Isnin, 27 September 2010

Karangan Rangsangan (Pertanian)

Usaha-Usaha untuk Meningkatkan Hasil Pertanian Negara

Marcapa,industri pertanian di negara kita telah melangkah setapak ke arah skala pengeluaran yang lebih besar. Hal ini demikian kerana kerajaan ingin mengelakkan pergantungan kepada negara dari luar bagi membekalkan hasil pertanian.Pelbagai usaha boleh dilakukan bagi meningkatkan hasil pertanian di negara ini.

Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan memberi pinjaman dan nasihat kepada para petani yang memerlukannya.Tamsilnya,pihak bank boleh memberikan pinjaman jangka pendek kepada para petani yang kekurangan modal. Dengan itu,para petani tersebut dapat meneruskan usaha untuk membesarkan lagi kegiatan pertanian mereka.

Selain itu,kajian juga perlu dilakukan untuk menghasilkan hasil pertanian yang bermutu tinggi. Sebagai contoh, pihak MARDI perlu memperbaik kualiti biji benih yang sedia ada dan memperkenalkan alatan yang boleh membantu petani mengutip hasil pertanian mereka dengan efisien.Natijahnya,hasil pendapatan para petani dapat ditingkatkan selari dengan peredaran zaman.

Di samping itu,masyarakat juga berperanan mengutamakan hasil pertanian negara apabila membeli sesuatu hasil pertanian.Tamsilnya,orang ramai hendaklah membeli buah-buahan tempatan seperti pisang,betik dan bukannya berbangga dengan membeli buah epal,kiwi dan sebagainya.Dengan ini,sudah tentu petani akan dapat menjual hasil pertanian mereka tanpa sebarang masalah untuk memasarkannya.

Sebagai kesimpulan terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan hasil pertanian negara.Selain itu,aspek pemasaran memainkan peranan penting dalam memajukan lagi industri pertanian ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan