Jumaat, 19 Jun 2009

CONTOH PENULISAN PELAJAR (PENDAHULUAN)

PENDAHULUAN JENIS DEFINISI

SOALAN: Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan.

(A1)Mengikut Kamus Dewan, keluarga dapat ditakrifkan sebagai seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami isteri serta anak-anak.
(A2)Selain itu, sebuah keluarga juga merangkumi datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara yang juga memainkan peranan penting dalam sesebuah keluarga.
(A3)Secara tidak langsung, hubungan baik antara ahli keluarga dapat membentuk akhlak mulia anak-anak.
(A4)Oleh itu, kita perlu mengetahui peranan penting setiap ahli keluarga dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.

SOALAN: Penggunaan komputer menjadikan manusia lebih maju. Bincangkan pernyataan ini.

(A1)Komputer dapat ditakrifkan sebagai alat elektronik yang dapat menyimpan dan memberikan pelbagai maklumat untuk kemudahan manusia apabila diperlukan.
(A2)Penggunaan komputer menjadi semakin meluas apabila lahirnya syarikat gergasi seperti ‘Microsoft’ yang diasaskan oleh Bill Gates yang kemudiannya mencipta pelbagai jenis komputer yang canggih seperti komputer riba,komputer telapak tangan dan sebagainya.
(A3)Hal ini menyebabkan kebanyakan daripada penduduk dunia telah menjadikan komputer sebahagian daripada kehidupan mereka.
(A4)Secara disedari atau tidak,melalui teknologi ini,kehidupan manusia kini menjadi semakin maju.

SOALAN:Sejak akhir-akhir ini mutu sukan bola sepak negara didapati merosot. Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak negara ini.

(A1)Menurut Kamus Dewan, sukan dapat disinonimkan sebagai segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga.
(A2)Antara sukan yang menjadi teras di negara kita ialah bola sepak.
(A3)Kebelakangan ini,pencapaian pasukan bola sepak negara kita semakin merudum dan membimbangkan.
(A4)Mahu ataupun tidak, kita perlu mengenalpasti usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memulihkan kembali imej negara yang tercalar ini.

PENDAHULUAN JENIS ISU SEMASA

(A1)Sejak kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan bola sepak negara sering dipaparkan dalam media massa.
(A2)Kemerosotan ini bagaikan tiada kesudahannya.
(A3)Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak negara kita kecundang dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2010.
(A4)Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang efektif bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia.


PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN

SOALAN: Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan.

(A1)Keluarga memainkan peranan yang dominan dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.Adakah institusi keluarga ini telah memainkan peranan masing-masing?
(A2)Apakah peranan yang patut dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam mencorakkan sahsiah anak-anak?
(A3)Keruntuhan moral dalam kalangan anak-anak semakin berleluasa dewasa ini.
(A4)Bagaimanakah caranya untuk membentuk sahsiah mulia anak-anak yang merupakan aset terpenting bagi negara kita ini?

Soalan:Masalah merokok dalam kalangan remaja khususnya melibatkan pelajar sekolah semakin hari semakin meningkat dengan ketara.Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus merosakkan tubuh remaja.

(A1)Masalah merokok dalam kalangan remaja semakin menular dari sehari ke sehari. Persoalannya,mengapakah masalah ini semakin berleluasa dalam kalangan pelajar?
(A2)Apakah faktor-faktor yang menyebabkan masalah ketagihan rokok ini semakin meningkat?
(A3)Semua persoalan ini membelenggu fikiran kita pada setiap masa.
(A4)Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini daripada terus membinasakan tubuh mereka?

1 ulasan:

  1. terima kasih sebab membuka blog ini bagi pelajar-pelajar smk

    BalasPadam