Pemakanan sihat amat penting dalam
kehidupan seseorang pada hari ini bagi mencegah pelbagai jenis penyakit. Pada pendapat anda, apakah kebaikan-kebaikan
amalan pemakanan sihat kepada diri seseorang.
Jelaskan pendapat anda.
Pemakanan
sihat ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan
seseorang manusia. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan
menjaga kesihatan. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada amalan pemakanan sihat
ini.
Kepentingan
pemakanan sihat yang utama ialah sikap ini menjadikan tumbesaran manusia itu
lebih sempurna daripada aspek fizikal. Hal ini kerana tubuh badan menerima
semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat dan
seimbang fizikalnya. Dengan itu, secara tidak langsung akan menjadikan
seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan
sempurna.
Selain itu, pemakanan
sihat memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Sebagai contoh,
makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi vitamin
yang cukup untuk menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi
sebarang jangkitan penyakit.Oleh itu, manusia yang mengamalkan pemakanan sihat
akan mempunyai kesihatan yang lebih baik
berbanding yang tidak mengamalkannya.
Akhir sekali,
pemakanan sihat turut dikatakan turut mampu mengawal kadar obesiti seseorang. Hal
ini kerana mengamalkan pemakanan sihat menjadikan tubuh seseorang itu tidak
terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama
aktiviti senaman yang akan menyihatkan badan mereka. Oleh itu, obesiti mampu
diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam kehidupan mereka.
Kesimpulannya,
kita perlu mengamalkan pemakanan sihat kerana semua manfaatnya yang telah dibincangkan
tadi. Bukan sahaja individu tetapi seluruh anggota masyarakat perlu mengamalkan
pemakanan sihat ini. Jika masyarakat tidak mahu berubah sudah pasti jumlah
pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah dan ketika itu mungkin
sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya bak kata
pepatah“Tepuk dada tanya selera”.