)Sebagai setiausaha sebuah persatuan di sekolah, anda diminta untuk menyiapkan laporan tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun.

e)Sekolah anda akan menganjurkan Minggu Keselamatan Jalan Raya. Pada hari perasmian, anda diminta untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk ’Keselamatan di Jalan Raya Tanggungjawab Bersama’. Sediakan teks syarahan itu selengkapnya.

2004

a)Hari-hari perayaan di Malaysia biasanya diraikan dengan meriah. Gambarkan kemeriahan satu daripada sambutan perayaan tersebut.

b)Amalan menambung perlu dipupuk sejak kecil lagi.Bincangkan faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ini.

c)Hidup tolong-menolong dapat digambarkan dalam peribahasa,’seperti aur dengan tebing’. Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa tersebut.

d)Anda telah berbual dengan rakan anda tentang kegiatan yang berfaedah yang dilakukan selepas peperiksaan PMR. Sediakan dialog tersebut dengan selengkapnya.

e)Pusat sumber sekolah anda kurang dikunjungi oleh pelajar walaupun mempunyai pelbagai kemudahan. Tulis sepucuk surat kepada pengetua untuk mengemukakan cadangan-cadangan bagi mengatasi masalah itu.


2005

a)Pada musim buah-buahan yang lalu, satu pameran “Makan Buah-Buahan Tempatan” telah diadakan.
Ceritakan kebaikan pameran tersebut.

Kelab Komputer
SMK Seri Mulia
Pengerusi : Mohamad Redzuan Zaini
Setiausaha : Ain Najihah Ahmad
Bendahari : Nur Shahirah Ramlan

b) Sebagai setiausaha kelab tersebut, anda diminta untuk menyediakan laporan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.
Tulis laporan itu selengkapnya.

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pohon kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada saudara ibu dan bapa.

c)Tulis sebuah karangan berdasarkan maksud pantun di atas.

d) Masyarakat mempunyai peranan penting menangani pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat.
Berikan pendapat anda.

e) Anda akan menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan tersebut.“ Sukan Menyatupadukan Rakyat”.
Sediakan teks syarahan anda selengkapnya.

2006

a)Anda telah berpeluang mengikuti ‘Program Kecemerlangan PMR’ anjuran pihak sekolah. Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh daripada program tersebut.

b) Berikut ialah petikan surat yang anda terima daripada seorang rakan.
“…Tahniah saya ucapkan kerana awak telah memenangi beberapa pingat emas dalam kejohanan sukan tahunan sekolah. Saya berminat untuk mengetahui usaha-usaha yang telah awak lakukan sehingga mencapai kejayaan tersebut..”
Berdasarkan petikan di atas balas surat rakan anda itu.

c) Anda akan menyertai pertandingan syarahan yang diadakan pada peringkat sekolah. Tajuk syarahan yang dipilih ialah ‘Pembentukan Disiplin Anak-Anak Bermula dari Rumah.’
Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya.

d)“Kamal tersedar daripada pengsan. Perlahan-lahan Kamal membuka mata. Terlihat ibunya sedang duduk di sisi sambil memegang tangannya. Mata ibunya berkaca. Kamal tidak dapat menahan sebak di dada lantas memeluk ibunya sambil menangis. Dalam hatinya, dia berjanji bahawa pisang tidak akan berbuah dua kali.”
Tulis sebuah cerita yang berakhir dengan perenggan di atas.

e) “ Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( ICT ) mempercepat kemajuan negara.”
Bersetujukah anda dengan penyataan tersebut? Berikan hujah-hujah anda.

2007

a)Anda telah menyertai suatu perkhemahan unit beruniform pada hujung minggu. Dalam perkhemahan itu terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut.

b)Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan.

c)Program Keceriaan Kawasan akan dilaksanakan di kawasan tempat tinggal anda. Selaku wakil penduduk, anda diminta supaya menulis sepucuk surat kepada wakil rakyat bagi memaklumkan tujuan program dan memohon bantuan untuk menjayakan program tersebut.

d)Sistem pengangkutan yang baik membantu pembangunan negara. Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

e)Peribahasa, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, membawa maksud kita mesti menurut perintah dan mematuhi peraturan di sesuatu tempat yang kita diami.
Jelaskan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

2008

a) Anda akan menyertai pertandingan syarahan antara kelas. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah ”Akademik dan Kokurikulum Penting untuk Melahirkan Pelajar Cemerlang”
Sediakan teks syarahan tersebut selengkapnya.

b)Ibu bapa mempunyai peranan penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak.
Berikan pendapat anda..

c)Amalan Berbudi Bahasa Banyak Faedahnya
Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh daripada amalan tersebut.

d)Kempen memerangi nyamuk aedes telah diadakan di tempat tinggal anda.
Tulis pengalaman anda semasa menyertai kempen tersebut.

e)Peribahasa, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna, sering digunakan untuk menasihati rakan supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.
Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa ini.

PENANDA WACANA (DIGUNAKAN DALAM MERINGKASKAN KARANGAN)

Digunakan untuk menulis kesinambungan maklumat atau idea tambahan

Selain itu..
Lebih daripada itu..
Di samping itu
Tambahan pula..
Sehubungan dengan itu..
Sementara itu..

Digunakan untuk menulis kesinambungan idea

Juga..
Malahan..
Hatta..

Digunakan untuk menulis kesan daripada sesuatu

Natijahnya..
Akibatnya..

Digunakan untuk menulis sebab sesuatu itu berlaku

Hal ini demikian kerana..
Oleh sebab itu..
Hal ini kerana..

Digunakan untuk menulis penutup

Akhirnya

Ahad, 21 Jun 2009

Langkah-langkah Untuk Meringkaskan Karangan

Langkah 1

Baca arahan dan fahamkan kehendak soalan.
Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan menguasai teknologi maklumat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Langkah 2

Sambil membaca petikan gariskan idea yang berkaitan dengan arahan.
Baca keseluruhan petikan yang diberikan beberapa kali dan gariskan isi-isi penting.
Isi-isi penting yang digarisi perlu mencakupi kehendak soalan.

Langkah ke-3

Tukarkan perkataan yang seerti dengan perkataan yang ada di dalam baris sebanyak mungkin tanpa mengubah maksud asalnya.

Contoh:

para usahawan(tukar kepada peniaga) dapat mempromosikan(tukar kepada mengiklankan) barangan(tukar kepada produk) mereka secara langsung(tukar kepada terus) melalui laman-laman web kepada masyarakat(tukar kepada orang ramai)

Langkah ke-4

Pilih penanda wacana yang sesuai mengikut kesesuaian isi yang telah dipilih selepas ayat yang pertama.

Langkah ke-5

Tulis ringkasan karangan tanpa perlu ada pendahuluan, penutup atau pendapat anda sendiri.

a.Tulis hanya SATU ISI dalam SATU AYAT.
b.Tulislah ringkasan mengikut pemahaman anda tentang isi-isi penting karangan.
c.Dapatkan sekurang-kurangnya lebih daripada LIMA ISI PENTING.
d.Anda tidak boleh menyatakan pendapat atau membuat kesimpulan.
e.Daripada isi penting yang anda garisi itu, binalah ayat-ayat anda sendiri.
f.Gunakan ayat ringkas saja.
g.Mulakan ayat dengan penanda wacana yang sesuai.
h.Jumlah kata yang digunakan menepati arahan soalan

CONTOH PENDAHULUAN DAN PENGGUNAAN PENANDA WACANA

Antara kebaikan menguasai teknologi maklumat ialah para peniaga dapat mengiklankan produk mereka secara terus menerusi laman-laman web kepada orang ramai. Selain itu, orang ramai pula boleh melayari mana-mana laman web untuk memperoleh produk yang diperlukan tanpa perlu membuang waktu mencari produk tersebut di luar.

Komsas Tingkatan 3 (Prosa Tradisional) Pak Belalang

video

Sabtu, 20 Jun 2009

Komsas Tingkatan 2 (Puisi Tradisional) Joget Pahang

video

Komsas Tingkatan 3 (Prosa Tradisional) Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari

video

CONTOH PENULISAN PELAJAR (PENGEMBANGAN ISI)

SOALAN:Sejak akhir-akhir ini mutu sukan bola sepak negara didapati merosot. Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak negara ini.

(A1)Salah satu langkah untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara adalah dengan mengadakan jurulatih yang berkaliber oleh pihak FAM.
(A2)Hal ini kerana jurulatih yang sedia ada tidak menunjukkan komitmen yang baik dan kurang berpengalaman.
(A3)Dengan adanya jurulatih yang berkaliber, pemain-pemain akan bertambah kemahirannya.
(A4)Sebagai contoh,pasukan bola sepak negara kita pernah layak ke Sukan Olimpik di Moscow dengan bimbingan jurulatih tempatan yang berkaliber.
(A5)Mutu bola sepak negara akan terus merosot jika tiada jurulatih yang berkaliber membimbing pasukan negara ini.

SOALAN:Kajian mendapati rakyat Malaysia kurang berminat untuk membaca berbanding dengan aktiviti lain seperti hiburan.Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memastikan minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini meningkat.

(A1)Antara langkah untuk melestarikan minat membaca dalam kalangan masyarakat ialah ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak-anak.
(A2)Hal ini demikian,ada pepatah yang menyebut ‘anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya’ jelas membuktikan peranan ibu bapa amat besar dalam membentuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka.
(A3)Minat membaca dapat dibentuk apabila ibu bapa membeli pelbagai variasi buku untuk anak-anak mereka seperti buku cerita, biografi,
keagamaan dan sebagainya.
(A4)Semasa di rumah ibu bapa juga boleh membaca akhbar, majalah,dan buku cerita untuk menarik minat anak-anak.
(A5)Secara tidak langsung hal ini akan meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Soalan:Kebelakangan ini terdapat banyak kes remaja lari dari rumah. Pada pendapat anda mengapakah perkara ini berlaku?

(A1) Salah satu faktor penyebab remaja lari dari rumah adalah kerana remaja tidak mendapat didikan agama yang mencukupi.
(A2) Hal ini kerana remaja tidak memikirkan kepentingan pendidikan agama terhadap diri mereka..
(A3) Oleh yang demikian, kebanyakan remaja tidak mahu pergi ke kuliah-kuliah agama kerana mereka merasakan majlis tersebut kurang penting.
(A4) Sebagai contoh, mereka sanggup berbohong untuk mengelakkan diri daripada menghadiri kuliah tersebut.
(A5) Sehubungan dengan itu remaja perlu diberi didikan agama yang cukup agar tidak terpesong ke jalan yang salah bak kata pepatah ‘Ilmu pelita hati’.

Soalan:Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah bertanggungjawab menangani masalah ini?

A1)Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.
A2)Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.
A3)Dengan demikian,ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja.
A4)Tamsilnya,ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif.
A5)Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan efektif, pembabitan remaja dalam kalangan jenayah akan dapat dikurangkan.

Jumaat, 19 Jun 2009

CONTOH PENULISAN PELAJAR (PENDAHULUAN)

PENDAHULUAN JENIS DEFINISI

SOALAN: Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan.

(A1)Mengikut Kamus Dewan, keluarga dapat ditakrifkan sebagai seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami isteri serta anak-anak.
(A2)Selain itu, sebuah keluarga juga merangkumi datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara yang juga memainkan peranan penting dalam sesebuah keluarga.
(A3)Secara tidak langsung, hubungan baik antara ahli keluarga dapat membentuk akhlak mulia anak-anak.
(A4)Oleh itu, kita perlu mengetahui peranan penting setiap ahli keluarga dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.

SOALAN: Penggunaan komputer menjadikan manusia lebih maju. Bincangkan pernyataan ini.

(A1)Komputer dapat ditakrifkan sebagai alat elektronik yang dapat menyimpan dan memberikan pelbagai maklumat untuk kemudahan manusia apabila diperlukan.
(A2)Penggunaan komputer menjadi semakin meluas apabila lahirnya syarikat gergasi seperti ‘Microsoft’ yang diasaskan oleh Bill Gates yang kemudiannya mencipta pelbagai jenis komputer yang canggih seperti komputer riba,komputer telapak tangan dan sebagainya.
(A3)Hal ini menyebabkan kebanyakan daripada penduduk dunia telah menjadikan komputer sebahagian daripada kehidupan mereka.
(A4)Secara disedari atau tidak,melalui teknologi ini,kehidupan manusia kini menjadi semakin maju.

SOALAN:Sejak akhir-akhir ini mutu sukan bola sepak negara didapati merosot. Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak negara ini.

(A1)Menurut Kamus Dewan, sukan dapat disinonimkan sebagai segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga.
(A2)Antara sukan yang menjadi teras di negara kita ialah bola sepak.
(A3)Kebelakangan ini,pencapaian pasukan bola sepak negara kita semakin merudum dan membimbangkan.
(A4)Mahu ataupun tidak, kita perlu mengenalpasti usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memulihkan kembali imej negara yang tercalar ini.

PENDAHULUAN JENIS ISU SEMASA

(A1)Sejak kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan bola sepak negara sering dipaparkan dalam media massa.
(A2)Kemerosotan ini bagaikan tiada kesudahannya.
(A3)Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak negara kita kecundang dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2010.
(A4)Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang efektif bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia.


PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN

SOALAN: Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan.

(A1)Keluarga memainkan peranan yang dominan dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.Adakah institusi keluarga ini telah memainkan peranan masing-masing?
(A2)Apakah peranan yang patut dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam mencorakkan sahsiah anak-anak?
(A3)Keruntuhan moral dalam kalangan anak-anak semakin berleluasa dewasa ini.
(A4)Bagaimanakah caranya untuk membentuk sahsiah mulia anak-anak yang merupakan aset terpenting bagi negara kita ini?

Soalan:Masalah merokok dalam kalangan remaja khususnya melibatkan pelajar sekolah semakin hari semakin meningkat dengan ketara.Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus merosakkan tubuh remaja.

(A1)Masalah merokok dalam kalangan remaja semakin menular dari sehari ke sehari. Persoalannya,mengapakah masalah ini semakin berleluasa dalam kalangan pelajar?
(A2)Apakah faktor-faktor yang menyebabkan masalah ketagihan rokok ini semakin meningkat?
(A3)Semua persoalan ini membelenggu fikiran kita pada setiap masa.
(A4)Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini daripada terus membinasakan tubuh mereka?

Langkah-langkah menulis karangan rangsangan

1)Baca arahan dengan teliti
2)Kenalpasti kata kunci soalan tersebut
3)Gambar yang diberi merupakan bahan untuk merangsang calon untuk mendapatkan idea.

Soalan:

Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang pentingnya kemudahan awam kepada masyarakat. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.

Kemudahan Awam untuk Masyarakat

Perkara yang perlu ada dalam pendahuluan. (Bentuk isu semasa)
(A1)Isu semasa yang relevan dengan kehendak soalan
(A2)Ulasan isu dan kaitannya dengan perkara yang berlaku pada masa ini
(A3)Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan

Pendahuluan

(A1)Kini, pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan awam untuk keselesaan rakyat. (A2)Antaranya termasuklah sekolah, telefon awam, pengangkutan awam, dan pondok menunggu bas. (A3)Kemudahan yang disediakan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat.

Kaedah Pengembangan Isi

Isi
Apa?
-Apakah isi pokok yang mahu disampaikan

Huraian
Kesan daripada apa?
-Kesan yang boleh berlaku (isi pokok)

Contoh
-Apakah contoh yang dapat menunjukkan (isi pokok)


Pengembangan Isi

(A1)Bangunan sekolah yang yang mempunyai pelbagai kemudahan amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. (A2)Sebagai contoh, bangunan sekolah yang dilengkapi kemudahan air, elektrik, dan tandas .(A3)Hal ini membolehkan pelajar belajar dalam suasana yang selesa.

(A1)Pengangkutan awam juga tidak kurang pentingnya kepada mereka yang berulang-alik ke sekolah atau ke tempat kerja. (A2)Sebagai contoh, pengangkutan awam yang kerap digunakan ialah bas awam. (A3)Pengangkutan ini menjimatkan wang bagi golongan yang berpendapatan rendah.

(A1)Selain itu, telefon merupakan alat perhubungan yang penting pada masa ini. (A2)Sebagai contoh, telefon awam amat diperlukan di kawasan luar bandar. (A3) Kemudahan ini diperlukan terutamanya ketika berlaku sesuatu kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya.

(A1)Keselamatan orang ramai pada waktu malam pula akan lebih terjamin apabila diterangi oleh lampu jalan.(A2)Hal ini sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah. (A3)Jenayah seperti ragut, mencabul kehormatan dan sebagainya pasti akan berkurangan apabila tiada lagi kawasan yang bergelap.

Apa yang perlu ada dalam penutup:

(A1)Rumusan ataupun kesimpulan menyeluruh tentang perbincangan isi
(A2)Menyatakan cadangan atau saranan yang sesuai

Penutup

(A1)Kesimpulannya, semua pihak hendaklah bekerjasama menjaga kemudahan awam. (A2)Caranya, dengan menggunakannya sebaik mungkin kerana kemudahan tersebut adalah milik bersama.

(120 patah kata)

KELEMAHAN CALON

1)Menulis terlalu panjang melebihi 120 patah perkataan
2)Karangan tidak mempunyai pendahuluan dan penutup (kesimpulan)
3)Menulis tanpa perenggan
4)Hanya menulis tentang apa yang dilihat sahaja
5)Menulis tentang perkara yang di luar skop soalan

Apa yang perlu ada dalam penutup (Karangan Pendapat / Perbincangan / Fakta)

Penutup

Ayat/ Frasa memulakan penutup
Kesimpulannya………
Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa………….
Berdasarkan keterangan-keterangan tersebut, jelaslah bahawa………
Ringkasnya, jelaslah bahawa…….
Natijahnya, jelaslah bahawa……….
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa……..

Apa yang perlu ditulis ialah:

(A1)Rumusan ataupun kesimpulan menyeluruh tentang perbincangan isi
(A2)Menyatakan cadangan atau saranan yang sesuai
(A3)Menyatakan harapan tentang isu yang dibincangkan
(A4)Menyatakan pendirian tentang pokok persoalan yang dikemukakan

Contoh:

Soalan: Gejala lepak dalam kalangan remaja berpunca daripada kurangnya pengawasan daripada ibu bapa. Berikan pendapat anda.

(A1) Ringkasnya jelaslah bahawa kekurangan pengawasan dan sikap tidak prihatin ibu bapa terhadap aktiviti dan perlakuan anak-anak mereka menjadi penyebab gejala ini kian merebak.(A2)Dengan demikian, ibu bapa perlu sentiasa mengambil berat dan mengawasi setiap pergerakan anak-anak mereka yang mencurigakan.(A3)Sekiranya semua ibu bapa mengambil tindakan sedemikian,gejala ini dapat diatasi dengan mudah.(A4)Jelaslah,ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam menangani kegiatan tidak berfaedah anak-anak dan tidak boleh hanya mengharapkan pihak lain sahaja.

Kaedah Pengembangan Isi

(A1) Apa?
-Apakah isi pokok yang mahu disampaikan

(A2) Mengapa?
-Mengapa boleh berlaku (isi pokok)

(A3) Bagaimana/ Kesan daripada apa?
-Bagaimana boleh berlaku (isi pokok)

(A4) Contoh/ Bukti
-Apakah contoh yang dapat menunjukkan (isi pokok)

(A5) Penegasan
-Kesimpulan daripada isi-kembali kepada persoalan pokok

Contoh:

Pemerengganan

Tajuk : Semakin banyak pendatang asing yang berhijrah ke negara ini untuk mencari kehidupan yang baru. Pada pendapat anda, mengapakah Malaysia menjadi tumpuan pendatang asing ini?

Isi yang mahu disampaikan (Apa?)
-Faktor peluang pekerjaan yang banyak di Malaysia

Perenggan lengkap (Contoh 1)

(A1) Faktor utama yang mendorong kemasukan pendatang asing ke negara ini adalah dengan adanya peluang pekerjaan yang terbuka luas kepada mereka. (A2) Hal ini demikian kerana peluang pekerjaan yang ada tidak diisi oleh penduduk tempatan. (A3) Kekosongan inilah yang diisi oleh mereka. (A4) Sebagai contoh, mereka memenuhi peluang-peluang pekerjaan di sektor pembinaan, perkilangan ataupun di sektor perkhidmatan.(A5) Selagi peluang pekerjaan yang ada tidak diisi oleh penduduk tempatan, selagi itulah pendatang asing akan terus membanjiri negara kita.

Perkara yang perlu ada dalam pendahuluan. (Bentuk pendapat /pandangan tokoh)

(A1) Tentukan isu yang dibincangkan
(A2) Nyatakan pandangan tokoh berkenaan tentang isu tersebut
(A3) Nyatakan ulasan tentang perkara yang dinyatakan oleh tokoh berkenaan
(A4) Nyatakan hala tuju karangan mengikut kehendak soalan

Contoh:

(A1) Kejadian jenayah yang membabitkan remaja pada masa ini amat membimbangkan. (A2) Demikian dinyatakan oleh Ketua Polis Negara dalam sidang akhbar baru-baru ini. (A3) Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pembunuhan kejam yang dilakukan oleh seorang remaja terhadap seorang kanak-kanak baru-baru ini. (A4) Bagi menangani masalah ini daripada berterusan, pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif bagi mencegahnya.

Perkara yang perlu ada dalam pendahuluan. (Bentuk persoalan)

(A1)Pernyataan isu yang dijadikan asas dalam soalan
(A2)Persoalan-persoalan yang berkaitan dengan isu yang akan dibincangkan
(A3)Ulasan persoalan yang telah dikemukakan
(A4)Hala tuju soalan dalam bentuk persoalan

Contoh:

(A1) Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah perkara ini semakin kerap berlaku? (A2) Apakah yang menyebabkan remaja yang bakal mewarisi kepimpinan negara ini melakukan jenayah pada usia muda? (A3) Semua persoalan ini menghantui kita dari sehari ke sehari. (A4) Siapakah pihak yang bertanggungjawab menangani masalah ini daripada terus menular dan menjadi barah dalam masyarakat kita?

Perkara yang perlu ada dalam pendahuluan. (Bentuk isu semasa)

(A1)Isu semasa yang relevan dengan kehendak soalan
(A2)Ulasan isu yang dijadikan perkara pokok dalam pendahuluan
(A3)Ulasan isu dan kaitannya dengan perkara yang berlaku pada masa ini
(A4)Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan

Contoh:

(A1) Sejak akhir-akhir ini kita sering didedahkan dengan pelbagai cerita salah laku dalam kalangan remaja.(A2)Kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan kes jenayah kecil seperti memukul rakan sebaya sehingga kes jenayah berat seperti membunuh. (A3) Semakin banyak kes yang dilaporkan, semakin kerap berlaku kejadian jenayah dalam kalangan remaja. (A4) Pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan masing-masing bagi menangani masalah ini sebelum menular menjadi lebih serius.

Menulis Pendahuluan (Karangan Pendapat/Perbincangan)

Soalan:
Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah bertanggungjawab menangani masalah ini?

Perkara yang perlu ada dalam pendahuluan. (Bentuk definisi)
(A1)Definisi perkara pokok yang terkandung dalam soalan
(A2)Ulasan tentang definisi yang diberikan dan kaitannya dengan isu
yang akan dihuraikan
(A3)Ulasan isu yang telah dikemukakan
(A4)Hala tuju karangan mengikut
kehendak soalan

Contoh:

(A1) ‘Jenayah Remaja’ dapat ditakrifkan sebagai perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja yang di bawah usia lapan belas tahun. (A2)Remaja yang melakukan jenayah ketika di bawah umur akan dibicarakan di Mahkamah Juvana. (A3) Hal ini semakin membimbangkan kerana kejadian jenayah yang membabitkan golongan remaja yang masih bersekolah semakin bertambah dari masa ke masa. (A4) Mahu ataupun tidak, kita perlu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam usaha menangani masalah ini daripada berterusan.

PETUNJUK MENULIS KARANGAN

Memilih Soalan Karangan

Baca setiap soalan dengan teliti

Pilih soalan yang benar-benar sesuai dengan pemahaman, pengetahuan dan keupayaan anda

Pastikan anda tahu bentuk dan format karangan yang dipilih

Pastikan idea mencukupi

Pastikan gaya bahasa yang sesuai untuk soalan itu

Menentukan dan Menganalisis soalan

Baca arahan soalan dengan teliti

Fahami kata kunci, skop dan tema soalan

Garisi kehendak soalan

Contoh:

Arahan soalan: Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah bertanggungjawab menangani masalah ini.

Menganalisis kehendak soalan

Kata kunci : Pada pendapat anda

Skop : Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini

Tema : Kejadian jenayah yang membabitkan remaja

Kehendak soalan : Memberi penjelasan tentang pihak yang bertanggungjawab menangani masalah kejadian

jenayah yang membabitkan remaja

Menyediakan Rangka Karangan

Sediakan rangka karangan secara kasar seperti dalam bentuk peta minda

Anda boleh menulis :

(a) ayat yang tidak lengkap

(b) frasa-frasa

(c) kata-kata singkatan

Prolog

Blog ini saya adakan bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar SMK Dang Anum khususnya kepada pelajar-pelajar yang saya ajar. Semoga apa yang dipaparkan di sini dapat membantu kalian dalam menghadapi peperiksaan PMR dan juga SPM.Pelajar-pelajar dan pengunjung blog ini dibenarkan untuk mengambil bahan yang terdapat di dalam blog ini tetapi tidak dibenarkan untuk tujuan komersial.