Rabu, 25 November 2009

Mewah Bahasa: 'Memerut = memeruti'

DALAM kelas di sebuah sekolah di Johor....

Guru: Hari ini kita akan belajar imbuhan me_. Imbuhan ini adalah awalan kata kerja. Kata yang menerima awalan ini akan menjadi kata kerja. Siapa boleh bagi contoh kata yang menerima awalan ini?

Amin: Memasak, cikgu! Dari kata dasar masak menjadi memasak.

Guru: Betul! Siapa lagi boleh bagi contoh?

Rajoo: Mepaku cikgu!

Guru: Mepaku?

Rajoo: Ya! mepaku, .... mengatuk paku di papan.

Guru: Bukan mepaku, tetapi memaku. Bagi kata dasar yang bermula dengan huruf p, huruf ini menjadi m. Itu sebabnya paku menjadi memaku. Paku bukan katuk, tetapi tukul, dengan itu bukan mengatuk, tetapi menukul paku!

Razin: Kalau gitu, kata memerut juga berasal dari kata perut, ya cikgu?

Cikgu: Tak ada kata memerut, memeruti adalah! Memeruti kata dasarnya perut dan menerima imbuhan apitan me_i, bukan awalan me_.

Razin: Apa makna memeruti cikgu? Saya tak pernah dengar pulak dan yang selalu emak saya cakap memerut aje, samalah tu agaknya.

Cikgu: Memeruti adalah pekerjaan membuang perut sesuatu seperti ikan dan ayam. Semasa kita menyiang ikan dan ayam, kita buang isi perutnya. Perbuatan inilah yang dinamakan memeruti. Tidak ada perkataan memerut!

Razin: Ada cikgu! Emak saya selalu bising setiap pagi, sebab dia kata kucing jiran memerut di porch.

Cikgu: Emak awak memeruti kucing? Dia bunuh ke kucing tu? Lepas tu dia buat apa dengan kucing yang telah diperuti tu?

Razin: Tak dapat. Kalau nak ikutkan dia, memang dia nak bunuh aje kucing jiran tu. Tapi tak pernah dapat.

Cikgu: Kalau tak dapat, macam mana emak awak boleh memeruti kucing tu?

Razin: Emak saya tak memeruti, ... kucing yang memerut! Sampai dua, tiga tompok sepagi, kadang-kadang terlenyek pulak dek tayar kereta. Satu hari tu masa nak ke sekolah, saya terpijak dan bawa masuk dalam kereta. Habis semua muntah dek bau masamnya. Kereta kena bawa ke tempat cuci. Kena cuci karpet yang kena taik kucing tu dan cuci seat sekali yang kena muntah.

Cikgu: Memerut ni apa? Dalam kamus pun tak ada. Dalam kamus ni ada memeruti saja.

Murid-murid lain: Ha! Ha! Ha! Memerut tu beraklah cikgu! Kucing selalu berak kat depan rumah Razin. Tu sebab kadang-kadang ada bau taik kucing dekat dia.

Cikgu: Oooo, gitu ke?! Tempat saya di utara tidak guna perkataan ini. Orang selatan aje kut yang guna. Tapi dalam tulisan dan buku tidak guna perkataan ini. Oleh itu jangan guna perkataan ni di sekolah, terutamanya masa peperiksaan. Tadi Razin bagi contoh kucing memerut, untuk orang, guna memerut juga ke?

Razin: Memerut le, kan lebih lembut bunyinya daripada berak ek? He! He! He!

Cikgu: Hangpa ni, macam-macam la! Kih! Kih! Kih!

Glosari: Memerut - (dialek selatan) buang air besar, berak.

Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

Nota: Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

Rabu, 18 November 2009

CONTOH 21-KARANGAN PENDAPAT

Punca-punca Pengambilan Dadah dalam Kalangan Remaja.Bincangkan.

Dalam menjalani arus globalisasi masa ini, kita sering didedahkan di media massa tentang pengambilan najis dadah dalam kalangan remaja. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah hal sedemikian makin kerap berlaku? Persoalan demi persoalan sentiasa menghantui benak kita semua.Apakah yang menyebabkan generasi pewaris bangsa ini cenderung untuk melakukan perbuatan yang terkutuk ini?

Antara punca yang dikenal pasti ialah naluri ingin tahu dan suka mencuba yang terbit dalam diri remaja itu sendiri.Hal ini berlaku demikian kerana para remaja yang berdarah panas ini bersikap pantang dicabar dan sentiasa menyahut cabaran daripada rakan-rakan mereka walaupun cabaran itu berunsurkan perkara yang negatif.Lantaran itu, mereka akan mencuba najis dadah jika dicabar oleh rakan-rakan mereka untuk mengambilnya.Tamsilnya,mereka akan berasa seronok dan gembira sekiranya cabaran yang diajukan oleh rakan mereka berjaya disahut.Oleh itu, naluri ingin tahu yang keterlaluan sememangnya mendatangkan keburukan sekiranya tidak berjaya dikawal oleh para remaja.

Selain itu,kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa juga merupakan penyebab gejala ini berlaku. Hal ini berlaku demikian kerana sikap ibu bapa yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak.Natijahnya, anak-anak akan berasa disisihkan oleh ibu bapa mereka.Anak-anak yang dahagakan perhatian dan kasih sayang ini, akhirnya akan berasa bosan dan mencari ketenangan dengan berhibur dengan kawan-kawan di luar rumah lalu terjebak dengan najis dadah ini.Oleh itu,ibu bapa perlulah mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak mereka agar gejala ini dapat dihalang sebelum berlaku.

Bukan itu sahaja,sikap anggota masyarakat yang lepas tangan juga mendorong kepada gejala yang tidak sihat ini. Hal ini berlaku demikian kerana tanpa teguran dan tindakan daripada orang ramai, mereka akan beranggapan tindakan mereka mendapat lampu hijau daripada orang di sekeliling mereka.Dengan ini, mereka akan tidak teragak-agak untuk melibatkan diri mereka dengan najis dadah ini. Tamsilnya,penduduk di sesuatu komuniti tidak memberitahu pihak berkuasa walaupun kegiatan negatif itu berlaku di depan mata mereka. Justeru, masyarakat perlulah bersikap lebih cakna dan tidak bersikap ’bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Konklusinya, jelaslah bahawa terdapat banyak punca yang mendorong kepada gejala yang negatif ini. Oleh itu, pihak sekolah khususnya perlulah mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya dadah dalam kalangan pelajar sekolah.Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing, sudah pasti masalah ini akan dapat diatasi dengan berkesan.Sememangnya, langlah-langkah yang proaktif perlulah diambil bagi menyekat penularan dadah dalam kalangan remaja ini.

Diadaptasi daripada karangan Farah Adibah Karim 3 Anggerik 2009.

Sabtu, 14 November 2009

CADANGAN JAWAPAN KERTAS 2 KOMSAS-PAHLAWAN PASIR SALAK (PMR 2009)

SOALAN:Tiga contoh peristiwa yang dapat menggambarkan persoalan kebijaksanaan seorang pemimpin.

1)Datuk Maharaja Lela telah meminta penduduk Pasir Salak
mendirikan kubu di tepi Sungai Perak dan di Bandar Tua
bagi mempertahankan Kampung Pasir Salak daripada ancaman
pihak Inggeris.

2)Datuk Maharaja Lela mengajar ilmu persilatan kepada Deli dan
rakan-rakannya sebagai langkah mempertahankan Pasir Salak.

3)Datuk Maharaja Lela bijak mengatur strategi ketika menyerang
Residen Birch iaitu sewaktu perahu Birch berada di tengah-tengah sungai.