karangan,tatabahasa,komsas,panduan mengarang,sastera,peribahasa,surat kiriman,cereka,pengalaman,format pt3/spm,bahan bantu mengajar
Khamis, 10 Oktober 2013
Isnin, 7 Oktober 2013
Cadangan Jawapan Kertas Bahasa Melayu Kertas 1 PMR 2013
1. B
2. A
3. B
4. D
5. C
6. A
7. A
8. C (dihadiahkan)
9. D
10. A (mengisi)
11. C (rendang ayam)
12. C (penganjur)
13. B (dengan)
14. A (deretan rumah)
15. C (iv - longlai)
16. C
17. A (iii - merintis)
18. D
19. B
20. B 31. C
21. C 32. D
22. D 33. C
23. A 34. A
24. D 35. A
25. C 36. D
26. B 37. C
27. B 38. D
28. C 39. B
29. D 40. D
30.A
2. A
3. B
4. D
5. C
6. A
7. A
8. C (dihadiahkan)
9. D
10. A (mengisi)
11. C (rendang ayam)
12. C (penganjur)
13. B (dengan)
14. A (deretan rumah)
15. C (iv - longlai)
16. C
17. A (iii - merintis)
18. D
19. B
20. B 31. C
21. C 32. D
22. D 33. C
23. A 34. A
24. D 35. A
25. C 36. D
26. B 37. C
27. B 38. D
28. C 39. B
29. D 40. D
30.A
Isnin, 30 September 2013
Kraf tangan
Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita
meskipun menghadapi pelbagai masalah.
Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memajukan
industri ini? Jelaskan.
Industri kraf tangan ialah
kerja-kerja yang berkaitan dengan penghasilan barangan kraf tradisional. Industri
ini merupakan satu industri yang berpotensi besar untuk membantu meningkatkan
taraf kehidupan masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai
prakarsa yang boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih
baik lagi.
Langkah yang paling berkesan untuk
memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di
negara ini. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan
lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh
pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh
dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.
Selain itu,kerajaan juga harus menjalankan
usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan
teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran
industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada
pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi
juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan
produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.
Dalam pada itu, kempen kesedaran yang
meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada
remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak
menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang lebih
moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan
meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.
Di samping itu, produk kraf tangan
ini juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha
mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu
memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan
permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan
sumber semula jadi tempatan?
Konklusinya, industri ini bukanlah
sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan
mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur
dalam negara ini seperti kata pepatah tak lapuk di hujan, tak lekang dek panas.Kegagalan
kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi bukti betapa rendahnya
pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.
Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com
Ahad, 29 September 2013
Tip PMR 2013
Fokus Karangan (Bahagian C)
1. Sekolah selamat.
2. Aspek-aspek yang harus ada pada murid cemerlang.
3. Faktor kemasukan pendatang asing ke Malaysia.
4. Penggunaan herba dalam amalan perubatan
masyarakat Malaysia
5. Kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum di
sekolah.
6. Cara mengurangkan kegiatan lumba haram dalam
kalangan remaja.
7. Keistimewaan masyarakat Malaysia (masyarakat majmuk).
7. Keistimewaan masyarakat Malaysia (masyarakat majmuk).
8. Kebaikan belajar berkumpulan.
9. Aktiviti sukan lasak.
10. Kepentingan menjaga alam sekitar.
11. Sikap prihatin dalam masyarakat Malaysia.
12. Semangat sukarela.
13. Perusahaan kraf tangan di Malaysia.
14. Adat istiadat perkahwinan dalam masyarakat anda.
15. Penggunaan telefon bimbit .
16. Keindahan alam semula jadi di tempat anda.
Fokus Novel (Bahagian D) Tingkatan 1 atau 3
1. Watak dan Perwatakan
2. Latar
Kertas 1 (Soalan 31 - 40) Tingkatan 1 atau 3
1. Cerpen dan Sajak
Isnin, 23 September 2013
Murid Cemerlang
Kejayaan dalam bidang
akademik dan kokurikulum melayakkan seseorang murid itu dinobatkan sebagai
murid cemerlang.
Bincangkan faktor-faktor
kejayaan murid cemerlang.
Kejayaan pelajar sering
dikaitkan dengan kemampuan diri seseorang itu memperoleh sesuatu yang
membanggakan diri dan keluarga dalam pelajaran serta kokurikulum. Antaranya
kejayaan pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mewakili
sekolah atau negara dalam acara sukan. Apakah rahsia yang menjadikan seseorang
pelajar itu memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum itu?
Sudah pasti sebab utama kejayaan
seseorang pelajar itu melibatkan galakan daripada ibu bapa pelajar itu sendiri.
Tamsilnya, penjaga mereka perlulah memberikan galakan kepada anak-anak mereka dengan
menyediakan ruang untuk belajar dan membeli keperluan kokurikulum anak-anak
seperti pakaian badan beruniform, peralatan dan sebagainya. Natijahnya, pelajar
akan lebih berusaha dalam akademik dan kokurikulum jika mereka melihat
kesungguhan ibu bapa dalam memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi itu.
Selain itu, kejayaan
pelajar juga banyak bergantung pada kemampuan diri sendiri. Hal ini demikian
kerana pelajar yang menyedari betapa
pentingnya kejayaan dalam akademik dan kokurikulum akan berusaha untuk
mencapainya walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Ringkasnya, pelajar yang
berjaya itu mempunyai naluri ini melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin tanpa
mengira masalah yang bakal berlaku.
Dalam pada itu, pengaruh
rakan sebaya juga amat penting dalam membawa kejayaan kepada kehidupan pelajar
itu. Rakan yang baik bukan sahaja memberikan galakan tetapi juga suatu
persaingan positif yang membawa pelajar memberikan usaha terbaik mereka dalam
akademik dan kokurikulum. Jelaslah, rakan yang tepat akan memberikan satu
kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupannya.
Di samping itu, kejayaan seseorang
pelajar turut ditentukan oleh pihak sekolah. Terdapat banyak sekolah yang
menganjurkan pelbagai kelas tambahan dan bengkel motivasi serta latihan kokurikulum
tertentu kepada pelajarnya. Sesungguhnya, usaha murni dan kegigihan daripada
pihak pengurusan sekolah itu sendiri bakal membawa kejayaan kepada pelajar-pelajar
mereka.
Secara tuntas, semua faktor
tadi membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum
boleh diperoleh dengan baiknya. Pelajar harus menyedari semua penyebab ini lantas
berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan itu. Bak kata pepatah, kalau
tidak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya yang membuktikan
kejayaan memerlukan usaha gigih yang tinggi sahaja.
Dipetik dan
disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com
Sekolah Selamat
Berita tentang
keselamatan sekolah telah menjadi bahan perbualan masyarakat.
Huraikan ciri-ciri
sekolah selamat.
Sekolah yang selamat
bermaksud tidak berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar
dan guru di situ. Antara kejadian yang pernah berlaku di kawasan sekolah ialah
kejadian pergaduhan, kecurian, dan perkosaan. Oleh itu, wujud pelbagai ciri
yang menjadikan sesebuah sekolah itu selamat pada mata masyarakat umum.
Ciri yang paling mudah
ialah pihak sekolah menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah
itu. Pengawal ini juga boleh meronda kawasan sekolah mengikut masa tertentu
sebagai usaha memastikan keselamatan sekolah terjaga. Justeru, tindakan
menggaji pengawal keselamatan menjadi langkah mudah untuk memastikan sesebuah sekolah
itu selamat daripada pencerobohan pihak yang tidak dikehendaki.
Selain itu, setiap bilik di
sekolah itu perlulah dilengkapi dengan alat pemadam api yang mudah untuk
diperoleh. Sementelahan pula pelajar bukan sahaja diberi latihan menggunakannya
tetapi hendaklah diletakkan di tempat yang paling strategik untuk keberkesanan
penggunaannya kelak. Jelaslah, penggunaan alat pemadam api dapat memastikan
kebakaran yang berlaku dikawal sebelum ketibaan pihak bomba.
Di samping itu, sebuah
sekolah yang selamat juga turut perlu memiliki pelan arah keselamatan apabila
berlakunya sebarang kejadian seperti kebakaran, banjir, dan sebagainya. Pelan
ini memudahkan pelajar mengetahui tindakan yang harus diambil oleh mereka dan
arah yang dituju ketika perkara kecemasan berlaku. Sememangnya kewujudan pelan
sebegini perlu bagi memastikan pelajar dapat menyelamatkan diri dalam keadaan
tenang dan teratur apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.
Dalam pada itu,kewujudan
pengawal lalu lintas terutama di kawasan sekolah yang berhampiran jalan utama
lalu lintas turut memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan warga
sekolah. Pengawal ini akan memastikan pelajar dapat melintas jalan dengan
selamat dan memerhatikan persekitaran ketika pelajar sedang menunggu kedatangan
ibu bapa mereka itu. Sesungguhnya, pengawal lalu lintas menjadikan pelajar
lebih selamat ketika keluar dari kawasan sekolah.
Konklusinya, setiap sekolah
hendaklah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar mereka. Jika
pihak sekolah masih berdolak-dalih dalam hal ini sudah pasti sesuatu tragedi
hanya menanti masa sahaja untuk berlaku. Mungkin sudah sampai masanya pihak
sekolah melihat keselamatan pelajar melebihi segala-galanya sebelum
nasi menjadi bubur.
Dipetik dan disusun semula daripada blog
pmrbest.blogspot.com
Ahad, 1 September 2013
Merenang Gelora (Tingkatan 3)
Berdasarkan novel
yang telah anda kaji, jelaskan tiga persoalan kebijaksanaan yang terkandung
dalam novel tersebut.
Novel yang
saya kaji dalam tingkatan tiga ialah Merenang Gelora karya Ruslan Ngah.
Terdapat beberapa contoh persoalan kebijaksanaan yang ada dalam novel tersebut.
Pertamanya,
bijak dalam mengurus masa. Sebagai contoh, Badri dan Badrul berada di tempat
menunggu bas seawal pukul 6.40 pagi agar tidak ketinggalan bas untuk ke
sekolah.
Selain itu, bijak dalam menyelesaikan
masalah kecurian. Tamsilnya, Ah Meng telah memasang CCTV di kedai telefon
bimbit dan di stor kedai telefon Encik Tan bagi mengesan pencuri yang telah
mencuri kad prabayar dan telefon bimbit di kedai itu. Hasil kebijaksanaannya,
pencuri yang sebenarnya telah berjaya ditangkap, iaitu Meng Kong.
Akhir sekali, bijak dalam membuat
persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Sebagai contoh, Badri, Siew Mei dan
Taufik mengulang kaji pelajaran bersama-sama dengan membentuk kumpulan belajar.
Mereka akhirnya berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan
SPM.
Khamis, 11 Julai 2013
Huraikan pendapat anda tentang tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.
Sejak dahulu lagi manusia memelihara pelbagai jenis haiwan
untuk dijadikan haiwan kesayangan. Namun, komitmen yang tinggi perlu bagi
memastikan kebajikan haiwan tersebut sentiasa terjaga.
Memberikan makanan yang berkhasiat kepada haiwan peliharaan
memberikan kesan yang besar kepada kesihatan haiwan yang dipelihara. Sekiranya
pemakanan haiwan tersebut diabaikan, sudah tentu mudah diserang penyakit.
Selain itu, haiwan tersebut perlu diberikan rawatan
perubatan yang sempurna. Tamsilnya, pemilik haiwan perlu membawa haiwan mereka
ke klinik haiwan secara rutin bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dan bukannya
membiarkan sahaja haiwan tersebut menanggung kesengsaraan.
Dalam pada itu, pemiliknya juga mesti menyediakan tempat
tinggal yang selesa kepada haiwan tersebut. Sebagai contoh, kandang yang
disediakan mestilah bersesuaian dengan saiz haiwan peliharaan mereka.
Akhir sekali, pemilik juga perlu menitikberatkan kebersihan
haiwan mereka. Dengan itu, haiwan kesayangan mereka tidak mudah diserang
sebarang penyakit yang boleh membawa maut.
Konklusinya,
penjagaan haiwan peliharaan sangat penting. Oleh itu, sebelum mengambil
keputusan untuk memelihara haiwan kesayangan, pastikan kita sudah bersedia
untuk memikul tanggungjawab yang akan dipikul itu.
Kadar kemalangan jalan raya di negara kita agak tinggi terutamanya pada musim-musim perayaan. Cadangkan cara-cara yang berkesan untuk mengatasi masalah tersebut.
Saban hari berita tentang
kemalangan jalan raya menghiasi dada-dada akhbar di negara kita ini. Walaupun
pelbagai pendekatan telah diambil tetapi kadar kemalangan jalan raya di negara
kita ini semakin meningkat dari hari ke hari. Justeru, pendekatan yang lebih
efektif perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah ini dapat diatasi dengan
sebaik mungkin.
Mempunyai lesen yang sah
merupakan perkara yang paling utama sebelum seseorang itu dibenarkan memandu
sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya. Hal ini demikian kerana memandu
tanpa lesen yang sah mengundang pelbagai masalah kerana mereka yang tidak
mempunyai lesen memandu tidak akan memahami undang-undang jalan raya. Oleh itu,
setiap individu bertanggungjawab bagi memastikan diri mereka mempunyai lesen
memandu yang sah sebelum memandu sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya.Bak
kata pepatah hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Selain itu, ibu bapa juga
perlulah melarang anak-anak mereka yang tidak mempunyai lesen memandu daripada
menunggang motosikal atau memandu kereta di atas jalan raya. Hal ini demikian
kerana kes kemalangan yang melibatkan remaja yang tiada lesen memandu amat
tinggi jumlahnya. Sekiranya ibu bapa memberikan kerjasama dan cakna tetang
perkara ini, pasti perkara ini dapat disekat daripada berleluasa.
Dalam pada itu, orang ramai
juga perlulah bersikap bertimbang rasa semasa menggunakan jalan raya. Hal ini
demikian kerana terdapat mereka yang kurang bertimbang rasa sering melakukan
pelbagai kesalahan jalan raya yang mengundang kepada kemalangan berlaku.
Sebagai contoh, terdapat sesetengah daripada mereka memotong kenderaan lain di
kawasan yang tidak dibenarkan dan melanggar lampu isyarat kerana sikap tidak
sabar.
Di samping itu juga pihak
berkuasa perlu membaiki jalan-jalan yang rosak seberapa cepat yang mungkin. Hal
ini demikian kerana terdapat banyak kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal
disebabkan keadaan jalan yang berlubang-lubang dan tidak rata.Sekiranya
jalan-jalan tersebut diselenggara dengan baik, sudah pasti kemalangan dapat
dielakkan.
Konklusinya pelbagai prakarsa
boleh diambil bagi membendung peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara
kita ini. Hukuman yang lebih berat juga perlu dikenakan ke atas individu yang
menjadi penyebab kepada sesuatu kemalangan itu berlaku. Dengan ini, mereka akan
lebih berwaspada semasa menggunakan jalan raya dan mengelakkan diri daripada
melakukan kesalahan.
300 patah perkataan
Isnin, 20 Mei 2013
Merenang Gelora (Tingkatan 3)
Bahagian D
[10 markah]
Jawapan anda hendaklah berdasarkan sebuah
novel yang telah anda kaji di Tingkatan 3 seperti yang berikut :
1.
Merenang Gelora karya Ruslan Ngah
Huraikan tiga pengajaran berserta
contoh peristiwa yang berkaitan dalam
novel ini.
Berdasarkan novel
yang saya kaji, Merenang Gelora karya Ruslan Ngah,terdapat beberapa pengajaran
yang telah diketengahkan oleh penulis. Antaranya ialah kita perlulah tabah
menghadapi cabaran untuk menyelesaikan masalah.Sebagai contoh,Badri tabah
menghadapi cabaran ketika menjalankan tugas sebagai seorang pengawas walaupun
telah disimbah dengan air sehingga dia berjaya menyelesaikan masalah disiplin
pelajar seperti kes penjualan telefon bimbit.
Selain itu, kita haruslah
mempelajari seni mempertahankan diri untuk menjaga keselamatan diri. Tamsilnya,
Badri dapat mengelakkan serangan daripada Shahrul secara spontan kerana
mempunyai ilmu persilatan.
Di samping itu, kita
hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.Sebagai contoh, Badri dan Siew
Mei gigih belajar sehingga memperoleh
keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Sabtu, 18 Mei 2013
Kasih sayang amat penting dalam membentuk sebuah keluarga bahagia. Sebagai ketua keluarga, jelaskan cara-cara anda menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak.
Anak merupakan anugerah Allah yang
tidak ternilai kepada insan yang bergelar ibu atau bapa. Anak memerlukan jagaan
dan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya agar menjadi anak yang baik dan
berguna kepada masyarakat. Pelbagai pendekatan boleh diambil oleh ibu bapa bagi
menzahirkan kasih sayang mereka kepada anak-anak.
Pada pandangan saya, pendekatan
yang paling penting untuk menunjukkan kasih sayang seorang bapa kepada anak-anak
adalah dengan memenuhi keperluan perbelanjaan asas anak-anak. Tamsilnya,
sebagai seorang bapa mereka perlulah menanggung perbelanjaan harian dan
persekolahan anak-anak hingga ke peringkat yang paling tinggi dengan mencari
nafkah yang halal. Oleh itu, anak-anak akan memahami pengorbanan yang ayah
mereka lakukan bagi mencari rezeki untuk membesar dan memberi pendidikan kepada
mereka.
Selain itu, sebagai seorang ketua
keluarga, mereka juga haruslah memberi didikan agama yang secukupnya kepada
anak-anak mereka sejak kecil lagi. Hal ini demikian kerana didikan agama yang
mantap akan menjadi benteng kepada anak-anak daripada terjebak dengan gejala
negatif yang tidak diingini pada masa ini.Sebagai contoh, anak-anak perlu
dihantar mengikuti pembelajaran di kelas-kelas agama sama ada di sekolah
ataupun di masjid-masjid yang berdekatan tempat tinggal mereka.Bak kata
pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.
Di samping itu, anak-anak juga
perlu dibelai dan dimanjakan mengikut situasi yang tertentu. Anak-anak perlu
diberikan kata-kata pujian sekiranya melakukan sesuatu perbuatan yang baik dan
terpuji. Kata-kata pujian dan sentuhan ikhlas daripada ibu bapa sememangnya
menjadi pendorong kepada anak-anak untuk menunjukkan tingkah laku yang baik dan
bertata susila apabila bergaul dengan teman-teman mereka.
Dalam pada itu, ganjaran berupa hadiah
kepada anak-anak juga merupakan salah satu prakarsa yang boleh dilakukan bagi
menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Tamsilnya, hadiah boleh diberikan
kepada anak-anak semasa menyambut hari kelahiran mereka dan tatkala anak-anak
mendapat kejayaan dalam peperiksaan.Justeru, anak-anak akan merasakan diri
mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka.
Konklusinya, ibu bapa perlulah
melaksanakan kaedah yang terbaik bagi menunjukkan kasih sayang mereka kepada
anak-anak.Anak-anak perlu dimanjakan tetapi bukan dengan kemewahan yang boleh
merosakkannya. Justeru, anak-anak akan sentiasa merindui belaian dan sentuhan
mesra daripada kedua-dua ibu bapa mereka walau di manapun mereka berada.
Rabu, 15 Mei 2013
Anda telah berkunjung ke pameran komputer di sebuah pusat membeli-belah bersama dengan keluarga. Ceritakan pengalaman yang anda peroleh semasa berada di pameran tersebut
Pada hujung minggu yang lepas, saya
dan ayah telah berpeluang berkunjung ke pameran komputer yang dianjurkan oleh
PIKOM di MITC. Perjalanan dari rumah ke pusat pameran mengambil masa kira-kira
setengah jam. Situasi di tempat letak kereta agak sesak dipenuhi dengan
kereta-kereta para pengunjung. Setelah berpusing-pusing selama 15 minit, barulah
ayah mendapat ruang untuk meletakkan kenderaannya.
Di ruang legar bangunan itu, kami
melihat banyak kain rentang dan poster ditampal di dinding bangunan tersebut. Kami telah disambut dengan senyuman yang
manis daripada petugas-petugas di situ. Saya dan ayah telah diberi dua keping
kupon cabutan bertuah. Kami diberitahu bahawa cabutan bertuah akan dilakukan
pada setiap jam. Hadiah yang lumayan disediakan untuk pengunjung yang bertuah.
Sememangnya tujuan kami datang ke pameran ini untuk membeli sebuah komputer
riba dan gajet-gajet yang terkini yang dijual oleh pengeluar-pengeluar produk
komputer seperti syarikat Acer, Asus, Lenovo dan sebagainya. Terdapat banyak
kiosk yang menawarkan pelbagai barangan dan mereka bersaing untuk menawarkan
harga paling rendah. Pelbagai pakej pembelian juga ditawarkan bagi menarik hati
para pengunjung seperti kami.
Ayah mengajak saya pergi ke sebuah kiosk Acer yang menawarkan pelbagai
jenis komputer riba, komputer meja dan tablet.Ayah begitu tertarik dengan
komputer riba yang mempunyai ciri-ciri yang diidamkannya. Ayah begitu khusyuk
sekali mendengar penerangan daripada penjual tersebut. Sementara itu, saya juga
tidak ketinggalan membelek-belek gajet-gajet yang menarik seperti ’thumbdrive’,
’earphone’ dan sebagainya yang mempunyai pelbagai warna dan fungsi.
Setelah 15 minit berunding, ayah telah memilih untuk membeli sebuah
komputer riba Acer yang mempunyai ciri-ciri terkini dan menarik. Saya pula
telah dihadiahkan oleh ayah sebuah tablet berjenama Samsung. Saya memeluk ayah
dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Ayah menghadiahkan tablet ini kepada
saya kerana kejayaan saya mendapat 8A
dalam peperiksaan PMR yang lalu.
Sebaik sahaja hendak melangkah keluar daripada dewan tersebut kami
mendengar pengumuman tentang cabutan bertuah untuk para pengunjung akan
dilakukan. Ayah dan saya segera mengeluarkan kupon yang kami simpan sejak tadi
lagi. Nombor yang tertera pada kupon saya telah diumumkan memenangi hadiah
utama berupa sebuah kereta pintar berjenama Honda Insight. Ayah dan saya
berpelukan sekali lagi kerana tidak menjangkakan bahawa kunjungan kami berdua
ke sana telah memberikan durian runtuh kepada saya.
Setelah selesai urusan menandatangani dokumen yang diperlukan, ayah
menelefon emak untuk datang mengambil kereta ayah. Saya dan ayah pulang ke
rumah dengan menaiki kereta baru yang saya menangi tadi. Saya menyimpan hasrat
untuk memandunya tidak lama lagi.
Khamis, 2 Mei 2013
Sesat di Hujung Jalan, Balik ke Pangkal Jalan
”Ayah kau bising kerana kau balik lewat. Hari ini balik cepat sikit,”kata Mak Jah semasa Adhwa
sedang memakai kasut.
Adhwa ialah anak lelaki sulungnya daripada empat adik beradik. Pada
Adhwalah yang diharapkan untuk menjaga keluarga jika apa-apa terjadi kepadanya.
”Petang ini Adhwa ada kelas tambahan. Adhwa tak
janji boleh balik awal. Emak cakap sahaja pada ayah, PMR dah dekat, jadi Adhwa
perlu mengulang kaji pelajaran.”
”Kalau
kau balik lambat kerana belajar, tak apalah. Emak risau kau menyimpang ke
tempat lain pula.”
Adhwa melangkah ke arah sekolah. Tetapi di simpang tiga, Badul dan Budin
sedang menunggunya.
”Hari ini sahaja kau ikut kami. Esok kami tak ganggu kau lagi,”kata Badul.
”Dah dua hari aku ponteng sekolah.
Kalaulah ayah aku tahu,habislah aku,”kata Adhwa. Hatinya masih teringatkan
sekolah. Tetapi keseronokan yang ada di siber kafe sukar untuk dia lupakan. Di
sekolah dia terpaksa berdepan dengan peraturan yang ketat, tugasan yang
menimbun, dan leteran guru yang berterusan. Adhwa berfikir lagi.
Badul dan Budin terus memujuk.
Akhirnya, Adhwa termakan dengan pujukan rakannya itu. Mereka menuju ke siber
kafe seperti kebiasaannya. Di situ menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan
internet termasuklah perjudian secara ’online’.Ketika melangkah masuk, sudah
ramai pengunjung yang memakai uniform sekolah dari sekolah yang berdekatan. Ada
juga yang menghisap rokok.
Jika di sekolah masa terasa bergerak
begitu lambat tetapi di bilik bercahaya suram itu, cepat sahaja masa berlalu.
Perut Adhwa sudah berkeroncong tetapi keseronokan tanpa ada penghujung
menyebabkan dia lupa akan segala-segalanya.
”Lari! Lari! Lari! Polis!”Tiba-tiba
terdengar jeritan daripada seorang pengunjung. Tanpa membuang masa, Adhwa
merempuh pintu belakang dan dia lari sekuat hati. Dia tidak tahu nasib Badul
dan Budin. Apa yang difikirkan ialah nasib dirinya sendiri. Sesekali dia
menoleh ke belakang, terlihat beberapa pengunjung sedang digari oleh polis. Dia
takut kalau-kalau dia tertangkap.
Oleh sebab terlalu takut dan kurang
berwaspada, dia terjatuh ke dalam longkang. Tubuhnya terhempap ke mayat yang
reput. Bau busuk dan hanyir menusuk ke rongga hidungnya, Dia menggeletar
ketakutan. Dia bangun semula dan terus belari.
Apabila tiba di rumah dia terus
masuk ke bilik. Ibunya terkejut melihatkan tubuhnya yang kotor. Adhwa tidak
menjawab pertanyaan ibunya. Dia terus mandi dan kemudian tidur. Dalam tidurnya,
dia bermimpi mayat itu mengejarnya. Dia menjerit ketakutan dan tersedar
daripada mimpinya.
Keesokan harinya dia terbaca akan
suatu berita di akhbar. Rupa-rupanya mayat tersebut ialah seorang penagih
dadah. Dia tersedar seketika. Dia tidak mahu kesudahan hidupnya sama dengan
mayat itu. Dia tidak sanggup lagi membohongi kedua-dua orang tuanya. Begitulah
kata peribahasa, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
Kini, Adhwa menjadi insan baharu
yang mempunyai keazaman yang tinggi dan tidak lagi terpengaruh dengan pujukan
rakan-rakan yang bersikap negatif.
Selasa, 23 April 2013
Isnin, 22 April 2013
Ahad, 21 April 2013
Penjagaan kesihatan bagi masyarakat di negara ini masih banyak yang perlu diperbaik. Huraikan cara-cara yang dapat dilakukan untuk menjaga kesihatan.
Kesihatan yang
baik merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada manusia. Justeru, kesihatan
diri hendaklah dijaga supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Pelbagai uslub boleh
dilakukan bagi mendapatkan tahap kesihatan yang
terbaik untuk diri seseorang itu.
Menjaga kesihatan
diri, tempat tinggal, dan alam sekeliling merupakan perkara utama dalam
penjagaan kesihatan. Hal ini demikian kerana persekitaran yang bersih
menghalang diri seseorang daripada mendapat jangkitan penyakit dan
sebagainya.Sebagai contoh, demam denggi tidak akan berlaku sekiranya tiada
nyamuk Aedes yang membiak di kawasan persekitaran tempat tinggal kita.
Selain itu, kita
perlu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat utuk pemakanan kita.
Dengan ini, badan kita akan mendapat zat dan vitamin yang diperlukan untuk
tubuh kita. Tamsilnya, kita tidak mengambil makanan yang dapat menjejaskan
kesihatan seperti makanan yang mengandung terlalu banyak lemak, gula dan minyak
serta menjauhi rokok dan minuman keras.
Dalam pada itu,
kita juga perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Sekiranya kita
melakukannya, kita akan dapat mengesan penyakit yang ada dari peringkat awal
lagi kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Sebagai contoh,
kita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan diri setiap enam bulan di
klinik-klinik kerajaan atau di klinik-klinik swasta sekiranya kita berkemampuan
berbuat demikian.
Di samping itu,
kita juga hendaklah melakukan senaman mengikut jadual yang terancang. Hal ini demikian kerana kita akan dapat mencergaskan
badan dan mencerdaskan otak dengan bersenam. Tamsilannya, kita boleh melakukan
aktiviti seperti berjoging, bermain badminton, berenang dan sebagainya.
Akhir sekali,
kita hendaklah beriadah untuk menenangkan fikiran yang stres. Hal ini demikian kerana kita perlu
mempunyai masa yang rehat yang mencukupi untuk diri kita. Dengan ini, kesihatan
mental juga akan terjaga dengan baik.
Konklusinya,
pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan kita. Masyarakat perlu
mengutamakan penjagaan kesihatan diri.Sememangnya kesihatan diri yang baik
menjanjikan kebahagiaan dalam kehidupan.
Aspek kebersihan memainkan peranan penting dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke negara kita. Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap kebersihan tempat-tempat pelancongan di Malaysia.
Kebersihan
merupakan aspek yang amat penting dalam kehidupan kita. Kebersihan melambangkan
jati diri sesuatu bangsa dan negara lebih-lebih lagi negara kita menjadi
destinasi utama para pelancong di rantau ini.Pelbagai prakarsa perlu diambil
bagi memastikan tahap kebersihan di sesuatu tempat tumpuan para pelancong
sentiasa dalam keadaan yang terbaik.
Menyediakan lebih
banyak kemudahan seperti tong sampah dan tandas awam antara tindakan yang perlu
diambil dengan segera. Oleh itu, para pengunjung tidak akan membuang sampah di
merata-rata tempat dan akan menggunakan
tandas awam dengan sebaik-baiknya apabila memerlukannya. Lantaran itu juga
pihak pengurusan juga perlu memastikan tandas awam yang ada perlu dibersihkan
dengan sekerap yang mungkin supaya tidak berbau busuk dan kotor.
Selain itu, pihak
pengurusan juga perlu menaikkan papan tanda yang mengingatkan para pengunjung
supaya sentiasa menjaga kebersihan dan memaparkan denda yang boleh dikenakan
mengikut undang-undang yang ada. Dengan ini, sudah tentu para pengunjung akan
berfikir banyak kali untuk melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan
mereka didenda.
Dalam pada itu,
pihak kerajaan bersama pihak swasta serta NGO, perlu menggunakan media cetak
dan media elektronik untuk menyampaikan maklumat tentang kepentingan dan
langkah-langkah menjaga kebersihan kepada orang ramai. Sebagai contoh, mereka boleh
menghebahkan maklumat tentang sesuatu aktiviti gotong-royong membersihkan
kawasan yang akan diadakan di sesuatu destinasi pelancongan.Secara tidak
langsung aktiviti ini dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri anggota
masyarakat.
Akhir sekali, penduduk
setempat juga perlu mengutamakan kebersihan kawasan mereka tinggal. Sekiranya
mereka berbuat demikian, sudah tentu kawasan mereka akan sentiasa dibanjiri
dengan para pelancong dari dalam dan luar negeri.Dengan itu, pendapatan
masyarakat setempat juga akan meningkat disebabkan berlakunya kegiatan ekonomi
di kawasan tersebut.
Intihanya, semua
pihak perlu perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan
tempat-tempat pelancongan di negara kita. Masyarakat perlu dididik di bangku
sekolah lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan di tempat-tempat
tersebut.Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.Dengan
itu, generasi yang akan datang tidak lagi perlu bersusah payah bagi menangani
masalah yang berkaitan dengan kebersihan ini.
Ahad, 7 April 2013
Sabtu, 9 Mac 2013
Cuti Persekolahan
Cuti persekolahan merupakan masa yang ditunggu
oleh pelajar. Terangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi
masa lapang sepanjang cuti persekolahan.
Cuti persekolahan sememangnya
merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar di negara kita. Hal
ini demikian kerana mereka telah penat memerah otak sepanjang musim
persekolahan. Pelbagai aktiviti yang menarik boleh dirancang dan dilakukan bagi
memenuhi masa yang terluang.
Mengulang kaji pelajaran bersama
dengan rakan-rakan secara berkumpulan merupakan aktiviti yang berfaedah yang
boleh dilakukan bagi memenuhi masa lapang tersebut. Tamsilnya, mereka boleh
pergi ke perpustakaan awam atau ke tempat-tempat yang sesuai bagi melakukan
aktiviti tersebut. Dengan ini, kefahaman mereka tentang sesuatu subjek akan
lebih mantap disebabkan perbincangan yang telah mereka lakukan.
Selain itu, mereka juga boleh bekerja secara
sambilan. Lantaran itu, mereka dapat membantu meringankan beban kewangan yang
terpaksa ditanggung oleh ibu bapa mereka terutama kepada golongan yang
berpendapatan rendah. Sebagai contoh, mereka boleh bekerja di premis-premis
makanan, stesen-stesen minyak dan
sebagainya.
Dalam pada itu, bagi mereka yang
terdiri daripada keluarga yang berkemampuan, mereka boleh meminta ibu bapa
mereka membawa mereka melancong sama ada di dalam atau di luar
negara.Tamsilannya, mereka boleh pergi melawat ke tempat-tempat bersejarah atau
ke kawasan peranginan yang belum pernah mereka kunjungi. Dengan ini, hubungan
kekeluargaan akan menjadi lebih erat di samping dapat menambah pengalaman baru.Bak
kata pepatah jauh berjalan, luas pandangan.
Di samping itu juga mereka boleh
menghadiri kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sebagai
contoh, mereka boleh menyertai kem motivasi diri, kem meningkatkan pengetahuan
agama, kem ketahanan diri dan sebagainya. Selain mereka memenuhi masa lapang,
mereka juga dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik pada masa
hadapan.
Konklusinya, kita mestilah
memanfaatkan masa yang terluang pada cuti persekolahan dengan sebaik-baiknya.
Pelbagai aktiviti yang dirancang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Dengan ini, masa yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja.
Isnin, 4 Mac 2013
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita haruslah tolong-menolong antara satu sama lain. Nyatakan kepentingan tolong-menolong antara satu sama lain.
Marcapada, sikap
tolong-menolong antara satu sama lain sangat penting dalam kehidupan. Bersikap
sebegini ada kepentingannya kepada kita dan masyarakat umumnya.
Antara
kepentingan sikap tolong-menolong ialah kita akan dapat merapatkan hubungan
silaturahim. Hal ini demikian kerana sikap ini memerlukan pergaulan antara
individu dengan individu lain dalam sesebuah kelompok masyarakat.
Selain
itu, hal inijuga penting kerana dengan menanam sikap ini seseorang itu dapat
meningkatkan kualiti hidupnya. Sebagai contoh, seorang lelaki yang sering
menolong orang lain mempunyai pelakuan yang baik.
Di
samping itu, sikap tolong-menolong juga dapat membentuk masyarakat yang
bersatu-padu. Tamsilnya, sesebuah masyarakat bekerjasama demi membersihkan
kawasan persekitaran sesebuah tempat.
Konklusinya,
terdapat banyak kepentingan dengan mengamalkan amalan tolong-menolong.
Sekiranya semua orang dapat mengamalkan amalan ini pasti
masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman damai.
120
patah perkataan
Ahad, 10 Februari 2013
Faedah Kitar Semula
Faedah Kitar Semula
Kitar
semula ialah suatu proses menggunakan semula bahan-bahan yang dibuang dalam
bentuk lain. Pelbagai faedah yang dapat kita perolehi hasil daripada proses
kitar semula ini.
Antara faedah mengamalkan kaedah kitar semula ialah alam sekitar akan
terpelihara. Hal ini kerana kerana sampah sarap tadi akan diproses kembali dan
tidak dibiarkan mereput yang boleh menyebabkan pencemaran.
Melalui kitar semula juga kerajaan
dapat menjimatkan wang . Hal ini demikian kerana sampah sarap tersebut tidak
perlu dilupuskan dan ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Dalam pada itu, kitar semula juga dapat menjana
pendapatan. Hal ini kerana
tin-tin dan kertas-kertas lama boleh dijual semula kepada pusat-pusat kitar
semula sekali gus menjana pendapatan kita.
Konklusinya, kitar semula adalah suatu program
yang sangat bermanfaat. Oleh itu, kita mestilah menyokong program kitar semula
ini.
Ahad, 6 Januari 2013
PMR yang terakhir...
Asalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada pengunjung blog ini.
Tahun 2012 telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan yang tidak akan berulang kembali. Semoga tahun 2013 pula akan menjadikan kita lebih baik dan berjaya daripada tahun sebelumnya. Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Peperiksaan PMR diadakan. Selepas ini semuanya dikatakan akan berubah. Cikgu sendiri tidak berapa pasti selepas ini sama ada blog ini akan menjadi relevan atau tidak. Walau bagaimanapun cikgu akan cuba mengisi blog ini dengan maklumat-maklumat yang difikirkan sesuai dengan pendidikan semasa.
Tahun 2012 telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan yang tidak akan berulang kembali. Semoga tahun 2013 pula akan menjadikan kita lebih baik dan berjaya daripada tahun sebelumnya. Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Peperiksaan PMR diadakan. Selepas ini semuanya dikatakan akan berubah. Cikgu sendiri tidak berapa pasti selepas ini sama ada blog ini akan menjadi relevan atau tidak. Walau bagaimanapun cikgu akan cuba mengisi blog ini dengan maklumat-maklumat yang difikirkan sesuai dengan pendidikan semasa.
Langgan:
Catatan (Atom)