Selasa, 23 Julai 2019


Pemakanan sihat amat penting dalam kehidupan seseorang pada hari ini bagi mencegah pelbagai jenis penyakit.  Pada pendapat anda, apakah kebaikan-kebaikan amalan pemakanan sihat kepada diri seseorang.  Jelaskan pendapat anda.

Pemakanan sihat ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan seseorang manusia. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada amalan pemakanan sihat ini.
Kepentingan pemakanan sihat yang utama ialah sikap ini menjadikan tumbesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Hal ini kerana tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat dan seimbang fizikalnya. Dengan itu, secara tidak langsung akan menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna.
Selain itu, pemakanan sihat memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Sebagai contoh, makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi vitamin yang cukup untuk menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit.Oleh itu, manusia yang mengamalkan pemakanan sihat akan mempunyai kesihatan yang lebih baik  berbanding yang  tidak mengamalkannya.
Akhir sekali, pemakanan sihat turut dikatakan turut mampu mengawal kadar obesiti seseorang. Hal ini kerana mengamalkan pemakanan sihat menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang akan menyihatkan badan mereka. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam kehidupan mereka.
Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan pemakanan sihat kerana semua manfaatnya yang telah dibincangkan tadi. Bukan sahaja individu tetapi seluruh anggota masyarakat perlu mengamalkan pemakanan sihat ini. Jika masyarakat tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah dan ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya bak kata pepatah“Tepuk dada tanya selera”.