Ahad, 31 Januari 2010

Kata Depan 'di'

Majalah Suara Edisi Ke-17

Salam buat semua warga SMK Dang Anum. Pada tahun ini, pihak sekolah akan menerbitkan majalah SUARA edisi ke-17.Sehubungan dengan itu, cikgu selaku penyelaras majalah,ingin mengalu-alukan pelajar-pelajar,guru-guru dan juga alumni SMKDA untuk menyumbangkan karya sama ada bercorak puisi, cerpen, coretan pengalaman atau apa-apa sahaja bahan yang berfaedah untuk dimuatkan dalam majalah ini.Bahan-bahan tersebut boleh dihantar terus kepada cikgu atau dihantar ke emel cikgu(damaza06@yahoo.com.my).

Anak Soleh

Rabu, 27 Januari 2010

Paduan Mengarang Karangan Peribahasa

TEKNIK HURAIAN

1)Jelaskan maksud peribahasa

2)Jelaskan kaitannya dengan masyarakat hari ini

3)Kaitkan peribahasa ini dengan peribahasa lain yang sama maksudnya
Sebagai contoh ‘carik-carik bulu ayam,lama-lama bercantum juga’ sama dengan ‘air dicincang takkan putus’

4)Huraikan pengajaran daripada peribahasa serta contoh

TEKNIK CERITA

1)Mestilah dapat menjelaskan maksud peribahasa

2)Dapat menggambarkan pandangan anda terhadap peribahasa

3)Ada binaan plot (Permulaan, Perkembangan, Kemuncak,Peleraian)

4)Ada teknik plot (contoh: saspens,imbas muka,imbas kembali,kejutan, monolog, dialog)

5)Berdasarkan rekaan atau pengalaman anda

Ahad, 24 Januari 2010

Rahsia Mimpi (1)

Tentu anak-anak murid cikgu pernah bermimpikan?Walaupun mimpi mainan tidur tetapi tentu kita hendak mengetahui apa maksudnya? Cikgu terjumpa sebuah e-book tentang mimpi, justeru cikgu ingin berkongsi dengan kamu semua.

Mimpi Baik

1)Mimpi badan keluar kutu atau luka-luka : Akan memperoieh rezeki
atau sakitnya akan sembuh.

2)Mimpi berada di atas bukit : Akan memperoleh harta.

Mimpi Buruk
1)Mimpi gigi bahagian bawah tanggal : Akan berdukacita kerana anak
atau isterinya akan meninggal dunia.

2)Mimpi giginya tanggal sendiri (bahagian atas) : Akan berdukacita
kerana orang tua akan ditimpa kemalangan.

*Mimpi yang boleh dipercayai adalah ketika kita tidur dalam keadaan berwuduk dan kejadian mimpi itu berlaku sekitar pukul 1 hingga 3 pagi.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (20)

BANYAK PELAJAR PADA MASA INI SUKA BEKERJA SAMBIL BELAJAR TERUTAMA PADA WAKTU CUTI PERSEKOLAHAN. PADA PENDAPAT ANDA, WAJARKAH TINDAKAN MEREKA ITU?

(Sambungan Perenggan ke-4)(Teknik AMBCP)

A1)Bukan itu sahaja, pelajar yang bekerja sambil belajar terutamanya pada cuti persekolahan juga akan dapat membina sikap berdikari dalam diri mereka.

A2)Hal ini berlaku demikian kerana pelajar-pelajar yang bekerja sambil belajar ini akan merasai pengalaman bekerja dan berusaha mencari wang hasil usaha mereka sendiri.

A3)Impaknya, sikap berdikari yang terbit dalam diri pelajar-pelajar yang bekerja sambil belajar terutamanya sewaktu cuti persekolahan ini akan menjadikan mereka sentiasa berusaha mendapatkan sesuatu tanpa bergantung harap kepada orang lain.

A4)Tamsilnya, jika pelajar tersebut berkeinginan untuk mendapatkan sesuatu barang, mereka akan bekerja untuk mendapatkan wang dan mereka boleh membeli barang tersebut tanpa menggunakan wang ibu bapa mereka.

A5)Oleh itu, sikap berdikari dapat dipupuk dalam diri generasi muda masa ini yang mengambil inisiatif untuk bekerja sambil belajar terutamanya pada waktu cuti persekolahan .

PERENGGAN LENGKAP

Bukan itu sahaja, pelajar yang bekerja sambil belajar terutamanya pada cuti persekolahan juga akan dapat membina sikap berdikari dalam diri mereka.
Hal ini berlaku demikian kerana pelajar-pelajar yang bekerja sambil belajar ini akan merasai pengalaman bekerja dan berusaha mencari wang hasil usaha mereka sendiri.Impaknya, sikap berdikari yang terbit dalam diri pelajar-pelajar yang bekerja sambil belajar terutamanya sewaktu cuti persekolahan ini akan menjadikan mereka sentiasa berusaha mendapatkan sesuatu tanpa bergantung harap kepada orang lain.Tamsilnya, jika pelajar tersebut berkeinginan untuk mendapatkan sesuatu barang, mereka akan bekerja untuk mendapatkan wang dan mereka boleh membeli barang tersebut tanpa menggunakan wang ibu bapa mereka.Oleh itu, sikap berdikari dapat dipupuk dalam diri generasi muda masa ini yang mengambil inisiatif untuk bekerja sambil belajar terutamanya pada waktu cuti persekolahan .

Rabu, 20 Januari 2010

Lawak Bilik Guru(23)

Menurut buku yang ditulis oleh R.O. Windstedt nama Pahang pada mulanya ialah Inderapura. Pada suatu ketika Raja negeri Inderapura Makmur Shahbana ketika itu berhasrat menukar nama Inderapura Makmur Shahbana kepada suatu nama yang ringkas dan sedap di dengar. Beliau meminta Bendahara mencadangkan kepada rakyat jelata bahawa beliau akan memberi seuncang emas dan sepersalinan pakaian baru kepada sesiapa yang dapat memberi nama baru yang menarik. Beliau memberi tempoh selama tiga hari untuk orang ramai tampil ke istana mencuba nasib. Pada hari pertama tidak ramai yang datang ke istana. Kalau ada pun seorang dua. Raja Inderapura pula tidak berkenan. Masuk hari kedua jumlah yang datang berkali-kali ganda dari hari pertama namun semua tidak mendapat tempat di hati raja. Pada hari ke tiga datanglah dua orang sahabat karib ke istana ketika hari masih pagi benar. Ketika ditanya apakah nama yang hendak mereka berikan, kedua mereka berlumba-lumba bersuara.

“Hamba cadangkan nama Karma Sari.”
“Hamba pula cadangkan Margapura.”
“Karma Sari lebih molek.”
“Molek lagi Margapura.”
“Pilihlah Karma Sari!”
“Margapura!”
“Karma Sari!”
“Margapura!”
“Karma Sari molek!”
“Molek lagi Margapura!”
“Tengkorak hang!”
“Opah hang!”
“Opah hang!”

“Sudah! Sudah!” Tiba-tiba raja Inderapura mencelah,”Dalam banyak-banyak nama yang kamu sebutkan tadi, Beta amat tertarik dengan nama yang terakir kamu berdua berikan tadi, apa tadi… haaa? Opahang! Ya… opahang! Pahang sedap nama tu mulai hari ini beta namakan negeri ini dengan nama baru iaitu Pahang.” Demikianlah kisahnya.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (19)

(sambungan)

PERENGGAN KETIGA

A1)Selain itu, kesan negatif yang akan diperoleh jika para remaja begitu ghairah sewaktu meggunakan telefon bimbit ialah mereka akan kurang memberi tumpuan sewaktu menelaah pelajaran di sekolah dan hilang minat untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

A2)Hal ini berlaku bemikian kerana mereka terlalu taksub menikmati kecanggihan telefon bimbit sehingga hilang fokus untuk belajar.

A3)Lantaran itu, prestasi akademik remaja tersebut akan merosot dan keinginan mereka untuk terus belajar akan mula terhakis.

A4)Tamsilnya,kemudahan-kemudahan yang di sediakan dalam telefon bimbit tersebut seperti permainan, Sistem Khidmat Pesanan(SMS) dan sebagainya telah menjadikan mereka menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut tanpa batasan.

A5)Oleh itu, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan jelas menghilangkan minat golongan remaja untuk memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu, kesan negatif yang akan diperoleh jika para remaja begitu ghairah sewaktu meggunakan telefon bimbit ialah mereka akan kurang memberi tumpuan sewaktu menelaah pelajaran di sekolah dan hilang minat untuk mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini berlaku bemikian kerana mereka terlalu taksub menikmati kecanggihan telefon bimbit sehingga hilang fokus untuk belajar. Lantaran itu, prestasi akademik remaja tersebut akan merosot dan keinginan mereka untuk terus belajar akan mula terhakis. Tamsilnya,kemudahan-kemudahan yang di sediakan dalam telefon bimbit tersebut seperti permainan, Sistem Khidmat Pesanan(SMS) dan sebagainya telah menjadikan mereka menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut tanpa batasan. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan jelas menghilangkan minat golongan remaja untuk memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (18)

(Sambungan)

PERENGGAN KETIGA

A1)Selain itu, kaedah lain yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah harga barangan yang semakin meningkat di pasaran masa ini ialah persatuan pengguna perlulah mengadakan pemantauan harga barangan di premis-premis perniagaan yang berada dalam kawasan tugasan mereka.

A2)Hal ini berlaku demikian kerana para peniaga yang tidak bertanggungjawab ini akan berasa takut untuk meneruskan sikap suka mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri.

A3)Natijahnya, para pengguna akan dapat berbelanja dengan harga yang sepatutnya walaupun barangan tersebut tinggi nilainya.

A4)Tamsilnya, persatuan pengguna perlulah menetapkan tarikh untuk menjalankan rondaan terhadap premis-premis perniagaan yang berada dalam kawasan jagaan mereka.

A5)Oleh itu, pemantauan yang kerap dijalankan oleh persatuan pengguna juga boleh membantu dalam membendung masalah kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini.

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu, kaedah lain yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah harga barangan yang semakin meningkat di pasaran masa ini ialah persatuan pengguna perlulah mengadakan pemantauan harga barangan di premis-premis perniagaan yang berada dalam kawasan tugasan mereka. Hal ini berlaku demikian kerana para peniaga yang tidak bertanggungjawab ini akan berasa takut untuk meneruskan sikap suka mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri. Natijahnya, para pengguna akan dapat berbelanja dengan harga yang sepatutnya walaupun barangan tersebut tinggi nilainya. Tamsilnya, persatuan pengguna perlulah menetapkan tarikh untuk menjalankan rondaan terhadap premis-premis perniagaan yang berada dalam kawasan jagaan mereka. Oleh itu, pemantauan yang kerap dijalankan oleh persatuan pengguna juga boleh membantu dalam membendung masalah kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini.

Ahad, 17 Januari 2010

Modul Teknik Menjawab Kertas 2 PMR


Alhamdullilah, pada tahun ini cikgu sempat menyiapkan koleksi slaid power point tentang teknik menjawab kertas 2 Bahasa Melayu PMR yang cikgu telah buat beberapa tahun kebelakangan ini.Kepada pelajar-pelajar SMK Dang Anum yang berminat untuk memilikinya bolehlah berjumpa terus dengan cikgu.

Jumaat, 15 Januari 2010

CONTOH PENGEMBANGAN ISI (17)

TELEFON BIMBIT SUDAH MENJADI KEMESTIAN KEPADA SETIAP GOLONGAN MASYARAKAT. LEBIH-LEBIH LAGI, GOLONGAN REMAJA PADA MASA INI YANG BEGITU GHAIRAH MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT. HURAIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG KESAN NEGATIF PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT KEPADA MEREKA.

TEKNIK AMBCP(Apa/Mengapa/Bagaimana/Contoh/Penegasan)

A1)Antara kesan negatif yang akan diperoleh sekiranya para remaja begitu ghairah sewaktu menggunakan telefon bimbit ialah berlakunya kerosakan bahasa Melayu.

A2)Hal ini berlaku demikian kerana golongan remaja ini gemar meringkaskan perkataan semasa menggunakan Sistem Khidmat Pesanan (SMS) dengan alasan menjimatkan ruang pesanan.

A3)Lantaran itu, golongan remaja yang sudah terbiasa menggunakan perkataan singkatan ini akan turut menggunakan perkataan singkatan tersebut sewaktu menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah terutamanya dalam subjek-subjek yang memerlukan mereka menulis atau mengarang.

A4)Tamsilnya, golongan remaja yang begitu ghairah menggunakan telefon bimbit ini akan terbawa-bawa menggunakan perkataan singkatan tersebut semasa mengarang esei sekaligus menjadikan bahasa Melayu terjejas.

A5)Oleh itu, keghairahan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan muda-mudi jelas merosakkan bahasa Melayu sekiranya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.

PERENGGAN LENGKAP

Antara kesan negatif yang akan diperoleh sekiranya para remaja begitu ghairah sewaktu menggunakan telefon bimbit ialah berlakunya kerosakan bahasa Melayu. Hal ini berlaku demikian kerana golongan remaja ini gemar meringkaskan perkataan semasa menggunakan Sistem Khidmat Pesanan (SMS) dengan alasan menjimatkan ruang pesanan. Lantaran itu, golongan remaja yang sudah terbiasa menggunakan perkataan singkatan ini akan turut menggunakan perkataan singkatan tersebut sewaktu menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah terutamanya dalam subjek-subjek yang memerlukan mereka menulis atau mengarang. Tamsilnya, golongan remaja yang begitu ghairah menggunakan telefon bimbit ini akan terbawa-bawa menggunakan perkataan singkatan tersebut semasa mengarang esei sekaligus menjadikan bahasa Melayu terjejas. Oleh itu, keghairahan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan muda-mudi jelas merosakkan bahasa Melayu sekiranya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.

Selasa, 12 Januari 2010

CONTOH 22-KARANGAN PENDAPAT

HARGA BARANGAN SEMAKIN MENINGKAT. CADANGKAN LANGKAH-LANGKAH YANG SESUAI DILAKSANAKAN BAGI MENGHADAPI MASALAH TERSEBUT.

Dalam meniti kehidupan marcapada, isu berkenaan kenaikan harga barang acap kali diutarakan di media massa . Perkara yang menimbulkan pertanyaan kepada kita adalah mengapakah harga barangan di pasaran pada masa ini meningkat dari masa ke masa? Apakah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan di pasaran yang begitu drastik perubahannya ini? Segala pertanyaan ini bagaikan tergantung begitu sahaja tanpa ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, apakah langkah-langkah yang sesuai dilaksanakan bagi menghadapi masalah ini?

Antara langkah yang boleh dijalankan bagi menghadapi masalah ini ialah para pengguna itu sendiri perlulah bijak dalam menilai harga barangan di pasaran sewaktu berbelanja. Hal ini berlaku demikian kerana dalam menjalani kehidupan yang berteraskan wang ringgit ini, terdapat sebilangan peniaga yang suka menangguk di air keruh untuk kepentingan mereka sendiri. Sehubungan dengan itu, pengguna yang bijak menilai harga barangan di pasaran akan dapat mengatasi masalah ini dengan mudah. Sebagai contoh, seorang pengguna yang bijak akan melakukan penilaian harga sesuatu barangan di sebuah kedai dan membandingkan harga barangan tersebut di beberapa buah kedai yang lain. Oleh itu, sikap para pengguna dalam berbelanja itu sendiri memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah harga barangan yang semakin meningkat ini.

Selain itu, kaedah lain yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah harga barangan yang semakin meningkat di pasaran masa ini ialah persatuan pengguna perlulah mengadakan pemantauan harga barangan di premis-premis perniagaan yang berada dalam kawasan tugasan mereka. Hal ini berlaku demikian kerana para peniaga yang tidak bertanggungjawab ini akan berasa takut untuk meneruskan sikap suka mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri. Natijahnya, para pengguna akan dapat berbelanja dengan harga yang sepatutnya walaupun barangan tersebut tinggi nilainya. Tamsilnya, persatuan pengguna perlulah menetapkan tarikh untuk menjalankan rondaan terhadap premis-premis perniagaan yang berada dalam kawasan jagaan mereka. Oleh itu, pemantauan yang kerap dijalankan oleh persatuan pengguna juga boleh membantu dalam membendung masalah kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini.

Bukan itu sahaja, alternatif lain yang boleh di usulkan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini ialah kerja-kerja pengeluaran perlulah dilaksanakan seiring dengan permintaan pengguna. Hal ini berlaku demikian kerana harga barangan tersebut akan berada pada nilai yang sama kerana kadar pengeluaran barangan yang dilakukan dapat memenuhi permintaan pengguna. Impaknya, isu kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini akan dapat diselesaikan dengan mudah. Tamsilnya, harga suatu barangan akan sama nilainya apabila kadar pengeluaran dan permintaan para pengguna seimbang. Manakala harga sesuatu barangan akan jatuh atau naik apabila pengeluaran dan permintaan pengguna tidak berada pada tahap yang sama. Oleh itu, kenaikan harga barangan di pasaran juga dipengaruhi oleh faktor pengeluaran serta permintaan pengguna.

Konklusinya, jelaslah bahawa terdapat berbagai-bagai kaedah yang boleh dilakukan bagi membendung masalah kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini.Oleh itu, masyarakat perlulah sentiasa bersikap cakna terhadap perubahan harga barangan di pasaran supaya mereka tidak mudah tertipu. Sekiranya semua pihak mengambil langkah yang di cadangkan di atas, sudah pasti masalah kenaikan harga barangan di pasaran kini akan dapat dikawal. Jelaslah, perhatian serta kerjasama semua pihak amatlah diperlukan bagi menyelesaikan isu yang semakin membimbangkan ini.

Ditulis oleh Farah Adibah Karim Kelas 3 Anggerik 2009

Jumaat, 8 Januari 2010

Salam Untuk Semua

Terlebih dahulu cikgu ingin ucapkan tahniah kepada 34 orang pelajar dari kelas 3 Anggerik dan 21 orang pelajar dari kelas 3 Melor 2009 kerana berjaya mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan PMR yang lalu.Cikgu berharap anda semua akan mencapai kejayaan yang sama di peringkat SPM nanti.

Kepada pelajar 3 Dahlia dan 3 Melor pada tahun 2010 ini, cikgu juga mengharapkan anda semua akan berjaya seperti pelajar-pelajar pada tahun 2009 yang lepas.