Sabtu, 26 Jun 2010

CONTOH 28-KARANGAN PENDAPAT

Gejala gangsterisme semakin menjadi-jadi ketika ini. Keadaan ini amat membimbangkan masyarakat keseluruhannya. Bincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membendung gejala ini daripada terus menular.

Sejak kebelakangan ini, gejala gangsterisme semakin menjadi-jadi . Perkara ini tidak akan ada penamatnya jika tidak diambil berat oleh semua pihak. Gejala ini dapat dilihat apabila berlakunya peningkatan mengenai kes ini di dada-dada akhbar dan perkara sebegini telah membimbangkan masyarakat kita. Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah ini daripada berterusan.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa mestilah memantau dan mengambil berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Hal ini demikian kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan kerjaya dan wang berbanding meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah bak kata pepatah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Lantaran itu, anak-anak akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Selagi ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi itulah perkara ini tidak boleh diselesaikan.

Selain itu, setiap individu mestilah pandai dalam memilih rakan. Hal ini kerana, remaja pada masa kini lebih banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan sebaya hanya untuk menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan terjerumus dalam melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan mengikut kumpulan-kumpulan gangster dan sebagainya. Jika perkara sebegini masih berleluasa maka kes ini tidak akan berkurangan.

Di samping itu, pihak kaunselor sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam membendung masalah ini dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan masalah pelajar di sekolah. Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding menyertai program yang memberi keinsafan dan pengajaran. Dengan ini, pelajar yang bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang diadakan ini. Sebagai contoh, guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar tersebut dengan cara berjumpa dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan adanya cara sebegini, remaja-remaja akan berubah dan insaf jika mengikuti program tersebut.

Konklusinya, kita seharusnya mengambil langkah-langkah di atas bagi mengurangkan berlakunya gejala gangsterisme ini. Oleh itu, masyarakat juga mestilah prihatin terhadap setiap aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Sekiranya perkara ini diambil berat, gejala ini dapat diatasi dengan mudah. Jelaslah bahawa peranan dan tanggungjawab ibu bapa sangat penting bagi mengurangkan berlakunya gejala gangsterisme.

Hasil nukilan Munirah Abu Zahar 3 Dahlia 2010

Ahad, 20 Jun 2010

300 remaja Melayu salah laku seksual, seks bebas

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/06/20
Pengaruh rakan sebaya punca utama gejala: Kajian UPM

KUALA LUMPUR: Kajian terbaru Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas, sehingga ada yang menggugurkan janin.

Lebih mengejutkan, kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu, bukan saja tidak kesal, malu atau takut dari segi dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.

Menurut kajian itu, mereka yang terjebak dengan gejala terbabit bukan disebabkan faktor tekanan akibat kegagalan institusi keluarga termasuk rumah tangga porak-peranda, sebaliknya tertarik dengan pengaruh rakan sebaya. Sebahagian besar mereka juga mengakui menerima pendidikan agama mencukupi.

Dapatan itu diperoleh daripada kajian enam bulan bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ dengan 400 responden ditumpukan kepada dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan juga kawasan luar bandar, iaitu pelajar sekolah menengah daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima serta remaja di bawah usia 25 tahun. Kajian itu siap sepenuhnya Disember lalu.

Pengarah Pusat Kokurikulum UPM yang mengetuai kajian itu, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata ada responden mengakui terdedah kepada ‘dunia seksual’ seawal sekolah rendah, termasuk muat turun gambar lucah melalui telefon bimbit, menonton video lucah dan melayari laman web pornografi.

Beliau yang memfokus kepada pembinaan modal insan, pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah dalam bidang tugasannya berkata, penggunaan bahasa serta isyarat lucah dalam komunikasi dan pergaulan harian bersama rakan sebaya pada usia begitu mentah juga menjadi amalan mereka.
“Lebih menyedihkan apabila yang menjadi keutamaan remaja terbabit dengan seks bebas itu ialah ‘buat selagi tidak mengandung’. Mereka langsung tidak mementingkan soal dosa seolah-olah agenda ketuhanan tiada dalam hidup.

“Ada responden yang menjawab mereka tahu perbuatan itu berdosa tetapi berkata ‘enjoy dulu, nanti taubatlah’. Ini bermakna remaja berkenaan ada pengetahuan dan kesedaran agama, tetapi ia tidak menyentuh jiwa mereka.

“Walaupun dapatan kajian di luar bandar dan Lembah Klang menunjukkan hasil lebih kurang sama, senario di luar bandar itu boleh dianggap lebih mengejutkan apabila ramai remajanya turut terjebak dengan gejala ini sedangkan kawasan berkenaan tidak mendapat pendedahan seperti di bandar raya,” katanya kepada Berita Harian.

Mohammad Shatar berkata, kajian membabitkan jumlah seimbang dari segi responden lelaki dan perempuan itu dilakukan sebagai projek tahun akhir pelajarnya dengan menyenaraikan 25 aktiviti salah laku seksual daripada peringkat ‘ringan-ringan’ seperti meraba, bercium dan berpeluk hingga peringkat kes berat meliputi seks bebas serta menggugurkan janin.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati ada beberapa faktor yang umpama ‘mencurah minyak ke dalam api’ yang menambah kepada gejala itu, termasuk kebebasan dan kepercayaan terlalu tinggi diberikan oleh ibu bapa kepada anak.

“Memang amat penting untuk memberi pendidikan agama secukupnya kepada anak, tetapi itu bukanlah jaminan kerana ia mesti dilengkapi pengawasan berterusan daripada ibu bapa. Jangan terlalu bersangka baik atau menjadikan penampilan luaran anak seperti dari segi cara berpakaian dan tingkah laku sebagai ukuran mutlak bahawa mereka selamat atau terhindar daripada pengaruh gejala seks ini.

“Pengaruh luar amat berkuasa terhadap remaja, lazimnya bukan daripada keluarga sendiri. Justeru, ibu bapa tetap perlu berhati-hati dengan menyimpan 50 peratus ketidakpercayaan terhadap anak, termasuk membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

“Selain itu, disyorkan ibu dan bapa melakukan ‘pemeriksaan fizikal’ yang sewajarnya dan secara berhemah terhadap anak perempuan dan juga anak lelaki dari semasa ke semasa demi memastikan mereka tidak menyembunyikan sebarang ‘tanda’ berkaitan.

“Dalam konteks ini, jangan mudah terpedaya dengan ideologi kebebasan peribadi dari Barat kerana ada ibu bapa harus mengetepikan elemen privasi demi menyelamatkan anak selagi tindakan yang diambil tidak melampaui batasan,” katanya.

Sabtu, 19 Jun 2010

Selamat Hari Ulang Tahun yang Pertama

Hari ini genaplah setahun blog yang cikgu tulis ini. Terima kasih cikgu ucapkan kepada pelawat-pelawat blog ini dan juga mereka yang telah memberi sokongan dalam memberi idea yang bernas untuk dimasukkan dalam blog ini.Semoga sokongan anda akan berterusan.

SOALAN KOMSAS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN TINGKATAN 2 SMKDA 2010

Huraikan tema dan persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.

Cadangan Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Tragedi Empat Disember yang telah ditulis oleh Dzul Karnain Ithnain.

Novel ini bertemakan keberanian dan ketabahan hati remaja menghadapi pelbagai cabaran.

Antara persoalan yang diketengahkan ialah mengenai kecuaian. Sebagai contoh, pihak Syarikat Angkasa Malaysia (SAM) tidak dapat mengesan lebih awal kehadiran para perampas dan bahan letupan yang dibawa ketika menaiki kapal terbang.

Selain itu,terdapat juga persoalan tanggungjawab sebagai ketua atau pemimpin. Tamsilnya,Azam sebagai ketua pengakap dapat menunjukkan kewibawaannya sebagai ketua dengan mengambil berat kebajikan ahli-ahlinya.

Persoalan yang terakhir ialah ketabahan.Sebagai contoh, Puan Khatijah tabah menerima berita kemalangan yang menimpa suaminya,Encik Razali.

Sabtu, 12 Jun 2010

Modul PMR

Salam buat semua pembaca blog ini. Cikgu mendapat beberapa pertanyaan untuk memiliki modul PMR yang telah cikgu siapkan awal tahun ini. Kepada yang berminat untuk memilikinya boleh menghantarkan alamat anda ke e-mel cikgu.(damaza06@yahoo.com.my)Cikgu akan mengeposkannya secepat mungkin.Bayaran hendaklah dibuat ke dalam akaun yang cikgu akan tuliskan dalam bungkusan itu nanti.

Ahad, 6 Jun 2010

KARANGAN RANGSANGAN(Gejala Sosial)

Langkah-langkah Untuk Menangani Gejala Sosial

Marcapada,gejala sosial di negara kita semakin membimbangkan. Pelbagai langkah patut diambil bagi menangani masalah ini daripada terus menjadi lebih parah.

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menambah peluang pekerjaan supaya tiada lagi golongan penganggur di negara kita.Hal ini demikian kerana golongan inilah yang kebiasaannya melakukan jenayah seperti meragut dan kerana ketiadaan sumber pendapatan.

Selain itu, kerajaan perlu menambah bilangan anggota keselamatan di kawasan-kawasan yang berlaku banyak jenayah.Oleh itu, sesiapa sahaja yang ingin melakukan jenayah pasti akan berfikir banyak kali sekiranya ingin berbuat demikian kerana khuatir akan diberkas oleh pihak berkuasa.

Di samping itu,kerajaan juga perlu mengadakan kempen dan makluman melalui media massa tentang gejala sosial yang berlaku.Justeru,masyarkat akan lebih memahami dan memberikan kerjasama bagi menangani masalah tersebut dengan lebih berkesan.

Seterusnya ibu bapa hendaklah memberi penekanan terhadap pendidikan agama dan moral anak-anak mereka.Ibu bapa perlu memastikan nilai keagamaan dan moral diamalkan dalam kehidupan seharian anak-anak mereka.

Konklusinya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini agar dapat melahirkan masyarakat yang bebas daripada gejala sosial.

125 patah perkataan