DALAM kelas di sebuah sekolah di Johor....
Guru: Hari ini kita akan belajar imbuhan me_. Imbuhan ini adalah awalan kata kerja. Kata yang menerima awalan ini akan menjadi kata kerja. Siapa boleh bagi contoh kata yang menerima awalan ini?
Amin: Memasak, cikgu! Dari kata dasar masak menjadi memasak.
Guru: Betul! Siapa lagi boleh bagi contoh?
Rajoo: Mepaku cikgu!
Guru: Mepaku?
Rajoo: Ya! mepaku, .... mengatuk paku di papan.
Guru: Bukan mepaku, tetapi memaku. Bagi kata dasar yang bermula dengan huruf p, huruf ini menjadi m. Itu sebabnya paku menjadi memaku. Paku bukan katuk, tetapi tukul, dengan itu bukan mengatuk, tetapi menukul paku!
Razin: Kalau gitu, kata memerut juga berasal dari kata perut, ya cikgu?
Cikgu: Tak ada kata memerut, memeruti adalah! Memeruti kata dasarnya perut dan menerima imbuhan apitan me_i, bukan awalan me_.
Razin: Apa makna memeruti cikgu? Saya tak pernah dengar pulak dan yang selalu emak saya cakap memerut aje, samalah tu agaknya.
Cikgu: Memeruti adalah pekerjaan membuang perut sesuatu seperti ikan dan ayam. Semasa kita menyiang ikan dan ayam, kita buang isi perutnya. Perbuatan inilah yang dinamakan memeruti. Tidak ada perkataan memerut!
Razin: Ada cikgu! Emak saya selalu bising setiap pagi, sebab dia kata kucing jiran memerut di porch.
Cikgu: Emak awak memeruti kucing? Dia bunuh ke kucing tu? Lepas tu dia buat apa dengan kucing yang telah diperuti tu?
Razin: Tak dapat. Kalau nak ikutkan dia, memang dia nak bunuh aje kucing jiran tu. Tapi tak pernah dapat.
Cikgu: Kalau tak dapat, macam mana emak awak boleh memeruti kucing tu?
Razin: Emak saya tak memeruti, ... kucing yang memerut! Sampai dua, tiga tompok sepagi, kadang-kadang terlenyek pulak dek tayar kereta. Satu hari tu masa nak ke sekolah, saya terpijak dan bawa masuk dalam kereta. Habis semua muntah dek bau masamnya. Kereta kena bawa ke tempat cuci. Kena cuci karpet yang kena taik kucing tu dan cuci seat sekali yang kena muntah.
Cikgu: Memerut ni apa? Dalam kamus pun tak ada. Dalam kamus ni ada memeruti saja.
Murid-murid lain: Ha! Ha! Ha! Memerut tu beraklah cikgu! Kucing selalu berak kat depan rumah Razin. Tu sebab kadang-kadang ada bau taik kucing dekat dia.
Cikgu: Oooo, gitu ke?! Tempat saya di utara tidak guna perkataan ini. Orang selatan aje kut yang guna. Tapi dalam tulisan dan buku tidak guna perkataan ini. Oleh itu jangan guna perkataan ni di sekolah, terutamanya masa peperiksaan. Tadi Razin bagi contoh kucing memerut, untuk orang, guna memerut juga ke?
Razin: Memerut le, kan lebih lembut bunyinya daripada berak ek? He! He! He!
Cikgu: Hangpa ni, macam-macam la! Kih! Kih! Kih!
Glosari: Memerut - (dialek selatan) buang air besar, berak.
Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman
Nota: Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan