Salah laku jalan raya
Salah laku jalan raya bermaksud tindak tanduk pengguna jalan raya yang salah, dan mungkin membawa kepada kemalangan jalan raya. Dalam konteks etika salah laku jalan raya biasanya berkait dengan sikap pengguna jalan raya dan bukan kemahiran pengguna jalan raya itu sendiri.
Salah laku jalan raya merupakan sesuatu yang mengancam keselamatan jalan raya. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa faktor manusia merupakan faktor tunggal dalam 57% daripada kemalangan jalan raya. Daripda itu, masalah ini haruslah diberi perhatian daripada pelbagai pihak.
Kecuaian memandu
Kecuaian memandu bermaksud kelalaian atau ketidakberhati-hatian yang dilakukan semasa memandu. Perkara ini merupakan satu salah laku kerana perlakuan ini boleh menyebabkan kecelakaan kepada diri pemandu itu sendiri dan juga kepada pengguna jalan raya yang lain. Maka dari etika teleologi, perlakuan ini menepati kriteria sebagai satu kesalahan kerana ia membawa kepada lebih keburukkan daripada kebaikan
Kecuaian memandu secara kasarnya berlaku daripada tiga punca, iaitu:
* Tekanan jiwa
* Memandu sambil buat kerja lain
* Kemabukan
Tekanan jiwa boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja memandu. Dalam keadaan ini, minda si pemandu itu mungkin dipenuhi oleh pemikiran mengenai masalah yang menrunsingkan sehinggakan si pemandu itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja memandu. Maka dengan itu, kemalangan jalan raya mungkin akan berlaku. Contohnya, seorang pemandu yang sedang runsing fikirannya mungkin tidak sedar bahawa kerata depannya sudah berhenti dan terus langgar.
Di sini mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mencetuskan kemalangan jalan raya atas sebab tekanan jiwa, seharusnya tidak perlu menanggung tanggungjawab moral, kerana ini kemalangan tidak berlaku atas niat pemandu itu sendiri. Pekara ini mungkin benar dari segi etika deontologi Kant. Tetapi dari sudut yang lain, si pemandu masih boleh dianggap bersalah kerana membiarkan dirinya memandu dalam keadaan tertekan dan berbahaya sehinggalah menyebabkan berlakunya kecelakaan. Di sini menunjukkan masih terdapat ruang untuk si pemandu untuk berusaha bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Malah, dalam kursus memandu itu sendiri telah dimaklumi bahawa harus mengelakkan memandu dalam keadaan tekanan jiwa.
Memandu sambil buat kerja lain merupakan satu bentuk kecuaian memandu. Kerja-kerja yang biasanya dibuat bersambil memandu termasuklah bersembang, makan, merokok, mendengar radio, membaca SMS, malah menulis SMS. Perlakuan ini adalah sangat bahaya terutama bagi perlakuan membaca dan menghantar SMS semasa memandu. Kerja-kerja di atas walaupun tidak memerlukan banyak penumpuan tetapi ini tidak bermaksud ia boleh dilakukan semasa memandu kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan pemandu. Memandu sebenar penuh dengan pekara luar dugaan. Contohnya, anda mungkin tidak dapat menduga bahawa terdapat sebuah kereta keluar daripada lorong tepi sehingga menghalang laluan anda. Sekiranya pekara ini berlaku semasa anda membaca SMS, maka kemungkinan besar anda akan terus langgar kereta itu.
Alasan yang biasanya diberikan oleh pemandu untuk memandu sambil buat kerja lain termasuklah terlalu bosan, kesuntukkan masa dan kecemasan. Walaupun alasan-alasan ini mempunyai lojiknya sendiri tetapi perlakuan mereka ini tetap menyalahi prinsip moral. Pemberian alasan sedemikian sebenarnya menunjukkan bahawa terdapat masalah hirarki nilai dalam diri mereka. Dalam konteks ini, pemandu-pemandu tersebut tidak meletakkan nilai keselamatan di atas nilai-nilai yang lain. Contohnya bagi mereka yang memberi alasan “kesuntukkan masa” bagi memandu sambil bercakap telefon sebenarnya telah meletakkan nilai ekonomi di atas nilai keselamtan.
Memandu dalam keadaan mabuk nyata satu kecuaian yang besar. Lebih-lebih lagi perlakuan ini adalah salah dari segi undang-undang. Perlakuan ini adalah sangat bahaya kerana orang yang mabuk tidak berakal malah tidak sedar diri. Pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sebenarnya adalah salah dari segi moral kerana bersikap tidak bertanggungjawab. Di sini tiada banyak pertikaian mengenai tanggungjawab moral yang ditanggung oleh pemandu mabuk kerana ternyata mereka adalah salah.
[sunting] Memandu secara terburu-buru
Memandu secara terburu-buru bermaksud memandu dalam gaya yang cepat dan bergegas-gegas. Pekara ini boleh ditafsir sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu “memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain” dan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Pemandu yang suka akan akan gaya memandu sedemikian biasanya menghadapi masalah dalam keperibadian diri mereka. Keperibadian mereka sebenarnya telah tercemar oleh sikap buruk seperti di bawah:
* Menunjuk-nunjuk
* Kecetekan melayan nafsu sensasi
* Tidak menghargai nyawa
Semua pemandu yang memandu secara terburu-buru sebenarnya sedikit sebanyak mempunyai sikap menunjuk-nunjuk ini. Mereka adalah terlalu kagum dengan kemahiran memandu mereka sehinggakan tidak tertunggu-tunggu untuk diperlihatkan oleh orang ramai. Sikap ini terserlah juga dari segi kebiasaan mereka memasang muzik yang kuat semasa memandu serta kegemaran mereka mengubahsuai kereta kepada bentuk yang mongel. Perlakuan mereka seperti ini menunjukkan mereka tidak ternanti-nanti untuk meminta perhatian ramai.
Sikap menunjuk-nunjuk ini sebenarnya merupakan satu sifat kejahatan (vice). Ia sangat berkaitan dengan sifat-sifat keji seperti bongkak, sombong, angkuh dan pongah. Malah ia adalah sangat berlawanan dengan sikap kesopanan yang biasanya didukung oleh masyarakat timur seperti Malaysia.
Cara memandu yang terburu-buru boleh mendatangkan keseronokkan dari segi sensasi. Adalah sukar menerangkan mengapa manusia itu menikmati kelajuan kenderaan. Tetapi agaknya “rasa kegentingan” itu satu kenikmatan bagi mereka yang memandu secara terburu-buru. Pekara ini perlu diselidik dengan lebih mendalam lagi secara psikologi. Oleh itu, kertas kerja ini tidak akan menerangkan pekara ini secara lebih mendalam.
Pemandu-pemandu yang memandu secara terburu-buru sedikit sebanyak bertujuan untuk menikmati kelajuan. Pekara ini menunjukkan peribadi mereka mengahadapi kecetakkan dari segi melayan nafsu sensasi. Peribadi mereka dikatakan cetek kerana mereka mengejar keseronokan yang merupakan sensasi fizikal, selera kasar, tidak berpanjangan malahan dapat memudaratkan nyawa diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain. Maka dari segi ini kita boleh mengatakkan bahawa sikap dan perlakuan mereka adalah tidak bermoral.
Sikap tidak menghargai nyawa merupakan satu lagi sikap yang ditunjukkan oleh pemandu yang memandu secara terburu-buru. Walaupun tindakan mereka itu bukan bertujuan untuk membunuh orang, tetapi tindakan mereka itu tidak mempunyai sebarang nilai keselamatan. Dengan kata lain mereka tidak berniat membunuh tetapi pada masa yang sama juga tidak berniat untuk menyelamatkan nyawa. Mereka telah membiarkan nyawa manusia bergoyang-goyang antara hidup dan mati. Layanan mereka terhadap nyawa manusia secara demikian ternyata salah kerana nyawa manusia merupakan sesuatu yang harus dihargai dan dilindungi. Maka dari sudut ini, dapat dikatakan bahawa memandu secara terburu-buru merupakan satu salah laku dari segi etika.
[sunting] Keganasan jalan raya
Keganasan jalan raya merujuk kepada kegiatan mencederakan orang lain malah membunuh orang lain secara segaja dan sedar yang berlaku di antara pengguna jalan raya atas perselisihan yang berkaitan dengan masalah pengangkutan. Biasanya pemangsa dalam kes keganasan jalan raya dikenali sebagai samseng jalan. Pekara ini merupakan satu jenayah yang berat dan boleh membawa hukuman penjara, sebat malah hukuman bunuh.Contoh-contoh bagi kes keganasan jalan raya sejak 3 tahun lalu yang berlaku di Malaysia adalah seperti berikut:
* Pada 8 April 2003 di Puchong seorang pemuda telah dibelasah kerana pihak berkenaan tidak puas hati akan tindakannya memotong kereta.
* Pada 9 April 2003 di Gelang Patah, seorang pemuda telah diserang orang dengan pisau seni lukis kerana beliau nyaris terlanggar orang yang berkenaan. Untuk itu beliau telah mengalami kecederaan di bahagian lengan dan telah menerima rawatan jahitan luka sebanyak 100 jahitan.
* Pada 25 Januari 2005, seorang AJK pemuda UMNO telah dibunuh oleh samseng jalan
* Pada 13 Februari 2005, seorang pemuda dari Balakong nyaris membunuh orang kerana ia menyerang orang dengan penukul besi.
* Pada 25 Februari 2005, seorang jurutera MAS telah diparang mati oleh seorang samseng jalan yang membawa kereta mewah.
Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa keganasan jalan raya sememangnya lumrah di negara Malaysia.
Punca berlakunya keganasan jalan raya yang dapat dikesan sepanjang kajian ini adalah seperti berikut:
* Tekanan jiwa
* Kesedaran perlindungan diri yang melulu
Menurut Pengerusi Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Aminuddin Mohd Yusof, tekanan akibat kesesakan jalan raya di bandar besar menjadi faktor penting yang melahirkan pembuli. Katanya, Kesesakan jalan raya menyebabkan pemandu menjadi tidak sabar, cepat marah, agresif dan tidak dapat mengawal perasaan apabila berlaku perkara tidak diingini walupun berpunca dari kemalangan kecil. Pendapat beliau ini disokong dengan fakta bahawa bahawa pada tahun 1995, terdapat 171 kes pembuli jalan raya yang dilaporkan kepada polis di Kuala Lumpur.
Walau bagaimanpun, pendapat mengenai tekanan jiwa itu sebagi punca utama berlakunya keganasan jalan raya tidak pula dipersetujui oleh pakar Psikologi Kejenayahan, Encik Lok Jian Sin 骆建兴. Menurut beliau, tekanan jiwa seperti tekanan jiwa daripada perkerjaan dan kesesakkan jalan raya tidaklah merupakan punca berlakunya keganasan jalan raya. Sebaliknya beliau mengatakan bahawa kesedaran perlindungan diri yang melulu adalah punca utama berlakunya keganasan jalan raya. Dalam keadaan ini, orang bandar selalunya terlalu menjaga ruangan perlindungan (defensible space) sehingga ia terlalu sensitif akan sesiapa yang menembusinya. Maka pemandu-pemandu itu akan senang bereaksi ganas kerana terlalu ingin untuk melindungi diri. Selain itu keganasan jalan raya itu juga sangat berkaitan dengan sifat kejantanan dan sikap tunjuk kuasa yang ada pada kaum lelaki.
Maka di sini kita boleh buat satu kesimpulan bahawa masalah keganasan jalan raya sebenarnya melibatkan masalah kebatinan yang agak rumit dan ini bukan satu masalah moral semata-mata.
Dipetik daripada Wikipedia
http://ms.wikipedia.org/wiki/Salah_laku_jalan_raya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan