Jumaat, 31 Julai 2009

Belajarlah untuk bersyukur...

1. Untuk suami atau isteri yang tidur berdengkur pada waktu malam,
BERSYUKUR kerana dia tidur di sisi kita, bukan dengan orang lain.

2. Untuk anak atau adik perempuan kita yang mengomel apabila
mencuci pinggan,BERSYUKUR kerana itu bermakna dia berada
di rumah, bukan di jalanan berpeleseran.

3. Untuk cukai pendapatan yang kita perlu bayar, BERSYUKUR kerana
itu bermakna kita masih mempunyai pekerjaan.

4. Untuk pakaian kita yang sudah tidak muat, BERSYUKUR kerana itu
bermakna kita cukup makan.

5. Untuk lantai yang perlu dicuci, tingkap yang perlu dilap, dan
rumah yang perlu dikemas, BERSYUKUR kerana itu bermakna kita
masih mempunyai tempat tinggal.

6. Untuk bunyi bising jiran-jiran, BERSYUKUR kerana itu bermakna
kita masih lagi boleh mendengar.

7. Untuk timbunan pakaian yang perlu dicuci atau digosok,
BERSYUKUR kerana itu bermakna kita ada pakaian untuk dipakai.

8. Untuk keletihan atau kesakitan otot selepas seharian bekerja,
BERSYUKUR kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk kerja kuat.

9. Untuk ke kelas yang berada di blok O, BERSYUKUR kerana
itu bermakna kita masih berupaya untuk berjalan.

10.Untuk jam loceng yang berdering pada waktu pagi, BERSYUKUR
kerana itu bermakna kita masih hidup untuk meneruskan hari tersebut.

11.Untuk leteran daripada guru di dalam kelas, BERSYUKUR kerana
itu bermakna kita masih mendapat tempat di hati guru kita.



BELAJARLAH BERSYUKUR......

Khamis, 30 Julai 2009

CONTOH 15-KARANGAN PENDAPAT

Masyarakat mempunyai peranan penting menangani pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat. Berikan pendapat anda.

Marcapada, pelbagai gejala negatif kerap terjadi dalam kalangan masyarakat di negara kita. Perkara yang menimbulkan kemusykilan kepada kita adalah mengapakah perkara ini semakin kerap terjadi? Apakah faktor yang menyebabkan masyarakat negara kita yang dahulunya terkenal dengan nilai berbudi bahasa dan bersopan santun berubah sebaliknya? Segala persoalan yang timbul dalam benak fikiran kita seolah-olah tiada jawapannya. Apakah langkah yang perlu diambil oleh masyarakat bagi menangani gejala negatif yang berlaku dalam kelompok mereka ini?

Antara langkah untuk mengatasi pelbagai gejala negatif dalam masyarakat pada hari ini adalah dengan melalui keprihatinan masyarakat setempat terhadap perkara ini.Hal ini berlaku demikian kerana sikap sebegini akan menyebabkan mereka yang mahu melakukan gejala negatif ini akan berasa takut untuk melakukannya di kawasan tempat tinggal mereka.Lantaran itu, gejala-gejala negatif seperti berlumba motor secara haram, vandalisme, melepak dan sebagainya akan dapat dikawal.Tamsilnya, program Rukun Tetangga yang dilaksanakan oleh komuniti setempat akan dapat mengurangkan gejala ini daripada terus berlaku. Oleh itu, sikap cakna masyarakat setempat amat penting dalam menangani isu ini.

Di samping itu, masyarakat setempat boleh mengadakan program bermanfaat khusus untuk golongan remaja dan belia di kawasan tempat tinggal mereka. Hal ini berlaku demikian kerana dengan mengadakan aktiviti seperti ini akan dapat mengisi masa senggang yang ada dengan kegiatan yang berfaedah untuk mereka.Dengan ini, mereka akan tiada masa untuk membuat perkara-perkara yang negatif. Tamsilnya, aktiviti seperti pertandingan ‘futsal’ pada hujung minggu akan dapat memenuhi masa senggang mereka di samping menyihatkan tubuh badan. Lantaran itu, terbuktilah bahawa aktiviti-aktiviti berfaedah akan dapat mengalihkan perhatian golongan ini daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

Seterusnya, penganjuran kempen kesedaran secara bersepadu oleh agensi-agensi kerajaan juga boleh membantu menangani isu ini. Hal ini berlaku demikian kerana golongan yang melakukan gejala negatif ini mungkin tidak menyedari kesan negatif atas perlakuan mereka selama ini.Sehubungan dengan ini, mereka mungkin akan menyesali salah laku masa lalu mereka. Tamsilnya, pihak berkuasa boleh memberi penerangan tentang hukuman-hukuman yang bakal diterima oleh mereka yang melakukan perbuatan yang negatif ini.Benarlah bahawa melalui kempen yang bersepadu pelbagai gejala negatif akan dapat dikurangkan dalam kalangan masyarakat.

Konklusinya, jelaslah bahawa pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat dapat diatasi sekiranya langkah dan kaedah yang betul dilaksanakan. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlulah memainkan peranan masing-masing dalam membanteras gejala yang tidak sihat ini. Dengan ini, segala masalah yang dihadapi oleh komuniti setempat akan dapat diatasi dengan cara yang lebih berkesan. Sesungguhnya benarlah kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

380 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar 3 Anggerik 2009

Suasana Sukan Tahunan SMKDA 2009





Rabu, 29 Julai 2009

Betul ke bacaan aku ini?

Klip ini boleh diumpamakan seperti peribahasa 'Sumpit penuh tidak berisi'yang bermaksud orang bodoh yang berlagak seperti orang pandai-pandai.

Hari yang mendukacitakan..

Pada hari ini warga SMK Dang Anum dikejutkan dengan berita yang menyedihkan. Mungkin para pelajar tidak mengetahuinya.Untuk makluman, Pn.Lela,pembantu am di sekolah kita telah terlibat dengan kemalangan jalan raya pada hari semalam (28.7.09) di Pekan Tedong.Keadaan beliau dilaporkan kritikal. Beliau dikatakan mengalami pendarahan serius di kepalanya dan sekarang menjalani rawatan di Hospital Pakar Sultanah Aminah, Johor Bahru.Marilah kita semua berdoa agar beliau akan cepat sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa. Amin.

Metafora

1)Merupakan perbandingan yang menggunakan kata konkrit (boleh dihitung) dengan kata abstrak (tidak boleh dihitung)

Contohnya:

a)perahu duka =perahu(konkrit)+ duka(abstrak)

b)ladang kesabaran =ladang(konkrit)+ kesabaran(abstrak)


2)Merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat, dan sebagainya.  

Contohnya:

a)bak samudera hampa(simile)= samudera hampa (metafora)

b)ibarat lautan fikiran(simile) = lautan fikiran(metafora)

Nota: Sekiranya sebelum gabungan kata konkrit+abstrak ada perkataan seperti,bak,laksana,macam,umpama, istilah yang digunakan ialah simile.

Hiperbola

Merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya.  

contohnya: seribu tahun sanggup kutunggu

Huraian: Kita sedia maklum bahawa tiada manusia pada zaman sekarang yang boleh hidup sehingga seribu tahun.

Inversi

Pembalikan susunan kata

Contoh: sihat badan wajah berseri

(sepatutnya badan sihat wajah berseri)

Paradoks

Pernyataan yang bertentangan tetapi ada kebenarannya.

Contoh: dalam kesepian di tengah ramai

Huraian: Sepatutnya apabila kita berada di tengah ramai kita tidak akan berasa kesepian. Tetapi sebaliknya kita berasa sepi walaupun dikelilingi oleh orang yang ramai.

Cikgu harap kamu tidak akan keliru lagi dengan istilah ini.

Selasa, 28 Julai 2009

UJI MINDA (4)

Ada dua ekor anjing telah terperangkap di sebuah pulau dan ingin berenang menuju ke seberang. Untuk sampai ke seberang, kedua-dua anjing tersebut memerlukan stamina yang cukup.

Anjing A pun berlatih secara habis-habisan manakala Anjing B hanya bersenang-lenang sahaja tanpa menunjukkan apa-apa kerisauan.

Tiba masanya kedua-duanya pun menyeberang dan tanpa disangka-sangka Anjing B sampai dahulu daripada Anjing A, malahan Anjing B sempat untuk makan lagi.

Soalan: Mengapakah Anjing B boleh sampai dahulu daripada Anjing A?

Lawak Bilik Guru(6)

Pada suatu hari ada tiga orang pelajar sedang melepak dan mereka saling bercerita tentang kehebatan ayah mereka.

Abu : Ayahku mempunyai beberapa buah banglo yang cukup besar.

Ali : Ayahku lagi hebat,dia seorang Pengarah Urusan di sebuah hotel
5 Bintang di Amerika.

Abu :Apa pula pekerjaan ayah kamu, Azwan?.

Azwan:Ayah aku dapat menahan berpuluh-puluh buah kenderaan
dengan menggunakan hanya sebelah tangan sahaja.

Ali : Wah!Hebat betul ayah engkau. Apakah pekerjaannya?

Azwan:Polis Trafik.

Pengajaran: Jangan berlagak sombong.

Pelajar zaman sekarang..


Mengajar peribahasa memang menyeronokkan bagi diri cikgu. Tetapi yang tidak menyeronokkan apabila hal ini berlaku.Apa komen kamu?

CONTOH 14-KARANGAN PENDAPAT

Dunia sekarang dilanda dengan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Bincangkan cara-cara untuk menghalangnya daripada terus merebak dalam kalangan masyrakat di negara kita ini.

Baru-baru ini, sarwajagat telah digemparkan dengan krisis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Malah, penyakit berjangkit boleh merebak melalui sistem pernafasan seperti air liur, bersin dan lain-lain.Sebagai contoh, antara penyakit berjangkit yang ditakuti ialah H1N1, SARS,JE dan sebagainya.Justeru, pelbagai alternatif perlu diambil bagi mencegah penyakit berjangkit ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat di negara ini.

Antara langkah bagi menangani penyakit berjangkit ini daripada bertambah kronik adalah dengan memastikan kebersihan diri kita sentiasa terjaga. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah wabak penyakit dapat berjangkit secara tidak langsung iaitu melalui sentuhan, memegang atau menggunakan sebarang peralatan yang pernah digunakan oleh individu yang telah dijangkiti penyakit tersebut. Dengan ini, kita akan terhindar daripada dijangkiti oleh penyakit berbahaya tersebut.Sebagai contoh, kita perlulah menggunakan sabun semasa membasuh tangan kita sebelum makan.Oleh yang demikian, langkah ini perlu diamalkan oleh semua orang bagi menghindari serta melindungi diri mereka daripada dijangkiti sebarang penyakit berjangkit.

Selain itu, kita juga perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam sekiranya tiada urusan penting. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah penyakit berjangkit seperti H1N1(Selesema Babi) boleh merebak melalui pernafasan. Sehubungan dengan itu, risiko untuk seseorang itu dijangkiti wabak berjangkit adalah minimum. Sebagai contoh, tempat-tempat yang perlu dielakkan ialah pusat membeli belah, taman-taman permainan dan sebagainya. Justeru, menjauhi tempat-tempat awam merupakan pilihan yang tepat bagi mengelakkan penyakit berjangkit daripada mengancam nyawa kita.

Seterusnya, kerajaan juga boleh menangani musibah ini dengan menyekat kemasukan para wisatawan yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini kerana para wisatawan dari negara luar yang datang ke negara ini boleh menjadi faktor utama yang menyebarkan virus penyakit berjangkit ini. Justeru, penyebaran penyakit ini akan dapat serba sedikit dikurangkan. Tamsilnya, pihak berkuasa yang menjaga pintu masuk lapangan terbang kita hendaklah mengetatkan lagi pemeriksaan kesihatan ke atas para wisatawan ini. Intihanya, kerjasama daripada mereka dapat membantu mengurangkan penyakit ini daripada terus menular ke negara kita.

Konklusinya, dapatlah dirumuskan bahawa pelbagai langkah perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini. Selain itu,kita hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup yang sihat akan melahirkan tubuh yang sihat yang mampu melawan penyakit berjangkit.Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat dan janganlah kita menyesal apabila kita telah disahkan menghidapi penyakit berjangkit disebabkan kecuaian kita kerana ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.

370 patah perkataan

Hasil penulisan Nur Amalina dan Liyana Onn 3 Anggerik 2009

Isnin, 27 Julai 2009

KESALAHAN TATABAHASA DALAM PENULISAN

1)KESALAHAN HURUF BESAR

Nama Khas
azmi – Azmi
ipoh – Ipoh

Permulaan ayat
di samping itu – Di samping itu…..

2)KESALAHAN KATA GANTI DIRI

ianya sepatutnya ia atau nya sahaja
ia tidak boleh digunakan selain daripada manusia dan benda bernyawa
beliau sepatutnya digunakan untuk orang-orang tertentu sahaja

3)KESALAHAN IMBUHAN

memperbesarkan sepatutnya memperbesar
mengguna sepatutnya menggunakan
mengunakan sepatutnya menggunakan
kebahagian sepatutnya kebahagiaan
kebanyakkan sepatutnya kebanyakan
Menunjukan sepatutnya menunjukkan

4)KESALAHAN KATA SENDI / FRASA SENDI

diPerlis sepatutnya di Perlis
keIpoh sepatutnya ke Ipoh
Di zaman ini…sepatutnya Pada zaman ini..
Pada masa kini sepatutnya Pada masa ini
Nasihat dari ibu bapa sepatutnya Nasihat daripada ibu bapa

5)KESALAHAN ANGKA 2

Rumah2 sepatutnya rumah-rumah

6)KESALAHAN KATA MAJMUK

ibubapa sepatutnya ibu bapa
ibu-bapa sepatutnya ibu bapa
kadang kala sepatutnya kadangkala
kadang-kala sepatutnya kadangkala
sampah-sarap sepatutnya sampah sarap
bukit-bukau sepatutnya bukit bukau

7)KESALAHAN KATA SINGKATAN

spt – seperti
yg – yang
utk –untuk
tdk – tidak
drp – daripada
kpd - kepada
Sept - September

8)KESALAHAN MENGGUNAKAN BAHASA INGGERIS

May – Mei
July – Julai
Bag – beg
satay – sate

9)KESALAHAN BENTUK JAMAK

Semua guru-guru sepatutnya semua guru
Berbagai sepatutnya berbagai-bagai atau pelbagai
Banyak tempat-tempat sepatutnya Banyak tempat
Antara keistimewaan-keistimewaan sepatutnya Antara keistimewaan

10)KESALAHAN HUKUM DM

plastik beg sepatutnya beg plastik
Pak Mat Tempe Restoran sepatutnya Restoran Pak Mat Tempe
lain-lain hal sepatutnya hal-hal lain

11)KESALAHAN EJAAN

definasi sepatutnya definisi
tengahari sepatutnya tengah hari

12)KESALAHAN PENANDA WACANA

Justeru itu………(salah)
Justeru,…(betul)

Jadi,…(salah)
Oleh itu,…(betul)

Oleh kerana…(salah)
Oleh sebab…(betul)

Tambahan lagi…(salah)
Tambahan pula…(betul)

Ini kerana.....(salah)
Hal ini kerana.......(betul)

Lawak Bilik Guru(5)

Pada suatu hari Ali terlupa untuk membuat kerja rumah yang diberikan oleh gurunya.

Ali : Cikgu, adakah seseorang itu boleh dihukum untuk sesuatu
yang belum dilakukannya ?

Guru : Oh, semestinya tidak. Seseorang itu hanya boleh dihukum
atas perbuatan yang telah dilakukannya.

Ali : Syukurlah, cikgu. Saya belum membuat latihan yang diberi
oleh cikgu semalam.

Guru :$##@&*??@#(menahan marah)

Pengajaran: Berhati-hati apabila menjawab soalan.

Ahad, 26 Julai 2009

CONTOH 13-KARANGAN PENDAPAT

Aktiviti kejiranan dalam masyarakat kita hari ini semakin kurang
diamalkan khususnya dalam kalangan masyarakat bandar. Huraikan
pendapat anda tentang usaha-usaha untuk memupuk semula
semangat kejiranan dalam era moden kini.


Dalam meniti arus modenisasi, semangat kejiranan semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Hal ini berlaku kerana sikap masyarakat yang lebih mementingkan habuan duniawi berbanding meluangkan masa untuk mengenali jiran mereka.Pada kotak fikiran mereka,cukup untuk mereka prihatin terhadap keluarga sendiri tanpa mengendahkan kebajikan jiran mereka.Sikap ini perlu dibasmi daripada terus merebak dan seterusnya menjadi barah yang merebak dalam kalangan orang ramai.Oleh itu,prakarsa yang drastik lagi maslahat harus dilakukan untuk memupuk semangat kejiranan.

Antara cara yang proaktif untuk memupuk semangat kejiranan adalah dengan mengamalkan budaya ziarah-menziarahi dan bertegur sapa dalam kalangan masyarakat.
Hal ini kerana, masyarakat kini sibuk bekerja dari waktu ayam berkokok hinggalah menitisnya embun jantan di dinihari.Kita sepatutnya menziarahi jiran tetangga sewaktu mereka sakit dan bertegur sapa jika bersua muka dengan mereka.Sehubungan dengan ini,sikap bagai enau dalam belukar dapat dielakkan daripada menular dalam kalangan masyarakat kita. Justeru, amalan ini seharusnya dibudayakan semula demi kebaikan bersama.

Selain itu,aktiviti gotong-royong patut dilakukan di kawasan perumahan.Hal ini kerana aktiviti ini semakin dipinggirkan lantaran tugas ini telah diambil alih oleh pihak berwajib.Sepatutnya hal ini menjadi tanggungjawab bersama,persis kata pepatah, yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.Tamsilnya,aktiviti gotong-royong perdana dan gotong- royong sempena Hari Kebangsaan boleh dilakukan.Dengan ini,persekitaran kawasan perumahan bukan sahaja bersih malah tali silaturahim dapat disemai dalam diri masyarakat kita.Oleh itu,kata pepatah hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah dapat direalisasikan.Sekiranya aktiviti gotong royong dilakukan,maka sudah tentu semangat kejiranan dapat dipupuk.

Negara Malaysia merupakan antara salah satu negara yang amat terkenal dengan kepelbagaian sambutan hari perayaan..Oleh itu,wajarlah sambutan hari perayaan diadakan di kawasan perumahan bagi memupuk semangat kejiranan.Hal ini akan menyebabkan orang ramai berkumpul dan mengenali sesama sendiri .Mungkin ada di antara mereka tidak pernah bersua muka sebelum sambutan diadakan.Sebagai contoh,sambutan Hari Raya,Tahun Baru Cina,dan Deepavali boleh diadakan di balai raya kawasan perumahan.Jika sambutan hari perayaan dilakukan,maka aspirasi negara untuk menjadikannya sebagai satu medium memperkasakan negara akan tercapai.

Secara tuntas,tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan,tiada kusut yang tidak dapat dileraikan. Justeru,masyarakat juga perlu aktif dalam persatuan Rukun Tetangga untuk memupuk semangat kejiranan.Sesungguhnya semangat kejiranan amat penting untuk menjamin kestabilan sesebuah negara.Oleh itu,semua pihak harus menggembleng tenaga untuk melaksanakan prakarsa di atas demi melahirkan mayarakat yang harmoni.

360 patah perkataan

Hasil penulisan Nur Fatin Najwa 3 Cempaka 2008

Sabtu, 25 Julai 2009

Renungan bersama..

MENURUT Imam al-Ghazali dalam Ihya 'Ulum al-Din, akhlak tercela boleh timbul daripada dua nafsu syahwat (keinginan) iaitu nafsu makan dan nafsu seks dan juga daripada lidah, iaitu tutur kata.

Dengan itu, kita perlu mengawal ketiga-tiga umbi kejahatan terbabit supaya tidak menguasai diri.

Al-Ghazali menyenaraikan 20 kejahatan lidah, antaranya kata-kata kasar, kesat, lucah, berbohong, menyumpah, melaknat, mungkir janji, tuduhan palsu, suka berdebat dan mengumpat.

Di samping itu, bercakap mengenai perkara yang tidak berkaitan, sia-sia dan tidak berfaedah seperti bernyanyi dan sebagainya.

Kejahatan lidah ada yang besar dan ada yang kecil. Lidah yang jahat mempengaruhi jiwa seseorang, menyakiti dan memudaratkan orang lain dan juga diri sendiri. Tamsilnya, kata-kata kesat kepada ibu adalah haram dan berdosa besar.

Menurut al-Ghazali kejahatan lidah adalah punca utama membawa kecelakaan kepada seseorang sama ada di dunia atau di akhirat.

Formula 'ARE' dalam KOMSAS

Ramai pelajar yang sukar mengingati istilah pengulangan yang digunakan dalam puisi.Justeru, cikgu dengan kerjasama pelajar 2 Anggerik 2008 telah mencipta formula 'ARE'.Tentu kamu semua hendak tahukan?

A=Anafora(pengulangan di awal baris)

R=Responsi(pengulangan di tengah baris)

E=Epifora(pengulangan di akhir baris)

Contoh:Anafora(pengulangan perkataan bunga dan hina)

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali,
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Contoh:Responsi(pengulangan perkataan kerana)

Hendak belayar ke Teluk Betung,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Contoh:Epifora(pengulangan perkataan berkawan)

Anak itik turun berkawan,
Mati seekor termakan duri,
Hidup mesti pandai berkawan,
Barulah hidup tidaklah sunyi.



Cikgu berharap selepas ini tiada lagi berlaku kekeliruan dalam mengenalpasti istilah yang patut digunakan.

Apa komen kamu?

Ponteng


'Ponteng' boleh dikatakan sinonim dengan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini. Kebanyakan ibu bapa tidak menyedari hal ini sehingga mereka dipanggil oleh pihak sekolah.Kamu bagaimana?

Jumaat, 24 Julai 2009

Panduan Mengarang(2)

Cikgu sering ditanya oleh para pelajar dengan soalan yang hampir serupa bunyinya. Soalannya, "Cikgu, berapa isi yang diperlukan dalam sebuah karangan?".Untuk pengetahuan kamu semua,mengikut pengalaman cikgu, hanya tiga isi sahaja diperlukan dalam karangan pendapat.Apa yang penting ialah cara kamu menghuraikan isi tersebut dan bukannya mencari seberapa banyak isi tanpa menghuraikannya.Justeru, cikgu harap selepas ini kamu akan berlatih menulis menghuraikan isi dan bukannya memerah otak untuk mencari seberapa banyak isi. Selamat mencuba.

JAWAPAN PERIBAHASA (Dipetik daripada buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 3)

1)Kebolehan yang dimiliki oleh seseorang jika tidak digunakan
tidak akan mendatangkan faedah

2)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

3)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

4)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

5)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

6)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

7)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

8)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

9)Sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud tercapai

10)Perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik kembali

11)Telah kembali ke tempat asalnya.

12)Keuntungan yang diharapkan tak didapati, sedangkan yang telah
ada hilang pula.

13)Sepandai-pandai orang, ada kalanya salah juga.

14)Tiap-tiap pemberian orang hendaklah dibalas dengan pemberian;
kita harus tahu berterima kasih

15)Berbuat sesuatu jangan kepalang tanggung.

16)Sekiranya kita mahukan sesuatu, kita akan berusaha untuk
mendapatkannya

17)Orang yang jahat selalu dituduh apabila terjadi sesuatu musibah

18)Membuat sesuatu kerja yang sangat sukar

19)Sebelum ada yang baik, yang kurang baik boleh dipakai

20)Kemuliaan seseorang yang berpangkat tidak hilang kerana bergaul
dengan orang biasa

21)Jika sesuatu perkara tidak berlaku, tidak mungkin orang bercakap
tentang perkara itu

22)Keadaan hidup seseorang yang sangat miskin dan melarat

23)Adat yang tidak boleh dilanggar.

CONTOH 12-KARANGAN PENDAPAT

Sikap berbelanja adalah suatu perbuatan yang akan merugikan seseorang. Huraikan cara-cara untuk menjadi pengguna yang bijak.

Acap kali kita memperdebatkan tentang isu bagaimana untuk menjadi seorang pengguna yang bijak. Hal ini kerana kita mempunyai pelbagai pilihan dalam memilih sesuatu barangan. Jika kita tersilap memilih, kita akan membazirkan wang ringgit kerana membeli barangan tersebut. Justeru, terdapat pelbagai langkah yang boleh dipraktikkan oleh kita untuk menjadi pengguna yang bijak dalam berbelanja.

Antara langkah yang boleh diamalkan adalah dengan memastikan barang yang dibeli oleh kita berkualiti tinggi. Hal ini berlaku demikian kerana produk yang berkualiti tinggi membolehkan pengguna menggunakan secara berterusan untuk jangka masa yang panjang. Untuk membeli barangan yang berkualiti, kita hendaklah memastikan barangan tersebut mempunyai jenama yang dikenali kerana kualitinya yang baik, harga yang berpatutan,berada dalam keadaan yang baik dan mempunyai jaminan daripada pengeluarnya,bak kata pepatah,‘Alah membeli menang memakai’. Tamsilnya, barangan elektrik mestilah mempunyai cap SIRIM bagi memenuhi standard piawaian Malaysia.Oleh itu, kita haruslah membeli barangan yang berkualiti supaya dapat menjamin keselamatan dan keselesaan kita semasa menggunakan barangan tersebut.

Selain itu, kita juga perlulah membuat perancangan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan. Hal ini berlaku demikian kerana perancangan ini penting untuk mengelakkan kita daripada berbelanja melebihi pendapatan yang kita ada, bak kata pepatah, ‘Ukur baju di badan sendiri’. Justeru, kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran dan dapat menyimpan sebahagian daripada pendapatan kita untuk tabungan.Lantaran itu, kita haruslah membuat senarai barangan yang hendak kita beli terlebih dahulu sebelum berbelanja. Oleh itu, setiap pengguna haruslah merancang secara teliti barangan yang hendak dibeli untuk menjadi pengguna yang bijak berbelanja.

Dalam pada itu, kita juga terlebih dahulu perlu memastikan tarikh luput sesuatu barangan sebelum membelinya, persis kata mutiara ‘Berfikir sebelum bertindak’. Hal ini berlaku demikian kerana terdapat sebilangan kecil peniaga yang ingin mengaut keuntungan yang besar tanpa memikirkan keselamatan dan kesihatan pengguna. Kesan daripada itu, kita tidak akan tertipu dan boleh mengambil tindakan ke atas peniaga tersebut. Tamsilnya, apabila sesuatu barangan sudah hampir tamat tempoh, para peniaga akan cuba melariskan stok mereka dengan mengadakan promosi atau jualan murah. Oleh itu, kita haruslah memeriksa tarikh luput sesuatu barangan supaya tidak tertipu semasa membelinya.

Konklusinya, dapat dirumuskan bahawa terdapat pelbagai cara untuk menjadi seorang pengguna yang bijak dan rasional. Dengan demikian, para pengguna perlulah mengetahui hak-hak kepenggunaan seperti hak mendapat ganti rugi, hak mendapatkan maklumat dan hak bersuara bagi mengelakkan kita mudah terpedaya dengan amalan negatif yang seringkali dipraktikkan oleh sebilangan kecil peniaga. Jika kita mengamalkan prinsip pengguna yang bijak, sudah tentu sikap boros dalam diri akan dapat kita kawal. Jelaslah, bahawa seorang pengguna yang bijak tidak akan mudah terpedaya dengan pujuk rayu peniaga dan juga hawa nafsu semata-mata.

380 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Anggerik 2009

Ulama Yang Bijak

Pada suatu ketika,seorang ulama sedang berada di dalam sebuah kapal terbang untuk pergi ke sebuah negeri. Apabila tiba waktu solat, dia pun ke tandas untuk berwuduk. Oleh sebab tandas di dalam kapal terbang terlalu kecil, maka beliau terpaksa membuka pintu tandas itu ketika berwuduk.Tatkala beliau mengangkat salah satu dari kakinya ke dalam singki,seorang pramugari telah ternampak perbuatan ulama itu dan menegurnya.

Pramugari: Tuan tidak boleh memasukkan kaki ke dalam singki itu,
sebab akan mengotorkan singki.(dengan suara dikeraskan)

Ulama : Berapa kali saudari mencuci muka saudari dalam satu hari?
(dengan suara lembut dan penuh rendah diri)

Pramugari: Kebiasaannya sekali atau dua kali dalam sehari.
(dengan sifat angkuh)

Ulama : Saya mencuci kaki saya lima kali dalam sehari,
bererti kaki saya lebih bersih dari muka saudari.
(dengan sifat bersahaja)

Pramugari: (tersipu-sipu malu)

Pengajaran: Janganlah bersikap sombong.

PERIBAHASA (Dipetik daripada buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 3)

Cuba cari makna peribahasa di bawah ini.

1) Jika ada kemenyan sebesar lutut pun, jika tidak dibakar tidak akan berbau
2) Bagai menatang minyak yang penuh
3) Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar
4) Berkayuh sambil bertimba
5) Sambil berdiang, nasi masak
6) Ke sungai sambil mandi
7) Sambil menyelam minum air
8) Sambil berdendang, biduk hilir
9) Sekali membuka para, dua tiga hutang berbayar
10) Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga
11) Ikan pulang ke lubuk
12) Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran
13) Belut kena ranjau
14) Orang memberi kita merasa
15) Alang-alang berminyak biar licin
16) Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
17) Enggang lalu ranting patah
18) Seperti aur ditarik songsang
19) Kalau tiada rotan akar pun berguna
20) Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
21) Kalau tidak kerana angin tidak akan pokok bergoyang
22) Bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu
23) Biar mati anak, jangan mati adat

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008




Semalam cikgu telah mendapat sepucuk surat yang begitu menggembirakan cikgu.Tentu kamu semua tertanya-tanyakan? Untuk pengetahuan, cikgu telah dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang untuk tahun 2008.Kepada Pn.Salmi dan mantan GPK 1, Pn.Hjh. Murah cikgu ucapkan terima kasih kerana telah mencalonkan nama cikgu.Kepada rakan-rakan sejawat juga, cikgu ingin ucapkan terima kasih atas kerjasama mereka kepada cikgu selama berada di sini.Cikgu juga berharap dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anak didik cikgu pada masa hadapan.

Khamis, 23 Julai 2009

LATIHAN PENULISAN(1)

1.Aktiviti kejiranan dalam masyarakat kita hari ini semakin
kurang diamalkan khususnya dalam kalangan masyarakat
bandar. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk
memupuk semula semangat kejiranan dalam era moden kini.
-amalan harian
-contoh:berkongsi kereta, bergilir-gilir ambil anak di sekolah
-ziarah-menziarahi
-contoh:semasa perayaan,majlis kenduri
-bersikap ramah mesra
-contoh:bertanya khabar,mengambil tahu
-menyertai aktiviti setempat
-contoh:gotong-royong
-prihatin
-contoh:tahu perkembangan sekeliling

2. Penggunaan komputer dalam bidang pendidikan, perubatan dan
pentadbiran semakin meluas penggunaannya. Pada pendapat anda
mengapakah penggunaan komputer semakin penting pada hari ini.
-pendidikan-pengajaran dan pembelajaran lebih mudah dan menyeronokkan
-perubatan-mudah mengesan penyakit dan kaedah rawatan yang diperlukan
-pentadbiran-mudah simpan dan mendapatkan semula maklumat

3. Dalam mengharungi era globalisasi pada masa ini, kita digalakkan
menguasai lebih daripada satu bahasa. Pada pendapat anda apakah
faedah yang boleh didapati dengan menguasai pelbagai bahasa?
- mudah berkomunikasi ataupun berurusan dengan bangsa lain
- tidak mudah tertipu jika berurusan dengan bangsa lain
-lebih mudah menuntut ilmu di mana-mana negara sahaja

4. Masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar kerap berlaku
dan membimbangkan pelbagai pihak, terutamanya golongan
ibu bapa.Cadangkan langkah-langkah untuk menangani masalah ini.
-unit kaunseling kumpul maklumat-beri kaunseling dan motivasi
-buang sekolah-beri pengajaran kepada pelajar yang lain
-kerjasama pihak polis-rondaan dan tangkapan

5. Telefon bimbit sudah menjadi kemestian kepada setiap golongan
masyarakat. Lebih-lebih lagi, golongan remaja pada masa ini
yang begitu ghairah menggunakan telefon bimbit.Huraikan
pendapat anda tentang kesan negatif penggunaan telefon bimbit
kepada mereka.
-cuai dalam pelajaran
-pembaziran wang
-masalah disiplin-kecurian/pergaduhan

Rabu, 22 Julai 2009

Doa Ketika Stress

Amalkanlah doa ini terutama semasa menghadapi peperiksaan.

Dua Puluh Perkara Yang Menyebabkan Jiwa Anak Tertutup

1. Ibu bapa tidak minat dengan perkara yang diminati anak.
2. Mungkir janji.
3. Mengkritik dengan tidak adil.
4. Membiarkan orang lain atau ahli keluarga lain menghinanya.
5. Salah faham dengan motifnya.
6. Bercakap dengan anak tanpa memikirkan perasaannya.
7. Menghukumnya atas kesalahan yang sudah diambil tindakan.
8. Menyatakan kepada anak pendapatnya tidak penting.
9. Memberi tanggapan kepada anak seolah-olah anda tidak
pernah melakukan kesalahan.
10. Tidak berlemah-lembut apabila menyedarkan kesalahannya.
11. Meleterinya sedangkan apa yang diperlukannya adalah sokongan.
12. Tidak pernah mengungkapkan kata ibu/ayah sayang padamu.
13. Tidak pernah mahu menghabiskan masa bersendirian dengannya.
14. Tidak sensitif dan kasar terhadapnya.
15. Tidak bertimbang rasa,cuai dan alpa pada perasaannya.
16. Tidak benar-benar berterima kasih kepadanya.
17. Tidak berusaha menunjuk ajar anak mengenai perkara yang anda
suka.Tetapi apabila orang lain bertanya, anda menunjuk ajar
orang itu dengan begitu berminat di depannya.
18. Menegur kesalahan anak di depan rakan, saudara dan tetamu.
19. Tidak mempedulikan anak apabila dia meminta nasihat atau
tunjuk ajar dan sentiasa sibuk untuk itu.
20. Melayan orang lain lebih daripadanya dan membandingkan
dia dengan orang lain.

CONTOH 11-KARANGAN KEPERIHALAN/GAMBARAN

Karangan Keperihalan/Gambaran

Pada musim cuti yang lalu, anda telah berpeluang menyertai Kem Motivasi Diri yang dianjurkan oleh sekolah anda. Ceritakan pengalaman anda itu.

Pada cuti persekolahan yang lalu, saya telah berpeluang mengikuti Kem Motivasi Diri anjuran Kelab Bimbingan Kerjaya dan Kaunseling sekolah saya. Seramai 50 orang pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima mengikuti kem tersebut. Aktiviti yang dijalankan selama tiga hari itu telah diadakan di Kem Motivasi Lanchang,Merlimau.

Pada hari pertama, setelah memasang khemah, semua peserta mendengar taklimat daripada Cikgu Azizan. Selaku guru penasihat, Cikgu Azizan telah menerangkan aktiviti yang akan dijalankan. Beliau berharap agar pelajar dapat membina jati diri dalam menghadapi cabaran sebagai remaja menerusi aktiviti yang akan dijalankan nanti.

Pada malamnya, sebuah kertas kerja yang bertajuk ‘Remaja Kini dan Cabaran’ telah disampaikan oleh Dr.Fadley, pensyarah daripada Universiti Putra Malaysia(UPM). Kertas kerja tersebut mengajak peserta berfikir secara positif dalam menempuh cabaran yang mendatang. Ramai pelajar teruja dan memberi respons yang baik terhadap pembentangan tersebut.

Akiviti yang paling menarik sekali adalah pada hari kedua. Bagi membina ketahanan diri, aktiviti merentas hutan dan mendaki bukit dijalankan. Peserta telah dibahagikan kepada sepuluh kumpulan dan setiap kumpulan diberi peta perjalanan dan sebuah kompas. Setiap kumpulan diminta mencatat nama tumbuh-tumbuhan, unggas, dan anak sungai yang ditemui.Aktiviti tersebut berakhir dengan jayanya walaupun terdapat peserta yang mengalami kecederaan kecil akibat terjatuh semasa mendaki bukit yang agak curam.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan persembahan kebudayaan daripada setiap kumpulan. Ada yang mengadakan persembahan Dondang Sayang, Boria, Dikir Barat dan sebagainya.Kumpulan saya mengadakan persembahan pencak silat dan mendapat tepukan yang gemuruh daripada peserta yang lain. Tanpa disangka-sangka juga hadiah telah diberikan kepada kumpulan kami oleh pihak penganjur kerana telah membuat persembahan yang paling mencuri hati peserta yang menontonnya.

Pada hari ketiga, tepat jam 9.00 pagi setelah selesai bersarapan dan mengemas beg dan peralatan, kami telah dibenarkan pulang dengan menaiki bas yang disewa khas oleh pihak sekolah.Kami berasa sungguh gembira.Walaupun aktiviti yang dijalankan mengambil masa yang singkat, tetapi sekurang-kurangnya dapat membina keyakinan para peserta untuk menghadapi cabaran hidup yang bakal menjelma nanti.

300 patah perkataan

Selasa, 21 Julai 2009

Lawak Bilik Guru(4)

CIKGU: Arip,kenapa kamu datang lewat hari ini?

ARIP : Hujan lebat cikgu.

CIKGU: Semalam,kenapa awak tak hadir?

ARIP : Hujan,cikgu.

CIKGU: Carilah alasan lain. Habis, kalau tiap-tiap hari hujan?

ARIP : Banjir, cikgu.

CIKGU: @#%#@&%#@$(Geram)

Pengajaran:Jangan suka berbohong.

CONTOH 10-KARANGAN PENDAPAT

Masa amat berharga. Berikan pendapat anda tentang aktiviti yang dapat dilakukan pada masa lapang.

Kita akan dilanda kebosanan sekiranya kita tidak mempunyai sebarang aktiviti untuk dilakukan pada masa lapang. Sebenarnya, terdapat pelbagai aktiviti yang bermanfaat yang dapat kita lakukan untuk memenuhi masa yang terluang. Hal ini terjadi kerana sesetengah individu tidak pandai mencari aktiviti yang sesuai dengan mereka. Justeru, kita seharusnya melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah agar masa yang berharga itu tidak disia-siakan begitu sahaja.

Antara aktiviti yang dapat dilakukan pada masa lapang ialah kita boleh membaca, melayari internet, bersukan dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini akan dapat memberikan kepuasan kepada diri kita kerana kita akan memperoleh keseronokan jika melakukannya. Dengan ini, kita akan dapat mendisiplinkan diri kita kerana untuk melakukan aktiviti tersebut kita perlu pandai menguruskan masa dengan baik. Tamsilnya, aktiviti seperti membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan sekaligus dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Rentetan hal ini, kita hendaklah menggunakan masa lapang itu dengan sebaik-baiknya.Persis kata mutiara ‘Masa itu emas’.

Selain itu, kita juga boleh memilih aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.Hal ini berlaku demikian kerana apabila kita bersama-sama dengan keluarga, kita akan dapat melakukan pelbagai aktiviti secara bersama. Justeru, setiap ahli keluarga akan lebih saling memahami antara satu sama lain dan akan dapat menambahkan rasa kecintaan dalam diri masing-masing. Sebagai contoh, kita sekeluarga boleh bercuti di tempat-tempat menarik apabila tiba musim cuti sekolah ataupun beriadah bersama-sama pada hujung minggu.Jelaslah bahawa dengan melakukan aktiviti sebegini, kita akan dapat manfaat yang berganda, bak kata pepatah ‘Sambil menyelam minum air’.

Seterusnya,kegiatan yang kita lakukan pada masa lapang seharusnya dapat memupuk semangat kejiranan yang tinggi dalam komuniti tempat tinggal kita.Hal ini berlaku demikian kerana pada masa sekarang hubungan kejiranan agak longgar kerana sibuk dengan kehidupan masing-masing. Sehubungan dengan itu, hubungan mereka akan bertambah erat sekiranya aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan dijalankan di tempat tinggal kita.Tamsilnya, program gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran boleh diadakan sebulan sekali apabila penduduknya mempunyai masa yang terluang.Sekiranya akitiviti ini berjaya dijalankan, sudah tentu masa yang terluang dapat dimanfaatkan secara lebih efektif dan menguntungkan semua pihak.

Sebagai kesimpulan, kita perlulah pandai menggunakan masa lapang yang kita ada dengan sebaik mungkin. Pelbagai aktivti dapat dilakukan bersesuaian dengan masa dan tempat kita berada. Tambahan pula, aktiviti-aktiviti yang bermanfaat seharusnya dapat memberikan impak yang positif kepada kehidupan kita. Sesungguhnya, kita mestilah menghargai masa yang telah dianugerahkan kepada kita kerana masa tidak dapat diundurkan kembali.

350 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Anggerik 2009

Isnin, 20 Julai 2009

SMS(Telefon bimbit)


Boleh dikatakan kebanyakan pelajar pada masa ini mempunyai telefon bimbit sendiri.Telefon bimbit tersebut menjadi satu keperluan kepada mereka. Mereka tidak boleh hidup tanpanya. Sememangnya perkara ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pihak sekolah dan juga ibu bapa. Kamu bagaimana?

CONTOH 9-KARANGAN PENDAPAT

Kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan negara sering diperkatakan. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini.

Kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan negara sering menjadi tajuk berita dalam media massa. Kemerosotan mutu sukan negara amat ketara dalam sukan permainan dan juga olahraga. Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak Malaysia kecundang dalam pusingan kelayakan Olimpik baru-baru ini. Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang berkesan bagi meningkatkan mutu sukan negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia.

Antara langkah untuk meningkatkan kualiti sukan negara adalah dengan memberi insentif kepada atlet yang memenangi sesuatu pertandingan.Hal ini berlaku demikian kerana ganjaran yang diberikan kepada atlet negara tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan oleh mereka. Dengan ini, pemain dan atlet yang diberikan insentif tadi akan lebih bersemangat untuk menempa kejayaan untuk negara. Tamsilnya, Majlis Sukan Negara boleh menganugerahkan hartanah, wang atau saham kepada kepada mereka yang berjaya. Selagi tiada insentif diberikan kepada mereka, sudah pasti hasrat untuk melonjakkan mutu sukan negara akan terbantut.

Selain itu, bilangan jurulatih yang berkaliber hendaklah ditambah.Hal ini kerana kebanyakan jurulatih yang sedia ada tidak menunjukkan komitmen yang yang tinggi dan kurang berpengalaman dalam melatih atlet. Dengan penambahan jurulatih yang berkaliber, atlet-atlet akan menjadi lebih mahir dalam bidang sukan yang diceburi oleh mereka. Sebagai contoh, Misbun Sidek merupakan seorang jurulatih yang berkaliber kerana telah melahirkan jaguh dunia dalam sukan badminton seperti Datuk Lee Chong Wei. Jelaslah bahawa mutu sukan negara akan terus merosot sekiranya bilangan jurulatih yang berkaliber tidak ditambah.

Langkah seterusnya adalah dengan menaik taraf prasarana sukan di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar. Hal ini berlaku demikian kerana pada masa sekarang kemudahan prasarana sukan kurang disediakan di kawasan tersebut. Prasarana sukan yang lengkap dapat membantu atlet berlatih dengan selesa dan efektif serta dapat mencungkil bakat dari kawasan tersebut. Sebagai contoh, kemudahan sukan seperti gimnasium, kolam renang, stadium dan sebagainya tidak disediakan di kawasan luar bandar. Selagi kemudahan sukan tidak disediakan secara menyeluruh di semua kawasan, selagi itulah isu ini akan terus berlanjutan tanpa penyelesaian yang konkrit.

Konklusinya, pelbagai usaha dapat dilakukan bagi mengatasi masalah kemerosotan mutu sukan negara. Sehubungan dengan itu, para atlet haruslah meningkatkan disiplin diri dan bermotivasi tinggi semasa sesi latihan dijalankan. Jika semua pihak berganding bahu untuk menangani masalah ini, sudah tentu kualiti sukan negara akan dapat ditingkatkan.Jelaslah bahawa usaha yang proaktif perlu diambil segera demi meningkatkan mutu sukan negara.

350 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Cempaka 2008

Lawak Bilik Guru(4)

Pengemis Bijak

Seorang mahasiswa sedang asyik berbicara dengan seorang pengemis tua di depan kampus UITM.

Mahasiswa :Sudah lama mengemis di sini pakcik?

Pengemis :Ya... lebih kurang sudah 8 tahun , nak.

Mahasiswa :Wah, sudah lama juga ya pakcik.Sehari biasanya dapat
berapa pakcik?
Pengemis :Paling sedikit RM 50.00 nak.

Mahasiswa :Banyak juga ya pakcik.

Pengemis :Bolehlah nak, untuk sara keluarga.

Mahasiswa :Ehhhh.Keluarga pakcik ada di mana?

Pengemis :Anak pakcik semuanya ada 3 orang. Yang pertama ada
di Universiti Putra Malaysia di Selangor. Yang kedua
ada di Universiti Utara Malaysia di Kedah dan yang ketiga
di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.

Mahasiswa :Subhanallah, hebat-hebat keluarga pakcik ni.Boleh tahan
juga ye. Eh,anak pakcik tu semuanya masih kuliah ke?

Pengemis : Taklah.Semuanya mengemis seperti pakcik.

Pengajaran:Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan tentang sesuatu perkara.

FORMAT SURAT KIRIMAN RASMI

Ahad, 19 Julai 2009

Jawapan Peribahasa Tingkatan 1

1)habis atau hilang harapan
2)tidak bekerja, tidak membuat apa-apa
3)teramat dukacita
4)barua
5)Orang yang sangat dibenci oleh masyarakat
6)Sementara belum ada yang lebih baik, maka yang kurang baik pun baiklah dipakai dulu
7)kalau selalu diperbuat pekerjaan itu hilanglah ketakutan dan kecanggungannya
8)Perkhabaran selalu dilebih-lebihkan daripada keadaan yang sebenarnya
9)Sesudah mendapat kesusahan baru hendak beringat-ingat
10)Orang yang bijaksana juga yang mengetahui keelokan ilmu
11)tiap-tiap pekerjaan itu hendaklah dipilih sesuai dgn kebolehan kita
12)anak itu menurut sifat atau teladan drpd orang tuanya
13)anak itu menurut sifat atau teladan drpd orang tuanya
14)Tidak sombong; rendah diri.
15)diam orang yg berilmu itu berfikir, sementara diam orang yg bodoh itu sia-sia sahaja
16)Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
17jika dikehendaki bermacam-macam ikhtiar boleh dijalankan dan demikian kebalikannya
18)Lebih baik mati daripada menanggung malu
19)Jika pengetahuan hanya sedikit saja, janganlah hendak melawan orang-orang yang lebih banyak pengetahuannya.
20)Pengetahuan dan kelebihan itu bukan tertentu kepada orang tua-tua saja, selalu juga terdapat pada orang muda-muda
21)perbuatan yg sudah terlanjur (tidak dapat diubah lagi)
22)Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah
23)Sesuatu nasihat itu hendaklah difikirkan masak-masak buruk baiknya, sedangkan kecaman janganlah pula ditolak mentah-mentah

Sabtu, 18 Julai 2009

PERIBAHASA (Dipetik daripada buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 1)

Cuba cari makna peribahasa di bawah ini.

1) Putus asa
2) Berpeluk tubuh
3) Hancur hati
4) Tali barut
5) Bagai anjing buruk kepala
6) Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak
7) Alah bisa tegal biasa
8) Indah khabar dari rupa
9) Sudah terhantuk baru tengadah
10) Jauhari juga yang mengenal manikam
11) Ukur baju di badan sendiri
12) Bagaimana acuan, begitulah kuihnya
13) Bagaimana contoh, begitulah gubahannya
14) Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang
15) Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat
16) Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
17) Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
18) Biar putih tulang, jangan putih mata
19) Kalau kail panjang sejengkal,lautan dalam jangan diduga
20) Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
21) Nasi sudah menjadi bubur
22) Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
23) Manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang

Jumaat, 17 Julai 2009

Pelik tetapi benar(Cubalah baca)

Mgnieukt kjiaan Cmabrigde Uinervtisy sseaipa upn bleoh mmbcanaya waalu hruufyna brterbaur kraena oatk ktia tiadk mngjea hruuf stau-prestau tpai mmebcaa preaktaan sceara mnyeulruh asalakn hruuf peratma jgua ynag trakehir bareda diteamptyna.

Guru tuisyen


Ada sesetengah pelajar berpendapat guru yang mengajar di pusat tuisyen jauh lebih bagus daripada guru-guru yang mengajar mereka di sekolah.Betul ke pendapat mereka? Mungkin ada kebenarannya. Hendak tahu mengapa? Inilah sebabnya. Guru di sekolah diasak dengan pelbagai tugasan sehingga menjejaskan persediaan mereka untuk berhadapan dengan pelajar.

CONTOH 8-KARANGAN PENDAPAT

Media massa sering mendedahkan kejadian sumbang yang semakin hari semakin kerap berlaku dalam masyarakat kita. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana nampaknya suasana di dalam rumah sendiri tidak dapat menjamin keselamatan. Bincangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah sumbang mahram.

Media massa seringkali memaparkan kejadian sumbang mahram yang semakin hari semakin kerap terjadi dalam masyarakat kita. Perkara yang menimbulkan kemusykilan kepada kita adalah mengapakah perkara ini semakin berleluasa dalam masyarakat negara kita yang mengamalkan nilai peradaban yang tinggi? Apakah faktor yang mendorong tercetusnya gejala sumbang mahram dalam era globalisasi ini? Segala pertanyaan yang menerjah benak fikiran kita ini ini berlegar tanpa hadirnya sebarang jawapan yang kokrit bak kata pepatah'seperti menunggu buah yang tak gugur'.Apakah alternatif yang perlu dilakukan bagi menangani gejala ini daripada terus menjadi barah dalam masyarakat kita pada hari ini?

Antara langkah untuk mengatasi masalah sumbang mahram ini ialah seseorang individu hendaklah mendekatkan diri kepada pencipta-Nya. Hal ini berlaku demikian kerana dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, nafsu individu tersebut akan dapat dikekang. Dengan demikian, gejala sumbang mahram yang berlaku di dalam negara kita akan berkurangan. Sebagai contoh, seseorang yang kuat pegangan agamanya tidak akan mudah ditundukkan nafsu, sekaligus mengelakkan dirinya daripada melakukan perkara yang tidak bermoral seperti sumbang mahram. Walaupun pelbagai langkah diambil, namun jika individu tersebut tidak mendekatkan diri kepada Tuhan, adalah mustahil masalah yang semakin kronik ini akan dapat diatasi,bak kata pepatah,‘ seperti hujan jatuh ke pasir’.

Selain itu, pengasingan bilik tidur antara anak lelaki dan anak perempuan juga adalah cara terbaik untuk mencegah perbuatan sumbang mahram ini.Hal ini berlaku demikian kerana jika tiada pengasingan bilik tidur antara anak lelaki dan anak perempuan boleh mendorong perasaan yang berlainan apabila sudah terbiasa tidur sebilik dan seterusnya boleh mendorong kepada sumbang mahram. Sehubungan dengan ini, perbuatan terkutuk ini dapat dicegah sebelum berlaku.Tamsilnya, bilik anak perempuan mestilah diletakkan berjauhan daripada bilik anak lelaki. Selagi tiada langkah yang diambil bagi membendung perlakuan sumbang mahram ini, selagi itulah masalah ini akan terus melanda dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Seterusnya,antara alternatif lain untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menganjurkan ceramah mengenai sumbang mahram oleh pihak sekolah. Hal ini berlaku demikian kerana golongan pelajar di bangku sekolahlah yang ramai terlibat dengan gejala ini. Dengan ini, para pelajar akan menyedari kesan buruk yang akan mereka tanggung sekiranya mereka terjebak dengan gejala ini. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh mengundang pegawai-pegawai daripada Jabatan Agama Islam dan juga pihak yangg berwajib untuk menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan gejala ini. Sekiranya pihak sekolah tidak bekerjasama dalam menangani isu ini, sudah tentu gejala ini akan terus berpanjangan khususnya dalam kalangan pelajar.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa langkah-langkah untuk mengatasi masalah sumbang mahram ini perlu dilaksanakan oleh semua pihak.Justeru, sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita hendaklah mencegah kegiatan sumbang mahram ini sekiranya berlaku di hadapan mata kita. Jikalau semua pihak menjalankan kewajipan masing-masing, sudah tentu masalah ini akan dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa semua pihak memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah sumbang mahram yang berlaku di negara kita.

380 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Anggerik 2009

Khamis, 16 Julai 2009

Lawak Bilik Guru(3)

Ali dan teman-teman sekelasnya ditugaskan gurunya mencari sesuatu peristiwa menarik untuk diceritakan dan digambarkan keesokan harinya di sekolah. Keesokan harinya tiba giliran Ali untuk menggambarkan hal menarik yang ditemuinya. Ia pun menggambarkan sebuah lingkaran yang dinamainya " Datang Bulan. "


Gurunya pelik dan menanyakan apa alasan Ali menganggap datang bulan adalah sesuatu peristiwa yang menarik.

Ali pun menjawab dengan selamba," Saya sendiri bingung apa yang menarik tentang datang bulan. Yang jelas, setelah kakak sulung saya menyatakan terlambat datang bulan selama tiga bulan, ayah saya tiba-tiba diserang sakit jantung. Ibu pula menangis tak henti-henti dan anak muda yang menyewa di sebelah rumah saya telah menghilangkan diri."

Pengajaran: Jagalah maruah anda.

CONTOH 4-(KARANGAN RANGSANGAN)

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah melancong kepada kita.

















Dewasa ini, terdapat banyak destinasi yang menarik untuk dilawati di negara kita. Namun begitu, terdapat segelintir masyarakat yang kurang arif mengenai kebaikan yang akan mereka perolehi sekiranya mereka pergi melancong.

Antara faedah melancong ialah kita boleh merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.Tamsilnya, kita boleh mengadakan percutian keluarga di kawasan peranginan seperti di Cameron Highland, Genting Highland dan sebagainya. Impaknya, institusi kekeluargaan akan bertambah kukuh.

Selain itu, melalui aktiviti ini juga, kita dapat meningkatkan ilmu Geografi khususnya kepada para pelajar.Impaknya, kita akan lebih mengetahui kedudukan dan latar masyarakat sesuatu tempat pelancongan.

Bukan itu sahaja, aktiviti melancong juga berupaya merehatkan minda kita dari memikirkan soal pekerjaan semata-mata. Sebagai contoh, kita dapat menenangkan fikiran dengan bersantai di tepi pantai sambil menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Konklusinya, masyarakat perlulah diberitahu akan kebaikan melancong. Hal ini kerana aktiviti ini ternyata mendatangkan impak yang positif kepada kehidupan mereka.


125 patah perkataan

Rabu, 15 Julai 2009

Hadiah Hari Guru






Ada anak murid cikgu yang menghadiahi cikgu dengan pelbagai hadiah yang menarik. Justeru, pada kesempatan ini cikgu ingin abadikannya dalam blog cikgu ini. Oleh itu,sudi-sudikanlah memberi cikgu hadiah pada tahun hadapan.

CONTOH 3-HASIL PENULISAN PELAJAR(KARANGAN RANGSANGAN)

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum antara rakyat di negara kita.



Sejak kebelakangan ini,perpaduan antara kaum di negara kita semakin renggang. Apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini?


Antara usaha untuk mewujudkan perpaduan adalah dengan mengamalkan sikap saling menghormati antara kaum.Tamsilnya,rakyat yang berlainan kaum mestilah menghormati adat kaum yang lain.Natijahnya,hal ini akan mewujudkan persefahaman antara mereka.


Selain itu,dengan menghayati Rukun Negara,perpaduan kaum akan dapat diwujudkan.Tamsilnya,Rukun Negara yang kelima menjelaskan bahawa rakyat Malaysia perlu bersopan dan bertatasusila.Dengan berpaksikan Rukun Negara ini,maka perpaduan akan dapat diwujudkan.


Usaha yang seterusnya adalah dengan membanyakkan lagi sekolah kebangsaan.Sebagai contoh, sekolah menengah dan sekolah rendah kebangsaan perlu dibanyakkan di kawasan majoriti penduduknya berbilang kaum.Hal ini secara tidak langsung memupuk semangat perpaduan kerana mereka belajar di bawah satu bumbung yang sama.


Konklusinya,terdapat pelbagai usaha untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.Caranya,dengan memahami dan bergaul mesra sesama manusia tidak kira bangsa mahupun agama.


Hasil penulisan Nur Fatin Najwa 3 Cempaka 2008

Selasa, 14 Julai 2009

KERJA GURU


Pekerjaan sebagai guru pada masa ini memang mencabar.Kadang-kadang terpaksa berada di sekolah hingga lewat petang. Ada kalanya sehingga ke malam. Tetapi, hanya seorang guru sahaja yang tahu siapa itu 'guru'.

UJI MINDA (3)



Menurut kata pakar, sekiranya kamu dapat mengesan imej orang dalam foto ini dalam masa 3 saat, kamu ialah seorang yang genius.

Sekiranya kamu dapat mengesannya dalam masa 1 minit,kamu ialah seorang yang normal.

Tetapi sekiranya kamu hanya dapat mengesannya dalam masa lebih daripada 3 minit, kamu mempunyai otak yang lembab.

Bagaimana pencapaian kamu?

CONTOH 2-HASIL PENULISAN PELAJAR (KARANGAN RANGSANGAN)

Kegiatan Cetak Rompak



Rangka Karangan

a. Pendahuluan – isu Semasa (isu/hala tuju)
b. Isi – mengapa/bagaimana
- langkah membanteras

c. Penutup- kesimpulan


Belakangan ini, kegiatan cetak rompak sering menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat di negara ini. Kegiatan ini dilakukan di merata-rata tempat dan pastinya mendatangkan banyak kesan negatif kepada ekonomi negara.

Pelbagai jenis vcd cetak rompak terdapat di pasaran gelap masa kini. Bukan itu sahaja, perisian komputer juga boleh dicetak rompak.Hal ini berlaku demikian kerana peniaga haram ini dapat menjual cakera padat yang dicetak rompak dengan harga yang amat murah tetapi memperoleh keuntungan yang berlipat ganda.

Pihak berkuasa perlulah menggiatkan serbuan ke premis-premis yang menjual cakera padat haram ini. Tamsilnya, pihak berkuasa perlulah mengadakan pemeriksaan mengejut ke premis-premis yang berkenaan. Impaknya, penggiat cetak rompak akan berfikir dua kali sebelum menjualnya.

Natijahnya, semua pihak hendaklah bekerjasama bagi mengatasi kegiatan cetak rompak ini. Caranya adalah dengan membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa.

125 patah perkataan

Hasil penulisan Farah Adibah Karim 3 Anggerik 2009

Isnin, 13 Julai 2009

Lawak Bilik Guru(2)

Seorang murid ditanya oleh guru Matematiknya.

"Jika sebiji karipap berharga empat puluh sen, berapakah harga untuk tiga biji karipap?,"tanya gurunya.

"RM 1 cikgu!", jawab murid itu spontan.

"Salah tu," tegur gurunya dengan penuh kasih sayang.

"Mungkin Amer tak paham soalan. Biar cikgu ulang semula, dengar betul-betul. Sebiji karipap berharga empat puluh sen, berapa harga tiga biji karipap?".

Amer tetap memberi jawapan RM1.

"Salah tu Amer,cuba kira betul-betul,"respons gurunya dengan sabar.

"Tapi cikgu, tiap-tiap pagi bila saya pergi membeli karipap di warung berhampiran rumah saya, makcik jual kuih tu selalu kata;
kueh karipap sebiji empat puluh sen, tiga biji seringgit!"

Cikgu Matematik Amer tersenyum terkulat-kulat.

Pengajaran: 1+1 tidak semestinya 2.

CONTOH 1-HASIL PENULISAN PELAJAR (KARANGAN RANGSANGAN)

Faedah Menjaga Kebersihan Sungai






Dewasa ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagaai cara bagi memastikan sungai di negara kita senantiasa terpelihara. Antaranya termasuklah mewartakan undang-undang di bawah pengawasan Jabatan Alam Sekitar yang jelas mendatangkan manfaat kepada masyarakat juga negara.

Antara faedah menjaga kebersihan sungai ialah orang ramai akan dapat dibekalkan dengan air yang bersih daripada sungai. Orang ramai akan dapat menggunakan air tersebut tanpa sebarang keraguan. Impaknya, rakyat akan terhindar daripada wabak penyakit yang disebarkan melalui air.

Selain itu, kita dapat juga dapat memastikan sumber protein daripada sungai tidak terputus. Tamsilnya, ikan sungai merupakan sumber protein yang terpenting kepada masyarakat di kawasan pedalaman. Oleh itu, jika kebersihan sungai terjaga, maka kehidupan hidupan sungai juga akan terpelihara.

Konklusinya, banyak faedah yang diperoleh dengan menjaga kebersihan sungai. Justeru, rasa kecintaan terhadap sungai perlulah ditanam dalam diri setiap anggota masyarakat di negara kita.

125 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Anggerik 2009

Ahad, 12 Julai 2009

Bahasa Klasik (Jawapan kepada pertanyaan alin2)

1)mustaid= sedia, lengkap, selesai, siap: setelah sudah ~ maka surat pun diaraklah ke perahu; memustaidkan menjadikan mustaid, me­lengkapkan, menyediakan.

2)terkosel-kosel= teragak-agak atau tertahan-tahan (ketika melakukan atau mengatakan sesuatu), tidak lancar (perkataan­nya atau pekerjaannya), merungut-rungut.

3)menggula=bp mengangkat-angkat (menyanjung-nyanjung) utk mendapat sesuatu, melakukan atau mengatakan yg muluk-muluk terhadap seseorang utk memperdayanya atau mendapatkan sesuatu: bijak sungguh orang tua yg berasal dr Pulau Pinang itu berdiplomasi, patutlah bapa aku dulu mudah digulanya;

Rujukan : Kamus Dewan Edisi Empat

Komsas Tingkatan 2 (Prosa Tradisional) Puteri Buluh Betung



Filem ini telah disunting kepada beberapa bahagian.

Komsas Tingkatan 3 (Prosa Tradisional) Patung Kencana dari Kuripan



Untuk pengetahuan pelajar-pelajar,cerita Patung Kencana dari Kuripan dipetik daripada prosa tradisional Hikayat Panji Semerang.

Komsas Tingkatan 3 (Prosa Tradisional) Raja Bersiung

KOMSAS


Cikgu cukup seronok apabila mengajar KOMSAS. Lebih-lebih lagi apabila mengajar puisi seperti pantun,syair dan sajak. Bagaimana dengan anak murid cikgu?

CONTOH 7-KARANGAN PENDAPAT

Kajian mendapati rakyat Malaysia kurang berminat untuk membaca berbanding dengan aktiviti lain seperti hiburan. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memastikan minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini semakin meningkat.

Marcapada, jika kita pergi ke toko buku di gedung membeli-belah, kita akan dapati hanya segelintir orang sahaja berada di situ. Malah, pengunjung di toko buku itu boleh dihitung dengan jari. Pengunjung lebih gemar pergi ke kedai-kedai pakaian dan makanan berbanding kedai buku. Pandangan awal ini menggambarkan sikap orang ramai yang bagai acuh tak acuh tentang kepentingan membaca. Hal ini semakin serius apabila kajian mendapati rakyat di negara ini secara purata hanya membaca dua muka surat setahun. Justeru, langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi melestarikan minat membaca dalam kalangan orang ramai di negara kita ini.

Antara langkah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat ialah ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak-anak mereka. Hal ini berlaku demikian kerana, ada pujangga menyebut “anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya”jelas membuktikan peranan ibu bapa amat besar dalam membentuk minat membaca dalam diri anak-anak. Minat membaca dapat dibentuk apabila ibu bapa membeli pelbagai variasi buku untuk anak-anak mereka seperti buku cerita, biografi, keagamaan, politik dan lain-lain.Semasa berada di rumah, ibu bapa juga boleh membaca akhbar, majalah dan buku cerita untuk menarik minat anak-anak untuk membaca. Sekiranya ibu bapa mengutamakan pendidikan, sudah pasti minat membaca akan dapat ditingkatkan dalam kalangan anak-anak mereka.

Selain itu, sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani isu ini dengan mewujudkan suasana membaca di dalam kawasan sekolah. Hal ini kerana, sebahagian besar masa pelajar dihabiskan di sekolah. Dengan mewujudkan suasana ini di sekolah, sedikit demi sedikit pelajar akan mula menanam minat membaca dalam diri mereka. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh membina pondok-pondok bacaan, sudut bacaan di dalam kelas dan membenarkan pelajar meminjam buku di perpustakaan mengikut kemampuan mereka.Jika pihak sekolah mewujudkan suasana membaca di sekolah, maka minat membaca akan terus bercambah dalam diri para pelajar.

Media massa juga tidak kurang pentingnya dalam memberikan publisiti kepada buku-buku bercorak ilmiah. Hal ini disebabkan orang ramai kurang mengetahui tentang penerbitan buku-buku ini di pasaran. Dengan ini, orang ramai akan mengetahui dan lebih mengenali buku-buku ini, bak kata pujangga,“tak kenal,maka tak cinta”.Tamsilnya, media elektronik dan media cetak boleh mengiklankan dan mengadakan ruangan khas bagi mengulas kandungan buku-buku tersebut.Sekiranya publisiti ini diadakan secara bersungguh-sungguh, sudah pasti bilangan pembaca di negara kita akan meningkat.

Intihanya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara kita. Harga buku di pasaran juga sepatutnya dikurangkan agar lebih ramai orang mampu membeli buku. Sekiranya semua pihak berganding bahu, sudah pasti isu ini akan dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah bahawa untuk memastikan negara kita mencapai matlamat Wawasan 2020, kita terlebih dahulu perlu melestarikan minat membaca dalam kalangan rakyat di negara ini.

350 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Cempaka 2008

Sabtu, 11 Julai 2009

Nareepol


Baru-baru ini cikgu mendapat e-mel daripada kawan cikgu. Dalam e-mel ini dia sertakan foto sebatang pokok yang berbuah pelik. Cuba kamu perhatikan betul-betul.Pokok ini dikatakan terdapat di negeri Thailand.

Jumaat, 10 Julai 2009

UJI MINDA 2


Cuba kamu lihat betul-betul.Apa yang kamu nampak? Kalau tahu, taipkan di 'chat box'.

Pelat

Aleef, anak cikgu memang petah bercakap. Tetapi,perkara yang menggelikan hati cikgu sebutannya agak pelat. Walau bagaimanapun, itu hanya sementara sahaja.

CONTOH 6-KARANGAN PENDAPAT

Penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang semakin serius. Pada pendapat anda, apakah punca-punca berlakunya gejala ini?

Masalah penderaan ke atas kanak-kanak kini dikatakan semakin serius berlaku di negara kita.Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya gejala ini? Apakah yang akan terjadi pada anak-anak yang terlibat dalam kes penderaan ini kelak jika gelaja ini berterusan?Hal ini telah menimbulkan kerisauan kepada pelbagai pihak.Justeru, apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gejala ini?

Antara punca utama yang menyebabkan gejala penderaan kanak-kanak ini adalah berpunca daripada individu yang tidak dapat mengawal emosi mereka dengan baik. Hal ini tercetus apabila individu ini tidak dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan berkesan. Dengan ini, individu tersebut akan melepaskan perasaan geram dan kemarahan mereka dengan melakukan penderaan terhadap mereka yang lemah. Sebagai contoh, individu ini akan memukul anak-anak mereka sehingga menimbulkan kecederaan yang serius kepada mereka. Justeru, setiap individu perlu belajar mengawal emosi walaupun berdepan dengan tekanan yang hebat dalam kehidupan seharian, bak kata pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’.

Selain itu,setiap perkara yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Begitulah juga dengan gejala penderaan kanak-kanak yang berpunca daripada institusi kekeluargaan yang lemah. Hal ini berlaku demikian kerana pada era globalisasi ini, ramai ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga mengundang tekanan dalam diri mereka. Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang mengalami tekanan tidak akan dapat memberikan layanan serta kasih sayang yang sepatutnya diterima oleh anak-anak mereka. Tamsilnya, ibu bapa yang mengalami stres akan melepaskan tekanan dengan cara mendera anak-anak mereka. Rentetan hal ini, nilai kasih sayang haruslah disemai dalam setiap institusi kekeluargaan agar keluarga menjadi lebih harmoni dan sekaligus mencegah gejala penderaan terhadap anak-anak.

Di samping itu, kes penderaan kanak-kanak-kanak juga semakin berleluasa kerana masyarakat tidak cakna dan hanya mementingkan diri sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tiada jalinan perhubungan yang kukuh antara komuniti setempat. Dengan ini, kes penderaan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan yang wajar untuk mencegahnya. Sebagai contoh, ketika berlakunya sesuatu kes penderaan di rumah jiran mereka, jiran tetangga hanya membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa bertindak untuk mencegahnya seperti kata pepatah,‘Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.Oleh itu, masyarakat perlulah memainkan peranan yang aktif bagi menangani isu penderaan ini agar tidak berlarutan.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang serius di negara kita. Oleh yang demikian, kerajaan perlulah mengambil tindakan yang lebih efektif bagi membanteras gejala penderaan ini daripada terus berlaku. Sekiranya kerajaan mengambil tindakan sedemikian, sudah pasti gejala penderaan kanak-kanak ini dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah, kerjasama serta komitmen semua pihak amat penting dalam menangani isu yang serius ini dan tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja.

380 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Anggerik 2009

Khamis, 9 Julai 2009

Pembedahan Scoliosis




Mungkin pelajar-pelajar tidak tahu akan perkataan scoliosis. Cikgu pun tidak pernah mendengarnya sehinggalah perkataan tersebut menjadi sebutan harian cikgu pada tahun 2006.Anak cikgu didapati postif menghadapi masalah tulang belakang yang bengkok.Namun,itu tidak mematahkan hasratnya untuk berjaya dalam pelajaran.Inilah gambar x-ray yang dapat cikgu rakamkan dengan kebenaran doktor tersebut. Terima kasih Mr.Kamal.

CONTOH 5-KARANGAN PENDAPAT

Masalah merokok dalam kalangan remaja khususnya melibatkan pelajar sekolah semakin hari semakin meningkat dengan ketara. Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus merosakkan tubuh remaja.

Kebelakangan ini sering disiarkan di dada-dada akhbar tentang masalah merokok dalam kalangan remaja. Persoalannya, mengapakah masalah ini semakin berleluasa dalam kalangan mereka? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan masalah ketagihan rokok terus meningkat? Semua persoalan-persoalan ini memerlukan jawapan yang konkrit. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini?

Antara inisiatif untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengenalpasti pelajar yang terbabit dan diberikan kaunseling. Hal ini berlaku demikian kerana golongan ini mungkin kurang didedahkan pengetahuan tentang keburukan tabiat merokok. Dengan ini, pelajar-pelajar yang terbabit akan berasa insaf dan sedar tentang keburukan mengamalkan tabiat merokok ini. Sebagai contoh, guru kaunseling boleh mengadakan kaunseling secara individu atau bersama-sama ibu bapa pelajar yang terbabit.Jelaslah bahawa masalah ketagihan ini akan dapat diatasi secara efektif jika tindakan mengenalpasti pelajar yang terbabit dan mengadakan sesi kaunseling dilakukan oleh kaunselor sekolah.

Selain itu, remaja juga perlulah digalakkan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Hal ini disebabkan , remaja pada masa ini lebih gemar bermain permainan video dan berpeleseran di pusat membeli belah sambil menghisap rokok. Dengan menggalakkan gaya hidup sihat ini, bilangan remaja yang terlibat dengan tabiat merokok dapat dikurangkan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, remaja ini akan mengamalkan corak pemakanan yang sihat dan sekaligus menjauhi rokok. Sekiranya amalan gaya hidup sihat ini tidak menjadi agenda utama para remaja ini, sudah pasti masalah ketagihan rokok ini akan terus berlarutan.

Di samping itu, mengenakan tindakan yang keras ke atas peniaga yang ingkar oleh pihak berwajib juga merupakan langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini. Hal ini disebabkan tindakan yang dikenakan pada masa sekarang oleh pihak berkuasa terhadap para peniaga kurang berkesan. Sehubungan dengan ini, peniaga akan takut untuk menjual rokok kepada para remaja yang berumur 18 tahun ke bawah.Sebagai contoh, pihak berwajib boleh mengenakan hukuman penjara dan sebatan ke atas peniaga yang tegar ini. Selagi peniaga tidak dikenakan tindakan yang keras,selagi itulah mereka akan terus menjualnya kepada para remaja kerana inginkan keuntungan semata-mata.

Kesimpulannya, langkah-langkah yang berkesan perlu dilaksanakan untuk menangani masalah merokok dalam kalangan remaja ini. Dengan demikian, ibu bapa haruslah memberi perhatian yang lebih serius kepada anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, maka masalah ini dapat diatasi dengan berkesan. Oleh itu, semua pihak haruslah melaksanakan langkah-langkah yang drastik untuk menghentikan masalah ini daripada terus berlarutan.

380 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Cempaka 2008

FRASA KERJA

Frasa Kerja

KATA SENDI NAMA

KATA SENDI NAMA

UJI MINDA


Cuba teka ada berapa wajah di dalam gambar ini? Kalau dapat jawab,taipkan jawapannya di dalam 'chat box'.

Rabu, 8 Julai 2009

Saya hendak berkawan dengan awak, boleh?

Sebentar tadi cikgu terjumpa klip video semasa cikgu sekeluarga melawat Taman Rama-Rama di Ayer Keroh.Aleef terperanjat betul apabila dikejar oleh 'sahabatnya' ini.

KUKUS GERGASI


Baru-baru ini cikgu berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak saudara cikgu di Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor. Untuk pengetahuan kamu semua, di sinilah cikgu mula-mula ditugaskan berkhidmat sebagai guru pada tahun 1989.Nama sekolah tersebut SK Bkt.Waha.Tetapi cikgu bukannya hendak bercerita tentang perkara itu dengan lebih lanjut.Cikgu cuma tertarik dengan satu benda yang cikgu tidak pernah saksikan selama ini.Kamu bagaimana?

CONTOH 4-KARANGAN PENDAPAT

Kebelakangan ini, terdapat banyak kes remaja lari dari rumah. Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?

Dalam meniti kehidupan marcapada, isu remaja lari dari rumah acap kali diutarakan di media massa. Apakah perkara ini sudah menjadi ‘trend’ dalam kalangan remaja pada era globalisasi ini? Apakah yang akan terjadi kepada remaja yang terlibat ini pada masa hadapan kelak? Perkara ini semakin membimbangkan banyak pihak. Apakah faktor utama yang menyumbang kepada gejala remaja lari dari rumah yang semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa.

Antara faktor yang menyebabkan remaja lari dari rumah adalah disebabkan mereka ingin mencari kebebasan. Para remaja berbuat demikian kerana terdapat ibu bapa yang terlalu mengongkong kehidupan peribadi anak-anak mereka.Dengan ini, remaja tersebut akan mengalami tekanan dan sekaligus membuat keputusan untuk lari dari rumah. Tamsilnya, ibu bapa ingin mengetahui tentang rakan anak-anak mereka, pakaian yang mereka pakai dan sebagainya sehingga membuatkan mereka berasa rimas. Justeru, para ibu bapa perlulah memberi sedikit ruang kepada anak-anak untuk mereka melakukan apa yang anak-anak suka selagi tidak melanggar hukum hakam agama.

Selain itu, tekanan daripada para guru di sekolah juga menjadi salah satu punca perkara ini berlaku. Hal ini berlaku demikian kerana para guru sering menaruh harapan yang tinggi kepada anak-anak didik mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Sehubungan dengan itu, terdapat segelintir pelajar yang tidak dapat menanggung bebanan yang diletakkan di bahu mereka.Sebagai contoh, para guru dan ibu bapa sering meletakkan pencapaian dalam peperiksaan sebagai kayu pengukur tahap pencapaian mereka seterusnya mengakibatkan para pelajar berasa tertekan setiap kali menjelang peperiksaan.Jelaslah bahawa tekanan daripada para guru di sekolah memainkan peranan dalam peningkatan kes remaja lari dari rumah.

Di samping itu, faktor lain yang menjadi penyebab kepada masalah ini adalah pengaruh negatif daripada rakan sebaya. Hal ini berlaku demikian kerana remaja lebih banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga. Para remaja lebih cenderung menuruti telunjuk rakan sebaya kerana bagi mereka rakan-rakan lebih memahami keinginan mereka sebagai remaja. Sebagai contoh, mereka mengikuti rakan-rakan menganggotai kumpulan-kumpulan haram seperti ‘Black Metal’,‘Skin Head’ dan lain-lain lagi lalu secara tidak langsung mempengaruhi mereka untuk lari dari rumah untuk mendapatkan kebebasan.Intihanya, pengaruh rakan sebaya adalah lebih besar impaknya daripada pengaruh keluarga itu sendiri.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa isu remaja lari dari rumah merupakan masalah yang semakin serius di negara kita. Justeru, ibu bapa perlulah memainkan peranan mereka dengan memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Persis kata mutiara,‘Melentur buluh biar dari rebungnya’. Sekiranya ibu bapa mengambil langkah sedemikian, sudah tentu isu remaja lari dari rumah ini dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah, kerjasama dan keprihatinan daripada semua pihak amat penting bagi membendung isu remaja lari dari rumah ini daripada terus berlarutan.

300 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Anggerik 2009