Karangan Cemerlang
Kata orang jauh perjalanan, luas
pemandangan. Itulah yang telah saya alami sewaktu saya dan keluarga saya pergi
bercuti ke Pulau Langkawi pada cuti sekolah tempoh hari. Suasana yang berlainan
daripada tradisi masyarakat setempat yang tentu sahaja berbeza daripada tradisi
masyarakat di tempat saya menambahkan keterujaan saya untuk terus meneroka
pulau yang penuh bersejarah ini.
Kami bertolak ke Pulau Langkawi
dengan menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau
Pinang, Bayan Lepas. Penerbangan ini hanya memakan masa selama 25 minit.
Sekitar pukul 11.00 pagi, kami akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang
Pulau Langkawi. Perasaan gembira bercampur teruja jelas sekali menguasai diri
saya dan tanpa melengahkan lagi masa saya dan kakak saya segera bergambar
bersama-sama.Setelah selesai bergambar, kami telah dijemput oleh pemandu
pelancong tempat yang akan kami menginap. Kalau diikutkan sahaja gerak hati
ini, ingin sahaja saya terus menjelajahi Pulau Mahsuri ini namun, atas
menghormati permintaan ibu yang meminta agar kami berehat sahaja dahulu di
hotel terpaksa saya turuti.
Destinasi pertama yang menjadi
pilihan kami sekeluarga setelah merehatkan diri sebentar di hotel sudah tentu
Pantai Chenang yang merupakan destinasi yang paling popular di Pulau Langkawi
ini. Keindahan Pantai Chenang ini
ternyata susah untuk diungkapkan melalui kata-kata. Saya,ibu dan kakak tidak
melepaskan peluang untuk bergambar di sini. Orang yang paling gembira akan
kunjungan kami ke pantai ini tentu sahaja adik lelaki tunggal saya, Adnan. Dia
berasa sangat seronok mandi-manda di sini bersama dengan ayah saya.Selepas
penat mandi-manda di pantai, kami memutuskan untuk terus pulang ke hotel bagi
menikmati makan malam.
Keesokan paginya, kami telah dibawa oleh pemandu pelancong kami iaitu Pak
Cik Rashid mengelilingi pulau ini. Kami sekeluarga juga telah dibawa untuk
mengunjungi tempat-tempat menarik dan
bersejarah di pulau ini.Antara tempat yang telah kami lawati ialah Underwater
World, Beras Terbakar, Telaga Tujuh, Gunung Mat Cincang, kilang minyak gamat,Tasik
Dayang Buting dan akhir sekali destinasi wajib dilawati apabila berada di pulau
ini iaitu Makam Mahsuri. Selepas penat mengunjungi tempat-tempat ini, kami
telah dibawa oleh beliau untuk menjamu selera.
Pada hari terakhir di sini, kami sekeluarga telah berkunjung ke salah satu
pusat beli-belah terletak di Pekan Kuah yang dikenali di seluruh negara. Kami
telah menghabiskan masa dengan membeli pelbagai jenis cenderahati seperti
coklat, minyak gamat dan pelbagai jenis pinggan untuk ahli keluarga yang tidak dapat menyertai
lawatan ini.
Sesungguhnya, semua kenangan dan pengalaman indah yang telah saya alami
sewaktu berkunjung ke sini akan menjadi suatu memorabilia yang akan selalu
terpahat di kotak minda saya ini.