Sabtu, 19 Mei 2012

Karangan Peribahasa :Air dicencang Takkan Putus.


Aku dilahirkan dalam keluarga yang serba sederhana dan sempurna. Aku merupakan anak yang ketiga dalam keluargaku. Walau bagaimanapun, dalam diam-diam aku amat mencemburui akan kakakku yang lebih tua dua tahun daripadaku.
            Setiap hari aku pasti akan bergaduh dengan kakakku walaupun disebabkan hal yang tidak seberapa. Aku amat mencemburui kakakku, Fatin disebabkan kepintarannya dalam pelajaran. Hal ini demikian kerana aku sering mendapat keputusan yang buruk dalam peperiksaan. Tambahan pula aku sememangnya malas mengulang kaji pelajaran dan berat mulut untuk bertanya kepada guru.
Kakakku pula seorang yang rajin belajar dan menjadi murid kesayangan guru-guru kerana sikapnya yang mesra dengan mereka di sekolah.Ibu bapaku juga lebih menyayangi dia berbanding dengan aku.Aku berasa begitu tersisih sekali dengan sikap mereka berdua kepadaku.
Di rumah, apabila tiba waktu membuat sarapan pagi atau makan malam, aku akan selalu disuruh oleh ibuku untuk menolongnya memasak di dapur. Kakakku langsung tidak disuruh oleh ibuku dengan alasan dia sentiasa sibuk mengulang kaji pelajaran di dalam biliknya.Aku sentiasa merungut di dalam hati. Aku merasakan layanan yang diberi oleh ibu dan ayahku tidak adil.
Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, aku tidak terkejut apabila mengetahui dia mendapat keputusan 10A berbanding dengan aku yang hanya mendapat 5A sahaja dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang lalu.Aku langsung tidak berasa gembira atas kejayaannya.
Beberapa bulan kemudian, kakakku mendapat tawaran belajar dalam jurusan perubatan di sebuah universiti di Mesir. Kakakku dapat melihat riak mukaku yang tidak menyukai akan dirinya. Tanpa kusangka, kakakku mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu ayah dan ibuku menjaga dirinya ketika menjalani pembedahan beberapa tahun yang lalu.Dia seterusnya memberi kata-kata perangsang kepadaku untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
Aku menitiskan air mata apabila mengetahui yang sebenarnya kakakku amat menyayangi akan diriku. Aku memohon maaf  kepada kakakku atas sikapku yang mencemburui dan memusuhinya selama ini. Kakakku juga menyatakan kepadaku supaya jangan mencemburui pencapaiannya kerana sebenarnya dia juga cemburu akan kerajinanku membantu ibu dan ayahku di rumah selama ini. Akhirnya, hubungan antara aku dan kakakku semakin erat bak kata pepatah air dicencang takkan putus.
           
Hasil nukilan: Muhammad Adli Haziq 3 Dahlia 2012

Ahad, 6 Mei 2012

Cerpen Kasut Kelopak Jantung

Novel Merenang Gelora


Watak dan Perwatakan

Watak Utama 

i.                                 Badri
·         Anak sulung kepada Mak Siti.

·         Mempunyai seorang adik lelaki bernama Badrul.

·   Berperawakan kemas dan berwibawa dalam menjalankan tanggungjwab sebagai seorang pengawas.

·         Pengawas sekolah.

·         Seorang yang bertanggungjawab.
Contoh: Badri seorang yang bertanggungjawab kerana telah berjaya menyelesaikan masalah disiplin seperti penjualan telefon bimbit di sekolah.

·         Seorang yang berdisiplin.
Contoh: Dia tidak pernah melanggar peraturan sekolah sepanjang bergelar pelajar melalui pengetahuan adiknya.

·         Seorang yang menepati masa.
Contoh: pada pukul 6.40 pagi Badri  tidak pernah terlewat menunggu bas  awam untuk pergi ke sekolah.

·         Seorang yang setia dalam persahabatan.
Contoh: Badri berkawan baik dengan Jamil walaupun beliau telah mengetahui bahawa Jamil turut terlibat dalam kes pejualan telefon bimbit di sekolahnya.

·         Seorang yang berani menghadapi cabaran.
Contoh: Badri bersikap berani menghadapi cabaran dalam menangani masalah murid yang berlagak ala samseng,dan sengaja melanggar disiplin sekolah.

·         Seorang yang rajin mengulang kaji pelajaran.
Contoh: Badri mengajak Siew Mei dan Taufik membentuk kumpulan belajar.

·        Seorang yang berpendirian teguh. Contoh, Badri tidak menghiraukan tentang usikan rakan-rakannya mengenai hubungannya dengan Nadira dan Siew Mei.


Merenang Gelora


Tema

Novel ini bertemakan cabaran dan tanggungjawab  seorang pelajar dalam menjalankan tugas sebagai seorang pengawas. Tema ini dijelmakan melalui watak utama, Badri yang menempuh pelbagai cabaran sepanjang menjalankan tugas sebagai pengawas sekolah yang belum pernah disandang sejak zaman persekolahannya.

Persoalan

 Ibu bapa yang mementingkan kerjaya menyebabkan anak-anak terlibat dalam gejala sosial.
Contoh: Shahrul yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapanya telah terlibat dalam masalah disiplin sekolah dan bercampur dengan kumpulan motor.

       ii.            Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
Contoh: Encik Tan memohon kepada pengetua  supaya  Meng Kong ditempatkan di asrama sekolah supaya anaknya berdisiplin dan berjaya dalam peperiksaan.

      iii.            Hasad dengki dalam persahabatan.
Contoh: Shahrul mengarahkan Kumar memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg sekolah Meng Kong supaya Meng Kong dibuang dari asrama.

     iv.            Tanggungjawab terhadap tugas.
Contoh: Badri sebagai seorang pengawas terus merujuk Cikgu Jailani sekiranya pelajar terlibat dalam kes disiplin walaupun melibatkan kawannya sendiri Jamil.

       v.            Semangat kerjasama dalam menyelesaikan masalah.
Contoh: Siew Mei memberikan maklumat kepada Badri tentang penglibatan Shahrul dan rakan-rakannya dalam penjualan telefon bimbit secara ansuran kepada pelajar di sekolahnya.

     vi.            Sikap gigih golongan pelajar untuk mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan.
Contoh: Badri, Siew Mei dan Taufik mengadakan belajar berkumpulan dan akhirnya berjaya memperoleh keputusan 9A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

    vii.            Buruk sangka dalam kalangan pelajar.
Contoh: Shahrul, Kumar, Jamil dan Meng Kong bersangka buruk terhadap Badri sehingga menyimbahkan air ketika Badri berada di dalam tandas sekolah.

  viii.            Gejala lumba haram dalam kalangan remaja.
Contoh: Shahrul dan Aziz terlibat dalam perlumbaan haram sehingga hampir ditangkap oleh pihak polis.

     ix.            Berdikari untuk mendapatkan pengalaman bekerja.
Contoh: Badri dan Taufik bekerja sambilan di resort bapa saudara Badri sementara menunggu keputusan SPM.

       x.            Perpaduan kaum.
Contoh: Badri, Siew Mei,Taufik dan Kumar belajar bersama-sama walaupun mereka berlainan agama dan bangsa.





Rabu, 25 April 2012

Cara-cara untuk Memupuk Minat Membaca Bahan Berilmiah dalam Kalangan Remaja.

Dewasa ini, dalam meniti arus modenisasi jika kita lihat senario di pusat beli-belah , pengunjung toko buku adalah amat sedikit jika dibandingkan di kedai-kedai lain.Jika pun ada pengunjung yang datang, mereka lebih berminat untuk membeli bahan bacaan yang bercorak hiburan semata-mata.Mengapakah berlaku demikian? Segala persoalan ini sentiasa bermain-main di benak fikiran kita. Apakah kaedah yang boleh dilaksanakan agar bahan berilmiah menjadi santapan harian para remaja ini?

 Antara prakarsa yang boleh diimplementasikan adalah dengan melalui ibu bapa yang mengutamakan pendidikan anak-anak melalui pembacaan bahan-bahan berilmiah. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang memainkan peranan dominan dalam hal ini dan menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini bertepatan dengan mutiara kata, anak-anak ibarat kain putih,ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Tamsilnya, ibu bapa boleh memberikan ensiklopedia yang menarik sebagai bahan bacaan untuk anak-anak. Oleh itu, anak-anak bukan sahaja minat membaca, malah mempunyai ilmu pengetahuan yang luas hasil daripada pembacaan bahan-bahan seperti ini.Jika ibu bapa memainkan peranan, maka minat membaca bahan berilmiah dapat dipupuk dengan berkesan.

 Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan bahan bacaan berilmiah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini disebabkan para pelajar menghabiskan masa kira-kira lapan jam di sekolah. Justeru, seharusnya guru-guru memainkan peranan untuk memupuk minat ini dalam kalangan pelajar mereka. Sebagai mengorak langkah,latihan yang terdapat dalam majalah-majalah berilmiah boleh dibuat di dalam kelas.Sebagai contoh, majalah Fokus,Dewan Siswa dan lain-lain boleh menjadi wadah yang amat efektif dalam usaha untuk memupuk minat ini. Sekiranya guru-guru menggunakan bahan bacaan ini semasa mengajar, sudah pasti akan lahirlah golongan intektual dalam kalangan remaja.

 Di samping itu,peranan media massa juga tidak dapat dinafikan lagi.Sepatutnya pihak media massa boleh memberikan publisiti kepada bahan bacaan berilmiah tetapi hal sebaliknya pula berlaku dewasa ini kerana majalah-majalah hiburan seperti Mangga,URTV,HIP dan pelbagai lagi pula yang diberi publisiti secara meluas. Oleh sebab itu, media massa perlu memberi publisiti kerana remaja kini lebih tertarik dengan iklan-iklan yang terpapar di depan mata mereka.Untuk langkah pertama, surat khabar boleh menyediakan rubrik untuk mempromosikan buku-buku ilmiah.Natijahnya, para remaja akan tertarik ketika melihat rubrik ini lantas membeli bahan bacaan yang diiklankan itu.Jika pihak media massa bekerjasama, maka impian untuk melihat generasi berilmu dilahirkan akan dapat direalisasikan.

 Konklusinya,tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan,tiada kusut yang tidak dapat dileraikan.Terdapat pelbagai langkah boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Dengan demikian, sepatutnya harga buku boleh dikurangkan oleh pihak berkenaan. Sekiranya semua pihak bersendel bahu untuk mengatasi masalah ini,maka generasi adiwangsa dapat dilahirkan kerana bahan bacaan berilmiah sentiasa menjadi santapan minda para remaja.

 380 patah perkataan

Rabu, 21 Mac 2012

Vandalisme

Berdasarkan gambar di bawah ini, huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan vandalisme. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kebelakangan ini, perbuatan vandalisme semakin membimbangkan kita. Terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca kepada permasalahan ini.

Pengaruh rakan sebaya adalah antara punca berlakunya perbuatan ini. Kebiasaannya, apabila mereka berkumpul tanpa tujuan akan menimbulkan pelbagai idea yang negatif termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang menjadi pendorong kepada perlakuan negatif ini. Tamsilannya, terdapat ibu bapa yang menunjukkan contoh yang negatif kepada anak-anak mereka dengan tidak menghiraukan papan tanda amaran di sesuatu kawasan.

Dalam pada itu, media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat serta sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme.

Konklusinya, ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri.

Khamis, 23 Februari 2012

Berita: Tanah Runtuh

Andaikan anda wartawan di sebuah syarikat akhbar. Anda telah diminta untuk menulis berita tentang kejadian tanah runtuh yang berlaku di tempat anda. Tuliskan berita anda itu selengkapnya.

Tanah Runtuh Hampir Meragut Nyawa(Tajuk)
Oleh: Najwa Latif(Nama Penulis)

MERLIMAU(T), Khamis(M) – Sebuah rumah hampir ranap ditimbus tanah runtuh (A) di Bukit Serkam (T) pagi tadi(M). Walau bagaimanapun tiada mangsa yang terkorban dalam kejadian pada pukul 6.00 pagi itu(M).

Ali bin Hassan (S)memberitahu bahawa ketika baru bangun untuk solat Subuh, beliau terasa seolah-olah rumahnya bergegar.(Bg)Dengan pantas beliau mengejutkan isteri dan membawa anak-anaknya(S) keluar dari rumah. Beberapa saat selepas itu, beliau melihat batu-batu besar dan tanah menggelonsor dari lereng bukit. Batu-batu dan tanah itu telah menimbus dan meranapkan bahagian dapur rumahnya(Bg).

Pada masa yang sama juga, tanah di lereng sebelah kanan jalan ke kawasan perumahan itu pula menggelonsor dan menimbun(Bg) di atas jalan ke Bemban(T). Tanah dan batu-batu yang menimbun itu telah menghalang lalu lintas di kawasan tersebut(Bg).
”Saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan anak-anak dan isteri dalam kejadian ini(Mg).Entahlah apa yang akan berlaku sekiranya saya terlewat sedikit untuk bangun bersolat Subuh pagi tadi,”kata Ali(S).

Sementara itu, pihak Jabatan Kerja Raya(JKR) dan Majlis Perbandaran Jasin(MPJ)(S) telah berjaya membersihkan jalan raya yang ditimbuni batu-batu dan tanah itu(Bg). Jalan tersebut sudah mula dibuka untuk lalu lintas(Bg) pada pukul 3.00 petang tadi(M).

Datuk Ghazalee Mohamad yang merupakan ADUN Kawasan Serkam berkata(S), beliau telah mengarahkan pihak JKR(S) untuk membina tembok batu di sekitar bukit di kawasan perumahan itu(Bg). Beberapa orang penduduk yang tinggal berhampiran dengan rumah mangsa kejadian(S) ini turut diarahkan berpindah buat sementara waktu(Bg). Hal ini demikian kerana kejadian tanah runtuh dijangka akan berlaku lagi, lebih-lebih lagi ketika musim hujan sekarang ini(Mg).

Pihak pemaju(S) turut disoal siasat untuk memberikan keterangan tentang punca kejadian tersebut(Bg). Pemaju itu telah diberi amaran dan sekiranya mereka didapati bersalah kerana tidak mementingkan keselamatan penduduk, mereka akan didenda dan dihadapkan ke mahkamah(Bg).

A = Kejadian
T = Tempat
M = Masa
S = Siapa
Mg = Mengapa
Bg = Bagaimana