Memaparkan catatan dengan label Karangan Peribahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan Peribahasa. Papar semua catatan

Khamis, 2 Mei 2013

Sesat di Hujung Jalan, Balik ke Pangkal Jalan



”Ayah kau bising kerana kau balik lewat. Hari ini  balik cepat sikit,”kata Mak Jah semasa Adhwa sedang memakai kasut.
Adhwa ialah anak lelaki sulungnya daripada empat adik beradik. Pada Adhwalah yang diharapkan untuk menjaga keluarga jika apa-apa terjadi kepadanya.
            ”Petang ini Adhwa ada kelas tambahan. Adhwa tak janji boleh balik awal. Emak cakap sahaja pada ayah, PMR dah dekat, jadi Adhwa perlu mengulang kaji pelajaran.”
            ”Kalau kau balik lambat kerana belajar, tak apalah. Emak risau kau menyimpang ke tempat lain pula.”
            Adhwa melangkah ke arah sekolah. Tetapi di simpang tiga, Badul dan Budin sedang menunggunya.
            ”Hari ini sahaja kau ikut kami. Esok kami tak ganggu kau lagi,”kata Badul.
            ”Dah dua hari aku ponteng sekolah. Kalaulah ayah aku tahu,habislah aku,”kata Adhwa. Hatinya masih teringatkan sekolah. Tetapi keseronokan yang ada di siber kafe sukar untuk dia lupakan. Di sekolah dia terpaksa berdepan dengan peraturan yang ketat, tugasan yang menimbun, dan leteran guru yang berterusan. Adhwa berfikir lagi.
            Badul dan Budin terus memujuk. Akhirnya, Adhwa termakan dengan pujukan rakannya itu. Mereka menuju ke siber kafe seperti kebiasaannya. Di situ menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan internet termasuklah perjudian secara ’online’.Ketika melangkah masuk, sudah ramai pengunjung yang memakai uniform sekolah dari sekolah yang berdekatan. Ada juga yang menghisap rokok.
            Jika di sekolah masa terasa bergerak begitu lambat tetapi di bilik bercahaya suram itu, cepat sahaja masa berlalu. Perut Adhwa sudah berkeroncong tetapi keseronokan tanpa ada penghujung menyebabkan dia lupa akan segala-segalanya.
            ”Lari! Lari! Lari! Polis!”Tiba-tiba terdengar jeritan daripada seorang pengunjung. Tanpa membuang masa, Adhwa merempuh pintu belakang dan dia lari sekuat hati. Dia tidak tahu nasib Badul dan Budin. Apa yang difikirkan ialah nasib dirinya sendiri. Sesekali dia menoleh ke belakang, terlihat beberapa pengunjung sedang digari oleh polis. Dia takut kalau-kalau dia tertangkap.
            Oleh sebab terlalu takut dan kurang berwaspada, dia terjatuh ke dalam longkang. Tubuhnya terhempap ke mayat yang reput. Bau busuk dan hanyir menusuk ke rongga hidungnya, Dia menggeletar ketakutan. Dia bangun semula dan terus belari.
            Apabila tiba di rumah dia terus masuk ke bilik. Ibunya terkejut melihatkan tubuhnya yang kotor. Adhwa tidak menjawab pertanyaan ibunya. Dia terus mandi dan kemudian tidur. Dalam tidurnya, dia bermimpi mayat itu mengejarnya. Dia menjerit ketakutan dan tersedar daripada mimpinya.
            Keesokan harinya dia terbaca akan suatu berita di akhbar. Rupa-rupanya mayat tersebut ialah seorang penagih dadah. Dia tersedar seketika. Dia tidak mahu kesudahan hidupnya sama dengan mayat itu. Dia tidak sanggup lagi membohongi kedua-dua orang tuanya. Begitulah kata peribahasa, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
            Kini, Adhwa menjadi insan baharu yang mempunyai keazaman yang tinggi dan tidak lagi terpengaruh dengan pujukan rakan-rakan yang bersikap negatif.

Sabtu, 6 Oktober 2012

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’


Tidak akan  tercapai sesuatu cita-cita itu dengan tidak kuat berusaha. Begitulah maksud peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

            Aleef merupakan pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia merupakan seorang anak yatim.Ayahnya telah meninggal dunia semasa dia berumur tujuh tahun.Kini, ibunyalah yang menanggung kehidupan mereka tiga beranak.Bertuahlah  ibunya kerana Aleef rajin dan bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan. Dialah harapan keluarganya.
            Ketika sembilan bulan sebelum peperiksaan SPM, Aleef telah membuat persiapan lebih awal. Dia senantiasa mengulang kaji pelajaran serta tidak pernah ponteng menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.Di samping itu, Aleef juga sering mengadakan diskusi secara berkumpulan.
            Walaupun sibuk dengan pelajaran, Aleef tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai anak. Setiap petang, selepas balik dari sekolah dia akan membantu ibunya di gerai pisang goreng milik ibunya. Aleef sedar bahawa daripada hasil jualan pisang goreng itulah ibunya menyara kehidupan mereka sekeluarga.
            Selain belajar dan menolong ibunya, Aleef selalu berdoa kepada Allah untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti. Aleef  berkeyakinan bahawa selain mendapat restu daripada ibunya dan rajin mengulang kaji pelajaran,dia patut berdoa agar dikurnai Allah kejayaan.
            Pada hari peperiksaan,Aleef tidak cemas. Segala soalan peperiksaan dijawabnya dengan yakin dan tenang. Aleef tidak sanggup menghampakan harapan ibunya yang telah banyak berkorban untuknya.
            Setelah empat bulan berlalu, kini keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan. Aleef berdebar-debar untuk melihat keputusan yang bakal diperolehnya. Aleef amat terkejut kerana belum pun sempat dia sampai ke arah papan kenyataan, beberapa orang rakannya telah mengucapkan tahniah kepadanya.
            Aleef tidak menyangka bahawa dia telah mendapat 10A dalam peperiksaan SPM.
            ”Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi atas kejayaanku ini,”getus Aleef dalam hati.
            Ibu dan adiknya turut berasa gembira atas kejayaan Aleef. Begitulah usaha yang membuahkan kejayaan. Bak kata pepatah,”kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.

Sabtu, 19 Mei 2012

Karangan Peribahasa :Air dicencang Takkan Putus.


Aku dilahirkan dalam keluarga yang serba sederhana dan sempurna. Aku merupakan anak yang ketiga dalam keluargaku. Walau bagaimanapun, dalam diam-diam aku amat mencemburui akan kakakku yang lebih tua dua tahun daripadaku.
            Setiap hari aku pasti akan bergaduh dengan kakakku walaupun disebabkan hal yang tidak seberapa. Aku amat mencemburui kakakku, Fatin disebabkan kepintarannya dalam pelajaran. Hal ini demikian kerana aku sering mendapat keputusan yang buruk dalam peperiksaan. Tambahan pula aku sememangnya malas mengulang kaji pelajaran dan berat mulut untuk bertanya kepada guru.
Kakakku pula seorang yang rajin belajar dan menjadi murid kesayangan guru-guru kerana sikapnya yang mesra dengan mereka di sekolah.Ibu bapaku juga lebih menyayangi dia berbanding dengan aku.Aku berasa begitu tersisih sekali dengan sikap mereka berdua kepadaku.
Di rumah, apabila tiba waktu membuat sarapan pagi atau makan malam, aku akan selalu disuruh oleh ibuku untuk menolongnya memasak di dapur. Kakakku langsung tidak disuruh oleh ibuku dengan alasan dia sentiasa sibuk mengulang kaji pelajaran di dalam biliknya.Aku sentiasa merungut di dalam hati. Aku merasakan layanan yang diberi oleh ibu dan ayahku tidak adil.
Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, aku tidak terkejut apabila mengetahui dia mendapat keputusan 10A berbanding dengan aku yang hanya mendapat 5A sahaja dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang lalu.Aku langsung tidak berasa gembira atas kejayaannya.
Beberapa bulan kemudian, kakakku mendapat tawaran belajar dalam jurusan perubatan di sebuah universiti di Mesir. Kakakku dapat melihat riak mukaku yang tidak menyukai akan dirinya. Tanpa kusangka, kakakku mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu ayah dan ibuku menjaga dirinya ketika menjalani pembedahan beberapa tahun yang lalu.Dia seterusnya memberi kata-kata perangsang kepadaku untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
Aku menitiskan air mata apabila mengetahui yang sebenarnya kakakku amat menyayangi akan diriku. Aku memohon maaf  kepada kakakku atas sikapku yang mencemburui dan memusuhinya selama ini. Kakakku juga menyatakan kepadaku supaya jangan mencemburui pencapaiannya kerana sebenarnya dia juga cemburu akan kerajinanku membantu ibu dan ayahku di rumah selama ini. Akhirnya, hubungan antara aku dan kakakku semakin erat bak kata pepatah air dicencang takkan putus.
           
Hasil nukilan: Muhammad Adli Haziq 3 Dahlia 2012

Isnin, 3 Oktober 2011

Bersatu Teguh Bercerai Roboh

‘Bersatu teguh bercerai roboh’ perlu menjadi pegangan hidup masyarakat Malaysia.

Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh bermaksud kepentingan bekerjasama dan perpaduan dalam sesebuah negara itu. Konsep ini begitu penting kerana keutuhan negara banyak ditentukan oleh rakyat yang mempunyai kesepaduan yang sebenarnya. Negara yang mempunyai rakyat yang tidak bersatu pasti akan menerima impak negatifnya terutama dengan keadaan ekonomi dan politik dunia yang begitu berkaitan hubungannya. Jelaslah, peribahasa ini mempunyai banyak kepentingan untuk dihayati oleh masyarakat kita.

Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum memerlukan pengamalan peribahasa ini kerana satu tindakan yang tidak bijak mampu menjejaskan keamanan yang dihayati selama ini. Mereka perlu berpegang pada prinsip peribahasa ini untuk membina kekuatan negara kita semula. Masyarakat yang berbilang yang wujud di negara ini menyebabkan perasaan perpaduan itu begitu mudah dikikis jika kita tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan yang mungkin boleh menjatuhkan air muka kaum yang lain. Maka, peribahasa ini mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan itu.

Selain itu, konsep perpaduan yang diutarakan dalam peribahasa ini juga penting dalam suasana politik negara. Perpaduan diperlukan dalam politik kerana politik boleh membela nasib rakyat negara ini. Perpecahan yang wujud dalam sistem politik atau pentadbiran negara boleh menggugat keamanan negara pada jangka masa panjang.Tanpa perpaduan yang utuh tiadalah sistem politik yang kukuh untuk memastikan nasib rakyat di negara ini terus terbela.

Pada masa yang sama, makna perpaduan juga penting untuk memudahkan pembangunan dilaksanakan di negara ini. Semua aktiviti pembangunan yang dirancang bertujuan untuk menjadikan negara ini lebih makmur dan maju. Sebarang tindakan negatif atau jahat boleh menjejaskan pembangunan yang kemudiannya menjadikan taraf kehidupan rakyat menurun secara mendadak. Keadaan ini jika berterusan akan menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam suatu suasana yang begitu menyedihkan seperti keadaan negara asing yang kita sering tontoni di televisyen pula.

Di samping itu, peribahasa ini turut mencanangkan maksud perpaduan rakyat dalam bentuk penyatuan kebudayaan. Kita sedia maklum budaya negara ini berbilang yang memerlukan suatu integrasi untuk menjadikan semua kebudayaan kita itu satu kebudayaan Malaysia yang sebenarnya. Amalan bekerjasama atau perpaduan yang dihayati oleh rakyat negara ini membolehkan semua kebudayaan yang berbeza itu diserapkan secara tabii menjadi satu kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi kebanggaan semua rakyat negara ini.

Kesimpulannya, peribahasa ini banyak membawa peringatan kepada kita semua akan betapa pentingnya perpaduan atau semangat bekerjasama itu. Sikap menuding jari terhadap mana-mana pihak apabila mengalami sesuatu masalah bukanlah suatu tindakan yang sesuai di negara ini. Kita harus sedar bahawa amalan ’bagai aur dengan tebing’ amat penting dipraktikkan di negara ini.

Isnin, 8 Februari 2010

Karangan Peribahasa(Teknik Cerita)

Peribahasa:Seperti Katak di bawah Tempurung

Salah satu peribahasa yang amat terkenal ialah ’seperti katak di bawah tempurung’. Peribahasa ini rnembawa maksud orang yang tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya. Peribahasa ini amat berguna dan bermakna kerana membawa maksud orang seperti ini tidak mengetahui kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Maka jadilah seperti seekor katak yang berada di bawah tempurung yang tidak tahu apa yang berlaku di luar tempurung tersebut. Katak seolah-olah terkurung dan tidak dapat rnembezakan keadaan di dalam dan di luar.

Peribahasa ini bolehlah dikaitkan dengan satu kisah yang berlaku pada diri seorang wanita bernama Aminah. Dia tinggal seorang diri setelah ibu bapanya meninggal dunia lebih kurang tiga tahun yang lain. Dia tidak hidup melarat kerana ayah dan ibunya telah meninggalkan harta yang banyak. Aminah seorang yang agak pendiam dan tidak mempunyai ramai kenalan. Dia cuma mengharapkan wang daripada harta yang ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk menyara kehidupannya. Wang daripada pajakan tanah sawah seluas lima relong, tanah kebun seluas lima hektar, rumah sewa sejumlah lima buah, serta rumah sendiri memberikan pendapatan yang lumayan. Aminah seorang yang pendiam dan jarang berbual. Dia tidak suka menonton televisyen atau membaca surat khabar. Oleh itu, sudah tentu dia tidak rnengetahui hal-hal yang berlaku di sekelilingnya.

Hari-hari yang dilalui oleh Aminah berjalan seperti biasa sehinggalah pada suatu hari dia didatangi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Osman. Dia datang menemui Arninah kerana dia hendak menjual tanah seluas empat hektar kepada Aminah. Alasannya ialah dia tidak mahu tanah itu jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Aminah yang berminat untuk rnembeli tanah tersebut telah meminta Osman menyerahkan geran tanah yang hendak dijual itu. Osman bersetuju lain pulang ke rumahnya Aminah berasa gembira kerana dia memang berhajat untuk membeli tanah itu untuk menambahkan hartanya. Malah, bagi Aminah dengan pembelian tanah itu dia rnampu untuk menambah pendapatan bulanannya.

Dua hari kemudian, Osman datang lagi bersama-sama dengan geran tanah yang dipinta oleh Arninah tempoh hari. Setelah ditunjukkan kepada Aminah, mereka berbincang tentang harga yang dipersetujui. Osman ingin menjual tanah tersebut sebanyak RM75,000.00 tetapi Aminah meminta dikurangkan kepada RM70,000.00 sahaja. Osman bersetuju lalu meminta bayaran sebanyak RM50,000.00 sebagai pendahuluan. Aminah memberitahu bahawa wangnya ada di bank. Lalu, Osman mencadangkan mereka pergi ke bank bersama-sama untuk mengambil wang tersebut. Aminah bersetuju dengan cadangan Osman untuk memberikan RM50,000.00 kepada Osman sebagai pendahuluan.

Bakinya pula akan diberi semasa membuat pertukaran nama pada geran nanti. Osman yang amat gembira dengan pemberian wang tersebut berjanji akan datang dengan segera untuk menyelesaikan hal pertukaran nama pada geran tanah tersebut. Aminah pun pulang dengan rasa senang hati kerana sudah harnpir pasti dia akan memiliki tanah itu.
Apabila hari yang dijanjikan, Aminah menunggu Osman di pekarangan Pejabat Tanah. Dia menanti dengan penuh harapan agar Osman muncul untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi hampir empat jam Aminah menunggu, namun bayang-bayang pun tidak kelihatan. Dia cuba menghubungi nombor telefon yang diberi oleh Osman namun ternyata nombor itu adalah palsu.

Dia yang berasa tidak senang hati telah masuk ke dalam Pejabat Tanah dan meminta salah seorang daripada pegawai di situ rnenyemak geran tanah yang dikatakan milik Osman itu. Ternyata geran tanah itu adalah palsu. Pegawai itu menyatakan bahawa semua kakitangan sudah diberitahu tentang seorang lelaki yang menjalankan aktiviti penipuan penjualan tanah di serata tempat. Pihak mereka juga telah mengiklankan kegiatannya di akhbar-akhbar, televisyen, dan majalah.
Nyatalah Aminah ditipu dan dia menyesal kerana tidak mahu mengambil tabu tentang perkara yang berlaku di sekelilingnya. Osman merupakan seorang penipu dan orang kampung sudah pun dimaklumkan mengenai kegiatannya. Aminah hampir pengsan mengenangkan nasibnya yang ditipu oleh Osman.

Kesimpulannya, kita perlulah mengambil iktibar tentang kejadian yang berlaku ke atas diri Aminah. Dari kisah tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa keadaan ini merupakan satu kerugian kepada kita. Biarlah kita menjadi seorang yang tahu segala yang berlaku di sekeliling kita. Janganlah menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’, kelak kita juga yang akan rugi.

Dipetik daripada blog http://mindasasterabahasa.blogspot.com

Rabu, 27 Januari 2010

Paduan Mengarang Karangan Peribahasa

TEKNIK HURAIAN

1)Jelaskan maksud peribahasa

2)Jelaskan kaitannya dengan masyarakat hari ini

3)Kaitkan peribahasa ini dengan peribahasa lain yang sama maksudnya
Sebagai contoh ‘carik-carik bulu ayam,lama-lama bercantum juga’ sama dengan ‘air dicincang takkan putus’

4)Huraikan pengajaran daripada peribahasa serta contoh

TEKNIK CERITA

1)Mestilah dapat menjelaskan maksud peribahasa

2)Dapat menggambarkan pandangan anda terhadap peribahasa

3)Ada binaan plot (Permulaan, Perkembangan, Kemuncak,Peleraian)

4)Ada teknik plot (contoh: saspens,imbas muka,imbas kembali,kejutan, monolog, dialog)

5)Berdasarkan rekaan atau pengalaman anda

Khamis, 15 Oktober 2009

CONTOH 20-KARANGAN PERIBAHASA(TEKNIK CERITA)

SOALAN:Tuliskan sebuah cerita berdasarkan peribahasa ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

Haizam seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun. Ibunya, Puan Mina pula lumpuh sebahagian daripada tubuhnya akibat diserang angin ahmar kira-kira dua tahun yang lalu.Haizam mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Najwa Amira.Adiknya berumur sembilan tahun. Lantaran kemiskinan dia terpaksa berhenti sekolah semasa berada dalam tingkatan empat walaupun mendapat tentangan daripada ibunya.

Berbekalkan sedikit wang simpanan arwah ayahnya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan. Pada mulanya dia menjual air di tepi jalan besar berdekatan dengan rumahnya tetapi kurang mendapat sambutan.Namun, dia tidak berputus asa. Dia mencuba pula menjual buah-buahan yang diambilnya daripada Pak Karim, seorang peraih buah di kampungnya.Malangnya keuntungan yang diperolehnya tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya.

Haizam sering termenung memikirkan masa depannya. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di di bandar yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Dia kemudiannya diterima sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran yang terkenal di bandar itu. Oleh sebab kerajinannya, dia telah dinaikkan pangkat sebagai pelayan di restoran tersebut.

Kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di restoran itu. Dia begitu gembira bekerja di situ kerana majikannya seorang yang bertimbang rasa, pemurah dan tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.Dia juga telah belajar memasak masakan Timur dan juga Barat daripada chef masakan di situ. Banyak pengalaman yang ditimbanya semasa bekerja di situ. Bagi menjamin masa depannya, pada setiap bulan dia akan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diterimanya ke dalam bank.Dia juga bercita-cita untuk memiliki restorannya sendiri suatu hari nanti.

Berbekalkan pengalaman dan juga wang simpanan yang dia miliki, dia telah mengusahakan sebuah gerai makanan menjual lauk-pauk secara kecil-kecilan. Oleh sebab makanan yang disediakan begitu sedap sekali, gerainya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.Dari sebuah gerai yang kecil, dia telah menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan restoran. Akhirnya, perniagaannya telah berkembang maju dan dia telah membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut.

Bak kata pepatah Melayu ’Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.Begitulah apa yang berlaku dalam kehidupan Haizam, daripada seorang pemuda yang tiada berharta,kini mempunyai kemewahan yang dicapainya melalui usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

300 patah perkataan

Selasa, 13 Oktober 2009

SOALAN KARANGAN(NO.5)PERIBAHASA PMR 2009(TEKNIK HURAIAN)

SOALAN:Peribahasa ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ menasihati kita supaya sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu tujuan. Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa itu.

‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.Ungkapan peribahasa ini selalu diucapkan oleh masyarakat Melayu ketika merancang sesuatu usaha. Peribahasa ini bermaksud bahawa kalau seseorang itu mempunyai impian, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Jika diteliti pada maksud peribahasa ini,pengertiannya amat mendalam sekali. Seseorang itu diberi keyakinan bahawa cita-citanya akan dapat dicapai melalui usaha yang gigih.Justeru, seseorang itu mestilah berani menempuh sebarang cabaran dan halangan sebelum menikmati sesuatu hasil.

Sehubungan dengan itu, jika seseorang yang bercita-cita untuk menjadi doktor tidak akan dapat mencapai cita-citanya jika dia tidak belajar dengan tekun. Cita-citanya ini akan menjadi seperti angan-angan Mat Jenin. Oleh yang demikian, usaha itu adalah penting bagi mencapai cita-cita tersebut persis kata mutiara ‘Usaha itu tangga kejayaan’.

Ada kalanya juga peribahasa ini diucapkan sebagai suatu sindiran. Sindiran ini bertujuan menyedarkan seseorang itu tanpa menyakitkan hatinya. Seseorang yang memahami maksud peribahasa ini akan segera menyedari kesilapan dirinya dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan dirinya.

Selain peribahasa ini, terdapat beberapa lagi peribahasa lain yang mempunyai pengertian yang sama juga. Tamsilnya, peribahasa ‘Hati hendak, semua jadi’, ‘Kalau hendak seribu daya, kalau tak mahu seribu dalih’ dan ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Konklusinya, setiap individu mestilah berusaha untuk memperoleh apa yang mereka hajati. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tanpa usaha ibarat mengharapkan buah yang takkan gugur untuk selama-lamanya.

225 patah perkataan

Ahad, 30 Ogos 2009

CONTOH 20-KARANGAN PERIBAHASA

SOALAN: ‘Sediakan payung sebelum hujan’.Tulis sebuah cerita yang menarik bagi menggambarkan peribahasa ini.

Aku tidak berkenan langsung dengan sikap ibu bapaku yang boros berbelanja walaupun aku amat menyayangi mereka. Setiap tahun, ibuku pasti membeli perabot baru untuk menghiasi rumahku. Ada saja alasan yang diberikan ibuku kepada ayah untuk mendapatkan apa yang dihajatinya.Pernah ibuku membelanjakan lebih daripada sepuluh ribu ringgit hanya untuk membeli sofa yang diidam-idamkannya.

Ayahku pula asyik menukar aksesori kereta. Boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja aksesori yang ditambah pada kereta Wish kesayangannya itu. Ekzos yang satu dijadikan dua, cat kereta ditukar,cermin digelapkan dan bermacam-macam lagi pengubahsuaian yang dilakukannya.Aku hanya mampu mengelengkan kepala. Kadang-kadang aku tertanya-tanya juga di dalam hati. Adakah ayah dan ibuku menabung wang di bank? Soalan ini sering kali berlegar-legar di kotak fikiranku.

Oleh sebab kesedaran yang tinggi tentang amalan menabung ini, aku mula menyimpan wang sedikit demi sedikit di dalam tabung buluhku.Wang yang kusimpan itu ialah lebihan wang saku yang diberikan oleh ayahku pada setiap awal bulan.Walaupun tidak seberapa, tetapi aku berpegang pada prinsip sedikit-sedikit,lama-lama jadi bukit.

Setiap hari aku membawa bekal ke sekolah untuk menjimatkan perbelanjaan harianku. Selain itu, duit raya yang aku peroleh setiap tahun, aku simpan di dalam bank. Setiap kali aku menatap buku akaunku, pasti senyuman akan terukir di bibirku kerana saban tahun jumlah wang simpananku pasti meningkat.

Malang tidak berbau,tidak kuduga adik perempuan kesayanganku disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.Ingin sahaja aku memberikan jantungku kepadanya.Doktor yang merawat adikku memberitahu kami yang adikku memerlukan rawatan segera dan perlu menjalani pembedahan. Kos pembedahan dianggarkan dua puluh ribu ringgit.

Nasib keluargaku bagai jatuh ditimpa tangga kerana ayah dan ibu tiada simpanan di bank. Ayah pula tidak berjaya memohon pinjaman daripada bank kerana sebelum ini ayah telah membuat pinjaman untuk membeli kereta baru. Ibu hanya dapat menyumbangkan dua belas ribu ringgit setelah menggadaikan barang kemas kesayangannya.Masih ada berbaki lapan ribu ringgit yang harus dilunaskan.Dalam kebuntuan, aku teringatkan buku akaun bankku. Aku segera ke bank untuk mengeluarkan wang sebanyak lapan ribu ringgit bagi menampung baki yang masih diperlukan itu.Aku kemudiannya menyerahkan wang itu kepada ayahku. Ayahku memelukku dengan linangan air mata di pipinya. Betapa ketika itu aku berasa amat ber syukur kerana mengamalkan amalan keramat ini.

Adikku kemudiannya telah selamat menjalani pembedahan. Ketika aku melawat adikku di hospital bersama-sama ibu bapaku, mereka menanyakan kepadaku dari mana aku mendapat wang sebanyak itu.Aku hanya tersenyum seraya memberitahu mereka bahawa semua duit yang aku peroleh selama ini, aku simpan kerana aku berpegang pada peribahasa sediakan payung, sebelum hujan.Kulihat mereka terkesima. Barangkali malu ataupun menyesali kesilapan diri.

380 patah perkataan

Hasil penulisan Nur Fatin Najwa 3 Cempaka 2008

Ahad, 23 Ogos 2009

CONTOH 19-KARANGAN PERIBAHASA

Tuliskan sebuah cerita berdasarkan peribahasa Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Berguna.


“Jason!Mak dan ayah hendak pergi berjumpa pelanggan di Hotel Hilton. Wang saku RM100 ada di dalam laci meja!”jerit ayah dan ibu Jason. Begitulah kehidupan harian Jason. Setiap hari dia disuakan dengan kemewahan materialistik. Walaupun begitu, hidupnya tidak pernah berasa bahagia. Rasa kecewa dan kesunyiannya dilampiaskan kepada jalan yang salah seperti berlumba motor haram dan merayau-rayau di pasar raya lantaran kesibukan ibu bapanya yang mengejar habuan duniawi.

Pada suatu hari, ketika Jason merayau-rayau di pasar raya, dia terlanggar seorang gadis yang sedang sarat memegang beg plastik.“Oh,maaf.Saya tak sengaja,”kata gadis tersebut. Kemarahan Jason yang membuak-buak tadi hilang dibawa angin lalu selepas mendengar suara lunak gadis tersebut. “Eh,tak apalah. Lagipun saya yang salah. Nama saya Jason.Siapa nama awak?”kata Jason sambil menghulurkan tangan.“Nama saya Clara,”balas gadis itu sambil tersenyum.

Sejak hari itu, mereka semakin rapat bagai merpati dua sejoli. Bibit-bibit cinta mula mekar di hati mereka. Oleh sebab Clara terlalu menyayangi Jason, dia selalu menasihati Jason supaya menghentikan tabiat suka berlumba itu tetapi Jason tidak mengendahkannya. Nasihatnya itu bagai mencurah air ke daun keladi.

Suatu hari,Jason merancang untuk memberi kejutan kepada Clara semasa menyambut hari lahirnya yang ke-17 tahun. Pada fikiran Jason, Clara perlu dibawa ke tempat perlumbaan haram untuk merasai pengalaman berlumba, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Hati Clara berdegup kencang apabila Jason membawanya berjumpa dengan rakan-rakan Jason yang terlibat dengan kegiatan haram itu. “Jason, apa awak buat ini? Bukankah awak dah berjanji tak akan berlumba lagi?”kata Clara dengan nada yang marah. Malangnya Jason hanya memekakkan telinga dan dan terus membawa Clara berlumba di jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Adat perlumbaan, siapa cepat dan terpantas dialah juara. Bagai helang menyongsong angin,motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi Jason meninggalkan rakan-rakannya jauh di belakang. Belum pun sempat kegembiraan bertamu di hati Jason, tiba-tiba sebuah lori datang tepat menghala ke arah motosikalnya.“Dum!”.Lori itu melanggar mereka berdua. Tubuh Clara terpelanting ke udara dan terhempas di atas jalan raya. Jason pula sempat terjun dari motosikalnya sebelum dilanggar lori itu.

Darah merah membasahi jalan raya. Clara hanya tinggal nyawa-nyawa ikan ketika Jason memangkunya.“Jason,awak janganlah terlibat lagi dengan kegiatan haram ini. Saya amat menyayangi awak,”kata Clara terputus-putus. Itulah ayat terakhir yang dilafazkan oleh Clara sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Sejak hari itu, Jason telah meninggalkan dunia lumba motor haram.Nasihat Clara masih terngiang-ngiang di telinganya.Namun, dia menyesal kerana tindakannya ini tidak dapat menebus kembali kehilangan orang yang amat disayanginya itu.Tepatlah kata peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna yang selalu diucapkan oleh Clara kepadanya.Kini, bagi menebus kesilapannya itu,Jason bergiat aktif memberi ceramah kepada para remaja seusia dengannya supaya menjauhi aktiviti haram ini.

Hasil penulisan Nur Fatin Najwa 3 Cempaka 2008

400 patah perkataan

Ahad, 5 Julai 2009

CONTOH 2-SOALAN KARANGAN (NO. 5) PEP.PERTENGAHAN TAHUN PMR JPM 2009

Karangan Peribahasa (Jenis Huraian)

‘Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’. Jelaskan faedah yang diperoleh apabila mengamalkan peribahasa tersebut.

Khazanah peribahasa Melayu yang wujud sejak berabad-abad lamanya masih dapat kita gunakan hingga kini.Peribahasa di atas membawa pengertian bahawa sesuatu pekerjaan yang dilakukan secara beransur-ansur akhirnya akan siap jua. Mesej yang cuba digambarkan melalui peribahasa ini ialah kegigihan. Jelasnya, jika seseorang itu senantiasa istiqamah melakukan sesuatu pekerjaan, dia akan mendapat hasil daripada usahanya itu.

Antara faedah mengamalkan peribahasa ini ialah kita dapat menerapkan sifat kegigihan dalam diri kita. Dengan ini, kita tidak akan mudah berputus asa dalam menghadapi pelbagai halangan mahupun dugaan untuk mencapai sesuatu kejayaan. Tamsilnya, seseorang pelajar yang akan menjalani peperiksaan yang penting seperti PMR atau SPM akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu tanpa mengenal erti jemu untuk mencapai matlamatnya iaitu memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Selain itu, menanamkan sifat suka menyimpan wang juga merupakan faedah lain sekiranya kita mengamalkan peribahasa ini. Natijahnya, kita boleh menggunakan wang simpanan yang kita telah simpan secara beransur-ansur itu apabila diperlukan ataupun ketika waktu kecemasan, bak kata pepatah,‘Sediakan payung sebelum hujan’. Tamsilnya, seseorang individu perlulah dididik mempraktikkan amalan ini oleh ibu bapanya sejak usia setahun jagung lagi.

Akhir sekali, sekiranya kita mengamalkan peribahasa ini, kita akan dapat menghasilkan sesuatu kerja yang diamanahkan kepada kita dengan baik dan menepati masa. Sebagai contoh, seseorang pelajar akan dapat menyiapkan folio yang berkualiti dalam masa yang ditetapkan oleh gurunya.Dengan ini, mereka telah dapat melaksanakan tugasan yang diberi dengan sempurna.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa terdapat banyak faedah yang akan diperoleh seseorang individu sekiranya mengamalkan peribahasa ini. Sehubungan dengan itu, kita perlulah mengamalkan peribahasa yang seerti dengannya iaitu ‘Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’ agar dapat memastikan sesuatu pekerjaan yang kita lalukan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Sesungguhnya, sesuatu pekerjaan jika dilakukan secara beransur-ansur pasti akan selesai juga akhirnya.

298 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar Kelas 3 Anggerik 2009