Sabtu, 12 September 2009

Imbuhan BeR

1. “beserta” dan “berserta”, yang manakah satu betul? Adakah huruf “r” dalam imbuhan digugurkan seperti perkataan “bekerja”?

Drp:
Cikgu Liao

Jawaban:
Untuk menyelesaikan masalah ini, kita mestilah mengetahui bentuk awalan beR- yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Awalan beR-
Awalan beR- terdiri daripada satu bentuk sahaja yang boleh digabungkan dengan semua kata dasar. Contoh:

beR- + angkat ---> berangkat
beR- + budi --> berbudi
beR- + cahaya --> bercahaya
beR- + dosa ---> berdosa

Apabila awalan beR- bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf r, dua r tersebut akan menjadi satu r sahaja melalui proses peleburan bunyi. Contoh:

beR- + renang --> berenang
beR-+ rasa ---> berasa
beR-+ raja ---> beraja
beR-+ rendam --> berendam


Kesilapan yang sering dilakukan oleh pengguna ialah mereka menggugurkan huruf r dalam awalan beR- apabila awalan beR- digabungkan dengan konsonon yang diikuti oleh –er- . Contoh:

beR- + derma ---> bederma (tidak gramatis)
--> berderma (gramatis)
beR-+serban --> beserban (tidak gramatis)
--> berserban (gramatis)

beR-+ternak --> beternak (tidak gramatis)
--> berternak (gramatis)
beR-+ teriak --> beteriak (tidak gramatis)
--> berteriak (gramatis)
beR-+ terbang +-an --> beterbangan (tidak gramatis)
--> berterbangan (gramatis)

Namun demikian terdapat beberapa kekecualian yang berkaitan dengan pembentukan perkataan yang berawalan beR-.

1. Awalan beR- yang bergabung dengan perkataan kerja, r pada awalan ber- tersebut mengalami peleburan bunyi. Keadaan ini dianggap sebagai satu bentuk kecualian.

2. Awalan beR- yang bergabung dengan perkataan ajar dan unjur, awalan beR- akan menjadi bel- yang merupakan satu kecualian juga. Contoh:

beR- + ajar ---> belajar
beR- + unjur --> belunjur

Kesimpulannya, perkataan `berserta’ menepati pembentukan perkataan berawalan beR- dalam bahasa Melayu, manakala perkataan `bekerja' merupakan kekecualian.

Dipetik daripada blog http://agy7500.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan