Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh
daripada tubuh badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa
melibatkan diri dengan aktiviti sukan.Hal ini kerana melalui bersukan banyak
faedah yang kita peroleh.
Salah satu daripada faedah bersukan adalah dapat menyihatkan
tubuh badan kita. Hal ini kerana apabila kita bersukan badan kita akan
mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh kita.Oleh itu,
badan kita akan menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar
di dalam kelas.
Seterusnya, melalui bersukan, kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim
dan menambah kenalan tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Tamsilnya,
ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu-individu
yang berada di kawasan itu. Justeru, hal ini akan mengeratkan hubungan dan
perpaduan antara kaum disesuatu kawasan tempat tinggal, bak kata pepatah bagai
aur dengan tebing.
Selain itu, bersukan juga merupakan
aktiviti mengisi masa lapang secara bermanfaat.Hal ini kerana sesi
latihan permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang.
Dengan ini, kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat
menghidarkan diri kita daripada terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang
tidak diingini.
Di samping itu, dengan bersukan juga
kita dapat mengharumkan nama sekolah.Hal ini demikian kerana sekiranya kita
berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah,daerah,
negeri mahupun negara.Sebagai contoh, sekiranya kita berjaya memenangi
mana-mana kejohanan sukan, maka kita secara tidak langsung berjaya mengharumkan
nama sekolah kita.
Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif
bersukan. Justeru, kita perlulah bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk bersukan.
Dengan itu, akan lahirlah masyarakat yang cerdas dan cergas pada masa akan
datang.