Sabtu, 6 Oktober 2012

Selamat Menduduki Peperiksaan kepada Calon-calon PMR 2012

Cikgu ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR kepada semua pelajar tingkatan tiga di seluruh negara khususnya kepada pelajar-pelajar SMK Dang Anum . Pastikan anda semua sudah bersedia dan mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa dan juga guru-guru.Semoga berjaya.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’


Tidak akan  tercapai sesuatu cita-cita itu dengan tidak kuat berusaha. Begitulah maksud peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

            Aleef merupakan pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia merupakan seorang anak yatim.Ayahnya telah meninggal dunia semasa dia berumur tujuh tahun.Kini, ibunyalah yang menanggung kehidupan mereka tiga beranak.Bertuahlah  ibunya kerana Aleef rajin dan bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan. Dialah harapan keluarganya.
            Ketika sembilan bulan sebelum peperiksaan SPM, Aleef telah membuat persiapan lebih awal. Dia senantiasa mengulang kaji pelajaran serta tidak pernah ponteng menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.Di samping itu, Aleef juga sering mengadakan diskusi secara berkumpulan.
            Walaupun sibuk dengan pelajaran, Aleef tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai anak. Setiap petang, selepas balik dari sekolah dia akan membantu ibunya di gerai pisang goreng milik ibunya. Aleef sedar bahawa daripada hasil jualan pisang goreng itulah ibunya menyara kehidupan mereka sekeluarga.
            Selain belajar dan menolong ibunya, Aleef selalu berdoa kepada Allah untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti. Aleef  berkeyakinan bahawa selain mendapat restu daripada ibunya dan rajin mengulang kaji pelajaran,dia patut berdoa agar dikurnai Allah kejayaan.
            Pada hari peperiksaan,Aleef tidak cemas. Segala soalan peperiksaan dijawabnya dengan yakin dan tenang. Aleef tidak sanggup menghampakan harapan ibunya yang telah banyak berkorban untuknya.
            Setelah empat bulan berlalu, kini keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan. Aleef berdebar-debar untuk melihat keputusan yang bakal diperolehnya. Aleef amat terkejut kerana belum pun sempat dia sampai ke arah papan kenyataan, beberapa orang rakannya telah mengucapkan tahniah kepadanya.
            Aleef tidak menyangka bahawa dia telah mendapat 10A dalam peperiksaan SPM.
            ”Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi atas kejayaanku ini,”getus Aleef dalam hati.
            Ibu dan adiknya turut berasa gembira atas kejayaan Aleef. Begitulah usaha yang membuahkan kejayaan. Bak kata pepatah,”kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.

Langkah-langkah yang Boleh diamalkan oleh Seseorang Itu untuk Memiliki Tahap Kesihatan yang Baik.


Kesihatan merujuk satu keadaan tubuh badan yang tidak mengalami sebarang masalah seperti penyakit kencing manis dan mudah diserang penyakit berjangkit lain. Kesihatan amat penting dalam menjamin keceriaan hidup setiap individu.Kesihatan yang baik tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Terdapat pelbagai langkah yang boleh diamalkan oleh seseorang itu untuk memiliki tahap kesihatan yang baik.

         Aspek pemakanan adalah faktor utama yang amat penting dalam menjamin kesihatan yang baik. Seseorang itu harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam kehidupannya. Diet yang seimbang memastikan tubuh badan seseorang memiliki semua zat yang diperlukan oleh seseorang itu.Tamsilnya, seseorang individu itu haruslah mengambil pemakanan yang seimbang dengan merujuk kepada piramid makanan.Oleh itu, pemakanan yang sebegini memberikan tahap kesihatan yang baik.

         Selain itu, seseorang harus mengamalkan aktiviti senaman. Hal ini demikian kerana terdapat orang ramai pada masa ini yang malas untuk bersenam. Tindakan melakukan senaman dua atau tiga kali seminggu menyebabkan tubuh badan seseorang berfungsi dengan baik kerana semua toksik telah dikeluarkan menerusi peluh. Sebagai contoh orang ramai boleh melakukan senaman secara berkala mengikut peringkat umur dan kesesuaian diri mereka. Oleh itu, untuk memperoleh kesihatan yang baik kita harus melakukan senaman yang konsisten dan tetap.

        Dalam pada itu, pemeriksaan kesihatan yang dibuat sepanjang tahun boleh memberi satu perspektif yang baik tentang tahap kesihatan seseorang itu. Hal ini kerana masyarakat pada masa ini hanya akan pergi ke klinik atau hospital apabila telah menghidap sesuatu penyakit.Pemeriksaan yang kerap ini menyebabkan seseorang itu mengetahui keadaan kesihatan badan mereka dan melakukan beberapa perubahan untuk memastikan mereka dalam keadaan yang seimbang. Tamsilannya, orang ramai boleh membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik-klinik kerajaan mahupun swasta bagi mereka yang berkemampuan. Sesungguhnya, pemeriksaan kesihatan yang kerap akan memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, kesihatan amat penting dalam kehidupan seseorang terutama mereka yang sudah berumur. Penjagaan kesihatan yang berkala ini menjamin kebahagiaan kehidupan seseorang. Walaupun seseorang itu berharta tetapi tidak memiliki tahap kesihatan yang baik, kehidupannya sudah pasti akan sengsara,bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Usaha-usaha untuk Mempopularkan Permainan Tradisional


Permainan tradisional seperti congkak,wau dan gasing telah kita warisi sejak sekian lama.Namun, permainan ini kian dilupakan oleh generasi kini.Justeru, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mempopularkannya kembali.
Dalam hal ini, pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan perlu memainkan peranan penting untuk mempopularkannya.Kempen-kempen untuk memperkenalkan permainan ini kepada orang ramai seharusnya diadakan dengan sekerap mungkin.
Sehubungan dengan itu, media massa juga perlu mempromosikan permainan ini kepada masyarakat.Tamsilnya, slot berkenaan permainan ini boleh ditayangkan di kaca televisyen pada setiap hari terutama pada waktu puncak.
Selain itu, permainan ini dapat juga diperkenalkan kepada para pelajar melalui aktiviti kokurikulum di sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Oleh hal yang demikian generasi muda dapat mengenali permainan tersebut dan tahu cara-cara memainkannya.
Konklusinya, permainan tradisional perlu dipopularkan kembali. Hal ini demikian kerana warisan nenek moyang kita ini amat berharga dan tidak seharusnya dibiarkan lenyap ditelan zaman.

Faedah-faedah Berkebun


Berkebun merupakan aktiviti yang sangat berfaedah kepada kita. Pelbagai faedah dapat kita peroleh melalui aktiviti ini.

Menjimatkan perbelanjaan harian keluarga merupakan salah satu faedah sekiranya kita melakukan aktiviti ini. Hal ini demikian kerana kita tidak perlu membeli keperluan dapur seperti sayur-sayuran sekiranya kita menanamnya di kebun kita.

Selain itu, hubungan kekeluargaan juga akan semakin erat melalui aktiviti ini. Hal ini kerana ahli keluarga akan bersama-sama mengusahakan kebun tersebut agar mengeluarkan hasil yang memuaskan.

Di samping itu, apabila kita berkebun, tubuh badan kita akan bertambah sihat. Sebagai contoh, semasa melakukan aktiviti menyangkul tanah, badan kita akan mengeluarkan peluh yang baik untuk kesihatan kita.

Kesimpulannya, berbudi kepada tanah tiada ruginya. Justeru, ativiti ini perlu dilakukan oleh mereka yang mempunyai peluang dan masa untuk melakukannya.

120 patah perkataan

Keburukan Internet (2)




Internet merupakan suatu teknologi yang mendapat tempat dalam kalangan manusia kini. Penggunaan internet telah memberi pelbagai kesan negatif kepada kehidupan manusia.

Kelekaan bermain permainan video ’online’ memberikan kesan negatif kepada para pelajar.Hal ini demikian kerana mereka akan mengabaikan tugasan harian mereka seperti mengulang kaji pelajaran,beriadah dan sebagainya.

Selain itu,masyarakat juga sering menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab melalui media ini. Tamsilnya, mereka diumpan dengan e-mel palsu yang akhirnya menyebabkan mereka mengalami kerugian beribu-ribu ringgit.

Dalam pada itu, internet merupakan tempat tumpuan penggunanya mendapatkan bahan lucah.Dengan ini, pengguna yang masih mentah khususnya akan mudah terpengaruh dengan bahan-bahan tersebut yang akhirnya menyebabkan berlakunya jenayah rogol.

Kesimpulannya, masalah penggunaan internet yang tidak sihat ini perlu dikawal oleh kerajaan dengan bersungguh-sungguh. Masyarakat pula perlu lebih pandai memilih bahan dalam internet.

125 patah perkataan

Cara-cara Menghargai Warga Tua


Pada era globalisasi ini, warga tua ialah warga yang patut dihargai dan dihormati oleh generasi muda. Justeru, terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk menghargai mereka.

Sebagai anak, kita perlulah kerap menziarahi mereka. Dengan ini, mereka akan merasakan diri mereka masih dihormati dan disayangi oleh anak-anak yang telah mereka didik dari kecil hingga dewasa.

Selain itu, kita juga hendaklah menjaga perasaan mereka. Hal ini kerana golongan ini amat sensitif dengan sebarang tindakan yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

Dalam pada itu, anak-anak juga hendaklah memberikan wang yang secukupnya kepada orang tua mereka. Oleh itu, mereka dapat membeli keperluan harian mereka tanpa perlu meminta-minta daripada orang lain.

Seterusnya, kasih sayang merupakan elemen terpenting dalam mengukuhkan hubungan antara generasi muda dengan warga tua ini. Tamsilnya, anak-anak perlu mendekati mereka dengan pendekatan yang berhemah.

Konklusinya, warga tua perlulah dihargai oleh semua pihak. Kita hendaklah menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk kita selama ini.

Menyemaikan Sikap Berbudi Bahasa dalam Kalangan Masyarakat


Menyemaikan Sikap Berbudi Bahasa dalam Kalangan Masyarakat

            Sikap berbudi bahasa merupakan suatu elemen penting dalam usaha melahirkan masyarakat yang harmoni dan penyayang. Terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan bagi menyemaikan sikap berbudi bahasa dalam kalangan masayarakat.

Kita perlulah menggunakan bahasa yang bertatasusila. Hal ini kerana penggunaan bahasa yang sedemikian akan dapat memberikan imej yang baik kepada penuturnya.

Selain itu, kita seharusnya  mengucapkan salam apabila bertemu dengan sesiapa sahaja sama ada kita mengenalinya atau tidak. Dengan ini, hubungan silaturahim dapat dieratkan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

            Dalam pada itu, kita juga janganlah meninggikan suara apabila bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita.Tamsilnya, kita hendaklah bertutur dengan sopan ketika berbicara dengan ibu bapa kita.

            Konklusinya, jika semua individu mengamalkan sikap yang terpuji ini, sudah tentu misi untuk melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa akan terlaksana.
            

Khamis, 6 September 2012

Kesan-kesan negatif kebanjiran pendatang asing ke negara kita.

Huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan negatif kebanjiran pendatang asing ke negara kita. Panjang karangan anda hendaklah melebihi 180 patah perkataan.

 Kita menghargai sumbangan pekerja asing dalam membantu pembangunan ekonomi negara ini, khususnya dalam sektor hartanah. Mereka telah menjadi sebahagian daripada institusi sosial di negara kita. Walaupun begitu kemasukan mereka ke negara kita telah mncetuskan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat di negara ini. Pelbagai kesan negatif telah dirasakan oleh sebahagian besar penduduk dewasa ini.

 Kejadian jenayah yang meningkat di negara kita kebelakangan ini dikatakan banyak berpunca daripada kebanjiran pendatang asing ke negara kita. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada mereka datang ke negara ini dengan tujuan untuk mendapatkan kekayaan dengan cepat. Justeru, mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja pekerjaan walaupun yang menyalahi undang-undang.Sebagai contoh mereka akan melakukan rompakan, penculikan, dan sebagainya bagi mendapatkan wang yang banyak.Sememangnya jenayah kerap berlaku di kawasan yang didiami oleh mereka ini.

 Selain itu, kehidupan para penduduk di sesuatu kawasan menjadi tidak tenteram. Hal ini disebabkan sikap tidak menghormati budaya dan agama masyarakat setempat. Dengan ini, mereka akan menyebabkan berlakunya konflik dengan penduduk tempatan. Tamsilnya, pendatang-pendatang asing terutamanya kaum lelaki akan menganggu anak-anak gadis dan isteri-isteri orang yang lalu berhampiran dengan mereka. Perbuatan mereka ini pastinya menimbulkan kemarahan penduduk yang akhirnya mencetuskan pergaduhan dan sebagainya.

 Di samping itu juga peluang pekerjaan penduduk tempatan akan terjejas. Hal ini berlaku kerana kebanyakan majikan mahu mengupah pekerja yang rendah gajinya. Justeru, para majikan akan mengurangkan pengambilan pekerja tempatan tetapi dalam masa yang sama menambah bilangan pekerja asing. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.Sebagai contoh, mereka akan memenuhi sektor pekerjaan dalam bidang perindustrian dan perladangan. Gaji yang rendah kepada pekerja asing sememangnya menjadi punca utama kepada permasalahan ini berlaku.

 Konklusinya, kebanjiran pendatang asing ke negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah sosial yang kronik.Justeru,pihak yang berwajib perlulah memastikan pendatang asing tersebut tidak akan menimbukan masalah pada masa hadapan.Dengan ini nasib penduduk tempatan lebih terjamin. Sememangnya tidak boleh dinafikan kedatangan pendatang asing telah mendatangkan impak negatif kepada kehidupan sosial masyarakat di negara kita.

Sabtu, 25 Ogos 2012

Contoh Jawapan Ringkasan

Antara punca kemerosotan disiplin murid ialah pengaruh media massa yang sering menonjolkan budaya kuning dari Barat. Selain itu, kemerosotan juga terjadi kerana masalah keluarga. Dalam pada itu, sesetengah murid pula menjadikan sekolah sebagai tempat untuk melupakan segala masalah sehinggakan sanggup melanggar disiplin yang ditetapkan.Seterusnya, hukuman yang dikenakan kepada murid juga merupakan faktor yang menyebabkan seseorang itu menjadi semakin liar.Di samping itu, pengaruh rakan sebaya turut mempengaruhi kemerosotan disiplin murid. Akhirnya,kemisikinan juga boleh menyebabkan seseorang itu melanggar disiplin sekolah.

 (79 jumlah patah perkataan)

Soalan Percubaan PMR 2012

Jumaat, 27 Julai 2012

Drama Cabaran


Latar Masyarakat

         i.            Masyarakat kampung yang tidak mahu berubah.
Contoh: Yahya menyatakan bahawa penduduk kampung  hanya rajin menanam bunga, tetapi tidak mahu menanam sayur-sayuran.

       ii.            Masyarakat yang mahukan perubahan.
Contoh: Pemuda kampung seperti Yahya dan Firdaus mempunyai pandangan yang jauh untuk mengubah kehidupan penduduk desa.

      iii.            Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
Contoh: Zainal berfikiran sempit dan tidak mahu menerima perubahan.

     iv.            Masyarakat yang berusaha membela nasib bangsa sendiri.
Contoh: Yahya dan penduduk kampung telah menubuhkan barisan Pembela Rakyat Desa dan menubuhkan Kedai Syarikat Bekerjasama.

       v.            Masyarakat yang suka membazir masa.
Contoh: Ramai pemuda kampung bertenggek di tepi tembok batu dengan membuang masa. 

     vi.            Masyarakat yang mempunyai pengetahuan agama.
Contoh: Husin dan Firdaus mengaitkan agama dengan cara kehidupan masyarakat sekarang dan mencontohi cara kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W.

Drama Cabaran


Teknik Penceritaan   

         i.            Imbas Kembali
Contoh: Yahya teringat ucapan Yang Berhormat Encik Osman semasa berkempen menjelang pilihan raya sedikit masa dahulu.

       ii.            Dialog
Contoh: Firdaus : Salah kita juga Ani. Salah aku. Salah engkau.
  Hani      : Ani tak mengaku salah, Ani.
      iii.            Monolog
Contoh: Yahya bercakap pada diri sendiri sambil menyindir Yang Berhormat mudah lupa akan jasa yang dilakukan oleh orang-orang bawahan.



 Watak dan Perwatakan  

Watak Utama
Yahya
         i.            Ketua Pemuda Parti dan suami Mariah.
       ii.            Pemuda kampung bersemangat tinggi.
Contoh: Yahya mahu masyarakat Melayu berani mengkritik diri sendiri demi mencapai kemajuan.

      iii.            Berpandangan jauh dan berpendirian tegas.
Contoh: Yahya menegaskan Parlimen bertanggungjawab mencari punca-punca kemunduran masyarakat Melayu.

     iv.            Gigih berusaha.
Contoh: Yahya dan rakan-rakannya menubuhkan barisan Pembela Rakyat Desa.

Watak Sampingan

Firdaus
         i.            Berfikiran positif.
Contoh:  Firdaus yakin masyarakat Melayu sanggup bertungkus lumus.

       ii.            Pemuda yang tetap pendirian.
Contoh: Firdaus percaya masyarakat Melayu layak menjalankan perusahaan walaupun disanggah oleh Zainal.

      iii.            Bijak berhujah.
Contoh: Firdaus mematahkan setiap sindiran Zainal. 



Drama Cabaran (A.Ghafar Ibrahim)


Pemikiran   

Perubahan sikap dan pemikiran generasi muda dalam mencapai kemajuan. Firdaus dan Yahya mempunyai gagasan fikiran untuk membela nasib masyarakat kampung. Antara perubahan yang cuba diketengahkan adalah dengan menubuhkan barisan Pembela Rakyat Desa dengan harapan dapat membela masyarakat.

Persoalan   


         i.            Penentangan arus perubahan. Persoalan ini dapat dilihat daripada watak Zainal yang sentiasa tidak mahu mengikut arus perkembangan.

       ii.            Kepentingan berpegang pada janji. Perkara ini dapat dilihat dalam watak Yang Berhormat Encik Osman yang pandai menabur janji semasa berkempen untuk pilihan raya.

      iii.            Kepentingan kejujuran dalam memegang amanah. Hal ini dapat dilihat melalui sikap orang-orang yang menggelapkan keuntungan syarikat sehingga kilang padi terpaksa ditutup.

     iv.            Keperluan perubahan sikap dalam masyarakat. Perkara ini dapat dilihat dalam watak-watak seperti Yahya dan Firdaus yang mahukan perubahan dalam masyarakatnya. Contohnya Yahya telah menubuhkan barisan Pembela Rakyat untuk membantu rakyat desa.








         i



Jumaat, 20 Julai 2012

Salam Ramadan 2012

Selamat berpuasa cikgu tujukan khas kepada pengunjung-pengunjung blog ini yang beragama Islam. Semoga  kita dapat meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita kepada  Allah s.w.t. Amin.

Ahad, 15 Julai 2012

Karangan: Jenayah Juvana


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk membendung jenayah juvana. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.



Belakangan ini jenayah dalam kalangan remaja menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar arus perdana di negara kita. Pelbagai prakarsa boleh diambil bagi memastikan isu ini tidak bertambah parah.


Undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan bagi mencegah jenayah ini daripada terus berlaku. Dengan ini, remaja akan takut dan berfikir panjang untuk melakukan jenayah tersebut


Selain itu, ibu bapa juga perlu memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Tamsilnya, mereka boleh menghantar anak-anak remaja mereka ke kelas-kelas agama pada waktu senggang.


Di samping itu, pihak sekolah juga perlu memberikan bimbingan kaunseling kepada mereka yang terlibat dengan jenayah ringan di sekolah. Hal ini bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan jenayah lebih berat pada masa akan datang.


Konklusinya, untuk mengatasi masalah ini memerlukan komitmen daripada semua pihak. Sekiranya semua pihak berganding bahu pasti gejala negatif ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin.



Ahad, 24 Jun 2012

Kebaikan Amalan Gotong-royong


Karangan Rangsangan
20 markah
(25 minit)

Contoh Soalan
Berdasarkan gambar di bawah ini, huraikan pendapat anda tentang kebaikan amalan gotong-royong. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Teknik Menulis
*      Cara menulis pendahuluan
*      (A1) isu(tajuk)
*      (A2) hala tuju(fokus soalan)
*      Contoh:
*      (A1)Aktiviti gotong-royong merupakan amalan yang diwarisi sejak zaman-berzaman.
*      (A2)Pelbagai faedah dapat diperoleh melalui aktiviti ini.

Pengembangan Isi

*      Cara mengembangkan isi
*      A1) Isi
*      A2) Huraian -mengapa?
                       -bagaimana?
                       -kesan?
                       -contoh?
*      Pilih satu sahaja.

Contoh Ayat

*      A1) Antara faedah bergotong-royong  termasuklah memudahkan sesuatu kerja.
*      A2)Dengan ini,kerja-kerja yang berat dapat disiapkan dengan lebih mudah dan cepat apabila dilakukan secara bergotong-royong.(Kesan)


*      A1)Selain itu, melalui aktiviti ini hubungan silaturahim antara setiap individu yang terlibat dapat dijalinkan.
*      A2)Hal ini demikian kerana sambil bekerja,mereka dapat bergurau senda dan mengeratkan kemesraan. (Bagaimana)

*      A1) Di samping itu, akvititi gotong-royong juga dapat menjimatkan kos.
*      A2)Tamsilnya, setiap individu yang terlibat akan menyumbangkan wang dan tenaga bagi memastikan aktviti tersebut berjalan dengan lancar. (Contoh)



Penutup

*      Cara menulis penutup/kesimpulan
*      A1)Rumusan
*      Contoh:
*      A1)Konklusinya, aktiviti gotong-royong memberikan banyak faedah kepada pihak-pihak yang terlibat.

*      A2)Ayat Harapan/Cadangan
*      A2)Justeru,amalan ini perlu dihidupkan terus oleh generasi yang seterusnya agar tidak dilupakan begitu sahaja. (Harapan)
*      A2)Justeru, masyarakat setempat hendaklah melakukannya seberapa kerap yang mungkin untuk mendapatkan manfaatnya. (Cadangan)






Isnin, 4 Jun 2012

Novel Lestari Bukit Menghijau


Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Zahiran

1.Anak yatim (bapanya telah meninggal dunia semasa ia berusia 10 tahun).

2.Pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai.

 3.Seorang yang baik hati
    Dia membantu Pak Tua menukar tayar jip yang pancit.

4.Menjadi ketua kumpulan mencari burung bagi menjayakan projek sekolah lestari.

 5.Seorang yang mencintai alam sekitar – dia sedar manusia mempunyai hubungan yang
   rapat dengan alam sekitar.

6.Dapat menguasai nama saintifik beberapa jenis pokok
   Dia belajar daripada Pak Tua.

7.Mudah mesra.
   Menjalinkan hubungan erat dengan Pak Tua.

 8.Berjaya mengikis anggapan orang kampung terhadap Pak Tua.

9.Bertanggungjawab.
   Zahiran melaksanakan tugasan yang diarahkan seperti mencari burung.


10.Rajin berusaha.
     Zahiran rajin mengulangkaji pelajarannya dan mempelajari namanama
     saintifik pokok daripada Pak Tua.

11.Bijak.
     Zahiran bijak hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka
    di Londang.Dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang saintis seperti Pak Tua.










Novel Bukan Duniaku

Watak dan Perwatakan Watak Utama


Halim
a.Halim anak tunggal dalam keluarga.


b.Halim berusia 15 tahun.


c.Halim terlalu mengikut kata hati. 

Dia sanggup lari dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya.

d.Halim mudah terpedaya. 

Halim terpengaruh oleh kata-kata Abang Joe yang telah menyelamatkannya daripada disamun. Dia percaya bahawa Abang Joe lelaki yang baik sedangkan Abang Joe hanya ingin memerangkap  remaja yang lari dari rumah seperti Halim.

e.Halim rajin bekerja. 

Halim rajin bekerja sebagai pencuci kereta walaupun Abang Joe tidak memberikan sebarang upah kepadanya.

f.Halim tabah menempuh dugaan s
emasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikemanusiaan. 
Abang Joe akan mengarahkan konco-konconya memukul Halim jika dia ingkar akan arahannya atau cuba melarikan diri.


g.Halim bersimpati kepada Saleh yang terpaksa berhenti sekolah kerana ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya.

TUGASAN SEMASA CUTI PERTENGAHAN SEMESTER 1 2012


TINGKATAN 3
 JAWAB SEMUA SOALAN KOMSAS DI BAWAH DALAM BENTUK ESEI YANG LENGKAP.
BUAT  DALAM BENTUK FOLIO.


SOALAN
1. Berdasarkan novel Merenang Gelora,huraikan persoalan yang terdapat dalam novel
    tersebut.

2. Berdasarkan novel Lestari Bukit Menghijau,huraikan persoalan yang terdapat dalam
    novel tersebut.

3. Berdasarkan novel Bukan Duniaku,huraikan persoalan yang terdapat dalam novel
    tersebut.

4. Berdasarkan novel Merenang Gelora,huraikan satu contoh peristiwa bagi setiap latar
    masa, tempat dan masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut.

5. Berdasarkan novel Lestari Bukit Menghijau, huraikan satu contoh peristiwa bagi setiap
    latar masa, tempat dan masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut.

6. Berdasarkan novel Bukan Duniaku,huraikan satu contoh peristiwa bagi setiap latar
    masa, tempat dan masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut.

7. Berdasarkan novel Merenang Gelora,huraikan tiga perwatakan watak utama yang
    terdapat dalam novel tersebut.

8. Berdasarkan novel Lestari Bukit Menghijau,huraikan tiga perwatakan watak utama
    yang terdapat dalam novel tersebut.

9. Berdasarkan novel Bukan Duniaku,huraikan tiga perwatakan watak utama yang
    terdapat dalam novel tersebut.

10. Berdasarkan novel Lestari Bukit Menghijau,huraikan satu contoh peristiwa bagi
      setiap nilai yang dinyatakan ini.
      NILAI-Kerjasama-Kegigihan-Kasih Sayang

Jumaat, 1 Jun 2012

Novel Bukan Duniaku


Tema

Ketabahan hati seorang remaja lelaki dalam menempuh liku-liku kehidupan setelah terperangkap dalam sindiket haram. Halim tabah menempuh dugaan hidup di ibu kota setelah dia termasuk dalam perangkap Abang Joe. Halim tabah meneruskan kehidupan dengan bekerja sebagai pencuci kereta walaupun Abang Joe tidak membayar sebarang upah kepadanya.

Persoalan
1.Kesengsaraan hidup remaja yang menjadi yang menjadi mangsa kumpulan sindiket haram. Halim dan rakan-rakannya hidup terkongkong dan terseksa. Abang Joe telah mengarahkan konco-konconya supaya sentiasa mengawasi tindakan Halim dan rakan-rakannya. Sesiapa yang ingkar akan arahan Abang Joe akan dipukul oleh konco-konco Abang Joe.

2.Kekesalan remaja yang bertindak mengikut kata hati. 
Halim amat kesal atas tindakannya lari dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya. Sikap terburu-buru Halim itu telah membawa musibah kepadanya.

3.Sikap golongan yang tidak bertanggungjawab yang sanggup mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain demi kepentingan diri. 
Abang Joe telah memperdayakan Halim dan rakan-rakannya supaya tinggal dengannya. Dia memukul dan mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti menjaga petak letak kereta dan mencuci kereta tanpa membayar sebarang upah kepada mereka.

4.Semangat setiakawan yang tinggi. 
Saleh sanggup menemani Halim berjumpa dengan Abang Joe kerana dia bimbang akan keselamatan kawan baiknya itu. Saleh tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.

5.Kebijaksanaan seorang pegawai polis dalam menyiasat kes jenayah.
 Fariz bijak menyembunyikan identitinya dalam menyiasat kes Abang Joe. Dia memberitahu Halim kononnya dia seorang kerani di sebuah syarikat swasta supaya identitinya yang sebenar tidak terbongkar. Dia sering pergi ke tempat Halim bekerja untuk mengintip kegiatan Abang Joe dan konco-konconya.

6.Peranan pihak berkuasa dalam menangani kes-kes jenayah. 
Anggota polis yang diketuai oleh Fariz telah memberkas Abang Joe dan konco-konconya yang melakukan kegiatan jenayah seperti mengedar dadah, memeras ugut, dan sebagainya.
  

Novel Lestari Bukit Menghijau



Tema

Kepentingan menjaga alam sekitar. Pak Tua sangat mencintai alam sekitar sehingga dia
sanggup membeli bukit yang dipenuhi hutan belantara. Dia melarang sesiapa sahaja yang
cuba menebang pokok. Dia juga menangis apabila pokok bintangor kesayangannya
terbakar.


Persoalan

1. Persoalan cinta akan alam sekitar.
Pak Tua amat mencintai alam sekitar hingga sanggup membeli sebuah bukit seluas
empat hektar yang dipenuhi belantara. Kawasan bukit ini ditanami dengan pokok
bintangor.

2. Persoalan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
Penduduk Kampung Alor Rambai telah membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan
kawasan kampung demi mengelakkan penyakit-penyakit bawaan nyamuk.

3. Persoalan peranan pelajar menjayakan sesuatu projek sekolah.
Zahiran dan rakan-rakannya berusaha mencari burung dan ikan untuk menjayakan
projek sekolah lestari.

4. Persoalan mempercayai kepercayaan karut.
Pak Hamid mempercayai khidmat dukun Lebai Deraman yang mengubati anaknya,
Hamzah. Hamzah dikatakan demam biasa akibat ditegur hantu tanah.

5. Persoalan para saintis membuat kajian menghasilkan perubatan moden.
Pak Tua dan rakan-rakannya berjaya menghasilkan penawar HIV daripada ekstrak
pokok bintangor spesies calophyllum lanigerum.

6. Persoalan sumber alam yang boleh memberikan manfaat kepada manusia.
Sumber alam seperti pokok bunga cempaka putih boleh mengubati bisul. kudis dan
radang tengkuk; daun pokok kacang kelor berkhasiat membantu membersihkan darah,
mengurangkan kandungan gula dan mengawal tekanan darah di dalam badan.

Sabtu, 19 Mei 2012

Karangan Peribahasa :Air dicencang Takkan Putus.


Aku dilahirkan dalam keluarga yang serba sederhana dan sempurna. Aku merupakan anak yang ketiga dalam keluargaku. Walau bagaimanapun, dalam diam-diam aku amat mencemburui akan kakakku yang lebih tua dua tahun daripadaku.
            Setiap hari aku pasti akan bergaduh dengan kakakku walaupun disebabkan hal yang tidak seberapa. Aku amat mencemburui kakakku, Fatin disebabkan kepintarannya dalam pelajaran. Hal ini demikian kerana aku sering mendapat keputusan yang buruk dalam peperiksaan. Tambahan pula aku sememangnya malas mengulang kaji pelajaran dan berat mulut untuk bertanya kepada guru.
Kakakku pula seorang yang rajin belajar dan menjadi murid kesayangan guru-guru kerana sikapnya yang mesra dengan mereka di sekolah.Ibu bapaku juga lebih menyayangi dia berbanding dengan aku.Aku berasa begitu tersisih sekali dengan sikap mereka berdua kepadaku.
Di rumah, apabila tiba waktu membuat sarapan pagi atau makan malam, aku akan selalu disuruh oleh ibuku untuk menolongnya memasak di dapur. Kakakku langsung tidak disuruh oleh ibuku dengan alasan dia sentiasa sibuk mengulang kaji pelajaran di dalam biliknya.Aku sentiasa merungut di dalam hati. Aku merasakan layanan yang diberi oleh ibu dan ayahku tidak adil.
Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, aku tidak terkejut apabila mengetahui dia mendapat keputusan 10A berbanding dengan aku yang hanya mendapat 5A sahaja dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang lalu.Aku langsung tidak berasa gembira atas kejayaannya.
Beberapa bulan kemudian, kakakku mendapat tawaran belajar dalam jurusan perubatan di sebuah universiti di Mesir. Kakakku dapat melihat riak mukaku yang tidak menyukai akan dirinya. Tanpa kusangka, kakakku mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu ayah dan ibuku menjaga dirinya ketika menjalani pembedahan beberapa tahun yang lalu.Dia seterusnya memberi kata-kata perangsang kepadaku untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
Aku menitiskan air mata apabila mengetahui yang sebenarnya kakakku amat menyayangi akan diriku. Aku memohon maaf  kepada kakakku atas sikapku yang mencemburui dan memusuhinya selama ini. Kakakku juga menyatakan kepadaku supaya jangan mencemburui pencapaiannya kerana sebenarnya dia juga cemburu akan kerajinanku membantu ibu dan ayahku di rumah selama ini. Akhirnya, hubungan antara aku dan kakakku semakin erat bak kata pepatah air dicencang takkan putus.
           
Hasil nukilan: Muhammad Adli Haziq 3 Dahlia 2012

Ahad, 6 Mei 2012

Cerpen Kasut Kelopak Jantung

Novel Merenang Gelora


Watak dan Perwatakan

Watak Utama 

i.                                 Badri
·         Anak sulung kepada Mak Siti.

·         Mempunyai seorang adik lelaki bernama Badrul.

·   Berperawakan kemas dan berwibawa dalam menjalankan tanggungjwab sebagai seorang pengawas.

·         Pengawas sekolah.

·         Seorang yang bertanggungjawab.
Contoh: Badri seorang yang bertanggungjawab kerana telah berjaya menyelesaikan masalah disiplin seperti penjualan telefon bimbit di sekolah.

·         Seorang yang berdisiplin.
Contoh: Dia tidak pernah melanggar peraturan sekolah sepanjang bergelar pelajar melalui pengetahuan adiknya.

·         Seorang yang menepati masa.
Contoh: pada pukul 6.40 pagi Badri  tidak pernah terlewat menunggu bas  awam untuk pergi ke sekolah.

·         Seorang yang setia dalam persahabatan.
Contoh: Badri berkawan baik dengan Jamil walaupun beliau telah mengetahui bahawa Jamil turut terlibat dalam kes pejualan telefon bimbit di sekolahnya.

·         Seorang yang berani menghadapi cabaran.
Contoh: Badri bersikap berani menghadapi cabaran dalam menangani masalah murid yang berlagak ala samseng,dan sengaja melanggar disiplin sekolah.

·         Seorang yang rajin mengulang kaji pelajaran.
Contoh: Badri mengajak Siew Mei dan Taufik membentuk kumpulan belajar.

·        Seorang yang berpendirian teguh. Contoh, Badri tidak menghiraukan tentang usikan rakan-rakannya mengenai hubungannya dengan Nadira dan Siew Mei.


Merenang Gelora


Tema

Novel ini bertemakan cabaran dan tanggungjawab  seorang pelajar dalam menjalankan tugas sebagai seorang pengawas. Tema ini dijelmakan melalui watak utama, Badri yang menempuh pelbagai cabaran sepanjang menjalankan tugas sebagai pengawas sekolah yang belum pernah disandang sejak zaman persekolahannya.

Persoalan

 Ibu bapa yang mementingkan kerjaya menyebabkan anak-anak terlibat dalam gejala sosial.
Contoh: Shahrul yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapanya telah terlibat dalam masalah disiplin sekolah dan bercampur dengan kumpulan motor.

       ii.            Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
Contoh: Encik Tan memohon kepada pengetua  supaya  Meng Kong ditempatkan di asrama sekolah supaya anaknya berdisiplin dan berjaya dalam peperiksaan.

      iii.            Hasad dengki dalam persahabatan.
Contoh: Shahrul mengarahkan Kumar memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg sekolah Meng Kong supaya Meng Kong dibuang dari asrama.

     iv.            Tanggungjawab terhadap tugas.
Contoh: Badri sebagai seorang pengawas terus merujuk Cikgu Jailani sekiranya pelajar terlibat dalam kes disiplin walaupun melibatkan kawannya sendiri Jamil.

       v.            Semangat kerjasama dalam menyelesaikan masalah.
Contoh: Siew Mei memberikan maklumat kepada Badri tentang penglibatan Shahrul dan rakan-rakannya dalam penjualan telefon bimbit secara ansuran kepada pelajar di sekolahnya.

     vi.            Sikap gigih golongan pelajar untuk mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan.
Contoh: Badri, Siew Mei dan Taufik mengadakan belajar berkumpulan dan akhirnya berjaya memperoleh keputusan 9A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

    vii.            Buruk sangka dalam kalangan pelajar.
Contoh: Shahrul, Kumar, Jamil dan Meng Kong bersangka buruk terhadap Badri sehingga menyimbahkan air ketika Badri berada di dalam tandas sekolah.

  viii.            Gejala lumba haram dalam kalangan remaja.
Contoh: Shahrul dan Aziz terlibat dalam perlumbaan haram sehingga hampir ditangkap oleh pihak polis.

     ix.            Berdikari untuk mendapatkan pengalaman bekerja.
Contoh: Badri dan Taufik bekerja sambilan di resort bapa saudara Badri sementara menunggu keputusan SPM.

       x.            Perpaduan kaum.
Contoh: Badri, Siew Mei,Taufik dan Kumar belajar bersama-sama walaupun mereka berlainan agama dan bangsa.