Jumaat, 25 Disember 2009

22 tahun dahulu...(MPKI dalam kenangan)


Baru-baru ini cikgu terjumpa sebuah blog tentang sebuah maktab yang pernah menjadi tempat cikgu menimba ilmu.Paling mengejutkan cikgu ialah terdapat sekeping potret yang merakamkan foto cikgu.Terima kasih cikgu ucapkan kepada pemilik blog tersebut.
Agak-agak anda, yang mana satu cikgu?


MPKI...Maktabku...Duniaku (1987/1989)

Khamis, 24 Disember 2009

CONTOH AYAT

1. swadaya
Kita haruslah duduk semeja untuk menyelesaikan masalah ini.
Ingatlah komitmen dan iltizam haruslah digembleng menjadi
suatu swadaya demi membendung masalah ini dengan lebih proaktif.

2. biah
Biah perumahan yang sempit seperti perumahan setinggan turut
menjadi faktor kepada penularan wabak berbahaya seperti penyakit taun.

3. mapan
Untuk mewujudkan ekonomi yang mapan, pihak kerajaan seharusnya
memperkasakan sektor pertanian seiring dengan kemajuan teknologi
yang ada pada masa ini.

4. ruwet
Dalam meniti zaman ruwet yang penuh pancaroba ini, acap kali
kita melihat di dada-dada akhbar tentang jenayah juvana yang
kian menjadi barah dalam kalangan remaja masa ini.

5. uslub
Antara uslub yang boleh diaplikasikan untuk memupuk minat
membaca dalam kalangan remaja adalah dengan mewujudkan sudut
bacaan di dalam kelas.

Rabu, 23 Disember 2009

Keputusan PMR 2009

Esok (24 Disember 2009) pastinya suatu hari yang amat mendebarkan bagi pelajar-pelajar tingkatan 3 yang telah menduduki peperiksaan PMR di seluruh negara.Tentu semua sudah tahu.Apa lagi kalau bukan keputusan PMR.Cikgu difahamkan keputusan akan disampaikan oleh pihak sekolah kepada pelajar-pelajar bermula pada jam 10.00 pagi.Tentu ada yang tersenyum gembira dan juga sebaliknya. Walau bagaimanapun, cikgu ingin ucapkan tahniah kepada yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dan kepada yang kurang berjaya, SPM masih ada. Kepada pelajar-pelajar 3 Anggerik dan 3 Melor, cikgu doakan semoga semuanya mendapat kejayaan yang cemerlang dan mendapat gred A dalam subjek Bahasa Melayu.

Jumaat, 18 Disember 2009

Lawak Bilik Guru(22)

Seorang murid yang baru berpindah sekolah ditanya oleh guru kelasnya.
Guru : Awak ini murid barukan ?
Murid : Ya,cikgu.
Guru : Siapa nama awak?
Murid : Mat.
Guru : Nama panjang awak?
Murid : Matttttttttttttttttttttttttttttttt cikgu.
Guru : (nak kena budak ni)

Pengajaran: Jawab soalan yang ditanya dengan ayat yang penuh.

Khamis, 17 Disember 2009

CONTOH AYAT

1. izhar

Akhirulkalam,izharnya di sini bahawa ibu bapa memainkan peranan yang dominan dalam membentuk keperibadian anak-anak.

2. maslahat

Para remaja sepatutnya mengisi masa senggang mereka dengan aktiviti yang mendatangkan maslahat.

3. polemik

Marcapada, kita sering diuar-uarkan dengan gejala sosial dalam kalangan remaja yang telah menjadi polemik yang hangat diperkatakan tidak kira di kedai-kedai kopi mahupun di Dewan Parlimen.

4. tekpon

Ibu bapa merupakan pencorak personaliti anak-anak . Tekpon itu, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan yang baik kepada cahaya mata mereka.

5. hedonistik

Selain itu, sikap remaja yang hedonistik dan berfikiran singkat juga turut menyebabkan kebejatan sosial terus berlaku tanpa kesudahannya.

Selasa, 15 Disember 2009

Boleh bantu cikgu?

Baru-baru ini cikgu terjumpa dua patah perkataan yang sering digunakan oleh para pelajar semasa menulis karangan.Cikgu tertarik dengan penggunaan perkataan tersebut lantas cikgu cuba merujuk pada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka,tetapi hampa.Perkataan tersebut tiada dalam catatan.Bolehkah anda semua membantu cikgu mencarikan jawapannya?

1. mehnah

2. tribulasi

Isnin, 14 Disember 2009

KOSA KATA(2)

Pelajar-pelajar diminta mencari makna perkataan di bawah sebelum menggunakannya.

1) pragmatis

2) mapan

3) nurani

4) dasawarsa

5) simbiosis

6) tekpon

7) rubrik

8) itlak

9) izhar

10) absah

11) maslahat

12) cuplik

13) alpukah

14) polemik

15) wadih/wadheh

16) swadaya

17) hedonistik

Rabu, 25 November 2009

Mewah Bahasa: 'Memerut = memeruti'

DALAM kelas di sebuah sekolah di Johor....

Guru: Hari ini kita akan belajar imbuhan me_. Imbuhan ini adalah awalan kata kerja. Kata yang menerima awalan ini akan menjadi kata kerja. Siapa boleh bagi contoh kata yang menerima awalan ini?

Amin: Memasak, cikgu! Dari kata dasar masak menjadi memasak.

Guru: Betul! Siapa lagi boleh bagi contoh?

Rajoo: Mepaku cikgu!

Guru: Mepaku?

Rajoo: Ya! mepaku, .... mengatuk paku di papan.

Guru: Bukan mepaku, tetapi memaku. Bagi kata dasar yang bermula dengan huruf p, huruf ini menjadi m. Itu sebabnya paku menjadi memaku. Paku bukan katuk, tetapi tukul, dengan itu bukan mengatuk, tetapi menukul paku!

Razin: Kalau gitu, kata memerut juga berasal dari kata perut, ya cikgu?

Cikgu: Tak ada kata memerut, memeruti adalah! Memeruti kata dasarnya perut dan menerima imbuhan apitan me_i, bukan awalan me_.

Razin: Apa makna memeruti cikgu? Saya tak pernah dengar pulak dan yang selalu emak saya cakap memerut aje, samalah tu agaknya.

Cikgu: Memeruti adalah pekerjaan membuang perut sesuatu seperti ikan dan ayam. Semasa kita menyiang ikan dan ayam, kita buang isi perutnya. Perbuatan inilah yang dinamakan memeruti. Tidak ada perkataan memerut!

Razin: Ada cikgu! Emak saya selalu bising setiap pagi, sebab dia kata kucing jiran memerut di porch.

Cikgu: Emak awak memeruti kucing? Dia bunuh ke kucing tu? Lepas tu dia buat apa dengan kucing yang telah diperuti tu?

Razin: Tak dapat. Kalau nak ikutkan dia, memang dia nak bunuh aje kucing jiran tu. Tapi tak pernah dapat.

Cikgu: Kalau tak dapat, macam mana emak awak boleh memeruti kucing tu?

Razin: Emak saya tak memeruti, ... kucing yang memerut! Sampai dua, tiga tompok sepagi, kadang-kadang terlenyek pulak dek tayar kereta. Satu hari tu masa nak ke sekolah, saya terpijak dan bawa masuk dalam kereta. Habis semua muntah dek bau masamnya. Kereta kena bawa ke tempat cuci. Kena cuci karpet yang kena taik kucing tu dan cuci seat sekali yang kena muntah.

Cikgu: Memerut ni apa? Dalam kamus pun tak ada. Dalam kamus ni ada memeruti saja.

Murid-murid lain: Ha! Ha! Ha! Memerut tu beraklah cikgu! Kucing selalu berak kat depan rumah Razin. Tu sebab kadang-kadang ada bau taik kucing dekat dia.

Cikgu: Oooo, gitu ke?! Tempat saya di utara tidak guna perkataan ini. Orang selatan aje kut yang guna. Tapi dalam tulisan dan buku tidak guna perkataan ini. Oleh itu jangan guna perkataan ni di sekolah, terutamanya masa peperiksaan. Tadi Razin bagi contoh kucing memerut, untuk orang, guna memerut juga ke?

Razin: Memerut le, kan lebih lembut bunyinya daripada berak ek? He! He! He!

Cikgu: Hangpa ni, macam-macam la! Kih! Kih! Kih!

Glosari: Memerut - (dialek selatan) buang air besar, berak.

Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

Nota: Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

Rabu, 18 November 2009

CONTOH 21-KARANGAN PENDAPAT

Punca-punca Pengambilan Dadah dalam Kalangan Remaja.Bincangkan.

Dalam menjalani arus globalisasi masa ini, kita sering didedahkan di media massa tentang pengambilan najis dadah dalam kalangan remaja. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah hal sedemikian makin kerap berlaku? Persoalan demi persoalan sentiasa menghantui benak kita semua.Apakah yang menyebabkan generasi pewaris bangsa ini cenderung untuk melakukan perbuatan yang terkutuk ini?

Antara punca yang dikenal pasti ialah naluri ingin tahu dan suka mencuba yang terbit dalam diri remaja itu sendiri.Hal ini berlaku demikian kerana para remaja yang berdarah panas ini bersikap pantang dicabar dan sentiasa menyahut cabaran daripada rakan-rakan mereka walaupun cabaran itu berunsurkan perkara yang negatif.Lantaran itu, mereka akan mencuba najis dadah jika dicabar oleh rakan-rakan mereka untuk mengambilnya.Tamsilnya,mereka akan berasa seronok dan gembira sekiranya cabaran yang diajukan oleh rakan mereka berjaya disahut.Oleh itu, naluri ingin tahu yang keterlaluan sememangnya mendatangkan keburukan sekiranya tidak berjaya dikawal oleh para remaja.

Selain itu,kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa juga merupakan penyebab gejala ini berlaku. Hal ini berlaku demikian kerana sikap ibu bapa yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak.Natijahnya, anak-anak akan berasa disisihkan oleh ibu bapa mereka.Anak-anak yang dahagakan perhatian dan kasih sayang ini, akhirnya akan berasa bosan dan mencari ketenangan dengan berhibur dengan kawan-kawan di luar rumah lalu terjebak dengan najis dadah ini.Oleh itu,ibu bapa perlulah mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak mereka agar gejala ini dapat dihalang sebelum berlaku.

Bukan itu sahaja,sikap anggota masyarakat yang lepas tangan juga mendorong kepada gejala yang tidak sihat ini. Hal ini berlaku demikian kerana tanpa teguran dan tindakan daripada orang ramai, mereka akan beranggapan tindakan mereka mendapat lampu hijau daripada orang di sekeliling mereka.Dengan ini, mereka akan tidak teragak-agak untuk melibatkan diri mereka dengan najis dadah ini. Tamsilnya,penduduk di sesuatu komuniti tidak memberitahu pihak berkuasa walaupun kegiatan negatif itu berlaku di depan mata mereka. Justeru, masyarakat perlulah bersikap lebih cakna dan tidak bersikap ’bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Konklusinya, jelaslah bahawa terdapat banyak punca yang mendorong kepada gejala yang negatif ini. Oleh itu, pihak sekolah khususnya perlulah mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya dadah dalam kalangan pelajar sekolah.Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing, sudah pasti masalah ini akan dapat diatasi dengan berkesan.Sememangnya, langlah-langkah yang proaktif perlulah diambil bagi menyekat penularan dadah dalam kalangan remaja ini.

Diadaptasi daripada karangan Farah Adibah Karim 3 Anggerik 2009.

Sabtu, 14 November 2009

CADANGAN JAWAPAN KERTAS 2 KOMSAS-PAHLAWAN PASIR SALAK (PMR 2009)

SOALAN:Tiga contoh peristiwa yang dapat menggambarkan persoalan kebijaksanaan seorang pemimpin.

1)Datuk Maharaja Lela telah meminta penduduk Pasir Salak
mendirikan kubu di tepi Sungai Perak dan di Bandar Tua
bagi mempertahankan Kampung Pasir Salak daripada ancaman
pihak Inggeris.

2)Datuk Maharaja Lela mengajar ilmu persilatan kepada Deli dan
rakan-rakannya sebagai langkah mempertahankan Pasir Salak.

3)Datuk Maharaja Lela bijak mengatur strategi ketika menyerang
Residen Birch iaitu sewaktu perahu Birch berada di tengah-tengah sungai.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Apa pandangan anda?


JASIN - Gara-gara dituduh ponteng sekolah, seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum mendakwa ditampar seorang guru lelaki sebanyak lima kali di pipi sehingga bengkak.

Pelajar terbabit, Imran Mahfuz, 15, berkata, selepas perhimpunan pada pagi Isnin lalu iaitu kira-kira pukul 9 pagi, dia mencari kawan-kawannya di padang kerana ketika itu waktu Pendidikan Jasmani (PJ).

Menurutnya, melihat rakan-rakannya tiada di padang, dia terus ke kantin sekolah untuk mencari mereka di sana.

"Ketika melalui gelanggang bola tampar, seorang guru lelaki memanggil saya dan bertanya saya dari mana. Saya memberitahu saya dari padang kerana ketika itu waktu PJ tetapi tiada pelajar lain di padang.

"Namun guru ini tidak percaya dan menuduh saya ponteng dan berbohong lalu mencekak kolar baju dan menampar saya sebanyak dua kali di pipi kiri," ceritanya.

Imran mendakwa, guru berkenaan kemudiannya mengheretnya ke bahagian belakang bangunan dan menamparnya sebanyak dua kali lagi kerana dituduh memanjat pagar sekolah.

"Saya kemudian dibawa ke bilik guru dan ditampar sekali lagi di hadapan guru lain walaupun berulang kali saya menafikan dakwaannya," katanya.

Kata Imran, akibat ditampar, bibirnya pecah dan pipi kirinya bengkak sehingga sukar untuk makan.

Kosmo Online: 22 Oktober 2009

*Cikgu sengaja menerbitkan berita ini kerana kebetulan mengajar di sekolah yang disebut dalam keratan akhbar ini.

Isnin, 19 Oktober 2009

Bahan Bacaan

Bagaimanakah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah dapat memupuk semangat cintakan warisan bangsa dalam kalangan rakyat Malaysia?

Istilah pemeliharaan membawa maksud kerja-kerja baik pulih bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang bersesuaian seperti pencegahan, pengekalan, pengukuhan, pengembalian semula, pemulihan, pengeluaran semula, pembinaan semula dan lain-lain lagi. Perkataan pemuliharaan pula mengikut Oxford Fajar (2004:79) membawa maksud kerja memulihara dalam bentuk yang sedia ada. Burden (2004:62) pula mendefinisikan maksud perkataan ini sebagai pengurusan bangunan, monumen dan tapak untuk mengelak pereputan, kemusnahan, penyalahgunaan atau diabaikan…”

Insan yang mempunyai semangat berbangga sebagai rakyat Malaysia dapat dibentuk melalui kajian bangunan bersejarah seperti yang saya kaji kerana melalui kajian ini, kita dapat menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara dengan mempelajari dan meneruskan pemeliharaan dan pemulihan warisan bangsa ini. Dengan meneruskan dan memperkenalkan bangunan ini kepada generasi depan, bermakna mereka juga menyemai perasaan patriotik. Senario ini sekali gus menunjukkan bahawa kita menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa. Dalam erti kata lain, melalui prinsip penjagaan bangunan ini, kita dapat menunjukkan bahawa kita bangga dengan sejarah bangsa.

Melalui pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga, kita dapat menyemai semangat bersatu padu dan berharmoni antara masyarakat majmuk. Dalam melaksanakan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah seperti ini juga mengkehendaki kita bekerjasama dan tolong-menolong antara ahli masyarakat. Semangat muhibah atau semangat bermuafakat yang dibentuk seterusnya akan melahirkan semangat patriotik antara anggota masyarakat.

Dalam melaksanakan proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga, masyarakat Malaysia mestilah menunjukkan semangat disiplin yang tinggi Aktiviti seperti seperti ini juga memerlukan kita mempamerkan sikap bertindak wajar serta mematuhi undang-undang pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah Jika keadaan ini disemai berterusan, nescaya akan melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai disiplin yang tinggi terhadap peraturan negara.

Proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga mempamerkan sikap rajin dan gigih . Kita juga mesti menunjukkan sikap berdikari bagi menjayakan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah yang biasanya dilakukan secara kerjasama berpasukan. Dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah kita juga perlu menunjukkan sikap tabah menghadapi cabaran bagi melengkapkan proses tersebut. Sikap rajin, tabah dan berdikari ini akan menjadikan warga negara menyemai sikap-sikap ini bagi memajukan negara.


Diambil dan diubah suai daripada laman blog http://www.djlovehostory.blogspot.com/

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN(5)

SOALAN:Kesihatan merupakan suatu aspek yang harus dititikberatkan oleh masyarakat demi kelangsungan hidup. Namun, berita tentang pelbagai penyakit berjangkit yang melanda sesebuah kawasan yang sering menghiasi dada-dada akhbar menimbulkan banyak persoalan. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat menghidap penyakit?

PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN

A1)Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya?
(Isu)

A2)Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?
(Isu yang berkaitan)

A3)Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.
(Ulasan isu)

A4)Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?
(Hala tuju)

PERENGGAN LENGKAP

Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya.Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?


55 jumlah perkataan

Khamis, 15 Oktober 2009

CONTOH 20-KARANGAN PERIBAHASA(TEKNIK CERITA)

SOALAN:Tuliskan sebuah cerita berdasarkan peribahasa ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

Haizam seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun. Ibunya, Puan Mina pula lumpuh sebahagian daripada tubuhnya akibat diserang angin ahmar kira-kira dua tahun yang lalu.Haizam mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Najwa Amira.Adiknya berumur sembilan tahun. Lantaran kemiskinan dia terpaksa berhenti sekolah semasa berada dalam tingkatan empat walaupun mendapat tentangan daripada ibunya.

Berbekalkan sedikit wang simpanan arwah ayahnya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan. Pada mulanya dia menjual air di tepi jalan besar berdekatan dengan rumahnya tetapi kurang mendapat sambutan.Namun, dia tidak berputus asa. Dia mencuba pula menjual buah-buahan yang diambilnya daripada Pak Karim, seorang peraih buah di kampungnya.Malangnya keuntungan yang diperolehnya tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya.

Haizam sering termenung memikirkan masa depannya. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di di bandar yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Dia kemudiannya diterima sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran yang terkenal di bandar itu. Oleh sebab kerajinannya, dia telah dinaikkan pangkat sebagai pelayan di restoran tersebut.

Kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di restoran itu. Dia begitu gembira bekerja di situ kerana majikannya seorang yang bertimbang rasa, pemurah dan tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.Dia juga telah belajar memasak masakan Timur dan juga Barat daripada chef masakan di situ. Banyak pengalaman yang ditimbanya semasa bekerja di situ. Bagi menjamin masa depannya, pada setiap bulan dia akan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diterimanya ke dalam bank.Dia juga bercita-cita untuk memiliki restorannya sendiri suatu hari nanti.

Berbekalkan pengalaman dan juga wang simpanan yang dia miliki, dia telah mengusahakan sebuah gerai makanan menjual lauk-pauk secara kecil-kecilan. Oleh sebab makanan yang disediakan begitu sedap sekali, gerainya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.Dari sebuah gerai yang kecil, dia telah menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan restoran. Akhirnya, perniagaannya telah berkembang maju dan dia telah membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut.

Bak kata pepatah Melayu ’Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.Begitulah apa yang berlaku dalam kehidupan Haizam, daripada seorang pemuda yang tiada berharta,kini mempunyai kemewahan yang dicapainya melalui usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

300 patah perkataan

SOALAN KARANGAN(NO.5)PERIBAHASA PMR 2009(TEKNIK HURAIAN)

SOALAN:Peribahasa ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ menasihati kita supaya sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu tujuan. Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa itu.

‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.Ungkapan peribahasa ini selalu diucapkan oleh masyarakat Melayu ketika merancang sesuatu usaha. Peribahasa ini bermaksud bahawa kalau seseorang itu mempunyai impian, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Jika diteliti pada maksud peribahasa ini,pengertiannya amat mendalam sekali. Seseorang itu diberi keyakinan bahawa cita-citanya akan dapat dicapai melalui usaha yang gigih.Justeru, seseorang itu mestilah berani menempuh sebarang cabaran dan halangan sebelum menikmati sesuatu hasil.

Sehubungan dengan itu, jika seseorang yang bercita-cita untuk menjadi doktor tidak akan dapat mencapai cita-citanya jika dia tidak belajar dengan tekun. Cita-citanya ini akan menjadi seperti angan-angan Mat Jenin. Oleh yang demikian, usaha itu adalah penting bagi mencapai cita-cita tersebut persis kata mutiara ‘Usaha itu tangga kejayaan’.

Ada kalanya juga peribahasa ini diucapkan sebagai suatu sindiran. Sindiran ini bertujuan menyedarkan seseorang itu tanpa menyakitkan hatinya. Seseorang yang memahami maksud peribahasa ini akan segera menyedari kesilapan dirinya dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan dirinya.

Selain peribahasa ini, terdapat beberapa lagi peribahasa lain yang mempunyai pengertian yang sama juga. Tamsilnya, peribahasa ‘Hati hendak, semua jadi’, ‘Kalau hendak seribu daya, kalau tak mahu seribu dalih’ dan ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Konklusinya, setiap individu mestilah berusaha untuk memperoleh apa yang mereka hajati. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tanpa usaha ibarat mengharapkan buah yang takkan gugur untuk selama-lamanya.

225 patah perkataan

Isnin, 12 Oktober 2009

LATIHAN KOMSAS(NOVEL KCSP)

SOALAN:Persoalan tentang ketabahan ketika menghadapi dugaan begitu menonjol dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 3.
Kemukakan secara ringkas tiga contoh peristiwa yang sesuai bagi menyokong jawpan anda.

Cadangan Jawapan:

Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 3 ialah Kanang: Cerita Seorang Pahlawan. Dalam novel ini terdapat persoalan tentang ketabahan ketika menghadapi dugaan.
Semenjak kecil, Kanang tabah menghadapi keperitan hidup tanpa belaian kasih sayang daripada ibu dan bapanya yang telah berpisah.Walaupun begitu, dia tabah menjalani kehidupan pada zaman kanak-kanaknya di bawah jagaan datuknya.
Selain itu,Kanang juga tabah menjalankan tugasnya semasa bertugas sebagai anggota tentera. Dugaan yang dihadapinya begitu kuat sehingga hampir-hampir menyebabkan dia kehilangan nyawanya sendiri apabila terlibat dengan pertempuran dengan pihak musuh di Hutan Korbu.
Di samping itu, walaupun tidak dinaikkan pangkat setelah beberapa lama berkhidmat,Kanang tetap tabah menghadapinya. Dia tetap menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan begitu dedikasi.

Ahad, 11 Oktober 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (16)

Penggunaan kad kredit banyak memberi kesan kepada masyarakat. Bincangkan pernyataan ini.

Perenggan 1

A1)Antara kesan buruk yang ditimbulkan akibat daripada penggunaan kad kredit ialah mendorong pengguna untuk menjadi boros dalam berbelanja.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana pengguna boleh berbelanja melebihi pendapatan yang mereka ada dengan menggunakan kad kredit ini.
(Mengapa)

A3)Dengan ini, pengguna akan tergoda untuk membeli sesuatu barang walaupun mereka tahu sebenarnya mereka tidak mampu berbuat demikian dengan pendapatan yang mereka ada seperti kata pepatah gajah berak besar,kancil pun hendak berak besar,akhirnya mati kebebangan.
(Kesan)

A4)Sebagai contoh,terdapat pengguna kad kredit ini yang membeli barangan yang berjenama dan mahal di luar kemampuan mereka kerana mengamalkan sikap biar papa,asal bergaya.
(Contoh)

A5)Sememangnya jelaslah bahawa penggunaan kad kredit mendorong pengguna boros semasa berbelanja.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara kesan buruk yang ditimbulkan akibat daripada penggunaan kad kredit ialah mendorong pengguna untuk menjadi boros dalam berbelanja.Hal ini berlaku demikian kerana pengguna boleh berbelanja melebihi pendapatan yang mereka ada dengan menggunakan kad kredit ini.Dengan ini, pengguna akan tergoda untuk membeli sesuatu barang walaupun mereka tahu sebenarnya mereka tidak mampu berbuat demikian dengan pendapatan yang mereka ada seperti kata pepatah gajah berak besar,kancil pun hendak berak besar,akhirnya mati kebebangan.Sebagai contoh,terdapat pengguna kad kredit ini yang membeli barangan yang berjenama dan mahal di luar kemampuan mereka kerana mengamalkan sikap biar papa,asal bergaya.Sememangnya jelaslah bahawa penggunaan kad kredit mendorong pengguna boros semasa berbelanja.

95 patah perkataan




Perenggan 2

A1)Walaupun begitu, penggunaan kad kredit dapat mengelakkan pengguna daripada terpaksa membawa wang yang banyak dalam sesuatu masa.

A2)Hal ini berlaku demikian kerana pengguna hanya perlu membawa sekeping kad untuk tujuan transaksi.

A3)Lantaran itu, risiko untuk dirompak atau diragut oleh penjenayah dapat dielakkan kerana pengguna tidak mempunyai wang tunai di tangan mereka.

A4)Tamsilnya, pihak pembiaya kad kredit boleh memberikan pinjaman sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit kepada pengguna bergantung kepada pendapatan pemiliknya.

A5)Sesungguhnya dengan penggunaan kad kredit ini akan memberi kesenangan kepada pengguna untuk bergerak bebas ke mana-mana sahaja tanpa membawa wang tunai yang banyak di dalam poket mereka.

PERENGGAN LENGKAP

Walaupun begitu, penggunaan kad kredit dapat mengelakkan pengguna daripada terpaksa membawa wang yang banyak dalam sesuatu masa.Hal ini berlaku demikian kerana pengguna hanya perlu membawa sekeping kad untuk tujuan transaksi. Lantaran itu, risiko untuk dirompak atau diragut oleh penjenayah dapat dielakkan kerana pengguna tidak mempunyai wang tunai di tangan mereka.Tamsilnya, pihak pembiaya kad kredit boleh memberikan pinjaman sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit kepada pengguna bergantung kepada pendapatan pemiliknya.Sesungguhnya dengan penggunaan kad kredit ini akan memberi kesenangan kepada pengguna untuk bergerak bebas ke mana-mana sahaja tanpa membawa wang tunai yang banyak di dalam poket mereka.

93 patah perkataan

SOALAN PMR 2009:KERTAS 2 (BAHAGIAN D:NOVEL)

Persoalan

Kasih sayang antara ahli keluarga
Tragedi Empat Disember
Rajah di atas menunjukkan persoalan yang terdapat dalam novel-novel tersebut.
Berdasarkan satu daripada novel di atas,berikan tiga contoh peristiwa yang dapat menggambarkan persoalan yang dinyatakan.

Cadangan Jawapan

Novel yang saya kaji dalam tingkatan 2 ialah Tragedi Empat Disember.Antara persoalan yang ditonjolkan dalam novel ini ialah kasih sayang antara ahli keluarga.

Dalam novel ini,keluarga Encik Razali digambarkan amat mesra dan akrab ketika minum petang bersama ahli keluarganya.Mereka bergurau senda dan bergelak ketawa apabila bercerita.

Selain itu, kasih sayang juga jelas terlihat melalui keprihatinan yang diperlihatkan oleh DSP Yazid terhadap Puan Katijah dan anak-anak buahnya.DSP Yazid telah berusaha untuk mendapatkan maklumat tentang abangnya dan melancarkan gerakan untuk mencari anak saudaranya,Azam yang hilang tanpa sebarang berita.

Di samping itu, kasih sayang terhadap ahli keluarga juga ditonjolkan melalui peristiwa ahli keluarga mangsa nahas kapal terbang telah datang dari jauh dan berkumpul di Hotel Gentre untuk mengetahui perkembangan lanjut nahas yang melibatkan orang yang mereka sayangi.

Rabu, 7 Oktober 2009

CADANGAN JAWAPAN KERTAS 1 (PMR 2009)

1.B
2.D
3.B
4.C
5.D
6.C
7.A
8.A
9.D
10.D
11.B
12.B
13.A
14.A
15.A
16.D
17.D
18.A
19.A
20.C
21.B
22.C
23.B
24.B
25.B
26.A
27.B
28.B
29.D
30.C
31.C
32.D
33.D
34.B
35.B
36.D
37.D
38.C
39.C
40.C

*JAWAPAN INI BUKAN MUKTAMAD. JAWAPAN INI BERDASARKAN RUJUKAN YANG SAYA BUAT.

Selasa, 6 Oktober 2009

LATIHAN INTENSIF PMR 2009(2)

Fokus karangan PMR 2009(dipetik daripada http://agy7500.blogspot.com/)

1(a)Huraikan cara-cara yang akan anda lakukan untuk menghargai jasa guru.
1(b) Huraikan cara-cara yang akan anda lakukan untuk membalas jasa ibu bapa.

2(a) Setiap pelajar ingin tinggal di sebuah rumah yang selesa dan menyeronokkan. Huraikan ciri-ciri rumah yang menjadi idaman anda.
2(b) Setiap murid ingin belajar di sebuah sekolah yang baik dan cemerlang. Huraikan ciri-ciri sekolah yang menjadi idaman anda.

3(a) Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Bincangkan kebaikan kegiatan kokurikulum kepada pelajar.
3(b) Pelajar sekolah pada hari ini kurang berminat untuk menyertai kegiatan kokurikulum. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan keadaan ini terjadi.
3(c) Pelajar sekolah pada hari ini kurang berminat untuk menyertai kegiatan kokurikulum. Bincangkan usaha-usaha yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

4(a) Semua pelajar ingin menjadi pelajar cemerlang. Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri pelajar yang cemerlang.
4(b) Semua pelajar ingin menjadi pelajar cemerlang. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menjadi pelajar yang cemerlang.

5(a) Gejala sosial yang melanda remaja semakin leluasa. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan gejala ini berlaku.
5(b) Gejala sosial yang melanda remaja semakin leluasa. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil untuk menangani masalah ini.

6(a) Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita. Huraikan kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara.
6(b) Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan negara kita menjadi destinasi pelancong asing.
6(c) Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

7(a) Dewasa ini, banyak pelajar melakukan kerja sambilan di luar waktu persekolahan. Bincangkan kebaikan dan keburukan pelajar melakukan kerja sambilan.
7(b) Dewasa ini, banyak pelajar melakukan kerja sambilan di luar waktu persekolahan. Huraikan kesan-kesan yang negatif yang akan dialami oleh mereka.

8(a) Bincangkan kebaikan belajar berkumpulan.
8(b) Bincangkan kebaikan kerjasama sepasukan/berpasukan.

9(a) Bincangkan punca-punca berlakunya pencemaran udara/air.
9(b) Bincangkan kesan-kesan pencemaran di negara kita.
9(c) Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran di negara kita.

PANDUAN UMUM MENGARANG

1)Fahami soalan betul-betul

a)Baca satu persatu perkataan dalam soalan

b)Peka pada arahan,maklumat tambahan, bentuk dan pendekatan karangan

c)Letakkan “otak” anda di dalam kepala penggubal soalan


2)Jangan mulakan dengan pembukaan

a)Biarkan dulu bahagian ini

b)Kenalpasti apakah kehebatan dan keindahan karangan anda terlebih dahulu

c)Cipta pendahuluan yang “membuka selera” orang lain hendak membacanya


3)Lakukan perah otak

a)Keluarkan semua idea anda

b)“Bebaskan otak” tanpa sekatan

c)Tulis apa sahaja yang terlintas tanpa perlu ikut susunan atau logik atas kertas kecil.Satu idea, satu kertas kecil


4)Susun ikut logik dan aturan

a)Susun idea tadi secara logik dan sequel (ikut aturan)

b)Tentukan idea utama(isi) dan idea sokongan(huraian)


5)Asingkan isi kandungan dengan membuat perenggan

a)Perenggan membezakan satu idea dengan idea yang lain

b)Pastikan ayat pertama dapat menerangkan idea yang ingin disampaikan


6)Buat pembukaan/pendahuluan dan penutup

a)Pembukaan-Memberikan idea awal/menimbulkan persoalan kepada pembaca

b)Penutup-Buat satu rumusan keseluruhan

c)Elakkan penutup yang membuatkan pembaca rasa terkilan atau tertanya-tanya


7)Buat semakan dan pembetulan

a)Buat semakan tatabahasa, ejaan, dan kelemahan-kelemahan lain

b)Elakkan ayat-ayat yang terlalu panjang

c)Pastikan karangan itu “menawan dan mengkagumkan”

d)Tulisan boleh mempengaruhi pemeriksa

PERANCANGAN MASA MENJAWAB

1)Masa yang dicadangkan 40 minit

Bahagian A (i) (20 markah)
Ringkasan: 1 soalan

Bahagian A (ii) (10 markah)
Pemahaman Petikan Umum
respons terhad: 3 soalan

2)Masa yang dicadangkan 25 minit

Bahagian B (20 markah)
Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan:
1 soalan

3)Masa yang dicadangkan 45 minit

Bahagian C (40 markah)
Karangan respons terbuka:
5 soalan

4)Masa yang dicadangkan 10 minit

Bahagian D (10 markah)
KOMSAS (Novel):
1 atau 2 soalan

PMR Satu Permulaan

Hari yang ditunggu-tunggu telah hampir tiba. Lebih kurang beberapa jam lagi pelajar-pelajar tingkatan 3 di seluruh negara akan menghadapi peperiksaan PMR. Cikgu mengharapkan semua pelajar khususnya kepada pelajar-pelajar SMK Dang Anum akan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan persediaan yang secukupnya.Doa,usaha dan tawakal itulah kunci kepada kejayaan.

SEMOGA BERJAYA!

MUHASABAH DIRI(1)

Ganjaran Setahun dengan Amalan Puasa Enam

Berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa.Hal ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari pada bulan Syawal,akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun." (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

LAWAK BILIK GURU(21)

Udin pergi berjumpa doktor mengeluh tentang isterinya yang sudah hilang pendengaran.

"Seberapa burukkah pendengarannya?" tanya doktor.

"Entahlah, doktor. Yang jelas, saya mesti menjerit kalau nak berbual dengannya."

"Baiklah, cuba buat macam ni. Berdiri sejauh 6 meter darinya, lalu katakan sesuatu. Kalau dia tak boleh dengar kamu, berdirilah lebih dekat sedikit darinya, lalu katakan yang kamu katakan tadi. Kalau dia tidak juga dengar, dekatkan jarak sedikit demi sedikit. Dengan begitu kamu akan tahu berapa jarak maksima pendengarannya."

Maka, Udin pulang ke rumah dan mendapati isterinya sedang memasak di dapur. Dari jarak 6 meter ia berteriak, "Makan apa kita malam ini?" Tak ada jawapan. Lalu dia jalan depan sedikit lagi, berhenti di jarak 5 meter dan menanyakan hal yang sama. Juga tak terdengar jawapan. Begitu juga pada jarak 3 meter.

Akhirnya, ia berdiri di samping isterinya.
"Makan apa kita malam ini?" katanya separuh menjerit.

Si isteri dengan mata yang berlinangan dengan air mata, lalu menjerit:

"Untuk keempat kalinya aku beritahu, KARI KAMBING!!!!"

Pengajaran: Siasat kelemahan diri sendiri terlebih dahulu.

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (9)

NADA DALAM SAJAK

1)MELANKOLIK

melankolik ialah nada yang menggambarkan rasa hati yang murung, merayu-rayu atau berhiba-hiba.

mengemukakan persoalan tentang perasaan rindu, sedih, kecewa
tekanan suara yang sesuai sewaktu membaca sajak bernada melankolik ialah rendah dan perlahan

2)PATRIOTIK

Nada patriotik menggambarkan semangat yang berkobar-kobar
menyeru pembaca agar sama-sama berjuang dan menghayati satu cita-cita bersama-sama

tekanan suara sewaktu membaca sajak bernada patriotik ini tinggi, pantas dan bersemangat

3)PROTES

nada protes pula menggambarkan suasana hati yang penuh pemberontakan atau penentangan

persoalan tentang ketidakadilan, keganasan, kekejaman
tekanan suara sewaktu membaca sajak bernada protes ialah tinggi dan pantas serta melahirkan perasaan marah.

4)SINIS

Gambaran perasaan yang kurang senang tetapi penuh dengan sindiran halus tetapi tajam
Tekanan suara agak rendah dan perlahan

Melahirkan perasaan tidak bersetuju kepada sesuatu persoalan

5)ROMANTIS

Gambaran perasaan tenang dan menyenangkan khususnya sajak yang bertemakan cinta sesama manusia

Tekanan suara yang rendah dan perlahan
Melahirkan perasaan yang gembira

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (8)

PENGAJARAN

Pengajaran ialah peringatan / pedoman / perutusan /amanat/mesej  yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam karyanya kepada pembaca/penonton.
Dalam karya tradisional, hal ini disampaikan secara tersurat/secara langsung
Tetapi dalam karya moden, hal ini disampaikan secara tersirat/tidak langsung.

CARA MENJAWAB:

Jika nilai positif, mulakan dengan
-     Kita hendaklah ……..
-     Kita seharusnya…….

Jika  nilai negatif, mulakan jawapan dengan
-     Kita jangan….
-     Kita tidak boleh….  
  
…diikuti dengan contoh dalam teks.  

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (7)

NILAI

1)Baik hati
2)Berdikari
3)Hemah tinggi
4)Hormat-menghormati
5)Kasih sayang
6)Keadilan
7)Kebebasan
8)Keberanian
9)Kebersihan mental dan fizikal
10)Kejujuran
11)Kerajinan
12)Kerjasama
13)Kesederhanaan
14)Kesyukuran
15)Rasional
16Semangat bermasyarakat
*dan nilai-nilai lain yang bersesuaian.

Ahad, 4 Oktober 2009

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (7)

GAYA BAHASA (PUISI)

1)RIMA

bermaksud bunyi akhir suku kata pada tempat yang bersetentang antara dua baris atau lebih daripada dua baris dalam puisi
terdiri daripada rima awal, rima dalam, dan rima akhir

2)ASONANSI

merupakan pengulangan bunyi vokal yang sama daiam baris-baris sajak
contohnya:  pengulangan  vokal u  dalam   baris  Kerana aku penyair kupenuhi hidupku

3)ALITERASI

bermaksud pengulangan bunyi konsonan yang sama daiam baris sajak
contohnya: pengulangan konsonan m daiam baris Memacu menghimpun kekuatan

4)PENGULANGAN/REPITISI

berlaku pada kata, ungkapan, baris, atau rangkap yang diulang daiam sajak

a)anafora - pengulangan kata pada awal baris secara berurutan. Contohnya: Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD! Tambah mengimbau sorotan Kitab ESA!

b)responsi – pengulangan kata di tengah baris. Contoh: Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti
c)epifora - pengulangan kata pada akhir baris. Contohnya: ...di pundakku ...had sepiku

d)pengulangan baris - pengulangan baris yang sama.

5)PERLAMBANGAN/SIMBOLIK

merupakan   kata-kata   yang   digunakan   untuk   menerangkan  
sesuatu   benda, keadaan, atau peristiwa yang membawa maksud
yang lain atau maknanya lebih mendalam

contohnya: senja melambangkan usia tua, pagi melambangkan usia muda

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (6)

GAYA BAHASA

1)DIKSI

bermaksud pemilihan dan penyusunan kata-kata oleh pengarang daiam karyanya
harus memperlihatkan kesesuaian kata yang dipilih dengan tema dan persoalan, latar, watak, dan mesej

2)AYAT

merujuk kepada cara pengarang membina dan menyusun ayat daiam karyanya, misalnya ayat pendek dan ayat panjang

3)PERSONIFIKASI

dikenal juga sebagai perorangan atau penginsanan (membawa maksud tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang abstrak)

contohnya:    ...matahari   pagi   bangkit   daripada   selimut   gunung,    benaknya mendandan sejuta persoalan

4)SIMILE

merupakan perbandingan menggunakan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat, dan sebagainya •   contohnya: Yang daunnya macam pedang tu?

5)METAFORA

a)merupakan perbandingan yang menggunakan kata konkrit (boleh dihitung) dengan kata abstrak (tidak boleh dihitung) •   contohnya: perahu duka, ladang kesabaran

b)merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat, dan sebagainya •   contohnya: samudera hampa, lautan fikiran

6)HIPERBOLA

merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya  

contohnya: seribu lautan sanggup direnangi

7)SINKOPE/SINKOF

bermaksud penyingkatan perkataan •   contohnya: "Apa dah jadi ni?"

8)PARADOKS

Pernyataan yang bertentangan tetapi ada kebenarannya

Contoh: dalam kesepian di tengah ramai

9)INVERSI

Pembalikan susunan kata

Contoh: sihat badan wajah berseri
(sepatutnya badan sihat wajah berseri)

10)IRONI

Kiasan yang menyatakan makna yang bertentangan dengan maksud berolok-olok

Contoh: Pandai sungguh kamu semua ini,tanda pangkah lebih banyak
daripada tanda yang betul.

JAWAPAN LATIHAN TATABAHASA(Khusus untuk Kelas 3 Anggerik dan 3 Melor)

Praktis 7
Latihan A
1. C
2. D
3. A
4. C
5. D
6. A
7. B
8. D

Latihan B
1. D
2. B
3. A
4. C

Latihan C
1. C
2. D
3. B
4. A
5. D
6. C
7. A
8. B

Praktis 9
Latihan A
1. b
2. b
3. a
4. b
5. a
6. a
7. b
8. a

Latihan B
1. B
2. D
3. C
4. C



Praktis 10
Latihan A
1. Siapakah yang terpilih memenangi peraduan menulis cerpen itu?
2. Apakah yang kamu lakukan terhadap kanak-kanak itu?
3. Puan Aliahlah yang memasak bubur jagung itu.
4. Setiap pelajar mesti mematuhi peraturan sekolah.
5. Beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air.
6. Tidak ada sekali pun kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin itu.
7. Yang manakah yang salah?
8. Yang turut menghadiri majlis itu ialah Datuk Marzuki.

Latihan B
1. C
2. B
3. B
4. D
5. A
6. D

LATIHAN INTENSIF PMR(KARANGAN 2009)

Cikgu berharap pelajar-pelajar tidak terlalu bergantung kepada soalan-soalan ramalan.

RAMALAN 2009(RESPONS TERBUKA/RANGSANGAN)

1)Gejala buli semakin berleluasa mutakhir ini. Jelaskan peranan
ibu bapa menangani gejala buli ini.
ATAU
Kebelakangan ini gejala buli sering berlaku di sekolah-sekolah.
Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi
masalah ini.

2)Bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia merupakan salah
satu daripada khazanah negara yang amat bernilai.Bincangkan
usaha-usaha untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah ini.

3)Tempat-tempat menarik di negara kita telah dapat membantu
meningkatkan industri pelancongan. Huraikan langkah-langkah untuk
mempopularkan tempat-tempat yang menarik di negara kita.

4)Kepentingan menguasai pelbagai bahasa amat dititikberatkan dalam
diri seseorang pelajar sejajar dengan perkembangan ilmu sains dan teknologi.Kemukakan pendapat anda.

5)Semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat pada hari ini kian
terhakis.Huraikan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk memupuk
semangat kejiranan.

6)Hampir setiap hari media massa membuat liputan tentang peningkatan
kadar kemalangan jalan raya. Cadangkan langkah-langkah yang boleh
diambil bagi menanganinya.

7)Huraikan langkah - langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai
kegiatan kokurikulum.
ATAU
Kebaikan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum
ATAU
Punca-punca kegiatan kokurikulum tidak diminati oleh pelajar.

9)Kesihatan merupakan suatu aspek yang harus dititikberatkan oleh
masyarakat demi kelangsungan hidup. Namun, berita tentang pelbagai
penyakit berjangkit yang melanda sesebuah kawasan yang sering
menghiasi dada-dada akhbar menimbulkan banyak persoalan. Pada
pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat
menghidap penyakit?
ATAU
Pada pendapat anda,apakah langkah-langkah yang boleh diambil
bagi mengatasi masalah ini?

Khamis, 1 Oktober 2009

LAWAK BILIK GURU(20)

Cikgu Salwa baru saja memulakan pekerjaan barunya sebagai seorang guru kaunseling di sebuah sekolah.Dia sangat bersemangat untuk memberikan nasihat kepada pelajar-pelajar di sekolah itu.

Pada masa rehat,dia melihat seorang pelajar yang sedang berdiri seorang diri di hujung padang sedangkan kawan-kawangnya yang lain asyik bermain di tengah-tengah padang mengejar bola antara satu sama lain.

Salwa cuba mendekati pelajar itu dan bertanya apakah dia ada sebarang masalah.Pelajar itu menjawab bahawa keadaannya baik saja.Mendengarkan jawapannya itu, Salwa berlalu meninggalkannya.

Beberapa minit kemudian Salwa memerhatikan lagi pelajar itu masih bersendirian di tempat yang sama. Salwa kini yakin bahawa pelajar ini sebenarnya mempunyai masalah.
Lalu sekali lagi Salwa mendekati pelajar itu dan berkata dengan penuh kelembutan.

Cikgu Salwa:Mahu kalau cikgu temankan?

Pelajar:Boleh juga!

Merasakan bahawa pendekatannya belum berhasil, Salwa bertanya lagi.

Cikgu Salwa:Kenapa awak masih berdiri seorang diri di sini?

Pelajar:Laa..Kan saya penjaga gol cikgu.(jawab pelajar itu dengan penuh kehairanan)

Cikgu Salwa:+&%$#@(menyumpah di dalam hati)

Pengajaran:Selidik dulu sebelum bertindak.

Rabu, 30 September 2009

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN(4)

SOALAN:Kesihatan merupakan suatu aspek yang harus dititikberatkan oleh masyarakat demi kelangsungan hidup. Namun, berita tentang pelbagai penyakit berjangkit yang melanda sesebuah kawasan yang sering menghiasi dada-dada akhbar menimbulkan banyak persoalan. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat menghidap penyakit?

PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN

A1)Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya?
(Isu)

A2)Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?
(Isu yang berkaitan)

A3)Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.
(Ulasan isu)

A4)Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?
(Hala tuju)

PERENGGAN LENGKAP

Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya.Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?


55 jumlah perkataan

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (5)

LATAR

Latar berperanan memberikan suasana kepada peristiwa dan manusia yang terdapat dalam cerita.
Latar   penting   dalam   mengembangkan tema, persoalan, plot, watak, dan perwatakan. Idea, plot, dan watak akan lebih hidup jika berada dalam situasi pelbagai latar.
Latar merangkumi pelukisan geografi, topografi, pemandangan, bangunan, peralatan, tanggungjawab watak, waktu, dan sebagainya.

Latar terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

1)Latar tempat
Merupakan ruang atau tempat peristiwa berlaku yang berkaitan dengan lokasi geografi.

2)Latar waktu atau masa
Menunjukkan masa peristiwa berlaku seperti zaman, era, sejarahnya, atau musimnya.

3)Latar masyarakat atau citra masyarakat
Menunjukkan gambaran keadaan masyarakat dalam cerita merangkumi bangsa atau etnik, status dan kehidupan sosial, ekonomi, dan sebagainya yang bersesuaian dengan watak.

Selasa, 29 September 2009

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (4)

TEKNIK PLOT

Teknik plot ialah cara pengarang mengembangkan plot ceritanya supaya menarik.

Antara teknik plot termasuklah seperti yang berikut:

1)IMBAS KEMBALI

Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.
Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman

2)IMBAS MUKA

Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan  awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan.
Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.

3)SASPENS

Saspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya

4)KONFLIK

Konflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot.
Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam din watak dan secara luaran, iaitu antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar.
Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap, atau pemikiran.

5)KEJUTAN

Kejutan ialah perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca.
Lazimnya, kesan yang timbul daripada kejutan tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.

6)DIALOG

Dialog merupakan pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak.
Melalui dialog antara watak-watak inilah     biasanya     tergambar    pendapat atau   fikiran   yang   berkaitan   dengan tema.

7)MONOLOG DALAMAN

Rungutan atau rintihan watak di dalam hati

8)MONOLOG

Pengucapan atau pertuturan oleh watak secara bersendirian

Isnin, 28 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (15)

Penggunaan kad kredit banyak memberi kesan kepada masyarakat. Bincangkan pernyataan ini.

A1)Antara kesan buruk yang ditimbulkan akibat daripada penggunaan kad kredit ialah mendorong pengguna untuk menjadi boros dalam berbelanja.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana pengguna boleh berbelanja melebihi pendapatan yang mereka ada dengan menggunakan kad kredit ini.
(Mengapa)

A3)Dengan ini, pengguna akan tergoda untuk membeli sesuatu barang walaupun mereka tahu sebenarnya mereka tidak mampu berbuat demikian dengan pendapatan yang mereka ada seperti kata pepatah gajah berak besar,kancil pun hendak berak besar,akhirnya mati kebebangan.
(Kesan)

A4)Sebagai contoh,terdapat pengguna kad kredit ini yang membeli barangan yang berjenama dan mahal di luar kemampuan mereka kerana mengamalkan sikap biar papa,asal bergaya.
(Contoh)

A5)Sememangnya jelaslah bahawa penggunaan kad kredit mendorong pengguna boros semasa berbelanja.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara kesan buruk yang ditimbulkan akibat daripada penggunaan kad kredit ialah mendorong pengguna untuk menjadi boros dalam berbelanja.Hal ini berlaku demikian kerana pengguna boleh berbelanja melebihi pendapatan yang mereka ada dengan menggunakan kad kredit ini.Dengan ini, pengguna akan tergoda untuk membeli sesuatu barang walaupun mereka tahu sebenarnya mereka tidak mampu berbuat demikian dengan pendapatan yang mereka ada seperti kata pepatah gajah berak besar,kancil pun hendak berak besar,akhirnya mati kebebangan.Sebagai contoh,terdapat pengguna kad kredit ini yang membeli barangan yang berjenama dan mahal di luar kemampuan mereka kerana mengamalkan sikap biar papa,asal bergaya.Sememangnya jelaslah bahawa penggunaan kad kredit mendorong pengguna boros semasa berbelanja.

95 patah perkataan

Jumaat, 25 September 2009

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (3)

PLOT

1)Plot ialah sesuatu yang menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap peristiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.

2)Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat.

3)Susunan cerita bergantung pada fantasi dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi. 

4)Plot ialah penyusunan kronologi yang diubahsuai mengikut kemahuan pengarang.

5)Teknik penyusunan plot yang menarik ialah penyusunan peristiwa secara tidak kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.

BINAAN/STRUKTUR PLOT

1)Permulaan plot ialah peringkat permulaan (eksposisi),iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana. Perkembangan plot mengakibatkan konflik.

2)Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).

3)Perumitan menuju kepada puncak(klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum.

3)Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang  puncak dijadikan  pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.

SALAM AIDILFITRI



Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung blog ini yang beragama Islam dan seluruh warga kerja SMK Dang Anum. Tidak lupa juga saya ingin memohon kemaafan sekiranya terdapat ketelanjuran kata dan perbuatan saya yang mengguris hati kalian sepanjang tahun ini. Maaf zahir dan batin.

Jumaat, 18 September 2009

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (2)

WATAK

1)Watak ialah pelaku atau tokoh dalam sesuatu karya yang menggerakkan cerita dengan cara berinteraksi sesama watak dan alam.

2)Dalam sesuatu cerita lazimnya terdapat istilah yang berkaitan dengan aspek watak, iaitu watak utama, watak sampingan, watak bundar, watak pipih, watak dinamik, watak statik, protagonis dan antagonis.

3)Watak pipih  lazimnya tidak kompleks,  tidak berkembang, dan tidak memeranjatkan pembaca.

4)Watak bulat amat menarik kerana watak jenis ini menuju ke pelbagai arah sama ada menambah pengalamannya ,mengubah sikapnya ,dan fizikalnya.

5)Watak dinamik ialah watak yang mengalami pelbagai konflik, persoalan, dan permasalahan dari awal hingga akhir.

6)Watak statik atau kaku tidak mengalami apa-apa perubahan, perkembangan, dan tidak bergerak.

7)Watak yang berperanan amat penting disebut watak utama. Watak yang kurang penting dalam cerita disebut watak sampingan.

8)Watak protagonis ialah watak utama dalam sesebuah cereka. Watak ini tidak semestinya orang yang baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin diktator,koruptor,penjenayah,dan sebagainya.

9)Watak antagonis menjadi penentang atau lawan kepada watak protagonis.


PERWATAKAN

1)Perwatakan pula ialah pelukisan tentang watak dari aspek luaran dan dalaman.

2)Pelukisan watak itu boleh dilakukan secara langsung atau secara tidak langsung olen pengarang melalui aksi,tutur kata atau watak-watak berkenaan.

3)Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya dan ideologi, serta gambaran perasaan seseorang atau watak itu.

Khamis, 17 September 2009

LAWAK BILIK GURU(19)

Kisah ini adalah kisah benar yang berlaku dalam hidupku beberapa tahun yang lalu. Kisah tragis yang membawa aku ke kota raya ini. Aku mengenali Farhana sejak kecil lagi.Kami tinggal berjiran. Rumahnya hanya selang tiga buah rumah dari rumahku. Dialah rakan sepermainanku.Dialah temanku ke sekolah. Walaupun usiaku tiga tahun lebih tua daripadanya, itu tidak menghalang untuk kami sama-sama mengulangkaji pelajaran. Kalau tidak di rumahku, pasti di rumahnya. Ayah dan ibu kami tidak pernah menghalang hubungan kami.

Hubungan kami sejak kecil berlarutan hingga dewasa. Semakin lama kami semakin akrab.Akhirnya aku akur yang sebenarnya aku sangat menyintai dia. Farhana, aku terlalu menyintaimu!". Hanya itu yang bermain difikiranku setiap hari. Pada suatu hari pada hari lahirnya, aku telah menghadiahkannya sebuah kek yang kubuat sendiri khas untuknya. Dia sangat terharu dengan pemberianku yang sungguh istimewa itu. Aku telah berterus-terang dengannya mengenai perasaan cintaku padanya dan hasratku untuk melamarnya. Ternyata aku tidak bertepuk sebelah tangan. Dia juga sangat menyintaiku. Kami telah sepakat untuk membina mahligai bahagia.

Hasrat murniku telah kusuarakan kepada bonda tercinta.
"Ibu, Syah nak tanya sikit boleh tak?". Aku memulakan bicara, sebaik saja selesai menikmati makan malam.
"Apa dia sayang?"balas ibuku lembut.
"Syah rasa.........Syah nak kahwinlah bu........",dengan perlahan aku suarakan apa yang terpendam. Aku hanya tunduk menanti reaksi ibu.
"Betul ke ni Syah? Gadis bertuah mana yang jadi pilihan Syah tu?".
Aku jadi lebih serba-salah. Perlukah aku berterus-terang sekarang? Ah, aku mesti mencuba.
"Syah nak kawin dengan Farhana." Aku semakin pasrah, apa nak jadi-jadilah.

Tiba-tiba pinggan yang ibuku tatang sedari tadi jatuh berderai.
"Kau dah gila ke Syah? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Kau sedar tak kita ni siapa, dia tu siapa?" tempik ibuku memecah kesunyian.
Tak pernah aku lihat ibuku semarah itu selama hidupku.
"Tapi ibu, Syah sayangkan dia.Syah tak sanggup nak berpisah dengan dia. Sejak kecil lagi Syah berkawan dengan dia, salah ke kalau Syah nak kawin dengan dia?".
Aku cuba memujuk.
"Tidak! Kau jangan nak jadi anak derhaka Syah! Ibu tak rela!".
" Tapi ibu.......".
"Tiada tapi-tapi lagi, kau mesti putuskan hubungan dengan dia.........", suara ibu semakin perlahan.
"Dari kecil ibu bela kau Syah, tak pernah ibu bantah apa saja permintaan kau nak. Tapi kali ini, tolonglah faham. Kita ni kambing Syah.Kau sedar tak yang kita ni kambing?Mana boleh kambing kahwin dengan ayam?". Air mata ibu jatuh berderai. Aku hanya terkedu, memang benar kata-kata ibu. Aku pasrah. Farhana.Aku tetap sayang padamu,walaupun kau dilahirkan sebagai seekor ayam.

Pengajaran:Sedarlah siapa diri kita.

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (1)

SINOPSIS

1)Ringkasan cerita lebih kurang 100 - 150 patah perkataan.
2)Mengandungi huraian cerita mengikut urutan masa berdasarkan plot.

TEMA

Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau tidak langsung (implisit).

PERSOALAN

Persoalan bermaksud perkara-perkara atau isi yang lebih kecil yang ada hubungannya dengan tema sesuatu karya.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (14)

Penggangguran dalam kalangan siswazah pada masa ini semakin meningkat. Terdapat pelbagai faktor yang dikenal pasti menjadi punca pengangguran ini.
Berikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan pengangguran ini berlaku.

A1)Antara punca yang dikenalpasti adalah kerana terdapat sesetengah daripada kalangan sisawazah ini yang terlalu memilih pekerjaan.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak mahu atau malu untuk melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelulusan yang mereka miliki seolah-olah mereka lupa kepada pepatah ‘ular yang menyusur akan tidak akan hilang bisanya’.
(Mengapa)

A3)Dengan ini, mereka lebih rela menganggur daripada memohon pekerjaan yang lebih rendah kelayakannya walaupun terdapat kekosongan pada sektor pekerjaan tersebut.
(Kesan)

A4)Sebagai contoh, mereka hanya memandang sepi tawaran pekerjaan yang dipaparkan di akhbar-akhbar sekiranya jawatan yang ingin mereka mahukan tiada disenaraikan dalam iklan tersebut.
(Contoh)

A5)Sikap memilih pekerjaan ini sudah pasti akan menyebabkan masalah pengangguran dalam kalangan mereka akan terus meningkat dari tahun ke tahun.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara punca yang dikenalpasti adalah kerana terdapat sesetengah daripada kalangan sisawazah ini yang terlalu memilih pekerjaan.Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak mahu atau malu untuk melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelulusan yang mereka miliki seolah-olah mereka lupa kepada pepatah ular yang menyusur akan tidak akan hilang bisanya.Dengan ini, mereka lebih rela menganggur daripada memohon pekerjaan yang lebih rendah kelayakannya walaupun terdapat kekosongan pada sektor pekerjaan tersebut.Sebagai contoh, mereka hanya memandang sepi tawaran pekerjaan yang dipaparkan di akhbar-akhbar sekiranya jawatan yang ingin mereka pohon tiada disenaraikan dalam iklan tersebut.Sikap memilih pekerjaan ini sudah pasti akan menyebabkan masalah pengangguran dalam kalangan mereka akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

90 patah perkataan

Isnin, 14 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (13)

Penggunaan kenderaan awam merupakan langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di bandar-bandar besar.
Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang berkesan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam?

A1)Selain itu, tambang kenderaan awam hendaklah jauh lebih rendah daripada kos pengangkutan yang lain.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini tambang kenderaan awam dan pengangkutan yang lain tidak jauh perbezaannya.
(Mengapa)

A3)Lantaran itu, sudah tentu orang ramai akan tertarik untuk menggunakan kenderaan awam kerana kosnya yang lebih murah berbanding dengan pengangkutan yang lain.
(Kesan)

A4)Tamsilnya,tambang bas yang dikenakan hendaklah separuh daripada kos yang ditanggung oleh pengguna sekiranya mereka menggunakan kenderaan persendirian.
(Contoh)

A5)Sekiranya langkah ini direalisasikan,sudah tentu akan berlaku peningkatan yang ketara dalam pengunaan kenderaan awam di bandar-bandar besar di negara kita.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu, tambang kenderaan awam hendaklah jauh lebih rendah daripada kos pengangkutan yang lain.Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini tambang kenderaan awam dan pengangkutan yang lain tidak jauh perbezaannya.Lantaran itu, sudah tentu orang ramai akan tertarik untuk menggunakan kenderaan awam kerana kosnya yang lebih murah berbanding dengan pengangkutan yang lain.Tamsilnya,tambang bas yang dikenakan hendaklah separuh daripada kos yang ditanggung oleh pengguna sekiranya mereka menggunakan kenderaan persendirian.Sekiranya langkah ini direalisasikan,sudah tentu akan berlaku peningkatan yang ketara dalam pengunaan kenderaan awam di bandar-bandar besar di negara kita.

80 patah perkataan

Cadangan isi lain:
1.Sistem pengurusan yang cekap –jadual perjalanan
2.Bayaran letak kenderaan yang tinggi ke atas kenderaan persendirian
3.Kempen melalui media massa

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (12)

Masalah kanak-kanak hilang daripada jagaan ibu bapa mereka sering dipaparkan di media massa sejak akhir-akhir ini.Berikan pendapat anda cara untuk mencegah kejadian ini daripada berlaku.

A1)Antara cara yang boleh dilakukan ialah melatih anak-anak supaya tidak mudah mempercayai dan mengikut orang yang tidak dikenali.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana,kebanyakan anak-anak pada masa ini mudah termakan pujuk oleh mereka yang sememangnya sedang mencari mangsa untuk tujuan yang tidak baik.
(Mengapa)

A3)Dengan ini, kanak-kanak akan lebih berwaspada sekiranya ada individu yang ingin mengambil kesempatan ke atas diri mereka.
(Kesan)

A4)Tamsilnya, ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka cara untuk menolak permintaan individu yang tidak mereka kenali atau menjerit sekiranya dipaksa untuk mengikut individu tersebut.
(Contoh)

A5)Sememangnya kaedah ini perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga persis kata mutiara beringat sebelum kena,berjimat sebelum habis.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara cara yang boleh dilakukan ialah melatih anak-anak supaya tidak mudah mempercayai dan mengikut orang yang tidak dikenali.Hal ini berlaku demikian kerana,kebanyakan anak-anak pada masa ini mudah termakan pujuk oleh mereka yang sememangnya sedang mencari mangsa untuk tujuan yang tidak baik.Dengan ini, kanak-kanak akan lebih berwaspada sekiranya ada individu yang ingin mengambil kesempatan ke atas diri mereka.Tamsilnya, ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka cara untuk menolak permintaan individu yang tidak mereka kenali atau menjerit sekiranya dipaksa untuk mengikut individu tersebut.Sememangnya kaedah ini perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga persis kata mutiara beringat sebelum kena,berjimat sebelum habis.

95 patah perkataan

Cadangan isi:
i. Memasang kamera litar tertutup (cctv) di tempat-tempat strategik tumpuan
awam.
ii. Ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak ketika berada di kawasan
tumpuan orang ramai.
iii. Ibu bapa mengajar anak-anak menyebut namanya sendiri dengan lengkap
dan alamat tempat tinggal.
iv. Tidak membenarkan anak-anak keluar ke mana-mana secara bersendirian.
v. Ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak ketika bermain di tempat
permainan kanak-kanak.

LAWAK BILIK GURU(18)

Kamal baru sahaja berkahwin.Oleh sebab tidak mempunyai
rumah,dia terpaksa menumpang di rumah bapa mertuanya.
Malangnya,ada sesuatu yang tidak kena. Kamal terlalu
kuat makan. Bapa mertuanya selalu merungut. Beras 20 kg,
tidak sampai seminggu sudah habis.Selalunya tidak seperti
ini.Sejak Kamal duduk di rumahnya,cepat sangat
barang-barang dapur habis.Kamal betul-betul menghabiskan
beras.Kebaikan Kamal pula ialah dia seorang yang alim.
Dia tidak pernah meninggalkan sembahyang. Malangnya, bapa
mertuanya tidak pula begitu.Pada waktu Maghrib dia seronok
berada di depan televisyen menonton rancangan Roda Impian.
Selepas itu dia sambung menonton berita.Selepas itu dia
makan.Kemudian dia tidur.Esok bangun pukul 8 pagi
terus pergi ke kedai kopi dan bersembang sampai tengah hari.
Balik makan,kemudian tidur.Petang pergi kedai kopi lagi.
Dia bermain dam dan berborak mengalahkan orang politik.
Oleh sebab sama-sama ada kekurangan inilah yang menyebabkan
si menantu tidak berani menasihati bapa mertua, dan bapa
mertua tidak berani memarahi anak menantu yang kuat makan.
Tetapi dia terus mencari idea bagaimana hendak mengenakan
Kamal.Bengang betul dia.Sudahlah tidak bekerja,melantak
kuat pulak tu.Suatu hari dia mendapat idea bagaimana hendak
mengenakan Kamal.
"Kamal, mari kita main dam haji," katanya kepada Kamal.
"Boleh juga," kata Kamal tanpa mensyaki sesuatu.
Apabila sahaja bermain, dia sengaja membiarkan buah damnya
dimakan oleh Kamal.Dia hulur,Kamal makan.Hulur lagi,Kamal
makan.Lagi hulur,lagi makan lagi, dan lagi.
"Eh, kau ni Kamal,kuat betul makanlah.Agak-agaklah," katanya tersenyum.
"Alamak bapa mertua aku ni perli aku ni.Mentang-mentang aku kuat
makan," fikirnya dalam hati.(monolog dalaman)
Mereka bermain set kedua.Bapa mertuanya hulur,dia
tidak makan.Hulur lagi, tidak makan juga.Dia kena tangkap tidak
seperti set pertama.Dia sudah bijak sedikit.Jika,tidak makan,
mestilah kena tangkap(sesiapa tidak tahu main dam haji tentu
tak faham cerita ini)Kemudian bapa mertuanya dapat melangkah
hingga ke haji.Apa lagi.
"Eh, orang tak pernah sembahyang pun boleh pergi haji ke?
Merah padam muka bapa mertuanya.Dia hendak menyindir anak
menantunya, tetapi dia yang terkena.
Sejak hari itu, Kamal tidak lagi kuat makan dan bapa mertuanya
menjadi alim.Dia tidak meninggalkan sembahyang lagi.Sekarang ini,
dia berada di Mekah mengerjakan umrah.Hendak menunaikan haji belum
ada seru lagi katanya.

Pengajaran:Cermin diri kita sendiri.

Sabtu, 12 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (11)

Kebelakangan ini kejadian jenayah semakin berleluasa di negara kita. Huraikan cara-cara yang boleh diambil untuk mengurangkan kejadian jenayah ini.

A1)Selain itu, penguatkuasaan undang-undang negara hendaklah dipertingkatkan.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana negara kita sebenarnya mempunyai undang-undang jenayah yang mencukupi tetapi kekurangan anggota polis untuk menguatkuasakannya.
(Mengapa)

A3)Dengan ini,anggota polis dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan kerana kawasan rodaan mereka akan menjadi lebih kecil dan memudahkan tugas untuk mengawasinya.
(Kesan)

A4)Sebagai contoh,bilangan anggota polis dan kakitangan kehakiman hendaklah ditambah seiring dengan pertambahan penduduk di negara kita.
(Contoh)

A5)Sememangnya dengan peningkatan penguatkuasaan undang-undang akan dapat memberi impak yang diharapkan bagi mengurangkan jenayah di negara kita.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu, penguatkuasaan undang-undang negara hendaklah dipertingkatkan. Hal ini berlaku demikian kerana negara kita sebenarnya mempunyai undang-undang jenayah yang mencukupi tetapi kekurangan anggota polis untuk menguatkuasakannya.Dengan ini,anggota polis dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan kerana kawasan rondaan mereka akan menjadi lebih kecil dan memudahkan tugas untuk mengawasinya.Sebagai contoh,bilangan anggota polis dan kakitangan kehakiman hendaklah ditambah seiring dengan pertambahan penduduk di negara kita.Sememangnya dengan peningkatan penguatkuasaan undang-undang akan dapat memberi impak yang diharapkan bagi mengurangkan jenayah di negara kita.


78 patah perkataan

Imbuhan BeR

1. “beserta” dan “berserta”, yang manakah satu betul? Adakah huruf “r” dalam imbuhan digugurkan seperti perkataan “bekerja”?

Drp:
Cikgu Liao

Jawaban:
Untuk menyelesaikan masalah ini, kita mestilah mengetahui bentuk awalan beR- yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Awalan beR-
Awalan beR- terdiri daripada satu bentuk sahaja yang boleh digabungkan dengan semua kata dasar. Contoh:

beR- + angkat ---> berangkat
beR- + budi --> berbudi
beR- + cahaya --> bercahaya
beR- + dosa ---> berdosa

Apabila awalan beR- bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf r, dua r tersebut akan menjadi satu r sahaja melalui proses peleburan bunyi. Contoh:

beR- + renang --> berenang
beR-+ rasa ---> berasa
beR-+ raja ---> beraja
beR-+ rendam --> berendam


Kesilapan yang sering dilakukan oleh pengguna ialah mereka menggugurkan huruf r dalam awalan beR- apabila awalan beR- digabungkan dengan konsonon yang diikuti oleh –er- . Contoh:

beR- + derma ---> bederma (tidak gramatis)
--> berderma (gramatis)
beR-+serban --> beserban (tidak gramatis)
--> berserban (gramatis)

beR-+ternak --> beternak (tidak gramatis)
--> berternak (gramatis)
beR-+ teriak --> beteriak (tidak gramatis)
--> berteriak (gramatis)
beR-+ terbang +-an --> beterbangan (tidak gramatis)
--> berterbangan (gramatis)

Namun demikian terdapat beberapa kekecualian yang berkaitan dengan pembentukan perkataan yang berawalan beR-.

1. Awalan beR- yang bergabung dengan perkataan kerja, r pada awalan ber- tersebut mengalami peleburan bunyi. Keadaan ini dianggap sebagai satu bentuk kecualian.

2. Awalan beR- yang bergabung dengan perkataan ajar dan unjur, awalan beR- akan menjadi bel- yang merupakan satu kecualian juga. Contoh:

beR- + ajar ---> belajar
beR- + unjur --> belunjur

Kesimpulannya, perkataan `berserta’ menepati pembentukan perkataan berawalan beR- dalam bahasa Melayu, manakala perkataan `bekerja' merupakan kekecualian.

Dipetik daripada blog http://agy7500.blogspot.com/

Khamis, 10 September 2009

LAWAK BILIK GURU(17)

Ali dan Abu baru pulang dari bandar.Untuk sampai
ke kampung,mereka terpaksa melalui jalan pintas
yang bersebelahan sebuah kawasan perkuburan.Hati
mereka berdebar-debar semasa melalui kawasan
perkuburan itu dan dalam sayup-sayup malam mereka
terdengar bunyi ketukan dari kawasan perkuburan itu.
Mereka berdua memberanikan diri untuk melihat dari
mana datangnya bunyi itu.Dengan perlahan-lahan
mereka menghampiri kawasan kubur dan ternampak
seorang tua sedang mengetuk batu nisan menggunakan
tukul besi dan pahat.Dalam keadaan yang agak gelap
itu,orang tua tersebut tekun mengukir sesuatu di atas
batu nisan.

Ali dan Abu: Fuuufff...Terkejut kami, ingatkan pak cik
ni hantu tadi.

Sambil merapati orang tua itu mereka bertanya.

Ali dan Abu:Apa yang pakcik buat malam-malam buta di kubur ni?

Tiba-tiba lelaki tua itu berpaling dan menjawab dengan marah.

Lelaki tua:Bodoh!! Dia orang salah eja nama aku!

Pengajaran: Jangan suka keluar pada waktu malam.

Rabu, 9 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (10)

Masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Pada pendapat anda,apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini?

A1)Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini ialah ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak mereka.

A2)Hal ini berlaku demikian kerana, pada masa ini kebanyakan ibu bapa terlalu memberi kebebasan dan seterusnya memberi kepercayaan yang penuh atas apa jua tindakan yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

A3)Natijahnya,kedapatan anak-anak remaja ini yang telah menyalahgunakan kepercayaan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada mereka.

A4)Tamsilnya,anak-anak ini akan melakukan apa sahaja perkara negatif yang terlintas pada fikiran mereka dan kerap berbohong bagi mengaburi mata kedua-dua ibu bapa mereka kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka akan mempercayai sepenuhnya diri mereka.

A5)Sememangnya kawalan daripada ibu bapa amat diperlukan bagi membendung gejala sosial ini daripada terus menular.

PERENGGAN LENGKAP

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini ialah ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak mereka.Hal ini berlaku demikian kerana, pada masa ini kebanyakan ibu bapa terlalu memberi kebebasan dan seterusnya memberi kepercayaan yang penuh atas apa jua tindakan yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Natijahnya,kedapatan anak-anak remaja ini yang telah menyalahgunakan kepercayaan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada mereka.Tamsilnya,anak-anak ini akan melakukan apa sahaja perkara negatif yang terlintas pada fikiran mereka dan kerap berbohong bagi mengaburi mata kedua-dua ibu bapa mereka kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka akan mempercayai sepenuhnya diri mereka.Sememangnya kawalan daripada ibu bapa amat diperlukan bagi membendung gejala sosial ini daripada terus menular.

90 patah perkataan

Selasa, 8 September 2009

KOSA KATA(2)

1. luwes = fleksibel

tidak terlalu ketat, mudah disesuaikan (dgn keadaan dll), dapat diubahsuai; keluwesan perihal (sifat dsb) luwes.

2. mampan

mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yg baik (bkn ekonomi, pemba¬ngunan dsb).

3. darsawarsa = dekad

10 tahun

4. cakna

Tr ambil peduli, ambil berat: semenjak emak kau meninggal, sayalah yg ~ makan minum ayah kau

5. kondusif

sesuai, baik dsb utk membantu, men¬capai atau mendorong menghasilkan sesuatu: dgn penyediaan persekitaran yg ~, negara akan terus mengalami perkembangan ekonomi yg menggalakkan; keadaan ini dikatakan tidak ~ dlm melahirkan suatu generasi baru pemikiran dan intelektual yg berwibawa.

6. governan

Autoriti yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu pihak dalam melaksanakan pemerintahan

7. kesima

Jk; terkesima tercengang, termangu-¬mangu, hilang akal

8. lestari

Jk tidak berubah-ubah, kekal, tetap; melestarikan menetapkan, mengekalkan: ~ hutan; kelestarian keadaan (hutan, persekitaran, dll) yg tidak berubah atau yg terpelihara spt asal, keaslian: ~ hutan kita mesti diutamakan; pelestarian perlindungan drpd kemusnahan.

9. prakarsa

inisiatif, daya usaha, ikhtiar.

10. implementasi(impléméntasi)

proses melaksanakan (mengusahakan) sesuatu, pelaksanaan; mengimplementasikan melaksanakan, menjalankan, menunaikan (tugas, usaha, dll): utk ~ projek-projek yg telah lama dirancangkan.

Isnin, 7 September 2009

KOSA KATA(1)

1)justifikasi

sesuatu alasan (yg kuat) yg menjadikan sesuatu wajar dilakukan (diusahakan dsb) atau diberikan, hujah (pendapat dsb) yg dikemukakan sbg alasan bagi sesuatu: RTM mungkin mempunyai ~ sendiri utk menyiarkan majlis itu secara langsung; berbagai-bagai alasan atau sebab-musabab dikemukakan sebagai ~ kpd kelemahan tersebut; menjustifikasikan memberikan justifikasi kpd: mereka perlu memberikan bukti yg nyata utk ~ permohonan pinjaman itu.

2)manifestasi

perbuatan (ucapan dll) yg memperlihatkan (menjadikan nyata) sesuatu;memanifestasikan melahirkan, memperlihatkan, menunjukkan, menjadikan nyata: hasrat ini dimanifestasikan oleh seorang penulis yg tidak dikenali pd tahun 1814; watak yg secara lebih giat ~ rasa kekecewaan; dlm solatnya dia sentiasa ~ dan selalu pula membaharui ikrarnya kpd al-Khaliq;termanifestasi terpancar: hal ini ~ dlm amalan umat Islam tentang konsep sekolah agama.

3)marcapada / mayapada

sl dunia sekarang ini: orang Mukmin yg tidak terpengaruh dgn ~ yg penuh dgn tipu daya.

4)Intiha

Ar akhir, penghabisan, penutup.

5)enteng

1. tidak berat timbangannya; ringan. 2. tidak mustahak atau tidak penting; ringan; mudah. mengentengkan menganggap enteng; meringankan; memudahkan.
ringan, mudah;mengentengkan meringankan, memudahkan;mengenteng-entengkan menganggap mudah (ringan): G. Eton ~ bidang ini;entengan sesuatu yg dianggap ringan atau mudah: hasil sastera itu ~ sahaja, sulitnya tidak seberapa; keentengan keringanan, kemudahan.

6)iktisad

Ar ekonomi, perekonomian: kerajaan sedang berusaha hendak memajukan ~ penduduk luar bandar; ahli ~ ahli ekonomi.

7)globalisasi

fenomena yg menjadikan dunia kelihatan mengecil dr segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat: dlm era ~ sekarang ini, kita lebih terdedah kpd pengaruh budaya luar.

8)mersik

mersik1 kuat lagi nyaring (bkn suara atau bunyi): Suara perempuan itu ~. 2 kering benar; tidak berair (bkn sambal dll); garing (bkn gorengan): sambal yg ~. 3= kurus ~/ sangat kurus; kurus kering: Badannya kurus ~.

9)spesies

ist golongan haiwan, tumbuh-tumbuhan dll yg mempunyai ciri-ciri yg sama.
golongan benda (binatang, tumbuh-tumbuhan, dll) yg mempunyai sifat yg sama atau bersamaan bangsa, jenis.

10)umat

1. para pemeluk atau penganut sesuatu agama, pengikut Nabi: ~ Islam terdiri drpd bermacam-macam bangsa dgn berbagai-bagai bahasa; 2. seluruh rakyat, orang banyak, khalayak ramai: ~ Asia-Afrika; 3. segolongan manusia, bangsa: ayuhai kaum bangsaku, cubalah kita renungkan kedudukan ~ kita, Melayu! 4. = ~ manusia seluruh bangsa manusia, sekalian manusia: Nabi bagi segala~.

SUMBER:DBP

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (10)

SOALAN:Hampir setiap hari media massa membuat liputan tentang peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menanganinya.

A1) Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menyediakan sistem jalan raya yang baik dan teratur.
(Apa)

A2) Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini terdapat banyak jalan raya yang ada di negara kita dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna seperti berlubang, sempit, bengkang-bengkok dan sebagainya.
(Mengapa)

A3) Dengan pembaikan yang dilakukan sudah pasti akan memberi keselesaan dan mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna semasa memandu di jalan raya.
(Kesan)

A4) Sebagai contoh, jalan raya yang sempit hendaklah dilebarkan manakala jalan yang berlubang perlu ditampal dengan segera.
(Contoh)

A5)Sememangnya langkah menyediakan sistem jalan raya yang baik akan dapat mengurangkan risiko yang sentiasa dihadapi oleh pengguna-pengguna jalan raya pada masa ini.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

SOALAN:Hampir setiap hari media massa membuat liputan tentang peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menanganinya.

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menyediakan sistem jalan raya yang baik dan teratur.Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini terdapat banyak jalan raya yang ada di negara kita dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna seperti berlubang, sempit, bengkang-bengkok dan sebagainya.Dengan pembaikan yang dilakukan sudah pasti akan memberi keselesaan dan mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna semasa memandu di jalan raya.Sebagai contoh jalan raya yang sempit hendaklah dilebarkan manakala jalan yang berlubang perlu ditampal dengan segera.
Sememangnya langkah menyediakan sistem jalan raya yang baik akan dapat mengurangkan risiko yang sentiasa dihadapi oleh pengguna-pengguna jalan raya pada masa ini.

90 patah perkataan

ISI CADANGAN YANG LAIN

1. Membuat perancangan bandar yang teratur.
Contoh: Mengelakkan laluan penting merentasi bandar.

2. Penguatkuasaan undang-undang.
Contoh: Hukuman berganda bagi mereka yang melakukan kesalahan yang berulang.

3. Zon khas.
Contoh: Zon jalan kaki/motor

Lawak Bilik Guru(16)

Suatu hari di dalam kelas perubatan di Universiti Antah Berantah.

Pensyarah:Dalam bidang perubatan, ada dua kualiti yang sangat penting untuk menjadi seorang doktor.Pertama,kamu semua tidak boleh jijik melihat mayat.

(sambil pensyarah itu mencucuk satu jarinya ke dalam mulut mayat, menariknya semula dan menjilat jarinya itu)

Pensyarah:Sekarang, cuba kamu buat.

Selepas beberapa ketika, barulah mereka mengikut apa yang telah mereka lihat tadi. Seorang demi seorang memasukkan jari ke dalam mulut mayat dan menjilatnya. Apabila semua pelajar selesai, pensyarah itu memandang ke arah mereka dan berkata.

Pensyarah:Kualiti kedua yang sangat penting ialah pemerhatian yang tajam. Seperti tadi,saya memasukkan jari hantu tetapi menjilat jari telunjuk.
SEKARANG.TUMPUKAN PERHATIAN.PAHAM!!!

Pengajaran:Beri sepenuh perhatian di dalam kelas.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (9)

Kebelakangan ini gejala buli sering berlaku di sekolah-sekolah.Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini.

(A1)Di samping itu,hukuman yang lebih berat sepatutnya dikenakan ke atas pelajar-pelajar yang terlibat dengan gejala ini.
(Apa)

(A2)Hal ini berlaku demikian kerana, hukuman yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah pada masa ini agak longgar dan dipandang remeh oleh pelajar-pelajar ini.
(Mengapa)

(A3)Dengan ini, pelajar akan berasa takut untuk melakukan perbuatan membuli ini kerana takut dikenakan hukuman yang berat.
(Kesan)

(A4)Tamsilnya,pelajar yang terlibat hendaklah dikenakan hukuman sebat dan dibuang sekolah sekiranya mengulangi perbuatannya lagi.
(Contoh)

(A5)Sememangnya hukuman yang berat pastinya akan menggerunkan para pelajar untuk melakukan gejala yang tidak sihat ini.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Di samping itu,hukuman yang lebih berat sepatutnya dikenakan ke atas pelajar-pelajar yang terlibat dengan gejala ini.Hal ini berlaku demikian kerana, hukuman yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah pada masa ini agak longgar dan dipandang remeh oleh pelajar-pelajar ini.Dengan ini, pelajar akan berasa takut untuk melakukan perbuatan membuli ini kerana takut dikenakan hukuman yang berat.Tamsilnya,pelajar yang terlibat hendaklah dikenakan hukuman sebat dan dibuang sekolah sekiranya mengulangi perbuatannya lagi.Sememangnya hukuman yang berat pastinya akan menggerunkan para pelajar untuk melakukan gejala yang tidak sihat ini.

80 patah perkataan

Jumaat, 4 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (8)

SOALAN:Kesihatan merupakan suatu aspek yang harus dititikberatkan oleh masyarakat demi kelangsungan hidup. Namun, berita tentang pelbagai penyakit berjangkit yang melanda sesebuah kawasan yang sering menghiasi dada-dada akhbar menimbulkan banyak persoalan. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat menghidap penyakit?

(A1)Salah satu punca yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kebanyakan daripada mereka malas atau ketiadaan masa untuk bersenam.

(A2)Hal ini berlaku demikian kerana mereka terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia siang dan malam sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti ini serta mengganggap remeh tentang perkara ini.

(A3)Sehubungan dengan itu, mereka akan dihinggapi dengan pelbagai penyakit kronik yang bersarang di dalam tubuh mereka.

(A4)Tamsilnya,kebanyakan daripada mereka hanya tidur atau melepak sambil menonton televisyen apabila ada masa yang terluang seperti ular sawa yang kekenyangan.

(A5)Sememangnya jelaslah bahawa sikap negatif mereka sendiri yang mengundang pelbagai penyakit ke dalam tubuh mereka.

PERENGGAN LENGKAP

Salah satu punca yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kebanyakan daripada mereka malas atau ketiadaan masa untuk bersenam.Hal ini berlaku demikian kerana mereka terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia siang dan malam sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti ini serta mengganggap remeh tentang perkara ini.Sehubungan dengan itu, mereka akan dihinggapi dengan pelbagai penyakit kronik yang bersarang di dalam tubuh mereka.Tamsilnya,kebanyakan daripada mereka hanya tidur atau melepak sambil menonton televisyen apabila ada masa yang terluang seperti ular sawa yang kekenyangan.Sememangnya jelaslah bahawa sikap negatif mereka sendiri yang mengundang pelbagai penyakit ke dalam tubuh mereka.

90 patah perkataan

Cadangan isi kedua dan ketiga
a. Pemakanan yang tidak teratur/seimbang
b. Gagal menjaga kebersihan diri

Cikgu berharap ada pelajar-pelajar dari kelas cikgu yang boleh membuat karangan ini sebagai latihan.