Isnin, 23 September 2013

Sekolah Selamat

Berita tentang keselamatan sekolah telah menjadi bahan perbualan masyarakat.
Huraikan ciri-ciri sekolah selamat.

Sekolah yang selamat bermaksud tidak berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan guru di situ. Antara kejadian yang pernah berlaku di kawasan sekolah ialah kejadian pergaduhan, kecurian, dan perkosaan. Oleh itu, wujud pelbagai ciri yang menjadikan sesebuah sekolah itu selamat pada mata masyarakat umum.

Ciri yang paling mudah ialah pihak sekolah menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah itu. Pengawal ini juga boleh meronda kawasan sekolah mengikut masa tertentu sebagai usaha memastikan keselamatan sekolah terjaga. Justeru, tindakan menggaji pengawal keselamatan menjadi langkah mudah untuk memastikan sesebuah sekolah itu selamat daripada pencerobohan pihak yang tidak dikehendaki.

Selain itu, setiap bilik di sekolah itu perlulah dilengkapi dengan alat pemadam api yang mudah untuk diperoleh. Sementelahan pula pelajar bukan sahaja diberi latihan menggunakannya tetapi hendaklah diletakkan di tempat yang paling strategik untuk keberkesanan penggunaannya kelak. Jelaslah, penggunaan alat pemadam api dapat memastikan kebakaran yang berlaku dikawal sebelum ketibaan pihak bomba.

Di samping itu, sebuah sekolah yang selamat juga turut perlu memiliki pelan arah keselamatan apabila berlakunya sebarang kejadian seperti kebakaran, banjir, dan sebagainya. Pelan ini memudahkan pelajar mengetahui tindakan yang harus diambil oleh mereka dan arah yang dituju ketika perkara kecemasan berlaku. Sememangnya kewujudan pelan sebegini perlu bagi memastikan pelajar dapat menyelamatkan diri dalam keadaan tenang dan teratur apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu,kewujudan pengawal lalu lintas terutama di kawasan sekolah yang berhampiran jalan utama lalu lintas turut memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan warga sekolah. Pengawal ini akan memastikan pelajar dapat melintas jalan dengan selamat dan memerhatikan persekitaran ketika pelajar sedang menunggu kedatangan ibu bapa mereka itu. Sesungguhnya, pengawal lalu lintas menjadikan pelajar lebih selamat ketika keluar dari kawasan sekolah.

Konklusinya, setiap sekolah hendaklah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar mereka. Jika pihak sekolah masih berdolak-dalih dalam hal ini sudah pasti sesuatu tragedi hanya menanti masa sahaja untuk berlaku. Mungkin sudah sampai masanya pihak sekolah melihat keselamatan pelajar melebihi segala-galanya sebelum nasi menjadi bubur.


Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan