Isnin, 31 Ogos 2009

Lawak Bilik Guru(14)

Suatu pagi di sebuah TADIKA yang terletak di Jalan San Peng.

Cikgu : Baik anak-anak murid.Pagi ini kita akan belajar mengenal bunyi haiwan. Fairuz, macam mana bunyi ayam berkokok?

Fairuz : Kok kokk kokkkkk!!!!!

Cikgu : Bagus Fairuz.Amy, buat bunyi kucing pula.

Amy : Meowwww

Cikgu : Amboi, manja kucing itu ya.Udin, buaya bagaimana pula bunyinya?

Udin : Fewittt! Hai, cik adik! Sorang je ke? Abang temankan ya.

Cikgu : Bunyi buaya apa tu???(kehairanan)

Udin : Buaya darat cikgu!!

Simpulan bahasa: Buaya darat bermaksud lelaki yang suka menukar-nukar pasangan wanitanya dan meninggalkan mereka setelah dinodai.

Pengajaran:Begitulah murid pada zaman sekarang.

Ahad, 30 Ogos 2009

Kuih raya..


Cikgu teringatkan kawan-kawan di sekolah yang begitu sibuk kebelakangan ini bersempena kedatangan bulan Ramadan ini.Jangan marah ye kawan-kawan.

CONTOH 20-KARANGAN PERIBAHASA

SOALAN: ‘Sediakan payung sebelum hujan’.Tulis sebuah cerita yang menarik bagi menggambarkan peribahasa ini.

Aku tidak berkenan langsung dengan sikap ibu bapaku yang boros berbelanja walaupun aku amat menyayangi mereka. Setiap tahun, ibuku pasti membeli perabot baru untuk menghiasi rumahku. Ada saja alasan yang diberikan ibuku kepada ayah untuk mendapatkan apa yang dihajatinya.Pernah ibuku membelanjakan lebih daripada sepuluh ribu ringgit hanya untuk membeli sofa yang diidam-idamkannya.

Ayahku pula asyik menukar aksesori kereta. Boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja aksesori yang ditambah pada kereta Wish kesayangannya itu. Ekzos yang satu dijadikan dua, cat kereta ditukar,cermin digelapkan dan bermacam-macam lagi pengubahsuaian yang dilakukannya.Aku hanya mampu mengelengkan kepala. Kadang-kadang aku tertanya-tanya juga di dalam hati. Adakah ayah dan ibuku menabung wang di bank? Soalan ini sering kali berlegar-legar di kotak fikiranku.

Oleh sebab kesedaran yang tinggi tentang amalan menabung ini, aku mula menyimpan wang sedikit demi sedikit di dalam tabung buluhku.Wang yang kusimpan itu ialah lebihan wang saku yang diberikan oleh ayahku pada setiap awal bulan.Walaupun tidak seberapa, tetapi aku berpegang pada prinsip sedikit-sedikit,lama-lama jadi bukit.

Setiap hari aku membawa bekal ke sekolah untuk menjimatkan perbelanjaan harianku. Selain itu, duit raya yang aku peroleh setiap tahun, aku simpan di dalam bank. Setiap kali aku menatap buku akaunku, pasti senyuman akan terukir di bibirku kerana saban tahun jumlah wang simpananku pasti meningkat.

Malang tidak berbau,tidak kuduga adik perempuan kesayanganku disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.Ingin sahaja aku memberikan jantungku kepadanya.Doktor yang merawat adikku memberitahu kami yang adikku memerlukan rawatan segera dan perlu menjalani pembedahan. Kos pembedahan dianggarkan dua puluh ribu ringgit.

Nasib keluargaku bagai jatuh ditimpa tangga kerana ayah dan ibu tiada simpanan di bank. Ayah pula tidak berjaya memohon pinjaman daripada bank kerana sebelum ini ayah telah membuat pinjaman untuk membeli kereta baru. Ibu hanya dapat menyumbangkan dua belas ribu ringgit setelah menggadaikan barang kemas kesayangannya.Masih ada berbaki lapan ribu ringgit yang harus dilunaskan.Dalam kebuntuan, aku teringatkan buku akaun bankku. Aku segera ke bank untuk mengeluarkan wang sebanyak lapan ribu ringgit bagi menampung baki yang masih diperlukan itu.Aku kemudiannya menyerahkan wang itu kepada ayahku. Ayahku memelukku dengan linangan air mata di pipinya. Betapa ketika itu aku berasa amat ber syukur kerana mengamalkan amalan keramat ini.

Adikku kemudiannya telah selamat menjalani pembedahan. Ketika aku melawat adikku di hospital bersama-sama ibu bapaku, mereka menanyakan kepadaku dari mana aku mendapat wang sebanyak itu.Aku hanya tersenyum seraya memberitahu mereka bahawa semua duit yang aku peroleh selama ini, aku simpan kerana aku berpegang pada peribahasa sediakan payung, sebelum hujan.Kulihat mereka terkesima. Barangkali malu ataupun menyesali kesilapan diri.

380 patah perkataan

Hasil penulisan Nur Fatin Najwa 3 Cempaka 2008

Sabtu, 29 Ogos 2009

Anak Soleh

Terharu sungguh cikgu apabila menonton klip video ini. Anak-anak murid cikgu dalam kelas 3 Anggerik,3 Melor,2 Dahlia dan 5 Ekuiti bagaimana pula?

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (6)

SOALAN:Fenomena tanah runtuh sering berlaku di beberapa buah tempat di negara ini. Bincangkan kesan negatif yang timbul setiap kali fenomena ini berlaku.

(A1) Di samping itu, fenomena ini akan mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda kepada penduduk di sesuatu kawasan yang ditimpa musibah ini.
(Apa)

(A2) Hal ini berlaku demikian kerana kebiasaannya terdapat kawasan petempatan manusia di kawasan berlakunya tanah runtuh tersebut.
(Mengapa)

(A3) Sehubungan dengan itu,tanah runtuh tadi akan mendatangkan kemusnahan yang besar di kawasan yang terlibat.
(Kesan)

(A4) Sebagai contoh, banyak bangunan seperti rumah kediaman,kedai dan kemudahan infrastruktur yang musnah dalam kejadian ini seperti dilanggar geroda.
(Contoh/Bukti)

(A5)Sememangnya jelas bahawa fenomena ini mendatangkan kerugian yang besar kepada penduduk yang kehilangan harta benda dalam kejadian ini.
(Penegasan)

KARANGAN LENGKAP

Di samping itu, fenomena ini akan mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda kepada penduduk di sesuatu kawasan yang ditimpa musibah ini.Hal ini berlaku demikian kerana kebiasaannya terdapat kawasan petempatan manusia di kawasan berlakunya tanah runtuh tersebut.Sehubungan dengan itu,tanah runtuh tadi akan mendatangkan kemusnahan yang besar di kawasan yang terlibat.Sebagai contoh, banyak bangunan seperti rumah kediaman,kedai dan kemudahan infrastruktur yang musnah dalam kejadian ini seperti dilanggar geroda.Sememangnya jelas bahawa fenomena ini mendatangkan kerugian yang besar kepada penduduk yang kehilangan harta benda dalam kejadian ini.

80 patah perkataan

Jumaat, 28 Ogos 2009

Sajak Ke Makam Bonda

Lawak Bilik Guru(13)

Dalam sebuah kelas darjah satu,seorang ustaz bertanya kepada pelajarnya.

Ustaz:Kamu semua hendak ke mana?Syurga atau neraka?Sesiapa yang hendak ke syurga,angkat tangan!

Maka semua pelajarnya pun mengangkat tangan kecuali seorang murid.Kemudian ustaz itu pun bertanya lagi.

Ustaz:Siapa hendak ke neraka?

Semua pelajar tidak mengangkat tangan termasuk murid tadi.Dengan
kehairanan ustaz itu bertanya kepada murid itu.

Ustaz: Apabila saya tanya nak masuk syurga,awak tak angkat tangan.Apabila saya tanya nak ke neraka pun awak tak angkat tangan.Habis tu, awak nak ke mana?

Murid itu bangun lalu menjawab.

Murid: Saya tidak mahu pergi ke mana-mana ustaz.Bapa saya suruh saya datang ke sini untuk belajar.Dia pesan kepada saya,jangan pergi ke mana-mana.Tunggu sampai dia jemput.

Ustaz: (tersenyum sendirian)

Pengajaran:Patuhilah pesanan bapa anda.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (5)

SOALAN: Pelajar berusia 18 tahun tidak wajar dibenarkan memasuki pusat-pusat hiburan. Nyatakan pendapat anda tentang pernyataan ini.

(A1)Selain itu,remaja yang di bawah umur mungkin akan terjebak dalam pengambilan najis dadah.
(Apa)

(A2)Hal ini berlaku demikian kerana kebiasaannya terdapat banyak pengedar najis dadah yang akan bertumpu di premis ini untuk mencari mangsa untuk diperdayakan.
(Mengapa)

(A3)Dengan ini,remaja-remaja ini akan berasa teruja untuk mencuba sesuatu yang baru tanpa memikirkan kesan negatif yang akan mereka tanggung selepas ini.
(Kesan)

(A4)Tamsilnya,banyak kes remaja menjadi mangsa kerana pengedar-pengedar tadi telah meletakkan serbuk khayal di dalam minuman mereka.
(Contoh/Bukti)

(A5)Jelaslah bahawa remaja akan mudah terdedah dengan pengaruh najis dadah sekiranya berkunjung ke pusat-pusat hiburan ini.
(Penegasan)

(Sesuai untuk perenggan ketiga selepas isi pertama)

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu,remaja yang di bawah umur mungkin akan terjebak dalam pengambilan najis dadah.Hal ini berlaku demikian kerana kebiasaannya terdapat banyak pengedar najis dadah yang akan bertumpu di premis ini untuk mencari mangsa untuk diperdayakan.
Dengan ini,remaja-remaja ini akan berasa teruja untuk mencuba sesuatu yang baru tanpa memikirkan kesan negatif yang akan mereka tanggung selepas ini.Tamsilnya,banyak kes remaja menjadi mangsa kerana pengedar-pengedar tadi telah meletakkan serbuk khayal di dalam minuman mereka.Jelaslah bahawa remaja akan mudah terdedah dengan pengaruh najis dadah sekiranya berkunjung ke pusat-pusat hiburan ini.

Lebih kurang 80 patah perkataan

Khamis, 27 Ogos 2009

Lawak Bilik Guru(12)

Seorang lelaki tua yang sedang bergunting rambut terkejut apabila tiba-tiba pintu kedai gunting itu dirempuh dengan kuatnya. Yang merempuhnya ialah seorang lelaki muda, dan dia kemudiannya menjerit, "Minhat! Cepat balik, rumah engkau terbakar!!!"
Apa lagi, lelaki tua itu pun terus terjun dari kerusi, sambil berlari ke arah rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari situ walaupun rambutnya belum siap dipotong dan di dagunya penuh dengan buih pencukur. Dia pun berlari, dan terus berlari macam lipas kudung. Tapi 30 meter sebelum sampai di rumahnya, lelaki tua itu tiba-tiba berhenti sambil berkata seorang diri. "Eh... kenapa aku lari balik ni? Nama aku bukannya Minhat!"

Pengajaran: Jangan cepat mengelabah

Rabu, 26 Ogos 2009

CONTOH JAWAPAN-KARANGAN PENGALAMAN/GAMBARAN(NO.4-PEP.PERCUBAAN PMR 2009 MELAKA)

Sekolah anda baru sahaja selesai mengadakan Kejohanan Merentas Desa. Ceritakan pengalaman anda semasa menyertai acara tersebut.

Semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum semestinya ternanti-nanti tarikh Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah diumumkan sejak awal tahun lagi. Hal ini berlaku demikian kerana acara tersebut merupakan medan untuk menunjukkan kehebatan masing-masing dalam acara larian.Tambahan pula, sekolah aku merupakan sebuah sekolah sukan yang telah melahirkan ramai jagoan dalam acara ini. Malangnya pada tahun ini kejohanan ini diadakan agak lewat.

Dua hari yang lepas merupakan hari terakhir aku dan rakan-rakanku menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Pengetua sekolah kami kemudiannya telah mengumumkan tarikh acara yang kami tunggu-tunggu itu. Sebaik sahaja perkara itu diumumkan, semua pelajar melonjak kegirangan. Aku hanya mampu tersenyum melihat telatah teman-temanku. Semangat aku semakin membara untuk menjawab kertas terakhir pada hari itu.

Kini, hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Sesi latihan yang diadakan oleh guru rumah sukan sebelum hari pertandingan telah memberikan aku keyakinan untuk memenangi pertandingan pada kali ini. Terdapat beberapa kategori mengikut umur yang dipertandingkan dalam kejohanan ini.Aku menyertai pertandingan ini dalam kategori lelaki bawah 15 tahun.

Kami semuanya kemudian telah diarahkan berkumpul di padang sekolah. Kemudiannya kami telah diberikan sedikit taklimat tentang syarat-syarat pertandingan dan jalan-jalan yang terpaksa kami lalui. Taklimat ini sangat penting supaya tiada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Pihak sekolah juga telah meminta bantuan pihak polis dan juga RELA bagi mengawal lalu lintas semasa acara larian berlangsung. Seterusnya, kami telah diminta untuk memanaskan badan bagi mengelakkan berlakunya kekejangan otot semasa berlari nanti.

Perasaan aku makin berdebar ketika melihat peserta lelaki bawah 18 tahun dilepaskan oleh Pengetua kami. Kemudiannya, bunyi tembakan kedengaran di udara menandakan kami telah dilepaskan untuk memulakan larian. Aku yang berada di barisan hadapan terus meluru laju ke hadapan. Langkah demi langkah kuatur dengan yakin supaya dapat bersaing dengan kelompok yang berada di hadapan.Sepanjang laluan yang kami lalui, kami telah diberi sorakan semangat oleh orang ramai yang berkumpul di tepi jalan untuk menyaksikan kami berlari.

Setelah jalan bandar kami susuri, kami terpaksa pula melalui kawasan ladang sawit. Jalannya agak curam dan berbukit-bukit. Beberapa orang pelajar terjatuh kerana tergelincir. Nasib mereka baik kerana tidak mengalami kecederaan yang serius. Aku pun beberapa kali nyaris hendak terjatuh kerana tersepak batu-batu yang bertaburan di atas jalan. Sepanjang jalan yang kami lalui, terdapat guru-guru yang mengedarkan getah untuk kami pakai menandakan kami sudah melalui jalan tersebut dan mengelakkan berlakunya penipuan.

Sejam kemudian, aku dan beberapa orang rakanku telah sampai ke pintu pagar sekolah. Kami dikehendaki menghabiskan larian sejauh 10 km itu di padang sekolah tempat kami memulakan larian tadi. Aku makin bersemangat apabila melihat reben direntang di lorong penamat larian itu. Aku memecut habis-habisan untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya keghairahan aku itu menyebabkan aku telah tersepak kaki aku sendiri dan mengakibatkan aku jatuh tertiarap di atas padang. Hasrat aku untuk mendapat tempat pertama berkecai. Tetapi aku melihat guru-guruku bertepuk tangan untuk memberikan aku semangat bagi meneruskan larian.

Dengan kaki yang terhencot-hencot aku sampai ke garisan penamat. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat pertama, aku tetap berbangga kerana berjaya menghabiskan larian dan mendapat tempat ketiga. Hadiah kemudiannya telah disampaikan oleh Tuan Pengetua selepas semua pelajar sampai ke garisan penamat. Aku berazam untuk mendapat tempat pertama pada tahun hadapan. Aku percaya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

450 patah perkataan

Selasa, 25 Ogos 2009

Lawak Bilik Guru(11)

Oleh sebab mengantuk, Cikgu Shaari tertidur di depan kelas.
Setelah terbangun,dia menyuruh murid-muridnya pulang.Apabila
ditanya oleh anak-anak muridnya mengapa dia tidur, dia terus
menjawab dengan cepat.

Cikgu Shaari:Tadi saya sudah berjanji dengan Osama bin Laden
untuk bertemu di alam mimpi.(katanya sebagai alasan)

Keesokan harinya, ada seorang daripada murid tertidur
di dalam kelas yang diajarnya.Lantas ,Cikgu Shaari
mengejutkannya dengan pukulan kayu pembaris dan membentak
dengan suara yang keras.

Cikgu Shaari:Kenapa kamu tidur?

Murid:Saya juga ada janji untuk bertemu dengan Osama bin Laden, cikgu.

Cikgu Shaari:Baiklah, kalau betul kamu bertemu dengan beliau,
apa yang dikatakan beliau kepada kamu?

Murid:Osama kata, dia tak bertemu dengan cikgu semalam.
(dengan muka selamba)

Pengajaran:Jangan suka berbohong

Isnin, 24 Ogos 2009

CONTOH JAWAPAN-KARANGAN PENDAPAT(NO.5-PEP.PERCUBAAN PMR 2009 MELAKA)

Sektor pelancongan banyak memberi faedah kepada negara. Tuliskan pendapat anda.

Kini,ekonomi negara Malaysia banyak bergantung kepada industri pelancongan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Kementerian Pelancongan telah melancarkan pelbagai program untuk menarik pelancong berkunjung ke negara ini. Saban tahun pelancong asing mahupun tempatan akan datang melawat ke negara ini. Tentunya pelbagai faedah diperoleh oleh kerajaan daripada sektor pelancongan ini.

Sektor pelancongan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pendapatan negara sehingga kini. Hal ini berlaku demikian kerana darmawisata yang datang ke negara ini akan membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk berbelanja. Dengan ini, akan menjana ekonomi dalam negara. Sebagai contoh, darmawisata-darmawisata tersebut akan menyewa hotel dan membeli barangan cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka. Sememangnya kedatangan para darmawisata ini telah merancakkan lagi kegiatan ekonomi negara.

Selain itu, sektor pelancongan juga turut akan menjadikan negara kita terkenal di mata dunia. Hal ini berlaku demikian kerana para pelancong yang berkunjung ke negara ini pastinya akan menceritakan kepada kenalan mereka tentang pengalaman mereka ketika berada di negara ini. Sehubungan dengan itu, tentulah mereka akan berasa teruja untuk datang ke negara ini. Sebagai contoh, mereka akan turut mempromosikan kepada kenalan mereka tentang tempat-tempat yang menarik yang telah mereka kunjungi semasa melancong di negara ini.Melalui promosi secara tidak formal ini tentunya akan secara tidak langsung mempopularkan nama negara kita dalam kalangan mereka.

Di samping itu, industri pelancongan telah memberi impak yang besar kepada pembangunan infrastruktur di kawasan-kawasan terpencil di luar bandar. Hal ini berlaku demikian kerana ramai pelancong dari luar negara khususnya gemar melancong di kawasan yang jauh dari kesibukan kota. Dengan ini, banyak kemudahan infrastruktur akan disediakan oleh pihak pemaju di kawasan tersebut untuk keselesaan para pelancong.Tamsilnya, pihak pemaju akan membina chalet, jalan raya, perkhidmatan telekomunikasi dan sebagainya.Sehubungan dengan itu, kawasan yang dahulu jauh dari pembangunan tentunya akan menerima tempiasnya dan sekaligus dapat membantu penduduk-penduduk sekitarnya merasai nikmat pembangunan.

Tuntasnya, perkembangan industri pelancongan bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini sememangnya memberi banyak faedah kepada negara. Lantaran itu, pihak governan haruslah mengambil langkah sewajarnya untuk mengekalkan keunikan yang ada di negara kita supaya terus menjadi destinasi utama para pelancong. Dengan ini, sektor ini akan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.Jelaslah bahawa industri pelancongan ini memberikan manfaat yang besar kepada negara dan juga rakyat di negara ini.

360 patah perkataan

Peribahasa:Kecil-kecil Cili Padi

Ahad, 23 Ogos 2009

Lawak Bilik Guru(10)

Jam sudahpun menunjukkan pukul tujuh pagi. Salim masih lagi
berdengkur.Ibunya pun segera mengejutkannya untuk pergi ke
sekolah.

Ibu: Salim...Salim...bangun nak, pergi sekolah, nanti kamu
terlambat.

Salim: Alah mak... Salim tidak mahu pergi ke sekolah.

Ibu: Apa, tidak mahu pergi sekolah? Baik.Salim berikan emak
dua sebab mengapa Salim tidak mahu pergi ke sekolah.

Salim: Semua murid-murid tidak suka Salim. Guru-guru di sekolah
pun tidak suka akan Salim.

Ibu: Itu bukan alasan bagi Salim untuk tidak pergi ke sekolah.
Cepat, bangun sekarang!

Salim: Baiklah, sekarang emak pula berikan Salim dua sebab
mengapa Salim mesti pergi ke sekolah.

Ibu: Eh...eh...bertuah punya anak! Salim dengar baik-baik,
pertama Salim sudah berusia lima puluh tahun. Kedua,
Salimkan PENGETUA SEKOLAH!!!

Pengajaran: Jangan membantah arahan ibu.

CONTOH 19-KARANGAN PERIBAHASA

Tuliskan sebuah cerita berdasarkan peribahasa Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Berguna.


“Jason!Mak dan ayah hendak pergi berjumpa pelanggan di Hotel Hilton. Wang saku RM100 ada di dalam laci meja!”jerit ayah dan ibu Jason. Begitulah kehidupan harian Jason. Setiap hari dia disuakan dengan kemewahan materialistik. Walaupun begitu, hidupnya tidak pernah berasa bahagia. Rasa kecewa dan kesunyiannya dilampiaskan kepada jalan yang salah seperti berlumba motor haram dan merayau-rayau di pasar raya lantaran kesibukan ibu bapanya yang mengejar habuan duniawi.

Pada suatu hari, ketika Jason merayau-rayau di pasar raya, dia terlanggar seorang gadis yang sedang sarat memegang beg plastik.“Oh,maaf.Saya tak sengaja,”kata gadis tersebut. Kemarahan Jason yang membuak-buak tadi hilang dibawa angin lalu selepas mendengar suara lunak gadis tersebut. “Eh,tak apalah. Lagipun saya yang salah. Nama saya Jason.Siapa nama awak?”kata Jason sambil menghulurkan tangan.“Nama saya Clara,”balas gadis itu sambil tersenyum.

Sejak hari itu, mereka semakin rapat bagai merpati dua sejoli. Bibit-bibit cinta mula mekar di hati mereka. Oleh sebab Clara terlalu menyayangi Jason, dia selalu menasihati Jason supaya menghentikan tabiat suka berlumba itu tetapi Jason tidak mengendahkannya. Nasihatnya itu bagai mencurah air ke daun keladi.

Suatu hari,Jason merancang untuk memberi kejutan kepada Clara semasa menyambut hari lahirnya yang ke-17 tahun. Pada fikiran Jason, Clara perlu dibawa ke tempat perlumbaan haram untuk merasai pengalaman berlumba, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Hati Clara berdegup kencang apabila Jason membawanya berjumpa dengan rakan-rakan Jason yang terlibat dengan kegiatan haram itu. “Jason, apa awak buat ini? Bukankah awak dah berjanji tak akan berlumba lagi?”kata Clara dengan nada yang marah. Malangnya Jason hanya memekakkan telinga dan dan terus membawa Clara berlumba di jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Adat perlumbaan, siapa cepat dan terpantas dialah juara. Bagai helang menyongsong angin,motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi Jason meninggalkan rakan-rakannya jauh di belakang. Belum pun sempat kegembiraan bertamu di hati Jason, tiba-tiba sebuah lori datang tepat menghala ke arah motosikalnya.“Dum!”.Lori itu melanggar mereka berdua. Tubuh Clara terpelanting ke udara dan terhempas di atas jalan raya. Jason pula sempat terjun dari motosikalnya sebelum dilanggar lori itu.

Darah merah membasahi jalan raya. Clara hanya tinggal nyawa-nyawa ikan ketika Jason memangkunya.“Jason,awak janganlah terlibat lagi dengan kegiatan haram ini. Saya amat menyayangi awak,”kata Clara terputus-putus. Itulah ayat terakhir yang dilafazkan oleh Clara sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Sejak hari itu, Jason telah meninggalkan dunia lumba motor haram.Nasihat Clara masih terngiang-ngiang di telinganya.Namun, dia menyesal kerana tindakannya ini tidak dapat menebus kembali kehilangan orang yang amat disayanginya itu.Tepatlah kata peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna yang selalu diucapkan oleh Clara kepadanya.Kini, bagi menebus kesilapannya itu,Jason bergiat aktif memberi ceramah kepada para remaja seusia dengannya supaya menjauhi aktiviti haram ini.

Hasil penulisan Nur Fatin Najwa 3 Cempaka 2008

400 patah perkataan

Jumaat, 21 Ogos 2009

SALAM RAMADHAN

Pada kesempatan ini, cikgu ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua pelajar SMKDA dan pengunjung blog ini yang beragama Islam.

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Allah SWT telah menganugerahkan bulan Ramadhan dengan pelbagai
kelebihan untuk umat Islam berpuasa dan mengerjakan amal ibadat
agar mereka dapat keredhaan daripada‐Nya. Umat Islam perlu
mengambil kesempatan untuk menggandakan amal ibadat kerana
peluang yang diberikan sangat terhad. Ada kemungkinan, peluang
telah ditutup (dengan kematian) sebelum tiba Ramadhan
tahun hadapan.

1. Bulan diturunkan Al‐Quran

Maksud firman Allah:
“Bulan Ramadhan padanya diturunkan al‐Quran yang mempunyai
keterangan-keterangan yang nyata sebagai petunjuk kepada manusia”

2. Bulan penuh berkat

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut sebagai
bulan mulanya rahmat,di tengahnya pengampunan‐Nya dan
akhirnya merdeka daripada api neraka.“Dari Abu Hurairah r.a
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, apabila bulan Ramadhan
telah datang maka dibukalah pintu‐pintu syurga, dihapuslah
pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”“Rasulullah s.a.w
bersabda, sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya
dengan penuh kepercayaan dan ketelusan ikhlasnya nescaya
diampunkan dosanya yang telah lalu.”

3. Bulan Penghapusan dosa

“Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa berpuasa Ramadhan
dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketelusan
ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.”

4. Bulan diturunkan Lailatul Qadar

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al‐Quran ) ini
pada malam Lailatul Qadar.Dan tahukah kamu apa dia Lailatul
Qadar itu? Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan.
Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin
Tuhan mereka untuk mengutus segala urusan. Sejahteralah(malam)
sehingga terbit fajar.”

Khamis, 20 Ogos 2009

CONTOH JAWAPAN-KARANGAN RANGSANGAN(PEP.PERCUBAAN PMR 2009 MELAKA)

Huraikan pendapat anda tentang aspek-aspek yang membantu seseorang itu cemerlang.
Lihat gambar di bawah dengan teliti.



JAWAPAN 1

Dalam meniti arus kemodenan ini, rakyat Malaysia perlulah cemerlang dalam pelbagai aspek kehidupan. Terdapat pelbagai aspek yang boleh membantu seseorang itu menjadi cemerlang.

Antara aspek itu ialah kepimpinan. Daya kepimpinan yang cemerlang akan membentuk seseorang itu menjadi pemimpin yang berkaliber serta berdaya saing dalam kehidupan mereka.

Selain itu, akademik seseorang itu juga perlulah cemerlang. Pencapaian akademik yang cemerlang akan membolehkan seseorang itu mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang kerjaya.

Di samping itu, untuk menjadi individu yang cemerlang, mereka juga perlulah cemerlang dalam soal kecergasan diri. Kecergasan fizikal dan mental akan melahirkan individu yang sentiasa sihat dan berfikiran positif.

Jelaslah, terdapat pelbagai aspek yang boleh diambil kira untuk menjadikan seseorang itu cemerlang. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah mengejar kecemerlangan kerana kemajuan sesebuah negara itu bermula daripada rakyatnya.

125 patah perkataan

JAWAPAN 2

Semua orang mengimpikan kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi. Terdapat pelbagai kaifiat yang boleh membantu seseorang itu cemerlang.

Aspek akademik merupakan tunjang ke arah kecemerlangan. Kejayaan dalam bidang akademik akan membolehkan kita berjaya menjawat jawatan yang kita idamkan.

Selain itu, pembentukan sashsiah pula merupakan tunggak utama untuk menuju ke arah kecemerlangan diri. Sahsiah yang terpuji melahirkan individu yang akan dihormati oleh masyarakat di sekelilingnya.

Di samping itu, sifat kepemimpinan juga seharusnya ada dalam diri individu yang inginkan kecemerlangan. Hal ini ibarat kata pujangga ‘selalunya ketua itu juara’.

Akhirnya,aspek yang membantu seseorang itu cemerlang ialah kecergasan. Dalam erti kata lain, kita perlulah mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan menjaga pemakanan kita.

Konklusinya, pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu cemerlang.Justeru,setiap individu perlulah sentiasa bermuhasabah diri sendiri kerana sesungguhnya kejayaan itu tidak akan datang bergolek.


125 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Anggerik 2009

Suasana Sukan Tahunan SMKDA 2009(3)






Atas permintaan pelajar-pelajar, cikgu siarkan lagi beberapa keping foto yang diambil semasa Sukan Tahunan SMKDA 2009.

Peribahasa:Bagai Pahat dengan Penukul

Rabu, 19 Ogos 2009

Langkah-langkah Menulis Karangan Rangsangan (2)

JENIS SOALAN

Soalan Bersifat Umum

Soalan Contoh:
a)Huraikan pendapat anda tentang banjir yang melanda negara kita.

b)Huraikan pendapat anda tentang Program Angkasawan Malaysia

CARA MENJAWAB:

Pelajar mestilah menulis berdasarkan perkara-perkara berikut:
a) punca-punca
b) kesan-kesan
c) cara-cara menangani

*Masukkan semua isi yang diberi(sekiranya ada diberi)


Soalan Bersifat Khusus

Soalan Contoh:
a)Huraikan pendapat anda tentang punca-punca berlakunya kebejatan sosial dalam kalangan remaja.

b)Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah pemuliharaan alam sekitar.

CARA MENJAWAB:

Pelajar hendaklah menulis berdasarkan kehendak soalan.

a) sebab/punca/faktor/faedah/mengapa/
kekangan/masalah/kebaikan

b) kesan/akibat/impak/natijah/keburukan

c) langkah/cara/usaha/peranan/cadangan

RANGKA KARANGAN

Perenggan 1 :Pendahuluan
Perenggan 2 :Isi 1
Perenggan 3 :Isi 2
Perenggan 4 :Isi 3
Perenggan 5 :Isi 4(pilihan)
Perenggan 6 :Penutup(Kesimpulan + Cadangan)

Selasa, 18 Ogos 2009

CONTOH 18-KARANGAN PENDAPAT

Kejadian keracunan makanan di sekolah sering berlaku sejak kebelakangan ini. Berikan pendapat anda tentang punca-punca keracunan makanan di sekolah.

Kebelakangan ini kejadian keracunan makanan di sekolah-sekolah sering menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar tempatan.Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah perkara ini semakin kerap berlaku? Apakah tiada tindakan yang diambil untuk menanganinya dari terus berlaku? Semua persoalan ini tentunya sentiasa bermain-main di fikiran kita.Apakah punca yang menyebabkan kejadian ini terus berlaku?

Antara punca utama keracunan makanan di sekolah adalah disebabkan sikap pengusaha kantin yang mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Kebanyakan daripada mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan kurang mengambil berat tentang kualiti makanan yang dijual. Sehubungan dengan ini, mereka tidak akan mempedulikan sama ada makanan tersebut boleh dijual atau tidak kepada para pelajar. Sebagai contoh mereka tidak mencuci dengan sempurna bahan mentah yang digunakan sebelum memasak sesuatu hidangan. Perbuatan mereka ini boleh diibaratkan umpama anjing makan muntahnya.Sikap ini jika dibiarkan berterusan pastinya akan membawa kepada keracunan makanan.

Selain itu, terdapat pengusaha yang tidak menjaga persekitaran kawasan kantin. Kawasan di sekeliling kantin dan dapur dibiarkan kotor tanpa penjagaan yang sewajarnya. Dengan ini, kawasan tersebut akan dicemari dengan pelbagai jenis haiwan dan serangga yang membawa pelbagai jenis kuman. Sebagai contoh, serangga seperti lipas, semut, cicak, tikus dan sebagainya akan berkeliaran dan kadangkala masuk ke dalam makanan. Sewajarnya sikap ini dijauhi bagi mengelakkan makanan daripada tercemar.

Di samping itu, sikap para pelajar yang kurang menitikberatkan aspek kebersihan diri juga merupakan punca berlakunya keracunan makanan di sekolah. Kebanyakan pelajar memandang remeh kepada soal kebersihan diri dan kualiti sesuatu makanan.Sehubungan dengan itu, mereka akan mengabaikan aspek kebersihan dan membeli makanan yang sudah tercemar. Sebagai contoh, mereka tidak mencuci tangan dengan sabun sewaktu hendak menjamah sesuatu makanan. Selagi pelajar tidak mengambil berat soal kebersihan diri, pastinya masalah ini akan terus berlarutan.

Konklusinya, pelbagai punca telah dikenalpasti menyebabkan berlakunya keracunan makanan di sekolah. Masalah ini boleh diatasi dengan menamatkan kontrak pengusaha yang terlibat dengan masalah ini. Dengan ini, akan dapat memberi pengajaran kepada pengusaha kantin yang lain supaya sentiasa peka dalam soal kebersihan di kantin sekolah.Jelaslah bahawa masalah ini akan dapat diatasi sekiranya punca-punca kepada permasalahan ini dapat ditangani secara bersepadu.

350 patah perkataan

Peribahasa:Yang dikejar tak dapat,yang dikendung berciciran

Isnin, 17 Ogos 2009

Peribahasa:Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan

CONTOH 17-KARANGAN KEPERIHALAN/GAMBARAN

Pada suatu hari minggu, ketika anda dan teman-teman tiba di sekolah untuk bermain bola sepak, tiba-tiba anda melihat suatu kejadian kecurian. Anda segera bertindak untuk menyelamatkan harta benda sekolah. Ceritakan pengalaman yang anda tempuhi itu.

Pada hari Ahad yang lalu, cuaca pada petang itu sungguh sejuk dan nyaman sekali. Aku kemudiannya mengambil keputusan untuk bermain bola sepak di padang sekolah yang terletak berhampiran dengan rumahku. Aku kemudiannya menelefon kawan-kawanku untuk mendapatkan persetujuan mereka. Kawan-kawanku bersetuju dengan cadanganku dan berjanji akan ke padang sekolah pada jam 5.00 petang.

Aku dan rakan-rakanku tiba di hadapan pintu pagar sekolah tepat jam 5.00 petang. Kami dapati suasana agak sunyi sepi seperti dilanggar geroda.Kelibat pengawal keselamatan juga tidak kelihatan. Kebiasaannya pengawal keselamatan yang bertugas di pondok keselamatan akan menahan mereka yang masuk ke kawasan sekolah.

Sewaktu kami sedang menongkatkan basikal kami di garaj tempat meletak basikal, kami terdengar suatu bunyi yang pelik seperti orang sedang mengumpil sesuatu. Dengan berhati-hati aku dan rakan-rakanku pergi ke arah bunyi tersebut. Alangkah terkejut kami apabila terlihat dua lembaga sedang cuba mengumpil peti sumbangan derma yang berada di dalam surau sekolah kami.

Bukan itu sahaja, terdapat dua lembaga lagi sedang mengangkat peti televisyen dan alat pemain video yang turut berada di dalam surau itu. Aku dan rakan-rakanku mengambil keputusan untuk berpecah kepada dua kumpulan. Aku dan beberapa orang sahabatku akan memantau pergerakan lembaga-lembaga tersebut, manakala beberapa orang yang lain akan pergi mendapatkan bantuan secepat mungkin.

Tiba-tiba salah seorang daripada lembaga tersebut merenung tepat ke arah tempat kami sedang menyorok. Kami berasa ketakutan yang amat sangat memandangkan kemungkinan lembaga-lembaga tadi memiliki senjata yang berbahaya. Melihatkan lembaga-lembaga tersebut bergerak ke arah kami, kami pun terus berlari untuk menyelamatkan diri dari tertangkap. Malangnya sahabat kami Ali, telah terjatuh ketika cuba melarikan diri tadi. Kami tiada pilihan lain selain kembali mendapatkan Ali. Kami bimbang sekiranya kami tidak menyelamatkan Ali, kemungkinan besar dia akan dicederakan oleh lembaga-lembaga tadi.

Berbekalkan semangat dan ilmu persilatan yang kami pelajari di sekolah, kami berjaya menangkis serangan yang bertubi-tubi daripada lembaga-lembaga yang tidak dikenali itu. Semasa kami sedang sibuk mempertahankan diri masing-masing, sahabat kami yang lain telah berjaya mendapatkan bantuan daripada pihak polis yang kebetulan lalu di hadapan sekolah kami. Pihak polis segera melepaskan tembakan amaran yang menyebabkan kami dan juga lembaga-lembaga tersebut terkejut.

Kami segera meletakkan tangan di atas kepala masing-masing begitu juga dengan lembaga-lembaga itu tadi.Pihak polis kemudiannya menggari tangan lembaga-lembaga yang bertopeng itu dengan pantas. Kami kemudiannya telah diminta ke Balai Polis Merlimau untuk membantu siasatan. Tidak kami sangka bahawa kami telah menjadi hero pada hari yang bersejarah itu. Kami juga beryukur kerana tiada sesiapa antara kami yang mengalami kecederaan yang serius. Peristiwa ini pastinya akan sentiasa kami kenang sehingga akhir hayat kami.

400 patah perkataan

Ahad, 16 Ogos 2009

Peribahasa:Harapkan Pagar,Pagar Makan Padi

Peribahasa:Musang Berbulu Ayam

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (4)

SOALAN:Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah bertanggungjawab menangani masalah ini?

A1)Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.
(Apa)

A2)Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.
(Mengapa)

A3)Dengan demikian,ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja.
(Bagaimana)

A4)Tamsilnya,ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif.
(Contoh)

A5)Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan efektif, pembabitan remaja dalam kalangan jenayah akan dapat dikurangkan.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha
mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.Hal ini
disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan
paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.
Dengan demikian,ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan
dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja.Tamsilnya,ibu bapa
boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan
perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur
negatif.Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan
masing-masing dengan efektif, pembabitan remaja dalam kalangan
jenayah akan dapat dikurangkan.

Jumaat, 14 Ogos 2009

Lawak Bilik Guru(9)

Budin seorang yang amat benci akan kucing. Entah apa silap
yang telah dibuat oleh kucing padanya tiada siapa yang tahu.
Walaupun begitu, jodoh pertemuan sememangnya ketentuan Ilahi.
Budin telah bertemu jodoh dengan Gayah yang sememangnya amat
suka dan cinta akan kucing.Bukan itu sahaja, sebelum berkahwin
dengan Budin, Gayah ada membela seekor kucing siam.

Maka dari hari ke hari, bertambah benci dan meluatlah Budin
pada kucing terutama si Tompok, kucing siam peliharaan isterinya.
Apa tidaknya,Gayah lebih memberi tumpuan kepada si Tompok dalam
kehidupan sehari-hariannya.Hal ini membuatkan Budin beranggapan,
Gayah lebih sayang si Tompok berbanding dengan dirinya.

Akibat tidak mahu terus tertekan dengan keadaan ini,
Budin membuatrancangan untuk mengusir si Tompok dari hidupnya
dan hidup isterinya,Gayah. Maka, bermulalah dengan rancangan
jahat Budin.

Pucuk dicita ulam yang mendatang, ketika isterinya sedang
asyik mandi ,Budin dengan tanpa segan silunya telah menangkap
si Tompok dan disumbatnya dalam karung beras. Tanpa berlengah
lagi dia terus menunggang laju motornya sehingga jauh dari
rumahnya.Lebih kurang 10 km, lalu dihumbanlah si Tompok
tanpa belas kasihan. Dengan hati gembira, baliklah dia ke rumah
dengan siulan mengikut rentak lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza.

Tapi, kegembiraan hanyalah sementara apabila tiba di rumah
si Tompok dengan sombong bongkaknya melanggok depan pintu
lagaknya menyambut kepulanganBudin. Sakitnya hati Budin
tidak dapat digambarkan.

Keesokan harinya, Budin meneruskan rancangan jahatnya. Kali
ini lebih jauh dibawa si Tompok, 20 km dari rumahnya. Tetapi
seperti semalam, Tompok berjaya mendahuluinya pulang ke rumah.
Budin tidak berputus asa begitu sahaja, alang-alang seluk pekasam,
biar sampai ke pangkal lengan.


Maka nekadlah Budin, kali ini dia bukan sahaja hendak membuang
Tompok lagi jauh tetapi dibawanya Tompok berpusing-pusing dahulu.
Habis semua jalan ditempuhinya, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan,
yang lurus, yang bengkok, segala simpang, segala selekoh habis
dilaluinya dan akhirnya si Tompok dibuang begitu sahaja.

Selang berapa minit kemudian, Budin menelefon Gayah.

Budin: Ayang, Tompok ada di dalam rumah tak?(tanya Budin dengan penuh saspens dan berdebar-debar)

Gayah: Ada, ada dekat depan pintu tu ha, kenapa? (tanya Gayah kehairanan).


Budin: Panggil dia! (herdik Budin dengan nada yang tinggi)


Gayah: Kenapa? (tanya Gayah lagi).


Budin: Aku nak tanya dia, bagaimana nak balik ke rumah. Aku sesat ni.(dengan nada tersipu-sipu)

Pengajaran: Janganlah menganiaya binatang

Semoga Berjaya

Pada kesempatan ini, cikgu ingin mengucapkan selamat berjaya kepada pelajar-pelajar SMK Dang Anum khususnya pelajar-pelajar 3 Anggerik dan juga 3 Melor yang akan menduduki Peperiksaan Percubaan PMR pada 17-21 Ogos ini.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (3)

SOALAN:Kebelakangan ini terdapat banyak kes remaja lari dari rumah. Pada pendapat anda mengapakah perkara ini berlaku?

(A1) Salah satu faktor penyebab remaja lari dari rumah adalah kerana remaja tidak mendapat didikan agama yang mencukupi.

(A2) Hal ini kerana remaja tidak memikirkan kepentingan pendidikan agama terhadap diri mereka.

(A3) Oleh yang demikian, kebanyakan remaja tidak mahu pergi ke kuliah-kuliah agama kerana mereka merasakan majlis tersebut kurang penting.

(A4) Sebagai contoh, mereka sanggup berbohong untuk mengelakkan diri daripada menghadiri kuliah tersebut.

(A5) Sehubungan dengan itu, remaja perlu diberi didikan agama yang cukup agar tidak terpesong ke jalan yang salah bak kata pepatah ‘Ilmu pelita hati’.

PERENGGAN LENGKAP

Salah satu faktor penyebab remaja lari dari rumah adalah
kerana remaja tidak mendapat didikan agama yang mencukupi.
Hal ini kerana remaja tidak memikirkan kepentingan
pendidikan agama terhadap diri mereka. Oleh yang demikian,
kebanyakan remaja tidak mahu pergi ke kuliah-kuliah agama
kerana mereka merasakan majlis tersebut kurang penting.
Sebagai contoh, mereka sanggup berbohong untuk mengelakkan
diri daripada menghadiri kuliah tersebut.Sehubungan dengan itu,
remaja perlu diberi didikan agama yang cukup agar tidak terpesong
ke jalan yang salah bak kata pepatah ‘Ilmu pelita hati’.

Selasa, 11 Ogos 2009

Zaman Sekolah Dulu-dulu

GURU YANG TERBAIK

Guru yang BIASA memberitahu,

Guru yang BAIK memberi penjelasan,

Guru yang BAGUS memberi tunjuk ajar,

Guru yang TERBAIK memberikan INSPIRASI,

Siapakah KITA?

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (2)

SOALAN:Kajian mendapati rakyat Malaysia kurang berminat untuk membaca berbanding dengan aktiviti lain seperti hiburan.Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memastikan minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini meningkat.

(A1)Antara langkah untuk melestarikan minat membaca dalam kalangan masyarakat ialah ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak-anak.
(Apa)

(A2)Hal ini demikian,ada pepatah yang menyebut ‘anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya’ jelas membuktikan peranan ibu bapa amat besar dalam membentuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka.
(Mengapa)

(A3)Minat membaca dapat dibentuk apabila ibu bapa membeli pelbagai variasi buku untuk anak-anak mereka seperti buku cerita, biografi,keagamaan dan sebagainya.
(Bagaimana)

(A4)Semasa di rumah ibu bapa juga boleh membaca akhbar, majalah,dan buku cerita untuk menarik minat anak-anak.
(Contoh)

(A5)Secara tidak langsung hal ini akan meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Antara langkah untuk melestarikan minat membaca dalam
kalanganmasyarakat ialah ibu bapa perlu mengutamakan
pendidikan anak-anak.Hal ini demikian,ada pepatah yang
menyebut ‘anak-anak umpama kain putih,ibu bapalah yang
bertanggungjawab mencorakkannya’ jelas membuktikan
peranan ibu bapa amat besar dalam membentuk minat membaca
dalam diri anak-anak mereka.Minat membaca dapat dibentuk
apabila ibu bapa membeli pelbagai variasi buku untuk
anak-anak mereka seperti buku cerita, biografi,keagamaan
dan sebagainya.Semasa di rumah ibu bapa juga boleh
membaca akhbar, majalah,dan buku cerita untuk menarik
minat anak-anak.Secara tidak langsung hal ini akan
meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ahad, 9 Ogos 2009

Lawak Bilik Guru(8)

Cikgu:Hei,kamu yang berdiri di belakang,cuba sebutkan individu
yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor?

Murid:Maaf, saya tidak tahu, cikgu.

Cikgu:Apa? Tidak tahu? Baiklah, kalau begitu sebutkan saja tahun
berapa perjanjian itu ditandatangani?

Murid:Maaf, saya tidak tahu juga,cikgu.

Cikgu:Tidak tahu sama sekali? Maklumat itukan sudah saya berikan
untuk dibaca minggu lalu.Untuk apa kamu masuk kelas kalau
tidak tahu?

Murid: Saya mahu pinjam penyapu cikgu. Saya dari kelas lain.

Cikgu:Patutlah,buang masa aku je.

Pengajaran: Pastikan bertanya kepada orang yang betul.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (1)

SOALAN:Sejak akhir-akhir ini mutu sukan bola sepak negara didapati merosot. Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak negara ini.

(A1)Salah satu langkah untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara adalah dengan mengadakan jurulatih yang berkaliber oleh pihak FAM.
(Apa)

(A2)Hal ini kerana jurulatih yang sedia ada tidak menunjukkan komitmen yang baik dan kurang berpengalaman.
(Mengapa)

(A3)Dengan adanya jurulatih yang berkaliber, pemain-pemain akan bertambah kemahirannya.
(Kesan)

(A4)Sebagai contoh,pasukan bola sepak negara kita pernah layak ke Sukan Olimpik di Moscow dengan bimbingan jurulatih tempatan yang berkaliber.
(Contoh)

(A5)Mutu bola sepak negara akan terus merosot jika tiada jurulatih yang berkaliber membimbing pasukan negara ini.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Salah satu langkah untuk meningkatkan kualiti bola sepak
negara adalah dengan mengadakan jurulatih yang berkaliber
oleh pihak FAM.Hal ini kerana jurulatih yang sedia ada
tidak menunjukkan komitmen yang baik dan kurang berpengalaman.
Dengan adanya jurulatih yang berkaliber, pemain-pemain akan
bertambah kemahirannya.Sebagai contoh,pasukan bola sepak
negara kita pernah layak ke Sukan Olimpik di Moscow dengan
bimbingan jurulatih tempatan yang berkaliber.Mutu bola sepak
negara akan terus merosot jika tiada jurulatih yang berkaliber
membimbing pasukan negara ini.

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN(2)

Soalan:Masalah merokok dalam kalangan remaja khususnya melibatkan pelajar sekolah semakin hari semakin meningkat dengan ketara.Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus merosakkan tubuh remaja.

(A1)Masalah merokok dalam kalangan remaja semakin menular dari sehari ke sehari. Persoalannya,mengapakah masalah ini semakin berleluasa dalam kalangan pelajar?

(A2)Apakah faktor-faktor yang menyebabkan masalah ketagihan rokok ini semakin meningkat?

(A3)Semua persoalan ini membelenggu fikiran kita pada setiap masa.

(A4)Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini daripada terus membinasakan tubuh mereka?

PERENGGAN LENGKAP

Masalah merokok dalam kalangan remaja semakin menular
dari sehari ke sehari. Persoalannya,mengapakah masalah ini
semakin berleluasa dalam kalangan pelajar?Apakah faktor-faktor
yang menyebabkan masalah ketagihan rokok ini semakin meningkat?
Semua persoalan ini membelenggu fikiran kita pada setiap masa.
Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah
ini daripada terus membinasakan tubuh mereka?

CONTOH PENDAHULUAN JENIS ISU SEMASA(1)

SOALAN:Sejak akhir-akhir ini mutu sukan bola sepak negara didapati merosot. Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak negara ini.

(A1)Sejak kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan bola sepak negara sering dipaparkan dalam media massa.

(A2)Kemerosotan ini bagaikan tiada kesudahannya.

(A3)Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak negara kita kecundang dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2010.

(A4)Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang efektif bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia.

PERENGGAN LENGKAP

Sejak kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan bola sepak negara sering dipaparkan dalam media massa.Kemerosotan ini bagaikan tiada kesudahannya.Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak negara kita kecundang dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2010.Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang efektif bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia.

CONTOH PENDAHULUAN JENIS DEFINISI(3)

SOALAN:Sejak akhir-akhir ini mutu sukan bola sepak negara didapati merosot. Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak negara ini.

(A1)Menurut Kamus Dewan, sukan dapat disinonimkan sebagai segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga.

(A2)Antara sukan yang menjadi teras di negara kita ialah bola sepak.

(A3)Kebelakangan ini,pencapaian pasukan bola sepak negara kita semakin merudum dan membimbangkan.

(A4)Mahu ataupun tidak, kita perlu mengenalpasti usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memulihkan kembali imej negara yang tercalar ini.

PERENGGAN LENGKAP

Menurut Kamus Dewan, sukan dapat disinonimkan sebagai segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga.Antara sukan yang menjadi teras di negara kita ialah bola sepak.Kebelakangan ini,pencapaian pasukan bola sepak negara kita semakin merudum dan membimbangkan.Mahu ataupun tidak, kita perlu mengenalpasti usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memulihkan kembali imej negara yang tercalar ini.

Khamis, 6 Ogos 2009

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN(1)

SOALAN: Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan.

(A1)Keluarga memainkan peranan yang dominan dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.Adakah institusi keluarga ini telah memainkan peranan masing-masing?

(A2)Apakah peranan yang patut dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam mencorakkan sahsiah anak-anak?

(A3)Keruntuhan moral dalam kalangan anak-anak semakin berleluasa dewasa ini.

(A4)Bagaimanakah caranya untuk membentuk sahsiah mulia anak-anak yang merupakan aset terpenting bagi negara kita ini?

PERENGGAN LENGKAP

Keluarga memainkan peranan yang dominan dalam mencorakkan
keperibadian anak-anak.Adakah institusi keluarga ini telah
memainkan peranan masing-masing? Apakah peranan yang patut
dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam mencorakkan
sahsiah anak-anak? Keruntuhan moral dalam kalangan anak-anak
semakin berleluasa dewasa ini.Bagaimanakah caranya
untuk membentuk sahsiah mulia anak-anak yang merupakan
aset terpenting bagi negara kita ini?

Rabu, 5 Ogos 2009

H1N1 (Cuti Kuarantin)

Pada kesempatan ini cikgu hendak memaklumkan kepada semua warga SMK Dang Anum bahawa sekolah kita akan mula bercuti mulai esok 6.8.09 sehingga 12.8.09. Hal ini kerana sekolah kita telah dikuarantin ekoran terlalu banyak pelajar yang demam termasuk cikgu sendiri yang masih demam sehingga hari ini.

Isnin, 3 Ogos 2009

CONTOH PENDAHULUAN JENIS DEFINISI(2)

SOALAN: Penggunaan komputer menjadikan manusia lebih maju. Bincangkan pernyataan ini.

(A1)Komputer dapat ditakrifkan sebagai alat elektronik yang dapat menyimpan dan memberikan pelbagai maklumat untuk kemudahan manusia apabila diperlukan.

(A2)Penggunaan komputer menjadi semakin meluas apabila lahirnya syarikat gergasi seperti ‘Microsoft’ yang diasaskan oleh Bill Gates yang kemudiannya mencipta pelbagai jenis komputer yang canggih seperti komputer riba,komputer telapak tangan dan sebagainya.

(A3)Hal ini menyebabkan kebanyakan daripada penduduk dunia telah menjadikan komputer sebahagian daripada kehidupan mereka.

(A4)Secara disedari atau tidak,melalui teknologi ini,kehidupan manusia kini menjadi semakin maju.

PERENGGAN LENGKAP

Komputer dapat ditakrifkan sebagai alat elektronik yang dapat menyimpan dan memberikan pelbagai maklumat untuk kemudahan manusia apabila diperlukan.
Penggunaan komputer menjadi semakin meluas apabila lahirnya syarikat gergasi seperti ‘Microsoft’ yang diasaskan oleh Bill Gates yang kemudiannya mencipta pelbagai jenis komputer yang canggih seperti komputer riba,komputer telapak tangan dan sebagainya.Hal ini menyebabkan kebanyakan daripada penduduk dunia telah menjadikan komputer sebahagian daripada kehidupan mereka.Secara disedari atau tidak,melalui teknologi ini,kehidupan manusia kini menjadi semakin maju.

Ahad, 2 Ogos 2009

CONTOH PENDAHULUAN JENIS DEFINISI(1)

SOALAN: Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan.

(A1)Mengikut Kamus Dewan, keluarga dapat ditakrifkan sebagai seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami isteri serta anak-anak.

(A2)Selain itu, sebuah keluarga juga merangkumi datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara yang juga memainkan peranan penting dalam sesebuah keluarga.

(A3)Secara tidak langsung, hubungan baik antara ahli keluarga dapat membentuk akhlak mulia anak-anak.

(A4)Oleh itu, kita perlu mengetahui peranan penting setiap ahli keluarga dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.

PERENGGAN LENGKAP

Mengikut Kamus Dewan, keluarga dapat ditakrifkan sebagai seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami isteri serta anak-anak.Selain itu, sebuah keluarga juga merangkumi datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara yang juga memainkan peranan penting dalam sesebuah keluarga.Secara tidak langsung, hubungan baik antara ahli keluarga dapat membentuk akhlak mulia anak-anak.Oleh itu, kita perlu mengetahui peranan penting setiap ahli keluarga dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.

Simpulan Bahasa:Mati Katak

Sabtu, 1 Ogos 2009

Lawak Bilik Guru(7)

Suatu hari di kelas 2 Teratai.

Murid : Selamat pagi, cikgu.

Cikgu : Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?

Murid : Selamat pagi, petang dan malam cikgu!

Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.

Murid : Selamat sejahtera cikgu!

Cikgu : Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik. Hari ini cikgu nak uji kamu semua tentang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu, faham?

Murid : Faham, cikgu!

Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.

Murid : (senyap)

Cikgu : Tinggi!

Murid : Rendah!

Cikgu : Jauh!

Murid : Dekat!

Cikgu : Bulan!

Murid : Keris!(Sepatutnya matahari)

Cikgu : Salah!

Murid : Betul!

Cikgu : Dengar ini!

Murid : Dengar itu!

Cikgu : Diam!

Murid : Bising!

Cikgu : Itu bukan pertanyaan!

Murid : Ini ialah jawapan!

Cikgu : Mati aku!

Murid : Hidup kami!

Cikgu : Malas aku ajar kamu!

Murid : Rajin kami belajar cikgu!

Cikgu : Cukup! Cukup!

Murid : Kurang! Kurang!

Cikgu : O.K. Pelajaran sudah habis!

Murid : K.O. Pelajaran belum bermula!

Cikgu : Sudah!

Murid : Belum!

Cikgu : Berdiri!

Murid : Duduk!

Cikgu : Saya kata tadi keris salah!

Murid : Kami dengar sekarang bulan betul!

Cikgu : Kamu semua ditahan tengah hari ini!(hukuman)

Murid : Kami dilepaskan tengah malam itu!

Cikgu : (Senyap dan mengambil buku-bukunya keluar)

Pengajaran: Bukan senang hendak pandaikan murid

CONTOH 16-KARANGAN PENDAPAT

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Bincangkan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecap hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang lepas tangan ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Justeru, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini berlaku demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Sebagai contoh, penggunaan racun serangga dan pendingin hawa membawa kesan yang paling ketara dan serius kepada alam sekitar perlulah dihadkan penggunaannya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Sehubungan dengan ini, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka dapatlah dikawal. Tamsilnya, denda yang maksimum atau hukuman sebatan patut dikenakan ke atas pekilang yang tegar supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Justeru,sikap pengilang yang bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing akan dapat dibanteras dengan lebih efektif.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Dengan ini, kawasan persekitaran tidak akan dibanjiri dengan bahan buangan yang akan mencemarkan alam sekitar.Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.


Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.

390 patah perkataan

Cara mengatasi marah dalam Islam

1)Mengubah Posisi/Kedudukan Anda

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang antara kamu
marah,dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah
ia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya dan kalau
tidak, maka hendaklah ia berbaring." (Riwayat Muslim)

2)Berwuduk.

Rasulullah SAW bersabda: "Marah itu datangnya daripada syaitan,
dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya
dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salah seorang antara
kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk." (Hadis Riwayat Abi Daud)

3)Minum air.

4)Mendiamkan diri ketika marah.

5)Berlindung kepada Allah daripada syaitan.

6)Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

7)Berfikiran positif.

8)Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat;
mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.

9)Bawa bertenang seperti menarik nafas.

10)Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.