Isnin, 23 September 2013

Murid Cemerlang

Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum melayakkan seseorang murid itu dinobatkan sebagai murid cemerlang.

Bincangkan faktor-faktor kejayaan murid cemerlang.

Kejayaan pelajar sering dikaitkan dengan kemampuan diri seseorang itu memperoleh sesuatu yang membanggakan diri dan keluarga dalam pelajaran serta kokurikulum. Antaranya kejayaan pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mewakili sekolah atau negara dalam acara sukan. Apakah rahsia yang menjadikan seseorang pelajar itu memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum itu?

Sudah pasti sebab utama kejayaan seseorang pelajar itu melibatkan galakan daripada ibu bapa pelajar itu sendiri. Tamsilnya, penjaga mereka perlulah memberikan galakan kepada anak-anak mereka dengan menyediakan ruang untuk belajar dan membeli keperluan kokurikulum anak-anak seperti pakaian badan beruniform, peralatan dan sebagainya. Natijahnya, pelajar akan lebih berusaha dalam akademik dan kokurikulum jika mereka melihat kesungguhan ibu bapa dalam memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi itu.

Selain itu, kejayaan pelajar juga banyak bergantung pada kemampuan diri sendiri. Hal ini demikian kerana  pelajar yang menyedari betapa pentingnya kejayaan dalam akademik dan kokurikulum akan berusaha untuk mencapainya walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Ringkasnya, pelajar yang berjaya itu mempunyai naluri ini melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin tanpa mengira masalah yang bakal berlaku.

Dalam pada itu, pengaruh rakan sebaya juga amat penting dalam membawa kejayaan kepada kehidupan pelajar itu. Rakan yang baik bukan sahaja memberikan galakan tetapi juga suatu persaingan positif yang membawa pelajar memberikan usaha terbaik mereka dalam akademik dan kokurikulum. Jelaslah, rakan yang tepat akan memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupannya.

Di samping itu, kejayaan seseorang pelajar turut ditentukan oleh pihak sekolah. Terdapat banyak sekolah yang menganjurkan pelbagai kelas tambahan dan bengkel motivasi serta latihan kokurikulum tertentu kepada pelajarnya. Sesungguhnya, usaha murni dan kegigihan daripada pihak pengurusan sekolah itu sendiri bakal membawa kejayaan kepada pelajar-pelajar mereka.

Secara tuntas, semua faktor tadi membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum boleh diperoleh dengan baiknya. Pelajar harus menyedari semua penyebab ini lantas berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan itu. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya yang membuktikan kejayaan memerlukan usaha gigih yang tinggi sahaja.


Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan