Khamis, 29 September 2011

Tips PMR

Soalan Karangan

1. Kepentingan sektor pelancongan.
2. Kepentingan hutan.
3. Memupuk amalan berjimat cermat.
4. Gaya hidup sihat.
5. Kepentingan semangat kejiranan.
6. Faedah bersukan.
7. Slogan Malaysia Boleh.
8. Usaha-usaha memulihara dan memelihara bangunan bersejarah.

Soalan Komsas (Kertas 1)

1. Cerpen Tingkatan 1
2. Sajak Tingkatan 2

Soalan Novel (Kertas 2)

1. Watak dan perwatakan
2. Pengajaran
3. Plot (binaan plot)

Khamis, 22 September 2011

Kemerosotan Disiplin Pelajar

Media massa sering memaparkan berita tentang kemerosotan disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar.Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.

Belakangan ini masalah kemerosotan disiplin pelajar semakin ketara di negara kita. Kemerosotan disiplin ini adalah disebabkan pelbagai faktor . Kebanyakan daripada mereka yang terlibat adalah terdiri daripada golongan pelajar yang mempunyai pelbagai masalah peribadi mereka sendiri.Justeru,tindakan yang efektif perlu segera diambil bagi menangani gejala yang tidak sihat ini.

Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam menangani gejala yang tidak sihat ini. Hal ini demikian kerana mereka merupakan individu yang paling berkesan untuk mempengaruhi perlakuan anak-anak mereka.Oleh itu, ibu bapa perlulah mendidik dan menasihati anak-anak mereka supaya menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan disiplin di sekolah.Tamsilnya, ibu bapa boleh menasihati dan menghukum anak-anak mereka yang terlibat dengan masalah pelanggaran disiplin, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.Sememangnya peranan ibu bapa amat penting dalam menangani permasalahan ini yang bermula dari rumah lagi.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu peka dengan pelanggaran disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar .Hal ini demikian kerana terdapat di sesetengah sekolah, gejala ini dibiarkan sahaja tanpa mengambil sebarang tindakan untuk mengatasinya. Lantaran itu, pelajar menjadi lebih berani dan secara terang-terangan melanggar peraturan sekolah seperti menghisap rokok,berambut panjang, bergaduh dan sebagainya.Tamsilnya, pihak sekolah boleh memberikan kaunseling atau mengenakan hukuman yang berat kepada pelajar yang terbabit. Kerjasama daripada pihak sekolah amatlah diperlukan bagi menangani gejala ini daripada berterusan.

Di samping itu, pihak ibu bapa melalui PIBG seharusnya bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini.Hal ini demikian kerana terdapat segelintir ibu bapa yang tidak memberikan kerjasama yang baik sekiranya anak mereka dihukum oleh pihak sekolah.Lantaran itu, anak-anak mereka akan menjadi lebih berani untuk melanggar peraturan sekolah kerana mengetahui yang ibu bapa mereka tidak cakna dengan perlakuan negatif mereka itu. Sebagai contoh, ibu bapa perlu hadir ke sekolah sekiranya dipanggil oleh pihak sekolah untuk mendengar penjelasan daripada pihak guru tentang masalah disiplin yang telah dilakukan oleh anak mereka. Sesungguhnya kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa akan dapat membantu menyelesaikan permasalahan yang ada.

Intihanya, semua pihak harus bekerjasama menangani gejala ini daripada terus berlarutan. Kempen kesedaran dalam kalangan pelajar juga perlu diperhebat. Dengan itu, pelajar akan lebih memahami akan kesan negatif yang ditimbulkan oleh gejala yang tidak sihat ini.Sememangnya semua pihak tidak perlulah menunding jari menyalahkan antara satu sama lain dan tidak bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Khamis, 15 September 2011

Soalan Percubaan PMR Bahasa Melayu Negeri Kelantan 2011 Bahagian B

Kesan-kesan Buruk yang akan dihadapi oleh Seseorang yang Menghadapi Masalah Obesiti


Kebelakangan ini isu obesiti dalam kalangan penduduk di negara kita sering menjadi topik perbincangan di dada-dada akhbar. Pelbagai kesan negatif akan dihadapi oleh seseorang yang obes.

Mereka yang menghadapi masalah obesiti dikatakaan akan mudah terdedah kepada pelbagai penyakit kronik. Tamsilnya, penyakit darah tinggi, jantung dan sebagainya akan mudah menyerang golongan ini.

Selain itu, kegiatan sukan mereka akan terbatas. Hal ini demikian kerana mereka akan mudah tercedera sekiranya melakukan kegiatan yang memerlukan kecergasan fizikal.

Di samping itu juga golongan ini akan menjadi kurang produktif dalam pekerjaan. Tamsilnya, mereka lebih suka duduk bersantai daripada bergerak cergas.

Akhirnya, mereka juga terpaksa berbelanja lebih daripada orang yang normal berat badannya. Misalannya, mereka terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pakaian dan makanan.

Konklusinya, masalah obesiti memberikan impak negatif yang besar kepada yang menghadapinya. Justeru, kita hendaklah menjaga pemakanan kita supaya badan kita sentiasa sihat dan cergas.