Rabu, 30 September 2009

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN(4)

SOALAN:Kesihatan merupakan suatu aspek yang harus dititikberatkan oleh masyarakat demi kelangsungan hidup. Namun, berita tentang pelbagai penyakit berjangkit yang melanda sesebuah kawasan yang sering menghiasi dada-dada akhbar menimbulkan banyak persoalan. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat menghidap penyakit?

PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN

A1)Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya?
(Isu)

A2)Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?
(Isu yang berkaitan)

A3)Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.
(Ulasan isu)

A4)Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?
(Hala tuju)

PERENGGAN LENGKAP

Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya.Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?


55 jumlah perkataan

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (5)

LATAR

Latar berperanan memberikan suasana kepada peristiwa dan manusia yang terdapat dalam cerita.
Latar   penting   dalam   mengembangkan tema, persoalan, plot, watak, dan perwatakan. Idea, plot, dan watak akan lebih hidup jika berada dalam situasi pelbagai latar.
Latar merangkumi pelukisan geografi, topografi, pemandangan, bangunan, peralatan, tanggungjawab watak, waktu, dan sebagainya.

Latar terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

1)Latar tempat
Merupakan ruang atau tempat peristiwa berlaku yang berkaitan dengan lokasi geografi.

2)Latar waktu atau masa
Menunjukkan masa peristiwa berlaku seperti zaman, era, sejarahnya, atau musimnya.

3)Latar masyarakat atau citra masyarakat
Menunjukkan gambaran keadaan masyarakat dalam cerita merangkumi bangsa atau etnik, status dan kehidupan sosial, ekonomi, dan sebagainya yang bersesuaian dengan watak.

Selasa, 29 September 2009

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (4)

TEKNIK PLOT

Teknik plot ialah cara pengarang mengembangkan plot ceritanya supaya menarik.

Antara teknik plot termasuklah seperti yang berikut:

1)IMBAS KEMBALI

Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.
Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman

2)IMBAS MUKA

Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan  awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan.
Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.

3)SASPENS

Saspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya

4)KONFLIK

Konflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot.
Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam din watak dan secara luaran, iaitu antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar.
Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap, atau pemikiran.

5)KEJUTAN

Kejutan ialah perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca.
Lazimnya, kesan yang timbul daripada kejutan tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.

6)DIALOG

Dialog merupakan pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak.
Melalui dialog antara watak-watak inilah     biasanya     tergambar    pendapat atau   fikiran   yang   berkaitan   dengan tema.

7)MONOLOG DALAMAN

Rungutan atau rintihan watak di dalam hati

8)MONOLOG

Pengucapan atau pertuturan oleh watak secara bersendirian

Isnin, 28 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (15)

Penggunaan kad kredit banyak memberi kesan kepada masyarakat. Bincangkan pernyataan ini.

A1)Antara kesan buruk yang ditimbulkan akibat daripada penggunaan kad kredit ialah mendorong pengguna untuk menjadi boros dalam berbelanja.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana pengguna boleh berbelanja melebihi pendapatan yang mereka ada dengan menggunakan kad kredit ini.
(Mengapa)

A3)Dengan ini, pengguna akan tergoda untuk membeli sesuatu barang walaupun mereka tahu sebenarnya mereka tidak mampu berbuat demikian dengan pendapatan yang mereka ada seperti kata pepatah gajah berak besar,kancil pun hendak berak besar,akhirnya mati kebebangan.
(Kesan)

A4)Sebagai contoh,terdapat pengguna kad kredit ini yang membeli barangan yang berjenama dan mahal di luar kemampuan mereka kerana mengamalkan sikap biar papa,asal bergaya.
(Contoh)

A5)Sememangnya jelaslah bahawa penggunaan kad kredit mendorong pengguna boros semasa berbelanja.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara kesan buruk yang ditimbulkan akibat daripada penggunaan kad kredit ialah mendorong pengguna untuk menjadi boros dalam berbelanja.Hal ini berlaku demikian kerana pengguna boleh berbelanja melebihi pendapatan yang mereka ada dengan menggunakan kad kredit ini.Dengan ini, pengguna akan tergoda untuk membeli sesuatu barang walaupun mereka tahu sebenarnya mereka tidak mampu berbuat demikian dengan pendapatan yang mereka ada seperti kata pepatah gajah berak besar,kancil pun hendak berak besar,akhirnya mati kebebangan.Sebagai contoh,terdapat pengguna kad kredit ini yang membeli barangan yang berjenama dan mahal di luar kemampuan mereka kerana mengamalkan sikap biar papa,asal bergaya.Sememangnya jelaslah bahawa penggunaan kad kredit mendorong pengguna boros semasa berbelanja.

95 patah perkataan

Jumaat, 25 September 2009

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (3)

PLOT

1)Plot ialah sesuatu yang menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap peristiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.

2)Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat.

3)Susunan cerita bergantung pada fantasi dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi. 

4)Plot ialah penyusunan kronologi yang diubahsuai mengikut kemahuan pengarang.

5)Teknik penyusunan plot yang menarik ialah penyusunan peristiwa secara tidak kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.

BINAAN/STRUKTUR PLOT

1)Permulaan plot ialah peringkat permulaan (eksposisi),iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana. Perkembangan plot mengakibatkan konflik.

2)Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).

3)Perumitan menuju kepada puncak(klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum.

3)Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang  puncak dijadikan  pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.

Jumaat, 18 September 2009

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (2)

WATAK

1)Watak ialah pelaku atau tokoh dalam sesuatu karya yang menggerakkan cerita dengan cara berinteraksi sesama watak dan alam.

2)Dalam sesuatu cerita lazimnya terdapat istilah yang berkaitan dengan aspek watak, iaitu watak utama, watak sampingan, watak bundar, watak pipih, watak dinamik, watak statik, protagonis dan antagonis.

3)Watak pipih  lazimnya tidak kompleks,  tidak berkembang, dan tidak memeranjatkan pembaca.

4)Watak bulat amat menarik kerana watak jenis ini menuju ke pelbagai arah sama ada menambah pengalamannya ,mengubah sikapnya ,dan fizikalnya.

5)Watak dinamik ialah watak yang mengalami pelbagai konflik, persoalan, dan permasalahan dari awal hingga akhir.

6)Watak statik atau kaku tidak mengalami apa-apa perubahan, perkembangan, dan tidak bergerak.

7)Watak yang berperanan amat penting disebut watak utama. Watak yang kurang penting dalam cerita disebut watak sampingan.

8)Watak protagonis ialah watak utama dalam sesebuah cereka. Watak ini tidak semestinya orang yang baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin diktator,koruptor,penjenayah,dan sebagainya.

9)Watak antagonis menjadi penentang atau lawan kepada watak protagonis.


PERWATAKAN

1)Perwatakan pula ialah pelukisan tentang watak dari aspek luaran dan dalaman.

2)Pelukisan watak itu boleh dilakukan secara langsung atau secara tidak langsung olen pengarang melalui aksi,tutur kata atau watak-watak berkenaan.

3)Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya dan ideologi, serta gambaran perasaan seseorang atau watak itu.

Khamis, 17 September 2009

LAWAK BILIK GURU(19)

Kisah ini adalah kisah benar yang berlaku dalam hidupku beberapa tahun yang lalu. Kisah tragis yang membawa aku ke kota raya ini. Aku mengenali Farhana sejak kecil lagi.Kami tinggal berjiran. Rumahnya hanya selang tiga buah rumah dari rumahku. Dialah rakan sepermainanku.Dialah temanku ke sekolah. Walaupun usiaku tiga tahun lebih tua daripadanya, itu tidak menghalang untuk kami sama-sama mengulangkaji pelajaran. Kalau tidak di rumahku, pasti di rumahnya. Ayah dan ibu kami tidak pernah menghalang hubungan kami.

Hubungan kami sejak kecil berlarutan hingga dewasa. Semakin lama kami semakin akrab.Akhirnya aku akur yang sebenarnya aku sangat menyintai dia. Farhana, aku terlalu menyintaimu!". Hanya itu yang bermain difikiranku setiap hari. Pada suatu hari pada hari lahirnya, aku telah menghadiahkannya sebuah kek yang kubuat sendiri khas untuknya. Dia sangat terharu dengan pemberianku yang sungguh istimewa itu. Aku telah berterus-terang dengannya mengenai perasaan cintaku padanya dan hasratku untuk melamarnya. Ternyata aku tidak bertepuk sebelah tangan. Dia juga sangat menyintaiku. Kami telah sepakat untuk membina mahligai bahagia.

Hasrat murniku telah kusuarakan kepada bonda tercinta.
"Ibu, Syah nak tanya sikit boleh tak?". Aku memulakan bicara, sebaik saja selesai menikmati makan malam.
"Apa dia sayang?"balas ibuku lembut.
"Syah rasa.........Syah nak kahwinlah bu........",dengan perlahan aku suarakan apa yang terpendam. Aku hanya tunduk menanti reaksi ibu.
"Betul ke ni Syah? Gadis bertuah mana yang jadi pilihan Syah tu?".
Aku jadi lebih serba-salah. Perlukah aku berterus-terang sekarang? Ah, aku mesti mencuba.
"Syah nak kawin dengan Farhana." Aku semakin pasrah, apa nak jadi-jadilah.

Tiba-tiba pinggan yang ibuku tatang sedari tadi jatuh berderai.
"Kau dah gila ke Syah? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Kau sedar tak kita ni siapa, dia tu siapa?" tempik ibuku memecah kesunyian.
Tak pernah aku lihat ibuku semarah itu selama hidupku.
"Tapi ibu, Syah sayangkan dia.Syah tak sanggup nak berpisah dengan dia. Sejak kecil lagi Syah berkawan dengan dia, salah ke kalau Syah nak kawin dengan dia?".
Aku cuba memujuk.
"Tidak! Kau jangan nak jadi anak derhaka Syah! Ibu tak rela!".
" Tapi ibu.......".
"Tiada tapi-tapi lagi, kau mesti putuskan hubungan dengan dia.........", suara ibu semakin perlahan.
"Dari kecil ibu bela kau Syah, tak pernah ibu bantah apa saja permintaan kau nak. Tapi kali ini, tolonglah faham. Kita ni kambing Syah.Kau sedar tak yang kita ni kambing?Mana boleh kambing kahwin dengan ayam?". Air mata ibu jatuh berderai. Aku hanya terkedu, memang benar kata-kata ibu. Aku pasrah. Farhana.Aku tetap sayang padamu,walaupun kau dilahirkan sebagai seekor ayam.

Pengajaran:Sedarlah siapa diri kita.

ASPEK KAJIAN SASTERA/KOMSAS (1)

SINOPSIS

1)Ringkasan cerita lebih kurang 100 - 150 patah perkataan.
2)Mengandungi huraian cerita mengikut urutan masa berdasarkan plot.

TEMA

Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau tidak langsung (implisit).

PERSOALAN

Persoalan bermaksud perkara-perkara atau isi yang lebih kecil yang ada hubungannya dengan tema sesuatu karya.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (14)

Penggangguran dalam kalangan siswazah pada masa ini semakin meningkat. Terdapat pelbagai faktor yang dikenal pasti menjadi punca pengangguran ini.
Berikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan pengangguran ini berlaku.

A1)Antara punca yang dikenalpasti adalah kerana terdapat sesetengah daripada kalangan sisawazah ini yang terlalu memilih pekerjaan.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak mahu atau malu untuk melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelulusan yang mereka miliki seolah-olah mereka lupa kepada pepatah ‘ular yang menyusur akan tidak akan hilang bisanya’.
(Mengapa)

A3)Dengan ini, mereka lebih rela menganggur daripada memohon pekerjaan yang lebih rendah kelayakannya walaupun terdapat kekosongan pada sektor pekerjaan tersebut.
(Kesan)

A4)Sebagai contoh, mereka hanya memandang sepi tawaran pekerjaan yang dipaparkan di akhbar-akhbar sekiranya jawatan yang ingin mereka mahukan tiada disenaraikan dalam iklan tersebut.
(Contoh)

A5)Sikap memilih pekerjaan ini sudah pasti akan menyebabkan masalah pengangguran dalam kalangan mereka akan terus meningkat dari tahun ke tahun.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara punca yang dikenalpasti adalah kerana terdapat sesetengah daripada kalangan sisawazah ini yang terlalu memilih pekerjaan.Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak mahu atau malu untuk melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelulusan yang mereka miliki seolah-olah mereka lupa kepada pepatah ular yang menyusur akan tidak akan hilang bisanya.Dengan ini, mereka lebih rela menganggur daripada memohon pekerjaan yang lebih rendah kelayakannya walaupun terdapat kekosongan pada sektor pekerjaan tersebut.Sebagai contoh, mereka hanya memandang sepi tawaran pekerjaan yang dipaparkan di akhbar-akhbar sekiranya jawatan yang ingin mereka pohon tiada disenaraikan dalam iklan tersebut.Sikap memilih pekerjaan ini sudah pasti akan menyebabkan masalah pengangguran dalam kalangan mereka akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

90 patah perkataan

Isnin, 14 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (13)

Penggunaan kenderaan awam merupakan langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di bandar-bandar besar.
Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang berkesan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam?

A1)Selain itu, tambang kenderaan awam hendaklah jauh lebih rendah daripada kos pengangkutan yang lain.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini tambang kenderaan awam dan pengangkutan yang lain tidak jauh perbezaannya.
(Mengapa)

A3)Lantaran itu, sudah tentu orang ramai akan tertarik untuk menggunakan kenderaan awam kerana kosnya yang lebih murah berbanding dengan pengangkutan yang lain.
(Kesan)

A4)Tamsilnya,tambang bas yang dikenakan hendaklah separuh daripada kos yang ditanggung oleh pengguna sekiranya mereka menggunakan kenderaan persendirian.
(Contoh)

A5)Sekiranya langkah ini direalisasikan,sudah tentu akan berlaku peningkatan yang ketara dalam pengunaan kenderaan awam di bandar-bandar besar di negara kita.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu, tambang kenderaan awam hendaklah jauh lebih rendah daripada kos pengangkutan yang lain.Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini tambang kenderaan awam dan pengangkutan yang lain tidak jauh perbezaannya.Lantaran itu, sudah tentu orang ramai akan tertarik untuk menggunakan kenderaan awam kerana kosnya yang lebih murah berbanding dengan pengangkutan yang lain.Tamsilnya,tambang bas yang dikenakan hendaklah separuh daripada kos yang ditanggung oleh pengguna sekiranya mereka menggunakan kenderaan persendirian.Sekiranya langkah ini direalisasikan,sudah tentu akan berlaku peningkatan yang ketara dalam pengunaan kenderaan awam di bandar-bandar besar di negara kita.

80 patah perkataan

Cadangan isi lain:
1.Sistem pengurusan yang cekap –jadual perjalanan
2.Bayaran letak kenderaan yang tinggi ke atas kenderaan persendirian
3.Kempen melalui media massa

Peribahasa:Menyesal dahulu pendapatan,menyesal kemudian tidak berguna

Ahad, 13 September 2009

Peribahasa:Berpantang ajal sebelum maut

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (12)

Masalah kanak-kanak hilang daripada jagaan ibu bapa mereka sering dipaparkan di media massa sejak akhir-akhir ini.Berikan pendapat anda cara untuk mencegah kejadian ini daripada berlaku.

A1)Antara cara yang boleh dilakukan ialah melatih anak-anak supaya tidak mudah mempercayai dan mengikut orang yang tidak dikenali.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana,kebanyakan anak-anak pada masa ini mudah termakan pujuk oleh mereka yang sememangnya sedang mencari mangsa untuk tujuan yang tidak baik.
(Mengapa)

A3)Dengan ini, kanak-kanak akan lebih berwaspada sekiranya ada individu yang ingin mengambil kesempatan ke atas diri mereka.
(Kesan)

A4)Tamsilnya, ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka cara untuk menolak permintaan individu yang tidak mereka kenali atau menjerit sekiranya dipaksa untuk mengikut individu tersebut.
(Contoh)

A5)Sememangnya kaedah ini perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga persis kata mutiara beringat sebelum kena,berjimat sebelum habis.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara cara yang boleh dilakukan ialah melatih anak-anak supaya tidak mudah mempercayai dan mengikut orang yang tidak dikenali.Hal ini berlaku demikian kerana,kebanyakan anak-anak pada masa ini mudah termakan pujuk oleh mereka yang sememangnya sedang mencari mangsa untuk tujuan yang tidak baik.Dengan ini, kanak-kanak akan lebih berwaspada sekiranya ada individu yang ingin mengambil kesempatan ke atas diri mereka.Tamsilnya, ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka cara untuk menolak permintaan individu yang tidak mereka kenali atau menjerit sekiranya dipaksa untuk mengikut individu tersebut.Sememangnya kaedah ini perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga persis kata mutiara beringat sebelum kena,berjimat sebelum habis.

95 patah perkataan

Cadangan isi:
i. Memasang kamera litar tertutup (cctv) di tempat-tempat strategik tumpuan
awam.
ii. Ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak ketika berada di kawasan
tumpuan orang ramai.
iii. Ibu bapa mengajar anak-anak menyebut namanya sendiri dengan lengkap
dan alamat tempat tinggal.
iv. Tidak membenarkan anak-anak keluar ke mana-mana secara bersendirian.
v. Ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak ketika bermain di tempat
permainan kanak-kanak.

LAWAK BILIK GURU(18)

Kamal baru sahaja berkahwin.Oleh sebab tidak mempunyai
rumah,dia terpaksa menumpang di rumah bapa mertuanya.
Malangnya,ada sesuatu yang tidak kena. Kamal terlalu
kuat makan. Bapa mertuanya selalu merungut. Beras 20 kg,
tidak sampai seminggu sudah habis.Selalunya tidak seperti
ini.Sejak Kamal duduk di rumahnya,cepat sangat
barang-barang dapur habis.Kamal betul-betul menghabiskan
beras.Kebaikan Kamal pula ialah dia seorang yang alim.
Dia tidak pernah meninggalkan sembahyang. Malangnya, bapa
mertuanya tidak pula begitu.Pada waktu Maghrib dia seronok
berada di depan televisyen menonton rancangan Roda Impian.
Selepas itu dia sambung menonton berita.Selepas itu dia
makan.Kemudian dia tidur.Esok bangun pukul 8 pagi
terus pergi ke kedai kopi dan bersembang sampai tengah hari.
Balik makan,kemudian tidur.Petang pergi kedai kopi lagi.
Dia bermain dam dan berborak mengalahkan orang politik.
Oleh sebab sama-sama ada kekurangan inilah yang menyebabkan
si menantu tidak berani menasihati bapa mertua, dan bapa
mertua tidak berani memarahi anak menantu yang kuat makan.
Tetapi dia terus mencari idea bagaimana hendak mengenakan
Kamal.Bengang betul dia.Sudahlah tidak bekerja,melantak
kuat pulak tu.Suatu hari dia mendapat idea bagaimana hendak
mengenakan Kamal.
"Kamal, mari kita main dam haji," katanya kepada Kamal.
"Boleh juga," kata Kamal tanpa mensyaki sesuatu.
Apabila sahaja bermain, dia sengaja membiarkan buah damnya
dimakan oleh Kamal.Dia hulur,Kamal makan.Hulur lagi,Kamal
makan.Lagi hulur,lagi makan lagi, dan lagi.
"Eh, kau ni Kamal,kuat betul makanlah.Agak-agaklah," katanya tersenyum.
"Alamak bapa mertua aku ni perli aku ni.Mentang-mentang aku kuat
makan," fikirnya dalam hati.(monolog dalaman)
Mereka bermain set kedua.Bapa mertuanya hulur,dia
tidak makan.Hulur lagi, tidak makan juga.Dia kena tangkap tidak
seperti set pertama.Dia sudah bijak sedikit.Jika,tidak makan,
mestilah kena tangkap(sesiapa tidak tahu main dam haji tentu
tak faham cerita ini)Kemudian bapa mertuanya dapat melangkah
hingga ke haji.Apa lagi.
"Eh, orang tak pernah sembahyang pun boleh pergi haji ke?
Merah padam muka bapa mertuanya.Dia hendak menyindir anak
menantunya, tetapi dia yang terkena.
Sejak hari itu, Kamal tidak lagi kuat makan dan bapa mertuanya
menjadi alim.Dia tidak meninggalkan sembahyang lagi.Sekarang ini,
dia berada di Mekah mengerjakan umrah.Hendak menunaikan haji belum
ada seru lagi katanya.

Pengajaran:Cermin diri kita sendiri.

Sabtu, 12 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (11)

Kebelakangan ini kejadian jenayah semakin berleluasa di negara kita. Huraikan cara-cara yang boleh diambil untuk mengurangkan kejadian jenayah ini.

A1)Selain itu, penguatkuasaan undang-undang negara hendaklah dipertingkatkan.
(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana negara kita sebenarnya mempunyai undang-undang jenayah yang mencukupi tetapi kekurangan anggota polis untuk menguatkuasakannya.
(Mengapa)

A3)Dengan ini,anggota polis dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan kerana kawasan rodaan mereka akan menjadi lebih kecil dan memudahkan tugas untuk mengawasinya.
(Kesan)

A4)Sebagai contoh,bilangan anggota polis dan kakitangan kehakiman hendaklah ditambah seiring dengan pertambahan penduduk di negara kita.
(Contoh)

A5)Sememangnya dengan peningkatan penguatkuasaan undang-undang akan dapat memberi impak yang diharapkan bagi mengurangkan jenayah di negara kita.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu, penguatkuasaan undang-undang negara hendaklah dipertingkatkan. Hal ini berlaku demikian kerana negara kita sebenarnya mempunyai undang-undang jenayah yang mencukupi tetapi kekurangan anggota polis untuk menguatkuasakannya.Dengan ini,anggota polis dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan kerana kawasan rondaan mereka akan menjadi lebih kecil dan memudahkan tugas untuk mengawasinya.Sebagai contoh,bilangan anggota polis dan kakitangan kehakiman hendaklah ditambah seiring dengan pertambahan penduduk di negara kita.Sememangnya dengan peningkatan penguatkuasaan undang-undang akan dapat memberi impak yang diharapkan bagi mengurangkan jenayah di negara kita.


78 patah perkataan

Imbuhan BeR

1. “beserta” dan “berserta”, yang manakah satu betul? Adakah huruf “r” dalam imbuhan digugurkan seperti perkataan “bekerja”?

Drp:
Cikgu Liao

Jawaban:
Untuk menyelesaikan masalah ini, kita mestilah mengetahui bentuk awalan beR- yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Awalan beR-
Awalan beR- terdiri daripada satu bentuk sahaja yang boleh digabungkan dengan semua kata dasar. Contoh:

beR- + angkat ---> berangkat
beR- + budi --> berbudi
beR- + cahaya --> bercahaya
beR- + dosa ---> berdosa

Apabila awalan beR- bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf r, dua r tersebut akan menjadi satu r sahaja melalui proses peleburan bunyi. Contoh:

beR- + renang --> berenang
beR-+ rasa ---> berasa
beR-+ raja ---> beraja
beR-+ rendam --> berendam


Kesilapan yang sering dilakukan oleh pengguna ialah mereka menggugurkan huruf r dalam awalan beR- apabila awalan beR- digabungkan dengan konsonon yang diikuti oleh –er- . Contoh:

beR- + derma ---> bederma (tidak gramatis)
--> berderma (gramatis)
beR-+serban --> beserban (tidak gramatis)
--> berserban (gramatis)

beR-+ternak --> beternak (tidak gramatis)
--> berternak (gramatis)
beR-+ teriak --> beteriak (tidak gramatis)
--> berteriak (gramatis)
beR-+ terbang +-an --> beterbangan (tidak gramatis)
--> berterbangan (gramatis)

Namun demikian terdapat beberapa kekecualian yang berkaitan dengan pembentukan perkataan yang berawalan beR-.

1. Awalan beR- yang bergabung dengan perkataan kerja, r pada awalan ber- tersebut mengalami peleburan bunyi. Keadaan ini dianggap sebagai satu bentuk kecualian.

2. Awalan beR- yang bergabung dengan perkataan ajar dan unjur, awalan beR- akan menjadi bel- yang merupakan satu kecualian juga. Contoh:

beR- + ajar ---> belajar
beR- + unjur --> belunjur

Kesimpulannya, perkataan `berserta’ menepati pembentukan perkataan berawalan beR- dalam bahasa Melayu, manakala perkataan `bekerja' merupakan kekecualian.

Dipetik daripada blog http://agy7500.blogspot.com/

Khamis, 10 September 2009

LAWAK BILIK GURU(17)

Ali dan Abu baru pulang dari bandar.Untuk sampai
ke kampung,mereka terpaksa melalui jalan pintas
yang bersebelahan sebuah kawasan perkuburan.Hati
mereka berdebar-debar semasa melalui kawasan
perkuburan itu dan dalam sayup-sayup malam mereka
terdengar bunyi ketukan dari kawasan perkuburan itu.
Mereka berdua memberanikan diri untuk melihat dari
mana datangnya bunyi itu.Dengan perlahan-lahan
mereka menghampiri kawasan kubur dan ternampak
seorang tua sedang mengetuk batu nisan menggunakan
tukul besi dan pahat.Dalam keadaan yang agak gelap
itu,orang tua tersebut tekun mengukir sesuatu di atas
batu nisan.

Ali dan Abu: Fuuufff...Terkejut kami, ingatkan pak cik
ni hantu tadi.

Sambil merapati orang tua itu mereka bertanya.

Ali dan Abu:Apa yang pakcik buat malam-malam buta di kubur ni?

Tiba-tiba lelaki tua itu berpaling dan menjawab dengan marah.

Lelaki tua:Bodoh!! Dia orang salah eja nama aku!

Pengajaran: Jangan suka keluar pada waktu malam.

Rabu, 9 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (10)

Masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Pada pendapat anda,apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini?

A1)Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini ialah ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak mereka.

A2)Hal ini berlaku demikian kerana, pada masa ini kebanyakan ibu bapa terlalu memberi kebebasan dan seterusnya memberi kepercayaan yang penuh atas apa jua tindakan yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

A3)Natijahnya,kedapatan anak-anak remaja ini yang telah menyalahgunakan kepercayaan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada mereka.

A4)Tamsilnya,anak-anak ini akan melakukan apa sahaja perkara negatif yang terlintas pada fikiran mereka dan kerap berbohong bagi mengaburi mata kedua-dua ibu bapa mereka kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka akan mempercayai sepenuhnya diri mereka.

A5)Sememangnya kawalan daripada ibu bapa amat diperlukan bagi membendung gejala sosial ini daripada terus menular.

PERENGGAN LENGKAP

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini ialah ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak mereka.Hal ini berlaku demikian kerana, pada masa ini kebanyakan ibu bapa terlalu memberi kebebasan dan seterusnya memberi kepercayaan yang penuh atas apa jua tindakan yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Natijahnya,kedapatan anak-anak remaja ini yang telah menyalahgunakan kepercayaan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada mereka.Tamsilnya,anak-anak ini akan melakukan apa sahaja perkara negatif yang terlintas pada fikiran mereka dan kerap berbohong bagi mengaburi mata kedua-dua ibu bapa mereka kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka akan mempercayai sepenuhnya diri mereka.Sememangnya kawalan daripada ibu bapa amat diperlukan bagi membendung gejala sosial ini daripada terus menular.

90 patah perkataan

Selasa, 8 September 2009

KOSA KATA(2)

1. luwes = fleksibel

tidak terlalu ketat, mudah disesuaikan (dgn keadaan dll), dapat diubahsuai; keluwesan perihal (sifat dsb) luwes.

2. mampan

mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yg baik (bkn ekonomi, pemba¬ngunan dsb).

3. darsawarsa = dekad

10 tahun

4. cakna

Tr ambil peduli, ambil berat: semenjak emak kau meninggal, sayalah yg ~ makan minum ayah kau

5. kondusif

sesuai, baik dsb utk membantu, men¬capai atau mendorong menghasilkan sesuatu: dgn penyediaan persekitaran yg ~, negara akan terus mengalami perkembangan ekonomi yg menggalakkan; keadaan ini dikatakan tidak ~ dlm melahirkan suatu generasi baru pemikiran dan intelektual yg berwibawa.

6. governan

Autoriti yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu pihak dalam melaksanakan pemerintahan

7. kesima

Jk; terkesima tercengang, termangu-¬mangu, hilang akal

8. lestari

Jk tidak berubah-ubah, kekal, tetap; melestarikan menetapkan, mengekalkan: ~ hutan; kelestarian keadaan (hutan, persekitaran, dll) yg tidak berubah atau yg terpelihara spt asal, keaslian: ~ hutan kita mesti diutamakan; pelestarian perlindungan drpd kemusnahan.

9. prakarsa

inisiatif, daya usaha, ikhtiar.

10. implementasi(impléméntasi)

proses melaksanakan (mengusahakan) sesuatu, pelaksanaan; mengimplementasikan melaksanakan, menjalankan, menunaikan (tugas, usaha, dll): utk ~ projek-projek yg telah lama dirancangkan.

Isnin, 7 September 2009

KOSA KATA(1)

1)justifikasi

sesuatu alasan (yg kuat) yg menjadikan sesuatu wajar dilakukan (diusahakan dsb) atau diberikan, hujah (pendapat dsb) yg dikemukakan sbg alasan bagi sesuatu: RTM mungkin mempunyai ~ sendiri utk menyiarkan majlis itu secara langsung; berbagai-bagai alasan atau sebab-musabab dikemukakan sebagai ~ kpd kelemahan tersebut; menjustifikasikan memberikan justifikasi kpd: mereka perlu memberikan bukti yg nyata utk ~ permohonan pinjaman itu.

2)manifestasi

perbuatan (ucapan dll) yg memperlihatkan (menjadikan nyata) sesuatu;memanifestasikan melahirkan, memperlihatkan, menunjukkan, menjadikan nyata: hasrat ini dimanifestasikan oleh seorang penulis yg tidak dikenali pd tahun 1814; watak yg secara lebih giat ~ rasa kekecewaan; dlm solatnya dia sentiasa ~ dan selalu pula membaharui ikrarnya kpd al-Khaliq;termanifestasi terpancar: hal ini ~ dlm amalan umat Islam tentang konsep sekolah agama.

3)marcapada / mayapada

sl dunia sekarang ini: orang Mukmin yg tidak terpengaruh dgn ~ yg penuh dgn tipu daya.

4)Intiha

Ar akhir, penghabisan, penutup.

5)enteng

1. tidak berat timbangannya; ringan. 2. tidak mustahak atau tidak penting; ringan; mudah. mengentengkan menganggap enteng; meringankan; memudahkan.
ringan, mudah;mengentengkan meringankan, memudahkan;mengenteng-entengkan menganggap mudah (ringan): G. Eton ~ bidang ini;entengan sesuatu yg dianggap ringan atau mudah: hasil sastera itu ~ sahaja, sulitnya tidak seberapa; keentengan keringanan, kemudahan.

6)iktisad

Ar ekonomi, perekonomian: kerajaan sedang berusaha hendak memajukan ~ penduduk luar bandar; ahli ~ ahli ekonomi.

7)globalisasi

fenomena yg menjadikan dunia kelihatan mengecil dr segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat: dlm era ~ sekarang ini, kita lebih terdedah kpd pengaruh budaya luar.

8)mersik

mersik1 kuat lagi nyaring (bkn suara atau bunyi): Suara perempuan itu ~. 2 kering benar; tidak berair (bkn sambal dll); garing (bkn gorengan): sambal yg ~. 3= kurus ~/ sangat kurus; kurus kering: Badannya kurus ~.

9)spesies

ist golongan haiwan, tumbuh-tumbuhan dll yg mempunyai ciri-ciri yg sama.
golongan benda (binatang, tumbuh-tumbuhan, dll) yg mempunyai sifat yg sama atau bersamaan bangsa, jenis.

10)umat

1. para pemeluk atau penganut sesuatu agama, pengikut Nabi: ~ Islam terdiri drpd bermacam-macam bangsa dgn berbagai-bagai bahasa; 2. seluruh rakyat, orang banyak, khalayak ramai: ~ Asia-Afrika; 3. segolongan manusia, bangsa: ayuhai kaum bangsaku, cubalah kita renungkan kedudukan ~ kita, Melayu! 4. = ~ manusia seluruh bangsa manusia, sekalian manusia: Nabi bagi segala~.

SUMBER:DBP

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (10)

SOALAN:Hampir setiap hari media massa membuat liputan tentang peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menanganinya.

A1) Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menyediakan sistem jalan raya yang baik dan teratur.
(Apa)

A2) Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini terdapat banyak jalan raya yang ada di negara kita dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna seperti berlubang, sempit, bengkang-bengkok dan sebagainya.
(Mengapa)

A3) Dengan pembaikan yang dilakukan sudah pasti akan memberi keselesaan dan mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna semasa memandu di jalan raya.
(Kesan)

A4) Sebagai contoh, jalan raya yang sempit hendaklah dilebarkan manakala jalan yang berlubang perlu ditampal dengan segera.
(Contoh)

A5)Sememangnya langkah menyediakan sistem jalan raya yang baik akan dapat mengurangkan risiko yang sentiasa dihadapi oleh pengguna-pengguna jalan raya pada masa ini.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

SOALAN:Hampir setiap hari media massa membuat liputan tentang peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menanganinya.

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menyediakan sistem jalan raya yang baik dan teratur.Hal ini berlaku demikian kerana pada masa ini terdapat banyak jalan raya yang ada di negara kita dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna seperti berlubang, sempit, bengkang-bengkok dan sebagainya.Dengan pembaikan yang dilakukan sudah pasti akan memberi keselesaan dan mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna semasa memandu di jalan raya.Sebagai contoh jalan raya yang sempit hendaklah dilebarkan manakala jalan yang berlubang perlu ditampal dengan segera.
Sememangnya langkah menyediakan sistem jalan raya yang baik akan dapat mengurangkan risiko yang sentiasa dihadapi oleh pengguna-pengguna jalan raya pada masa ini.

90 patah perkataan

ISI CADANGAN YANG LAIN

1. Membuat perancangan bandar yang teratur.
Contoh: Mengelakkan laluan penting merentasi bandar.

2. Penguatkuasaan undang-undang.
Contoh: Hukuman berganda bagi mereka yang melakukan kesalahan yang berulang.

3. Zon khas.
Contoh: Zon jalan kaki/motor

Ahad, 6 September 2009

Peribahasa:Seperti pinang dibelah dua

Lawak Bilik Guru(16)

Suatu hari di dalam kelas perubatan di Universiti Antah Berantah.

Pensyarah:Dalam bidang perubatan, ada dua kualiti yang sangat penting untuk menjadi seorang doktor.Pertama,kamu semua tidak boleh jijik melihat mayat.

(sambil pensyarah itu mencucuk satu jarinya ke dalam mulut mayat, menariknya semula dan menjilat jarinya itu)

Pensyarah:Sekarang, cuba kamu buat.

Selepas beberapa ketika, barulah mereka mengikut apa yang telah mereka lihat tadi. Seorang demi seorang memasukkan jari ke dalam mulut mayat dan menjilatnya. Apabila semua pelajar selesai, pensyarah itu memandang ke arah mereka dan berkata.

Pensyarah:Kualiti kedua yang sangat penting ialah pemerhatian yang tajam. Seperti tadi,saya memasukkan jari hantu tetapi menjilat jari telunjuk.
SEKARANG.TUMPUKAN PERHATIAN.PAHAM!!!

Pengajaran:Beri sepenuh perhatian di dalam kelas.

Sabtu, 5 September 2009

Peribahasa:Bagai anjing buruk kepala

Simpulan bahasa:Menempah maut

Peribahasa:Bagai telur di hujung tanduk

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (9)

Kebelakangan ini gejala buli sering berlaku di sekolah-sekolah.Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini.

(A1)Di samping itu,hukuman yang lebih berat sepatutnya dikenakan ke atas pelajar-pelajar yang terlibat dengan gejala ini.
(Apa)

(A2)Hal ini berlaku demikian kerana, hukuman yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah pada masa ini agak longgar dan dipandang remeh oleh pelajar-pelajar ini.
(Mengapa)

(A3)Dengan ini, pelajar akan berasa takut untuk melakukan perbuatan membuli ini kerana takut dikenakan hukuman yang berat.
(Kesan)

(A4)Tamsilnya,pelajar yang terlibat hendaklah dikenakan hukuman sebat dan dibuang sekolah sekiranya mengulangi perbuatannya lagi.
(Contoh)

(A5)Sememangnya hukuman yang berat pastinya akan menggerunkan para pelajar untuk melakukan gejala yang tidak sihat ini.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Di samping itu,hukuman yang lebih berat sepatutnya dikenakan ke atas pelajar-pelajar yang terlibat dengan gejala ini.Hal ini berlaku demikian kerana, hukuman yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah pada masa ini agak longgar dan dipandang remeh oleh pelajar-pelajar ini.Dengan ini, pelajar akan berasa takut untuk melakukan perbuatan membuli ini kerana takut dikenakan hukuman yang berat.Tamsilnya,pelajar yang terlibat hendaklah dikenakan hukuman sebat dan dibuang sekolah sekiranya mengulangi perbuatannya lagi.Sememangnya hukuman yang berat pastinya akan menggerunkan para pelajar untuk melakukan gejala yang tidak sihat ini.

80 patah perkataan

Jumaat, 4 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (8)

SOALAN:Kesihatan merupakan suatu aspek yang harus dititikberatkan oleh masyarakat demi kelangsungan hidup. Namun, berita tentang pelbagai penyakit berjangkit yang melanda sesebuah kawasan yang sering menghiasi dada-dada akhbar menimbulkan banyak persoalan. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat menghidap penyakit?

(A1)Salah satu punca yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kebanyakan daripada mereka malas atau ketiadaan masa untuk bersenam.

(A2)Hal ini berlaku demikian kerana mereka terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia siang dan malam sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti ini serta mengganggap remeh tentang perkara ini.

(A3)Sehubungan dengan itu, mereka akan dihinggapi dengan pelbagai penyakit kronik yang bersarang di dalam tubuh mereka.

(A4)Tamsilnya,kebanyakan daripada mereka hanya tidur atau melepak sambil menonton televisyen apabila ada masa yang terluang seperti ular sawa yang kekenyangan.

(A5)Sememangnya jelaslah bahawa sikap negatif mereka sendiri yang mengundang pelbagai penyakit ke dalam tubuh mereka.

PERENGGAN LENGKAP

Salah satu punca yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kebanyakan daripada mereka malas atau ketiadaan masa untuk bersenam.Hal ini berlaku demikian kerana mereka terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia siang dan malam sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti ini serta mengganggap remeh tentang perkara ini.Sehubungan dengan itu, mereka akan dihinggapi dengan pelbagai penyakit kronik yang bersarang di dalam tubuh mereka.Tamsilnya,kebanyakan daripada mereka hanya tidur atau melepak sambil menonton televisyen apabila ada masa yang terluang seperti ular sawa yang kekenyangan.Sememangnya jelaslah bahawa sikap negatif mereka sendiri yang mengundang pelbagai penyakit ke dalam tubuh mereka.

90 patah perkataan

Cadangan isi kedua dan ketiga
a. Pemakanan yang tidak teratur/seimbang
b. Gagal menjaga kebersihan diri

Cikgu berharap ada pelajar-pelajar dari kelas cikgu yang boleh membuat karangan ini sebagai latihan.

Khamis, 3 September 2009

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2009 NEGERI MELAKA - BAHAGIAN D (10 MARKAH)

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2009 NEGERI MELAKA

BAHAGIAN D (10 MARKAH)

SOALAN:Jalan cerita atau plot dalam sesebuah novel mengandungi unsur permulaan,klimaks dan peleraian. Ceritakan peleraian daripada ketiga-tiga novel yang telah anda kaji.
Jawapan mestilah berdasarkan novel yang telah anda kaji dalam Tingkatan 1,Tingkatan 2 dan Tingkatan 3.

CADANGAN JAWAPAN
*Calon hanya perlu memilih 2 jawapan sahaja bagi setiap novel.
*Setiap jawapan diberi 1 markah.

ANAK DIN BIOLA(TINGKATAN 1)

PELERAIAN
-Budiman menziarahi pusara ayahnya bersama-sama Pak Wan Busu. Dia memberitahu bahawa guru Pak Wan Busu itu ialah ayahnya.

-Pak Wan memberitahu Budiman tentang biola Bayu Senja yang dibeli daripada Pak Mat Tukang Masak.

-Datin Siti Norbayu mengadakan majlis jamuan sebelum hari Pertandingan Biola Remaja Kota Raya.

-Pertandingan Biola Remaja Kota Raya diadakan di Dewan Seri Kota.Budiman berjaya menjadi johan.

-Budiman mengajar kanak-kanak di Sekolah Muzik Lagu Bayu pada waktu siang. Pada waktu malam pula,Budiman belajar di sekolah malam sebagai persediaan sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Jepun.

-Pak Wan Busu dan Linda menjalani pembedahan mata.

-Chong dan Chandra sudah pandai hidup berdikari. Chandra belajar sambil bekerja di klinik bapa saudaranya, manakala Chong pula berjaja barang-barang kerja tangan bapa Linda.

-Pak Mat Tukang Masak dan kawannya telah dipenjarakan.

TRAGEDI EMPAT DISEMBER(TINGKATAN 2)

-DSP Yazid mengetahui perkara sebenar tentang tragedi pesawat HM356 yang meletup berdasarkan catatan yang dijumpai dalam sebuah kotak rokok besar berwarna hitam

-Kamarul azam dan Razi diselamatkan dan dirawat oleh keluarga Antik, nelayan Indonesia

-Dengan bantuan Antik dan pasukan penyelamat Polis Diraja Malaysia, Kamarul Azam dan Razi berjaya pulang ke tanah air dan sempat menghadiri upacara pengkebumian khas mangsa-mangsa tragedi

-Mereka berdua dapat bertemu semula dengan keluarga dan rakan-rakan.

-Dengan usaha sama pasukan PDRM dan Polis Indonesia,Antik dihantar pulang ke pangkuan keluarganya di sempadan perairan kedua-dua negara.

KANANG CERITA SEORANG PAHLAWAN(TINGKATAN 3)

-Kanang berkhidmat semula selepas pulih daripada rawatan akibat ditembak musuh.

-Kanang berkhidmat di Sekolah Tempur Pegawai Muda sebagai jurulatih.

-Kanang berkhidmat di Rejimen 511 Pasukan Simpanan Tentera Darat Sarawak sebagai Staf Sarjan.

-Kanang dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran 2 pada 1 Oktober 1982.

-Kanang ditukarkan ke batalion ke-8,Rejimen Renjer Malaysia di Sibu Sarawak pada 2 April 1983.

-Pada tahun 1983,Kanang dapat bertemu semula dengan ayahnya.

-Sebelum bersara, Kanang dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran 1.

-Selepas 21 tahun berkhidmat,Kanang bersara daripada angkatan tentera pada 30 Mei 1986.

-Acara penyerahan potret Kanang diadakan di Muzium Angkatan Tentera.

-Kanang mendapat penghormatan kunjungan kehormat ke pejabat Dato’ Abang Abu Bakar.

-Kerajaan negeri menganugerahkan pingat Bitara Bintang Sarawak kepada Kanang.

-Selepas bersara, Kanang berpindah ke rumah panjang Skra Hilir, menumpang di rumah mentuanya.

-Kanang mendirikan rumahnya sendiri.

-Kanang mengusahakan tanaman koko untuk menyara keluarga.

CONTOH JAWAPAN LENGKAP.

Novel yang saya kaji ialah Anak Din Biola,karya Maaruf Mahmud,Tragedi Empat Disember, karya Dzul Karnain Ithnain dan Kanang Cerita Seorang Pahlawan,karya Maznan Nordin.

Dalam novel Anak Din Biola, peleraiannya ialah Budiman mengajar kanak-kanak di Sekolah Muzik Lagu Bayu pada waktu siang. Pada waktu malam pula,Budiman belajar di sekolah malam sebagai persediaan sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Jepun manakala Chong dan Chandra sudah pandai hidup berdikari. Chandra belajar sambil bekerja di klinik bapa saudaranya, manakala Chong pula berjaja barang-barang kerja tangan bapa Linda.

Seterusnya dalam novel Tragedi Empat Disember, peleraiannya ialah Kamarul Azam dan Razi berjaya pulang ke tanah air dan sempat menghadiri upacara pengkebumian khas mangsa-mangsa tragedi dengan bantuan Antik dan pasukan penyelamat Polis Diraja Malaysia.Di samping itu dengan usaha sama pasukan PDRM dan Polis Indonesia,Antik dihantar pulang ke pangkuan keluarganya di sempadan perairan kedua-dua negara.

Akhir sekali dalam novel Kanang Cerita Seorang Pahlawan, peleraiannya ialah Kanang bersara daripada angkatan tentera pada 30 Mei 1986 selepas 21 tahun berkhidmat. Selepas bersara, Kanang berpindah ke rumah panjang Skra Hilir dan menumpang di rumah mentuanya.

Rabu, 2 September 2009

Lawak Bilik Guru(15)

Pada suatu pagi, Puan Tina ingin menghantar anaknya, Farid ke sekolah dengan menggunakan kereta barunya. Semasa hendak mengundurkan keretanya itu Puan Tina pun berpesan kepada anaknya.

Puan Tina: Farid, tolong tengok-tengokkan belakang kereta. Kalau langgar pokok, beritahu ibu.

Farid: Baiklah, ibu!

Puan Tina: Kena tak? Kena tak?

Farid: Belum, Belum, Undurlah lagi ibu.

Puan Tina: Kena tak? Kena tak?

Farid: Undur lagi, lagi, lagi.

Tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat.Bang!

Farid: Baiklah, ibu, dah kena pun pokok!

Puan Tina: Alamak! Macamana boleh terlanggar pokok? Habis kereta aku!

Farid: Kata ibu tadi, kalau kena pokok beritahu. Dah kena pokoklah tu!

Pengajaran: Arahan mesti jelas.

Selasa, 1 September 2009

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (7)

SOALAN:Berikan pendapat anda,apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencegah pelajar-pelajar daripada terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

(A1)Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengadakan kempen kesedaran tentang penyalahgunaan dadah secara besar-besaran di semua sekolah di negara ini.
(Apa)

(A2)Hal ini berlaku demikian kerana kebanyakan kempen yang diadakan pada masa sekarang hanya tertumpu di sekolah-sekolah tertentu sahaja dan tidak dilakukan secara bersepadu.
(Mengapa)

(A3)Sehubungan dengan itu,semua pelajar di negara ini akan mendapat maklumat yang tepat tentang bahaya penyalahgunaan dadah ini.
(Kesan)

(A4)Tamsilnya, kempen ini perlu disertai oleh semua agensi yang berkaitan seperti PEMADAM,ADK, pihak polis, pihak penjara dan sebagainya yang difikirkan relevan.
(Contoh)

(A5)Sememangnya,melalui kempen yang dijalankan, pastinya akan memberi impak yang besar kepada para pelajar tentang risiko yang bakal mereka terima sekiranya terlibat dengan najis dadah ini.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan
mengadakan kempen kesedaran tentang penyalahgunaan dadah
secara besar-besaran di semua sekolah di negara ini.Hal
ini berlaku demikian kerana kebanyakan kempen yang diadakan
pada masa sekarang hanya tertumpu di sekolah-sekolah tertentu
sahaja dan tidak dilakukan secara bersepadu.Sehubungan dengan itu,
semua pelajar di negara ini akan mendapat maklumat yang tepat
tentang bahaya penyalahgunaan dadah ini.Tamsilnya, kempen ini
perlu disertai oleh semua agensi yang berkaitan seperti
PEMADAM,ADK, pihak polis, pihak penjara dan sebagainya yang
difikirkan relevan.Sememangnya,melalui kempen yang dijalankan,
pastinya akan memberi impak yang besar kepada para pelajar
tentang risiko yang bakal mereka terima sekiranya
terlibat dengan najis dadah ini.

90 patah perkataan