Khamis, 3 Julai 2014

Karangan Ulasan - Punca Kemalangan Jalan raya



Belakangan ini sering berlaku kemalangan di negara kita. Antara punca utama kemalangan tersebut adalah disebabkan kecuaian pemandu. Tamsilnya, terdapat pemandu yang memandu kenderaan sambil menggunakan telefon bimbit. Selain itu, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik akan menyebabkan berlakunya kerosakan pada kenderaan tersebut.Sebagai contoh, terdapat pemilik kenderaan yang masih menggunakan tayar yang haus dan tidak menggantikannya dengan tayar yang baru.Seterusnya, keadaan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik juga menyebabkan kenderaan tidak dapat dikawal dengan baik hingga menyebabkan kemalangan. Akhir sekali, faktor kelemahan penguatkuasaan seperti lambat menjejaki mereka yang sering melanggar  peraturan jalan raya menyumbang kepada peningkatan kemalangan di jalan raya.

                                                                                                     100 patah perkataan

*Warna merah tersurat. Yang tidak diwarnakan tersirat.

Isnin, 14 April 2014

Karangan Bahagian B


Karangan Cemerlang

Kata orang jauh perjalanan, luas pemandangan. Itulah yang telah saya alami sewaktu saya dan keluarga saya pergi bercuti ke Pulau Langkawi pada cuti sekolah tempoh hari. Suasana yang berlainan daripada tradisi masyarakat setempat yang tentu sahaja berbeza daripada tradisi masyarakat di tempat saya menambahkan keterujaan saya untuk terus meneroka pulau yang penuh bersejarah ini.

Kami bertolak ke Pulau Langkawi dengan menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas. Penerbangan ini hanya memakan masa selama 25 minit. Sekitar pukul 11.00 pagi, kami akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Pulau Langkawi. Perasaan gembira bercampur teruja jelas sekali menguasai diri saya dan tanpa melengahkan lagi masa saya dan kakak saya segera bergambar bersama-sama.Setelah selesai bergambar, kami telah dijemput oleh pemandu pelancong tempat yang akan kami menginap. Kalau diikutkan sahaja gerak hati ini, ingin sahaja saya terus menjelajahi Pulau Mahsuri ini namun, atas menghormati permintaan ibu yang meminta agar kami berehat sahaja dahulu di hotel terpaksa saya turuti.

Destinasi pertama yang menjadi pilihan kami sekeluarga setelah merehatkan diri sebentar di hotel sudah tentu Pantai Chenang yang merupakan destinasi yang paling popular di Pulau Langkawi ini. Keindahan Pantai Chenang ini ternyata susah untuk diungkapkan melalui kata-kata. Saya,ibu dan kakak tidak melepaskan peluang untuk bergambar di sini. Orang yang paling gembira akan kunjungan kami ke pantai ini tentu sahaja adik lelaki tunggal saya, Adnan. Dia berasa sangat seronok mandi-manda di sini bersama dengan ayah saya.Selepas penat mandi-manda di pantai, kami memutuskan untuk terus pulang ke hotel bagi menikmati makan malam.

Keesokan paginya, kami telah dibawa oleh pemandu pelancong kami iaitu Pak Cik Rashid mengelilingi pulau ini. Kami sekeluarga juga telah dibawa untuk mengunjungi tempat-tempat menarik  dan bersejarah di pulau ini.Antara tempat yang telah kami lawati ialah Underwater World, Beras Terbakar, Telaga Tujuh, Gunung Mat Cincang, kilang minyak gamat,Tasik Dayang Buting dan akhir sekali destinasi wajib dilawati apabila berada di pulau ini iaitu Makam Mahsuri. Selepas penat mengunjungi tempat-tempat ini, kami telah dibawa oleh beliau untuk menjamu selera.

Pada hari terakhir di sini, kami sekeluarga telah berkunjung ke salah satu pusat beli-belah terletak di Pekan Kuah yang dikenali di seluruh negara. Kami telah menghabiskan masa dengan membeli pelbagai jenis cenderahati seperti coklat, minyak gamat dan pelbagai jenis pinggan  untuk ahli keluarga yang tidak dapat menyertai lawatan ini.


Sesungguhnya, semua kenangan dan pengalaman indah yang telah saya alami sewaktu berkunjung ke sini akan menjadi suatu memorabilia yang akan selalu terpahat di kotak minda saya ini.

Khamis, 10 April 2014

Karangan Bahagian A

Bahagian A

CONTOH 2

Lihat carta piramid makanan di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam carta tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.


Contoh Karangan Cemerlang 

            Kadar obesiti penduduk di negara ini sudah meningkat. Amalan gaya hidup sihat amatlah penting terutamanya pemakanan. Oleh itu, terdapat beberapa amalan pemakanan yang sihat. Kita haruslah mengurangkan makan makanan yang mempunyai lemak, minyak, gula dan garam. Jika kita tidak mengurangkan makanan yang mempunyai lemak, kadar obesiti akan bertambah. Selain itu, kita haruslah banyak bersenam. Dengan aktiviti ini, kita akan menjadi lebih sihat dan cergas. Di samping itu, makan mengikut waktu secara terancang juga penting. Kesimpulannya, amalan pemakanan amat penting, bak kata mutiara badan cergas, otak cerdas.


                                                                                                (84 patah perkataan)

Rabu, 5 Februari 2014

Sajak Kata-Kata (Hashim Yaacob)

Maksud Sajak

Rangkap
Maksud
1
Apabila dihina, janganlah kita berdiam diri. Kita seharusnya mempertahankan diri dengan membalas balik kata-kata tersebut.
2
Jika kita ditengking atau dicerca, kita janganlah berdiam diri. Sebaliknya kita perlu mempertahankan diri.
3
Martabat dan kedaulatan negara kita harus dipertahankan dengan kebijaksanaan. Kita berpidato atau berhujah dengan spontan.
4
Negara kita mencapai kemerdekaan bukan melalui kekerasan, sebaliknya kerana kepintaran kata-kata di meja rundingan.
5
Penyajak menyeru semua anak muda supaya bijak berkata-kata jika mereka inginkan kehidupan mereka terbela.

Tema

Kebolehan berkomunikasi secara lisan amat penting dalam kehidupan. Dengan kebijaksanaan berkomunikasi, seseorang itu dapat mempertahankan diri daripada dihina oleh orang lain.

Persoalan

i.       Kepentingan bijak berbahasa untuk mematahkan hujah lawan. Kemahiran berhujah membolehkan seseorang mematahkan hujah lawan dengan mudah.

ii.    Kepentingan menggunakan bahasa dengan baik. Kesantunan bahasa dapat membentuk jati diri bangsa dan menjulang nama negara.

iii.      Bahasa merupakan imej sesebuah bangsa dan negara. Kebijaksanaan berbahasa membolehkan kita memartabatkan bahasa dan mendaulatkan negara.

iv.   Kemerdekaan yang diperoleh menerusi rundingan. Sejarah membuktikan negara kita merdeka menerusi rundingan bukannya melalui peperangan.


Bentuk

i.         Separuh terikat.

ii.       Terdapat lima rangkap.

iii.      Baris-baris ayat dan rima akhir.

·         Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya aaaa.
·         Rangkap 2 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya aaaa.
·         Rangkap 3 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya aaaa.
·         Rangkap 4 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya aa.
·         Rangkap 5 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya aaa.


Gaya Bahasa

i.         Sinkope
Contoh  :  tak.

ii.       Anafora
Contoh :  kita merdeka.

iii.      Bahasa istana 
Contoh  :  anakanda.

iv.     Asonansi – pengulangan vokal ‘a’
Contoh  :  Pertahankanlah maruah kita.

v.       Aliterasi – pengulangan konsonan ‘t’
Contoh  :  Janganlah kita diam tak terkata.

vi.     Epifora
Contoh  :  kita.


Nilai


i.            Nilai kebijaksanaan
Bijak dalam berkata-kata dan berhujah.

ii.          Nilai rasional
Sentiasa sedar jika ingin kehidupan lebih terbela, kita harus pandai berkata-kata.

iii.         Nilai tanggungjawab
Bertanggungjawab mempertahankan diri apabila dicerca.

iv.        Nilai keberanian
Berani mempertahankan diri dengan membalas kata-kata pihak lawan.


Pengajaran

i.            Kita hendaklah bijak berkata-kata dan berhujah.

ii.          Kita perlulah berani mempertahankan diri dengan membalas kata-kata pihak lawan.

iii.         Kita mestilah mempertahankan maruah diri kita apabila dihina.

iv.        Kita mestilah memelihara martabat bangsa dan kedaulatan negara kita.

(Sumber daripada BPK)





Ahad, 19 Januari 2014

Sajak Kata-kata

Mukadimah 2014

Asalamualaikum dan salam sejahtera.
Agak lama saya tidak mengemaskinikan blog ini kerana sibuk dengan urusan seharian. Tahun ini merupakan tahun bermulanya perubahan kepada sistem peperiksaan di negara kita. Sehingga kini format terkini pentaksiran pusat PMR yang akan diadakan pada bulan September masih tidak diketahui. Sebagai guru saya masih mengajar seperti biasa berpandukan format lama sehinggalah format baru diketahui. Walau bagaimanapun berdasarkan contoh yang diberi oleh KPM, soalan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

Masa : 2 jam
A. Karangan Rangsangan (60 markah)
B. Komsas - subjektif (20 markah)
C. Tatabahasa - subjektif (20 markah)