Khamis, 11 Julai 2013

Kadar kemalangan jalan raya di negara kita agak tinggi terutamanya pada musim-musim perayaan. Cadangkan cara-cara yang berkesan untuk mengatasi masalah tersebut.

Saban hari berita tentang kemalangan jalan raya menghiasi dada-dada akhbar di negara kita ini. Walaupun pelbagai pendekatan telah diambil tetapi kadar kemalangan jalan raya di negara kita ini semakin meningkat dari hari ke hari. Justeru, pendekatan yang lebih efektif perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Mempunyai lesen yang sah merupakan perkara yang paling utama sebelum seseorang itu dibenarkan memandu sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya. Hal ini demikian kerana memandu tanpa lesen yang sah mengundang pelbagai masalah kerana mereka yang tidak mempunyai lesen memandu tidak akan memahami undang-undang jalan raya. Oleh itu, setiap individu bertanggungjawab bagi memastikan diri mereka mempunyai lesen memandu yang sah sebelum memandu sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya.Bak kata pepatah hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

Selain itu, ibu bapa juga perlulah melarang anak-anak mereka yang tidak mempunyai lesen memandu daripada menunggang motosikal atau memandu kereta di atas jalan raya. Hal ini demikian kerana kes kemalangan yang melibatkan remaja yang tiada lesen memandu amat tinggi jumlahnya. Sekiranya ibu bapa memberikan kerjasama dan cakna tetang perkara ini, pasti perkara ini dapat disekat daripada berleluasa.

Dalam pada itu, orang ramai juga perlulah bersikap bertimbang rasa semasa menggunakan jalan raya. Hal ini demikian kerana terdapat mereka yang kurang bertimbang rasa sering melakukan pelbagai kesalahan jalan raya yang mengundang kepada kemalangan berlaku. Sebagai contoh, terdapat sesetengah daripada mereka memotong kenderaan lain di kawasan yang tidak dibenarkan dan melanggar lampu isyarat kerana sikap tidak sabar.

Di samping itu juga pihak berkuasa perlu membaiki jalan-jalan yang rosak seberapa cepat yang mungkin. Hal ini demikian kerana terdapat banyak kemalangan jalan raya  yang melibatkan penunggang motosikal disebabkan keadaan jalan yang berlubang-lubang dan tidak rata.Sekiranya jalan-jalan tersebut diselenggara dengan baik, sudah pasti kemalangan dapat dielakkan.

Konklusinya pelbagai prakarsa boleh diambil bagi membendung peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara kita ini. Hukuman yang lebih berat juga perlu dikenakan ke atas individu yang menjadi penyebab kepada sesuatu kemalangan itu berlaku. Dengan ini, mereka akan lebih berwaspada semasa menggunakan jalan raya dan mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan.




                                                                                                                   300 patah perkataan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan