Khamis, 6 September 2012

Kesan-kesan negatif kebanjiran pendatang asing ke negara kita.

Huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan negatif kebanjiran pendatang asing ke negara kita. Panjang karangan anda hendaklah melebihi 180 patah perkataan.

 Kita menghargai sumbangan pekerja asing dalam membantu pembangunan ekonomi negara ini, khususnya dalam sektor hartanah. Mereka telah menjadi sebahagian daripada institusi sosial di negara kita. Walaupun begitu kemasukan mereka ke negara kita telah mncetuskan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat di negara ini. Pelbagai kesan negatif telah dirasakan oleh sebahagian besar penduduk dewasa ini.

 Kejadian jenayah yang meningkat di negara kita kebelakangan ini dikatakan banyak berpunca daripada kebanjiran pendatang asing ke negara kita. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada mereka datang ke negara ini dengan tujuan untuk mendapatkan kekayaan dengan cepat. Justeru, mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja pekerjaan walaupun yang menyalahi undang-undang.Sebagai contoh mereka akan melakukan rompakan, penculikan, dan sebagainya bagi mendapatkan wang yang banyak.Sememangnya jenayah kerap berlaku di kawasan yang didiami oleh mereka ini.

 Selain itu, kehidupan para penduduk di sesuatu kawasan menjadi tidak tenteram. Hal ini disebabkan sikap tidak menghormati budaya dan agama masyarakat setempat. Dengan ini, mereka akan menyebabkan berlakunya konflik dengan penduduk tempatan. Tamsilnya, pendatang-pendatang asing terutamanya kaum lelaki akan menganggu anak-anak gadis dan isteri-isteri orang yang lalu berhampiran dengan mereka. Perbuatan mereka ini pastinya menimbulkan kemarahan penduduk yang akhirnya mencetuskan pergaduhan dan sebagainya.

 Di samping itu juga peluang pekerjaan penduduk tempatan akan terjejas. Hal ini berlaku kerana kebanyakan majikan mahu mengupah pekerja yang rendah gajinya. Justeru, para majikan akan mengurangkan pengambilan pekerja tempatan tetapi dalam masa yang sama menambah bilangan pekerja asing. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.Sebagai contoh, mereka akan memenuhi sektor pekerjaan dalam bidang perindustrian dan perladangan. Gaji yang rendah kepada pekerja asing sememangnya menjadi punca utama kepada permasalahan ini berlaku.

 Konklusinya, kebanjiran pendatang asing ke negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah sosial yang kronik.Justeru,pihak yang berwajib perlulah memastikan pendatang asing tersebut tidak akan menimbukan masalah pada masa hadapan.Dengan ini nasib penduduk tempatan lebih terjamin. Sememangnya tidak boleh dinafikan kedatangan pendatang asing telah mendatangkan impak negatif kepada kehidupan sosial masyarakat di negara kita.