Memaparkan catatan dengan label Karangan Pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan Pengalaman. Papar semua catatan

Selasa, 2 Oktober 2018


Baru-baru ini anda telah menyertai Perkhemahan Perdana Unit Beruniform.
Ceritakan pengalaman anda sepanjang menyertai perkhemahan tersebut.

Pada minggu yang lepas,saya telah berpeluang mewakili pasukan Kadet Bomba untuk menyertai satu perkhemahan perdana unit beruniform. Pasukan unit beruniform yang terlibat ialah pasukan Pengakap, Kadet Bomba, Kadet Polis, Kadet JPJ  dan Bulan Sabit Merah. Perkhemahan itu diadakan di padang sekolah dan dijalankan selama tiga hari dua malam.
              
                Pada petang Jumaat itu, kami semua berkumpul di padang sekolah.Kami mendengar  taklimat daripada  Komandan Kem  iaitu Cikgu Sahabudin.Selepas itu, kami diagihkan mengikut pasukan uniform masing-masing.Kami kemudian dibekalkan dengan khemah dan diarahkan untuk memasang khemah masing-masing sebelum malam menjelang tiba. Pada sebelah malamnya, kami diarahkan bergotong-royong menyediakan juadah untuk dimakan.

                Pada awal  pagi kami sudah bangun. Kami diarahkan solat Subuh secara berjemaah bagi yang beragama Islam. Selepas itu, kami melakukan senam robik yang diketuai oleh Cikgu Suhaili.Selepas bersarapan kami diarahkan mengemaskan khemah masing-masing.Pada pagi itu diadakan pemeriksaan khemah  paling cantik dan kemas.Khemah pasukan Kadet Polis telah diumumkan sebagai pemenang.

                Selepas itu,satu pertandingan memasak telah diadakan.Semua bahan telah disediakan oleh guru-guru penasihat .Kami diminta memasak nasi,lauk-pauk dan menggoreng ikan dengan menggunakan kayu sebagai bahan bakar.Pemenang dikira berdasarkan keenakan dan susun atur serta hiasan.Kali ini kumpulan saya telah muncul sebagai johan.

                Selepas makan malam,persembahan malam kebudayaan diadakan.Setiap persembahan mengikut unit uniform masing-masing.Antara persembahan adalah seperti nyanyian,tarian,lakonan dan sebagainya.Kali ini kumpulan pengakap menjadi johan dengan persembahan boria yang menarik.

                Keesokan harinya,kami bergotong-royong membersihkan kawasan tapak perkhemahan dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.Penyampaian hadiah dan sijil turut diadakan kepada para pemenang. Perkhemahan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Selepas itu,saya  dan  rakan-rakan  pulang dengan perasaan yang gembira. Saya berharap dapat menyertai lagi perkhemahan seperti ini pada masa akan datang.

Rabu, 15 Mei 2013

Anda telah berkunjung ke pameran komputer di sebuah pusat membeli-belah bersama dengan keluarga. Ceritakan pengalaman yang anda peroleh semasa berada di pameran tersebut


Pada hujung minggu yang lepas, saya dan ayah telah berpeluang berkunjung ke pameran komputer yang dianjurkan oleh PIKOM di MITC. Perjalanan dari rumah ke pusat pameran mengambil masa kira-kira setengah jam. Situasi di tempat letak kereta agak sesak dipenuhi dengan kereta-kereta para pengunjung. Setelah berpusing-pusing selama 15 minit, barulah ayah mendapat ruang untuk meletakkan kenderaannya.

Di ruang legar bangunan itu, kami melihat banyak kain rentang dan poster ditampal di dinding bangunan tersebut. Kami telah disambut dengan senyuman yang manis daripada petugas-petugas di situ. Saya dan ayah telah diberi dua keping kupon cabutan bertuah. Kami diberitahu bahawa cabutan bertuah akan dilakukan pada setiap jam. Hadiah yang lumayan disediakan untuk pengunjung yang bertuah.

Sememangnya tujuan kami datang ke pameran ini untuk membeli sebuah komputer riba dan gajet-gajet yang terkini yang dijual oleh pengeluar-pengeluar produk komputer seperti syarikat Acer, Asus, Lenovo dan sebagainya. Terdapat banyak kiosk yang menawarkan pelbagai barangan dan mereka bersaing untuk menawarkan harga paling rendah. Pelbagai pakej pembelian juga ditawarkan bagi menarik hati para pengunjung seperti kami.

Ayah mengajak saya pergi ke sebuah kiosk Acer yang menawarkan pelbagai jenis komputer riba, komputer meja dan tablet.Ayah begitu tertarik dengan komputer riba yang mempunyai ciri-ciri yang diidamkannya. Ayah begitu khusyuk sekali mendengar penerangan daripada penjual tersebut. Sementara itu, saya juga tidak ketinggalan membelek-belek gajet-gajet yang menarik seperti ’thumbdrive’, ’earphone’ dan sebagainya yang mempunyai pelbagai warna dan fungsi.

Setelah 15 minit berunding, ayah telah memilih untuk membeli sebuah komputer riba Acer yang mempunyai ciri-ciri terkini dan menarik. Saya pula telah dihadiahkan oleh ayah sebuah tablet berjenama Samsung. Saya memeluk ayah dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Ayah menghadiahkan tablet ini kepada saya kerana  kejayaan saya mendapat 8A dalam peperiksaan PMR yang lalu.

Sebaik sahaja hendak melangkah keluar daripada dewan tersebut kami mendengar pengumuman tentang cabutan bertuah untuk para pengunjung akan dilakukan. Ayah dan saya segera mengeluarkan kupon yang kami simpan sejak tadi lagi. Nombor yang tertera pada kupon saya telah diumumkan memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta pintar berjenama Honda Insight. Ayah dan saya berpelukan sekali lagi kerana tidak menjangkakan bahawa kunjungan kami berdua ke sana telah memberikan durian runtuh kepada saya.

Setelah selesai urusan menandatangani dokumen yang diperlukan, ayah menelefon emak untuk datang mengambil kereta ayah. Saya dan ayah pulang ke rumah dengan menaiki kereta baru yang saya menangi tadi. Saya menyimpan hasrat untuk memandunya tidak lama lagi.

Jumaat, 5 Mac 2010

Kem Motivasi Diri

Andaikan bahawa anda terlibat dalam suatu kegiatan perkhemahan anjuran Kelab Rekreasi di sekolah anda.

Aku merupakan salah seorang ahli Kelab Rekreasi Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum. Pada cuti penggal yang lepas, kelab ini telah mengadakan Kem Motivasi Diri di Hutan Lipur Asahan. Kem motivasi selama tiga hari dua malam ini disertai oleh 40 orang peserta bersama-sama 5 orang fasilitator. Inilah pengalaman pertama aku menyertai program seperti ini.

Fasilitator yang bertugas, iaitu Encik Isa Awaf telah memberikan taklimat ringkas kepada para peserta tentang atur cara kem motivasi itu. Para peserta diingatkan agar senantiasa mematuhi arahan fasilitator yang bertauliah demi keselamatan masing-masing.Para peserta dilarang sama sekali merayau-rayau di hutan lipur itu tanpa keizinan petugas.Peserta yang mengingkari arahan akan dikenakan tindakan tatatertib. Arahan itu dikeluarkan supaya para peserta tidak melakukan sesuatu sehingga boleh membahayakan diri mereka.

Sepanjang kem motivasi ini para peserta telah didedahkan kepada beberapa aktiviti lasak. Aktiviti ini memerlukan kerjasama,ketabahan,keyakinan diri,serta ketahanan mental dan fizikal.Antaranya termasuklah ’Flying Fox’ yang menghendaki para peserta menyeberangi arus sungai yang deras dengan menggunakan tali yang direntang. Aku tahu sahabat-sahabatku yang lain juga gementar sepertiku. Setiap peserta mencuba bersungguh-sungguh apabila tiba giliran masing-masing.Aku menguatkan semangat untuk melakukan aktiviti ini. Aku yakin aku mampu berbuat demikian seperti orang lain. Aku bersyukur kerana akhirnya aku berjaya melepasi halangan ini.

Selain itu juga,para peserta diberi tunjuk ajar cara menuruni tebing batu yang curam. Gementar rasa hatiku apabila melihat jurang sedalam kira-kira 30 meter itu yang perlu aku turuni.Sebelum aktiviti diadakan,kami diberikan seutas tali untuk diikatkan pada badan masing-masing. Kami dinasihatkan agar senantiasa berwaspada dan memberikan tumpuan ketika memijak batu.Jika kami tersilap langkah,padah akibatnya. Berkat ketabahan dan keyakinan diri,hampir kesemua peserta berjaya
mengatasinya tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Untuk pengisian rohani pula,sepanjang kami berada di sini,kami telah diminta mendirikan solat secara berjemaah pada setiap kali masuk waktu solat. Kami juga dikehendaki mendengar takzirah selepas solat Subuh dan Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hazali dan Ustaz Ibrohim secara bergilir-gilir. Pada pukul 4.00 pagi pula kami dikehendaki berkumpul untuk aktiviti Qiamulail. Aktiviti berakhir jam 6.30 pagi selepas solat Subuh.

Ternyata Kem Motivasi Diri itu telah berjaya menyemaikan nilai-nilai positif dalam diri kami. Kami telah mematuhi arahan fasilitator walaupun umur mereka sebaya dengan kami. Kem motivasi ini juga berjaya menyedarkan kami tentang kepentingan penghayatan agama,disiplin, semangat setia kawan,bersatu hati,bekerjasama dan tidak mementingkan diri apabila bergerak dalam satu kumpulan.

350 patah perkataan

Khamis, 4 Februari 2010

Hari Anugerah Kecemerlangan

Soalan:Baru-baru ini sekolah anda telah menganjurkan “Hari Kecemerlangan Pelajar”. Pada hari itu, pihak sekolah telah mengadakan pameran dan persembahan pentas untuk orang ramai yang hadir. Gambarkan suasana tersebut.
________________________________________

15 Oktober 2009 merupakan tarikh yang tidak mudah dilupakan oleh semua warga SMK Dang Anum.Hal ini demikian kerana pada hari tersebut telah diadakan Hari Kecemerlangan Pelajar. Hari itu memang dinanti-nantikan oleh semua pelajar dan ibu bapa terutamanya yang terlibat dengan upacara penerimaan sijil penghargaan. Lagipun, para guru dan pelajar sudah menghabiskan kira-kira dua minggu untuk persediaan dan latihan.

Pada pagi itu para pelajar berkumpul di tapak perhimpunan untuk mendengar pesanan dan arahan terakhir daipada pengetua dan guru-guru yang menjadi ketua dalam bahagian-bahagian tertentu seperti bahagian persembahan, penganugerahan hadiah dan cendera hati, keselamatan, pameran, dan sebagainya. Sesuatu yang menarik pada hari itu ialah semua guru lelaki memakai baju Melayu yang lengkap dengan songkok dan sampin termasuk guru-guru bukan Melayu. Sementara itu guru-guru perempuan kelihatan segak dengan pakaian baju kurung dan ada juga yang berkebaya labuh

Kira-kira pada pukul 8.30 pagi, para tetamu kelihatan mula masuk ke kawasan sekolah dan mereka disambut dengan senyuman mesra oleh barisan pengawas yang sedia menunggu di pintu utama sekolah dan para pelawat diberikan sebuah buku program untuk acara pada hari itu. Terdapat juga para penyambut tetamu yang kelihatan mengiringi pelawat sehingga ke pintu masuk dewan tempat majlis gemilang itu diadakan. Pada tahun ini sambutan daripada ibu bapa sangat menggalakkan sehingga dewan yang seluas empat ukuran kelas itu kelihatan penuh.

Antara tetamu yang diundang pada hari tersebut termasuklah Pengarah Pendidikan Negeri, Pegawai Pendidikan Daerah Jasin, pengetua-pengetua, dan beberapa orang wakil PIBG. Ketibaan Pengarah Pendidikan itu telah disambut oleh pasukan kompang sekolah dan beliau juga diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan hormat oleh pasukan kadet tentera sekolah yang kelihatan kemas dengan uniform mereka yang serba hijau dan memakai topi hitam berjambul merah. Upacara itu tamat dengan nyanyian lagu Negaraku dan selepas itu beliau diiringi oleh pengetua masuk ke dalam dewan.

Tuan Pengetua SMKDA telah menyampaikan ucapan dan memberikan laporan yang berupa kemajuan akademik dan kokurikulum di sekolah ini diikuti dengan ucapan daripada wakil PIBG dan akhir sekali ucapan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Melaka. Seterusnya dewan menjadi lebih meriah dengan tepukan yang diberikan kepada para pelajar yang mendapat anugerah cemerlang pada hari itu. Tepukan yang kuat diberikan kepada pelajar yang diumumkan sebagai tokoh pelajar pada tahun ini kerana berjaya memperoleh keputusan akademik yang baik dan aktif pula dalam bidang sukan, badan beruniform serta kelab.

Ketika pelawat serta tetamu berpindah ke dewan makan asrama, pelajar-pelajar yang mengambil bahagian untuk acara persembahan sudahpun bersedia di atas pentas. Para tetamu kelihatan kagum dan terpukau oleh persembahan lagu-lagu yang disampaikan kumpulan koir sekolah dan diiringi pula dengan permainan muzik oleh anggota-anggota band SMKDA yang kelihatan segak bergaya dengan uniform mereka yang berwarna merah dan putih. Mereka telah mempersembahkan lagu-lagu yang segar dan telah berjaya menceriakan majlis makan tersebut. Para tetamu juga kelihatan tidak kering gusi apabila menonton sketsa komedi yang dipersembahkan oleh Pasukan Pengakap Sekolah. Kemuncak acara persembahan itu ialah nyanyian solo daripada pemenang Juara Bakat Seni Suara SMKDA 2009 yang memiliki suara seakan-akan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza. Para tetamu kelihatan tidak bergerak daripada tempat duduk masing-masing sehingga acara persembahan diumumkan tamat dan mereka dijemput untuk pergi ke ruangan pameran yang diadakan di makmal sains.

Para tetamu kelihatan kagum dengan pameran sains yang diadakan pada hari itu. Kebanyakan pelawat ingin mencuba sendiri beberapa alat dan radas sains yang dipamerkan itu dan hampir semua tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan menggunakan kamera yang dibuat sendiri oleh beberapa orang pelajar daripada Persatuan Sains dan Matematik SMKDA.

Apabila semua tetamu pulang, keadaan kembali tenang dan para guru mengadakan sesi bergambar untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Hari Anugerah Kecemerlangan pada tahun ini merupakan hari yang paling gemilang dalam sejarah SMKDA.

Rabu, 26 Ogos 2009

CONTOH JAWAPAN-KARANGAN PENGALAMAN/GAMBARAN(NO.4-PEP.PERCUBAAN PMR 2009 MELAKA)

Sekolah anda baru sahaja selesai mengadakan Kejohanan Merentas Desa. Ceritakan pengalaman anda semasa menyertai acara tersebut.

Semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum semestinya ternanti-nanti tarikh Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah diumumkan sejak awal tahun lagi. Hal ini berlaku demikian kerana acara tersebut merupakan medan untuk menunjukkan kehebatan masing-masing dalam acara larian.Tambahan pula, sekolah aku merupakan sebuah sekolah sukan yang telah melahirkan ramai jagoan dalam acara ini. Malangnya pada tahun ini kejohanan ini diadakan agak lewat.

Dua hari yang lepas merupakan hari terakhir aku dan rakan-rakanku menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Pengetua sekolah kami kemudiannya telah mengumumkan tarikh acara yang kami tunggu-tunggu itu. Sebaik sahaja perkara itu diumumkan, semua pelajar melonjak kegirangan. Aku hanya mampu tersenyum melihat telatah teman-temanku. Semangat aku semakin membara untuk menjawab kertas terakhir pada hari itu.

Kini, hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Sesi latihan yang diadakan oleh guru rumah sukan sebelum hari pertandingan telah memberikan aku keyakinan untuk memenangi pertandingan pada kali ini. Terdapat beberapa kategori mengikut umur yang dipertandingkan dalam kejohanan ini.Aku menyertai pertandingan ini dalam kategori lelaki bawah 15 tahun.

Kami semuanya kemudian telah diarahkan berkumpul di padang sekolah. Kemudiannya kami telah diberikan sedikit taklimat tentang syarat-syarat pertandingan dan jalan-jalan yang terpaksa kami lalui. Taklimat ini sangat penting supaya tiada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Pihak sekolah juga telah meminta bantuan pihak polis dan juga RELA bagi mengawal lalu lintas semasa acara larian berlangsung. Seterusnya, kami telah diminta untuk memanaskan badan bagi mengelakkan berlakunya kekejangan otot semasa berlari nanti.

Perasaan aku makin berdebar ketika melihat peserta lelaki bawah 18 tahun dilepaskan oleh Pengetua kami. Kemudiannya, bunyi tembakan kedengaran di udara menandakan kami telah dilepaskan untuk memulakan larian. Aku yang berada di barisan hadapan terus meluru laju ke hadapan. Langkah demi langkah kuatur dengan yakin supaya dapat bersaing dengan kelompok yang berada di hadapan.Sepanjang laluan yang kami lalui, kami telah diberi sorakan semangat oleh orang ramai yang berkumpul di tepi jalan untuk menyaksikan kami berlari.

Setelah jalan bandar kami susuri, kami terpaksa pula melalui kawasan ladang sawit. Jalannya agak curam dan berbukit-bukit. Beberapa orang pelajar terjatuh kerana tergelincir. Nasib mereka baik kerana tidak mengalami kecederaan yang serius. Aku pun beberapa kali nyaris hendak terjatuh kerana tersepak batu-batu yang bertaburan di atas jalan. Sepanjang jalan yang kami lalui, terdapat guru-guru yang mengedarkan getah untuk kami pakai menandakan kami sudah melalui jalan tersebut dan mengelakkan berlakunya penipuan.

Sejam kemudian, aku dan beberapa orang rakanku telah sampai ke pintu pagar sekolah. Kami dikehendaki menghabiskan larian sejauh 10 km itu di padang sekolah tempat kami memulakan larian tadi. Aku makin bersemangat apabila melihat reben direntang di lorong penamat larian itu. Aku memecut habis-habisan untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya keghairahan aku itu menyebabkan aku telah tersepak kaki aku sendiri dan mengakibatkan aku jatuh tertiarap di atas padang. Hasrat aku untuk mendapat tempat pertama berkecai. Tetapi aku melihat guru-guruku bertepuk tangan untuk memberikan aku semangat bagi meneruskan larian.

Dengan kaki yang terhencot-hencot aku sampai ke garisan penamat. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat pertama, aku tetap berbangga kerana berjaya menghabiskan larian dan mendapat tempat ketiga. Hadiah kemudiannya telah disampaikan oleh Tuan Pengetua selepas semua pelajar sampai ke garisan penamat. Aku berazam untuk mendapat tempat pertama pada tahun hadapan. Aku percaya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

450 patah perkataan

Isnin, 17 Ogos 2009

CONTOH 17-KARANGAN KEPERIHALAN/GAMBARAN

Pada suatu hari minggu, ketika anda dan teman-teman tiba di sekolah untuk bermain bola sepak, tiba-tiba anda melihat suatu kejadian kecurian. Anda segera bertindak untuk menyelamatkan harta benda sekolah. Ceritakan pengalaman yang anda tempuhi itu.

Pada hari Ahad yang lalu, cuaca pada petang itu sungguh sejuk dan nyaman sekali. Aku kemudiannya mengambil keputusan untuk bermain bola sepak di padang sekolah yang terletak berhampiran dengan rumahku. Aku kemudiannya menelefon kawan-kawanku untuk mendapatkan persetujuan mereka. Kawan-kawanku bersetuju dengan cadanganku dan berjanji akan ke padang sekolah pada jam 5.00 petang.

Aku dan rakan-rakanku tiba di hadapan pintu pagar sekolah tepat jam 5.00 petang. Kami dapati suasana agak sunyi sepi seperti dilanggar geroda.Kelibat pengawal keselamatan juga tidak kelihatan. Kebiasaannya pengawal keselamatan yang bertugas di pondok keselamatan akan menahan mereka yang masuk ke kawasan sekolah.

Sewaktu kami sedang menongkatkan basikal kami di garaj tempat meletak basikal, kami terdengar suatu bunyi yang pelik seperti orang sedang mengumpil sesuatu. Dengan berhati-hati aku dan rakan-rakanku pergi ke arah bunyi tersebut. Alangkah terkejut kami apabila terlihat dua lembaga sedang cuba mengumpil peti sumbangan derma yang berada di dalam surau sekolah kami.

Bukan itu sahaja, terdapat dua lembaga lagi sedang mengangkat peti televisyen dan alat pemain video yang turut berada di dalam surau itu. Aku dan rakan-rakanku mengambil keputusan untuk berpecah kepada dua kumpulan. Aku dan beberapa orang sahabatku akan memantau pergerakan lembaga-lembaga tersebut, manakala beberapa orang yang lain akan pergi mendapatkan bantuan secepat mungkin.

Tiba-tiba salah seorang daripada lembaga tersebut merenung tepat ke arah tempat kami sedang menyorok. Kami berasa ketakutan yang amat sangat memandangkan kemungkinan lembaga-lembaga tadi memiliki senjata yang berbahaya. Melihatkan lembaga-lembaga tersebut bergerak ke arah kami, kami pun terus berlari untuk menyelamatkan diri dari tertangkap. Malangnya sahabat kami Ali, telah terjatuh ketika cuba melarikan diri tadi. Kami tiada pilihan lain selain kembali mendapatkan Ali. Kami bimbang sekiranya kami tidak menyelamatkan Ali, kemungkinan besar dia akan dicederakan oleh lembaga-lembaga tadi.

Berbekalkan semangat dan ilmu persilatan yang kami pelajari di sekolah, kami berjaya menangkis serangan yang bertubi-tubi daripada lembaga-lembaga yang tidak dikenali itu. Semasa kami sedang sibuk mempertahankan diri masing-masing, sahabat kami yang lain telah berjaya mendapatkan bantuan daripada pihak polis yang kebetulan lalu di hadapan sekolah kami. Pihak polis segera melepaskan tembakan amaran yang menyebabkan kami dan juga lembaga-lembaga tersebut terkejut.

Kami segera meletakkan tangan di atas kepala masing-masing begitu juga dengan lembaga-lembaga itu tadi.Pihak polis kemudiannya menggari tangan lembaga-lembaga yang bertopeng itu dengan pantas. Kami kemudiannya telah diminta ke Balai Polis Merlimau untuk membantu siasatan. Tidak kami sangka bahawa kami telah menjadi hero pada hari yang bersejarah itu. Kami juga beryukur kerana tiada sesiapa antara kami yang mengalami kecederaan yang serius. Peristiwa ini pastinya akan sentiasa kami kenang sehingga akhir hayat kami.

400 patah perkataan

Rabu, 22 Julai 2009

CONTOH 11-KARANGAN KEPERIHALAN/GAMBARAN

Karangan Keperihalan/Gambaran

Pada musim cuti yang lalu, anda telah berpeluang menyertai Kem Motivasi Diri yang dianjurkan oleh sekolah anda. Ceritakan pengalaman anda itu.

Pada cuti persekolahan yang lalu, saya telah berpeluang mengikuti Kem Motivasi Diri anjuran Kelab Bimbingan Kerjaya dan Kaunseling sekolah saya. Seramai 50 orang pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima mengikuti kem tersebut. Aktiviti yang dijalankan selama tiga hari itu telah diadakan di Kem Motivasi Lanchang,Merlimau.

Pada hari pertama, setelah memasang khemah, semua peserta mendengar taklimat daripada Cikgu Azizan. Selaku guru penasihat, Cikgu Azizan telah menerangkan aktiviti yang akan dijalankan. Beliau berharap agar pelajar dapat membina jati diri dalam menghadapi cabaran sebagai remaja menerusi aktiviti yang akan dijalankan nanti.

Pada malamnya, sebuah kertas kerja yang bertajuk ‘Remaja Kini dan Cabaran’ telah disampaikan oleh Dr.Fadley, pensyarah daripada Universiti Putra Malaysia(UPM). Kertas kerja tersebut mengajak peserta berfikir secara positif dalam menempuh cabaran yang mendatang. Ramai pelajar teruja dan memberi respons yang baik terhadap pembentangan tersebut.

Akiviti yang paling menarik sekali adalah pada hari kedua. Bagi membina ketahanan diri, aktiviti merentas hutan dan mendaki bukit dijalankan. Peserta telah dibahagikan kepada sepuluh kumpulan dan setiap kumpulan diberi peta perjalanan dan sebuah kompas. Setiap kumpulan diminta mencatat nama tumbuh-tumbuhan, unggas, dan anak sungai yang ditemui.Aktiviti tersebut berakhir dengan jayanya walaupun terdapat peserta yang mengalami kecederaan kecil akibat terjatuh semasa mendaki bukit yang agak curam.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan persembahan kebudayaan daripada setiap kumpulan. Ada yang mengadakan persembahan Dondang Sayang, Boria, Dikir Barat dan sebagainya.Kumpulan saya mengadakan persembahan pencak silat dan mendapat tepukan yang gemuruh daripada peserta yang lain. Tanpa disangka-sangka juga hadiah telah diberikan kepada kumpulan kami oleh pihak penganjur kerana telah membuat persembahan yang paling mencuri hati peserta yang menontonnya.

Pada hari ketiga, tepat jam 9.00 pagi setelah selesai bersarapan dan mengemas beg dan peralatan, kami telah dibenarkan pulang dengan menaiki bas yang disewa khas oleh pihak sekolah.Kami berasa sungguh gembira.Walaupun aktiviti yang dijalankan mengambil masa yang singkat, tetapi sekurang-kurangnya dapat membina keyakinan para peserta untuk menghadapi cabaran hidup yang bakal menjelma nanti.

300 patah perkataan

Rabu, 1 Julai 2009

PANDUAN MENULIS KARANGAN JENIS KEPERIHALAN / GAMBARAN

Pendahuluan

a)Bahagian permulaan peristiwa
b)Mengandungi pihak yang terlibat dalam cerita
c)Lokasi cerita
d)Masa berlaku

Isi dan Perkembangan Isi

a)Mengandungi segala peristiwa yang berlaku
b)Bahasa mesti jelas dan dapat menggambarkan peristiwa yang berlaku
c)Jalan cerita yang menarik
d)Ada unsur-unsur saspens
e)Memuatkan perasaan yang dialami

Penutup

a)Peleraian segala peristiwa
b)Menamatkan cerita anda dan elakkan cerita yang tergantung
c)Gambarkan juga perasaan yang dialami setelah selesai peristiwa tersebut