Selasa, 30 Mac 2010

CONTOH 25-KARANGAN PENDAPAT

Cara-cara untuk Memupuk Minat Membaca Bahan Berilmiah dalam Kalangan Remaja.

Dewasa ini, dalam meniti arus modenisasi jika kita lihat senario di pusat beli-belah , pengunjung toko buku adalah amat sedikit jika dibandingkan di kedai-kedai lain.Jika pun ada pengunjung yang datang, mereka lebih berminat untuk membeli bahan bacaan yang bercorak hiburan semata-mata.Mengapakah berlaku demikian? Segala persoalan ini sentiasa bermain-main di benak fikiran kita. Apakah modus operandi yang boleh dilaksanakan agar bahan berilmiah menjadi santapan harian para remaja ini?

Antara prakarsa yang boleh diimplementasikan adalah dengan melalui ibu bapa yang mengutamakan pendidikan anak-anak melalui pembacaan bahan-bahan berilmiah. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang memainkan peranan dominan dalam hal ini dan menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini bertepatan dengan mutiara kata, anak-anak ibarat kain putih,ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Tamsilnya, ibu bapa boleh memberikan ensiklopedia yang menarik sebagai bahan bacaan untuk anak-anak. Oleh itu, anak-anak bukan sahaja minat membaca, malah mempunyai ilmu pengetahuan yang luas hasil daripada pembacaan bahan-bahan seperti ini.Jika ibu bapa memainkan peranan, maka minat membaca bahan berilmiah dapat dipupuk dengan berkesan.

Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan bahan bacaan berilmiah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini disebabkan para pelajar menghabiskan masa kira-kira lapan jam di sekolah. Justeru, seharusnya guru-guru memainkan peranan untuk memupuk minat ini dalam kalangan pelajar mereka. Sebagai mengorak langkah,latihan yang terdapat dalam majalah-majalah berilmiah boleh dibuat di dalam kelas.Sebagai contoh, majalah Fokus,Dewan Siswa dan lain-lain boleh menjadi wadah yang amat efektif dalam usaha untuk memupuk minat ini. Sekiranya guru-guru menggunakan bahan bacaan ini semasa mengajar, sudah pasti akan lahirlah golongan intektual dalam kalangan remaja.

Di samping itu,peranan media massa juga tidak dapat dinafikan lagi.Sepatutnya pihak media massa boleh memberikan publisiti kepada bahan bacaan berilmiah tetapi hal sebaliknya pula berlaku dewasa ini kerana majalah-majalah hiburan seperti Mangga,URTV,HIP dan pelbagai lagi pula yang diberi publisiti secara meluas. Oleh sebab itu, media massa perlu memberi publisiti kerana remaja kini lebih tertarik dengan iklan-iklan yang terpapar di depan mata mereka.Untuk langkah pertama, surat khabar boleh menyediakan rubrik untuk mempromosikan buku-buku ilmiah.Natijahnya, para remaja akan tertarik ketika melihat rubrik ini lantas membeli bahan bacaan yang diiklankan itu.Jika pihak media massa bekerjasama, maka impian untuk melihat generasi berilmu dilahirkan akan dapat direalisasikan.

Konklusinya,tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan,tiada kusut yang tidak dapat dileraikan.Terdapat pelbagai langkah boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Dengan demikian, sepatutnya harga buku boleh dikurangkan oleh pihak berkenaan. Sekiranya semua pihak bersendel bahu untuk mengatasi masalah ini,maka generasi adiwangsa dapat dilahirkan kerana bahan bacaan berilmiah sentiasa menjadi santapan minda para remaja.

380 patah perkataan

Khamis, 18 Mac 2010

KARANGAN RANGSANGAN-MASALAH KEHIDUPAN DI BANDAR





HURAIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG MASALAH KEHIDUPAN DI BANDAR.

Dewasa ini, masyarakat malaysia lebih berminat hidup di kota tanpa menyedari risiko yang akan mereka hadapi. Apakah risiko-risiko tersebut?

Antara masalah kehidupan di bandar ialah kesesakan lalu lintas.Hal ini berlaku demikian kerana bilangan penduduk kota amat tinggi. Lantaran itu, mereka terpaksa menggunakan kenderaan awam bagi menangani isu ini.

Selain itu, banjir kilat juga merupakan masalah kehidupan di bandar. Hal ini berlaku demikian kerana saliran tidak diselenggara dengan sistematik. Oleh itu, penyelenggaraan saliran yang efisien dapat menangani masalah ini.

Gejala sosial juga antara masalah kehidupan di bandar. Hal ini berlaku demikian kerana kurangnya sikap cakna dalam diri masyarakat kota. Justeru, kes-kes seperti seks luar nikah dan buang bayi semakin meningkat.

Konklusinya, kerajaan perlulah mengatur langkah bijak agar masalah ini dapat ditangani.
(120 patah perkataan )

Isnin, 8 Mac 2010

(BAHAN BACAAN)FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Salah laku jalan raya
Salah laku jalan raya bermaksud tindak tanduk pengguna jalan raya yang salah, dan mungkin membawa kepada kemalangan jalan raya. Dalam konteks etika salah laku jalan raya biasanya berkait dengan sikap pengguna jalan raya dan bukan kemahiran pengguna jalan raya itu sendiri.

Salah laku jalan raya merupakan sesuatu yang mengancam keselamatan jalan raya. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa faktor manusia merupakan faktor tunggal dalam 57% daripada kemalangan jalan raya. Daripda itu, masalah ini haruslah diberi perhatian daripada pelbagai pihak.

Kecuaian memandu

Kecuaian memandu bermaksud kelalaian atau ketidakberhati-hatian yang dilakukan semasa memandu. Perkara ini merupakan satu salah laku kerana perlakuan ini boleh menyebabkan kecelakaan kepada diri pemandu itu sendiri dan juga kepada pengguna jalan raya yang lain. Maka dari etika teleologi, perlakuan ini menepati kriteria sebagai satu kesalahan kerana ia membawa kepada lebih keburukkan daripada kebaikan

Kecuaian memandu secara kasarnya berlaku daripada tiga punca, iaitu:

* Tekanan jiwa
* Memandu sambil buat kerja lain
* Kemabukan

Tekanan jiwa boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja memandu. Dalam keadaan ini, minda si pemandu itu mungkin dipenuhi oleh pemikiran mengenai masalah yang menrunsingkan sehinggakan si pemandu itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja memandu. Maka dengan itu, kemalangan jalan raya mungkin akan berlaku. Contohnya, seorang pemandu yang sedang runsing fikirannya mungkin tidak sedar bahawa kerata depannya sudah berhenti dan terus langgar.

Di sini mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mencetuskan kemalangan jalan raya atas sebab tekanan jiwa, seharusnya tidak perlu menanggung tanggungjawab moral, kerana ini kemalangan tidak berlaku atas niat pemandu itu sendiri. Pekara ini mungkin benar dari segi etika deontologi Kant. Tetapi dari sudut yang lain, si pemandu masih boleh dianggap bersalah kerana membiarkan dirinya memandu dalam keadaan tertekan dan berbahaya sehinggalah menyebabkan berlakunya kecelakaan. Di sini menunjukkan masih terdapat ruang untuk si pemandu untuk berusaha bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Malah, dalam kursus memandu itu sendiri telah dimaklumi bahawa harus mengelakkan memandu dalam keadaan tekanan jiwa.

Memandu sambil buat kerja lain merupakan satu bentuk kecuaian memandu. Kerja-kerja yang biasanya dibuat bersambil memandu termasuklah bersembang, makan, merokok, mendengar radio, membaca SMS, malah menulis SMS. Perlakuan ini adalah sangat bahaya terutama bagi perlakuan membaca dan menghantar SMS semasa memandu. Kerja-kerja di atas walaupun tidak memerlukan banyak penumpuan tetapi ini tidak bermaksud ia boleh dilakukan semasa memandu kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan pemandu. Memandu sebenar penuh dengan pekara luar dugaan. Contohnya, anda mungkin tidak dapat menduga bahawa terdapat sebuah kereta keluar daripada lorong tepi sehingga menghalang laluan anda. Sekiranya pekara ini berlaku semasa anda membaca SMS, maka kemungkinan besar anda akan terus langgar kereta itu.

Alasan yang biasanya diberikan oleh pemandu untuk memandu sambil buat kerja lain termasuklah terlalu bosan, kesuntukkan masa dan kecemasan. Walaupun alasan-alasan ini mempunyai lojiknya sendiri tetapi perlakuan mereka ini tetap menyalahi prinsip moral. Pemberian alasan sedemikian sebenarnya menunjukkan bahawa terdapat masalah hirarki nilai dalam diri mereka. Dalam konteks ini, pemandu-pemandu tersebut tidak meletakkan nilai keselamatan di atas nilai-nilai yang lain. Contohnya bagi mereka yang memberi alasan “kesuntukkan masa” bagi memandu sambil bercakap telefon sebenarnya telah meletakkan nilai ekonomi di atas nilai keselamtan.

Memandu dalam keadaan mabuk nyata satu kecuaian yang besar. Lebih-lebih lagi perlakuan ini adalah salah dari segi undang-undang. Perlakuan ini adalah sangat bahaya kerana orang yang mabuk tidak berakal malah tidak sedar diri. Pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sebenarnya adalah salah dari segi moral kerana bersikap tidak bertanggungjawab. Di sini tiada banyak pertikaian mengenai tanggungjawab moral yang ditanggung oleh pemandu mabuk kerana ternyata mereka adalah salah.
[sunting] Memandu secara terburu-buru

Memandu secara terburu-buru bermaksud memandu dalam gaya yang cepat dan bergegas-gegas. Pekara ini boleh ditafsir sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu “memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain” dan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Pemandu yang suka akan akan gaya memandu sedemikian biasanya menghadapi masalah dalam keperibadian diri mereka. Keperibadian mereka sebenarnya telah tercemar oleh sikap buruk seperti di bawah:

* Menunjuk-nunjuk
* Kecetekan melayan nafsu sensasi
* Tidak menghargai nyawa

Semua pemandu yang memandu secara terburu-buru sebenarnya sedikit sebanyak mempunyai sikap menunjuk-nunjuk ini. Mereka adalah terlalu kagum dengan kemahiran memandu mereka sehinggakan tidak tertunggu-tunggu untuk diperlihatkan oleh orang ramai. Sikap ini terserlah juga dari segi kebiasaan mereka memasang muzik yang kuat semasa memandu serta kegemaran mereka mengubahsuai kereta kepada bentuk yang mongel. Perlakuan mereka seperti ini menunjukkan mereka tidak ternanti-nanti untuk meminta perhatian ramai.

Sikap menunjuk-nunjuk ini sebenarnya merupakan satu sifat kejahatan (vice). Ia sangat berkaitan dengan sifat-sifat keji seperti bongkak, sombong, angkuh dan pongah. Malah ia adalah sangat berlawanan dengan sikap kesopanan yang biasanya didukung oleh masyarakat timur seperti Malaysia.

Cara memandu yang terburu-buru boleh mendatangkan keseronokkan dari segi sensasi. Adalah sukar menerangkan mengapa manusia itu menikmati kelajuan kenderaan. Tetapi agaknya “rasa kegentingan” itu satu kenikmatan bagi mereka yang memandu secara terburu-buru. Pekara ini perlu diselidik dengan lebih mendalam lagi secara psikologi. Oleh itu, kertas kerja ini tidak akan menerangkan pekara ini secara lebih mendalam.

Pemandu-pemandu yang memandu secara terburu-buru sedikit sebanyak bertujuan untuk menikmati kelajuan. Pekara ini menunjukkan peribadi mereka mengahadapi kecetakkan dari segi melayan nafsu sensasi. Peribadi mereka dikatakan cetek kerana mereka mengejar keseronokan yang merupakan sensasi fizikal, selera kasar, tidak berpanjangan malahan dapat memudaratkan nyawa diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain. Maka dari segi ini kita boleh mengatakkan bahawa sikap dan perlakuan mereka adalah tidak bermoral.

Sikap tidak menghargai nyawa merupakan satu lagi sikap yang ditunjukkan oleh pemandu yang memandu secara terburu-buru. Walaupun tindakan mereka itu bukan bertujuan untuk membunuh orang, tetapi tindakan mereka itu tidak mempunyai sebarang nilai keselamatan. Dengan kata lain mereka tidak berniat membunuh tetapi pada masa yang sama juga tidak berniat untuk menyelamatkan nyawa. Mereka telah membiarkan nyawa manusia bergoyang-goyang antara hidup dan mati. Layanan mereka terhadap nyawa manusia secara demikian ternyata salah kerana nyawa manusia merupakan sesuatu yang harus dihargai dan dilindungi. Maka dari sudut ini, dapat dikatakan bahawa memandu secara terburu-buru merupakan satu salah laku dari segi etika.
[sunting] Keganasan jalan raya

Keganasan jalan raya merujuk kepada kegiatan mencederakan orang lain malah membunuh orang lain secara segaja dan sedar yang berlaku di antara pengguna jalan raya atas perselisihan yang berkaitan dengan masalah pengangkutan. Biasanya pemangsa dalam kes keganasan jalan raya dikenali sebagai samseng jalan. Pekara ini merupakan satu jenayah yang berat dan boleh membawa hukuman penjara, sebat malah hukuman bunuh.Contoh-contoh bagi kes keganasan jalan raya sejak 3 tahun lalu yang berlaku di Malaysia adalah seperti berikut:

* Pada 8 April 2003 di Puchong seorang pemuda telah dibelasah kerana pihak berkenaan tidak puas hati akan tindakannya memotong kereta.
* Pada 9 April 2003 di Gelang Patah, seorang pemuda telah diserang orang dengan pisau seni lukis kerana beliau nyaris terlanggar orang yang berkenaan. Untuk itu beliau telah mengalami kecederaan di bahagian lengan dan telah menerima rawatan jahitan luka sebanyak 100 jahitan.
* Pada 25 Januari 2005, seorang AJK pemuda UMNO telah dibunuh oleh samseng jalan
* Pada 13 Februari 2005, seorang pemuda dari Balakong nyaris membunuh orang kerana ia menyerang orang dengan penukul besi.
* Pada 25 Februari 2005, seorang jurutera MAS telah diparang mati oleh seorang samseng jalan yang membawa kereta mewah.

Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa keganasan jalan raya sememangnya lumrah di negara Malaysia.

Punca berlakunya keganasan jalan raya yang dapat dikesan sepanjang kajian ini adalah seperti berikut:

* Tekanan jiwa
* Kesedaran perlindungan diri yang melulu

Menurut Pengerusi Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Aminuddin Mohd Yusof, tekanan akibat kesesakan jalan raya di bandar besar menjadi faktor penting yang melahirkan pembuli. Katanya, Kesesakan jalan raya menyebabkan pemandu menjadi tidak sabar, cepat marah, agresif dan tidak dapat mengawal perasaan apabila berlaku perkara tidak diingini walupun berpunca dari kemalangan kecil. Pendapat beliau ini disokong dengan fakta bahawa bahawa pada tahun 1995, terdapat 171 kes pembuli jalan raya yang dilaporkan kepada polis di Kuala Lumpur.

Walau bagaimanpun, pendapat mengenai tekanan jiwa itu sebagi punca utama berlakunya keganasan jalan raya tidak pula dipersetujui oleh pakar Psikologi Kejenayahan, Encik Lok Jian Sin 骆建兴. Menurut beliau, tekanan jiwa seperti tekanan jiwa daripada perkerjaan dan kesesakkan jalan raya tidaklah merupakan punca berlakunya keganasan jalan raya. Sebaliknya beliau mengatakan bahawa kesedaran perlindungan diri yang melulu adalah punca utama berlakunya keganasan jalan raya. Dalam keadaan ini, orang bandar selalunya terlalu menjaga ruangan perlindungan (defensible space) sehingga ia terlalu sensitif akan sesiapa yang menembusinya. Maka pemandu-pemandu itu akan senang bereaksi ganas kerana terlalu ingin untuk melindungi diri. Selain itu keganasan jalan raya itu juga sangat berkaitan dengan sifat kejantanan dan sikap tunjuk kuasa yang ada pada kaum lelaki.

Maka di sini kita boleh buat satu kesimpulan bahawa masalah keganasan jalan raya sebenarnya melibatkan masalah kebatinan yang agak rumit dan ini bukan satu masalah moral semata-mata.

Dipetik daripada Wikipedia
http://ms.wikipedia.org/wiki/Salah_laku_jalan_raya

Sabtu, 6 Mac 2010

Lawak Bilik Guru(26)

Harijadi ke-17

Seorang anak bertanya kepada ibunya.

Anak : Mama, apabila hari jadi saya ke-17 nanti, boleh saya buat pesta di rumah?

Mama : Boleh…boleh..Nanti mama akan aturkan.

Anak : Mama,boleh saya ajak kawan-kawan saya sekali?

Mama : Boleh,nanti mama uruskan jemputannya.

Anak : Mama, boleh saya pakai baju baru berwarna pink tak?

Mama : Boleh,boleh, nanti mama belikan.

Maka tibalah hari jadinya yang ke-17 itu, berpestalah dia di rumahnya.Kawan-kawannya sudah datang.Anak itu memakai baju barunya dan kembali bertanya kepada mamanya.

Anak : Mama,boleh saya pakai gincu tak?

Mama : Tak boleh!

Anak : Alah…..mama, pada harijadi ke-17 inikan terjadi cuma sekali dalam hidup, takkan pakai gincu pun tak boleh.

Mama : Tidak boleh.! Kamu boleh adakan pesta.Kamu boleh menjemput rakan-rakan kamu. Kamu boleh pakai baju pink baru itu, tapi kamu tidak boleh pakai gincu.

Anak : Alaaaa ….bolehlah mama.

Mama : Azwan!!!!! Kali ini mama tidak mahu berkompromi.Tidak boleh.Kamukan lelaki!

Jumaat, 5 Mac 2010

Kem Motivasi Diri

Andaikan bahawa anda terlibat dalam suatu kegiatan perkhemahan anjuran Kelab Rekreasi di sekolah anda.

Aku merupakan salah seorang ahli Kelab Rekreasi Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum. Pada cuti penggal yang lepas, kelab ini telah mengadakan Kem Motivasi Diri di Hutan Lipur Asahan. Kem motivasi selama tiga hari dua malam ini disertai oleh 40 orang peserta bersama-sama 5 orang fasilitator. Inilah pengalaman pertama aku menyertai program seperti ini.

Fasilitator yang bertugas, iaitu Encik Isa Awaf telah memberikan taklimat ringkas kepada para peserta tentang atur cara kem motivasi itu. Para peserta diingatkan agar senantiasa mematuhi arahan fasilitator yang bertauliah demi keselamatan masing-masing.Para peserta dilarang sama sekali merayau-rayau di hutan lipur itu tanpa keizinan petugas.Peserta yang mengingkari arahan akan dikenakan tindakan tatatertib. Arahan itu dikeluarkan supaya para peserta tidak melakukan sesuatu sehingga boleh membahayakan diri mereka.

Sepanjang kem motivasi ini para peserta telah didedahkan kepada beberapa aktiviti lasak. Aktiviti ini memerlukan kerjasama,ketabahan,keyakinan diri,serta ketahanan mental dan fizikal.Antaranya termasuklah ’Flying Fox’ yang menghendaki para peserta menyeberangi arus sungai yang deras dengan menggunakan tali yang direntang. Aku tahu sahabat-sahabatku yang lain juga gementar sepertiku. Setiap peserta mencuba bersungguh-sungguh apabila tiba giliran masing-masing.Aku menguatkan semangat untuk melakukan aktiviti ini. Aku yakin aku mampu berbuat demikian seperti orang lain. Aku bersyukur kerana akhirnya aku berjaya melepasi halangan ini.

Selain itu juga,para peserta diberi tunjuk ajar cara menuruni tebing batu yang curam. Gementar rasa hatiku apabila melihat jurang sedalam kira-kira 30 meter itu yang perlu aku turuni.Sebelum aktiviti diadakan,kami diberikan seutas tali untuk diikatkan pada badan masing-masing. Kami dinasihatkan agar senantiasa berwaspada dan memberikan tumpuan ketika memijak batu.Jika kami tersilap langkah,padah akibatnya. Berkat ketabahan dan keyakinan diri,hampir kesemua peserta berjaya
mengatasinya tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Untuk pengisian rohani pula,sepanjang kami berada di sini,kami telah diminta mendirikan solat secara berjemaah pada setiap kali masuk waktu solat. Kami juga dikehendaki mendengar takzirah selepas solat Subuh dan Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hazali dan Ustaz Ibrohim secara bergilir-gilir. Pada pukul 4.00 pagi pula kami dikehendaki berkumpul untuk aktiviti Qiamulail. Aktiviti berakhir jam 6.30 pagi selepas solat Subuh.

Ternyata Kem Motivasi Diri itu telah berjaya menyemaikan nilai-nilai positif dalam diri kami. Kami telah mematuhi arahan fasilitator walaupun umur mereka sebaya dengan kami. Kem motivasi ini juga berjaya menyedarkan kami tentang kepentingan penghayatan agama,disiplin, semangat setia kawan,bersatu hati,bekerjasama dan tidak mementingkan diri apabila bergerak dalam satu kumpulan.

350 patah perkataan