Ahad, 26 Februari 2017

Cara untuk Menunjukkan Kasih Sayang Terhadap Ibu Bapa

            Ibu bapa merupakan insan yang banyak berjasa kepada kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu telah melahirkan kita manakala bapa pula sentiasa bersusah payah mencari rezeki untuk menampung segala keperluan kita. Oleh itu, sebagai anak, kita haruslah mentaati ibu bapa dan menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa dengan cara-cara yang tertentu.
   Pada pandangan saya, cara yang paling penting untuk kita mentaati ibu bapa ialah mencurahkan kasih sayang kita kepada ibu bapa sebagaimana ibu kita pernah menumpahkan kasih sayang dan menatang kita bagai minyak yang penuh. Sebagai contoh, kita bolehlah berbual-bual dengan ibu bapa, menghiburkan hati mereka dan membawa mereka melancong ke luar negara. Dengan berbuat demikian, kedua-dua ibu bapa akan berasa gembira dan tidak berasa diabaikan oleh anak-anak.
    Selain itu, kita haruslah memberi wang atau hadiah kepada ibu bapa sebagai tanda penghargaan dan tanda penghormatan. Hal ini kerana wang yang diberi boleh meringankan beban ibu bapa yang telah uzur dan tidak larat untuk bekerja. Tamsilannya, anak-anak yang sudah bekerja boleh memperuntukkan sebahagian daripada gaji mereka setiap bulan untuk diberikan kepada ibu bapa mereka.
    Dalam pada itu,seseorang anak juga perlu sentiasa mentaati dan mendengar kata dan arahan ibu bapa. Hal ini kerana sebagai insan yang lebih banyak makan garam, pastinya mereka telah mengharungi pelbagai cabaran yang belum kita tempohi. Dengan menunaikan setiap permintaan mereka tentu sekali dapat menggembirakan hati dan menyenangkan perasaan mereka.
    Di samping itu, belajar bersungguh-sungguh dan gigih menuntut ilmu juga satu usaha untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa. Sebagai contoh, setiap anak perlu memastikan mereka mencapai prestasi yang terbaik dalam pelajaran..Amalan seperti ini boleh meningkatkan kasih sayang mereka kepada kita.  
    Konklusinya, berbagai-bagai tindakan boleh dilakukan untuk menghargai jasa ibu bapa. Sesungguhnya, seseorang anak bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa selagi nyawa mereka dikandung badan. Hal ini bukan sahaja untuk membalas jasa mereka tetapi juga agar mereka berasa bangga terhadap usaha yang dilakukan untuk membesarkan anak-anak.


                                                                                                              300 patah perkataan

4 ulasan: