Selasa, 2 Oktober 2018


Baru-baru ini anda telah menyertai Perkhemahan Perdana Unit Beruniform.
Ceritakan pengalaman anda sepanjang menyertai perkhemahan tersebut.

Pada minggu yang lepas,saya telah berpeluang mewakili pasukan Kadet Bomba untuk menyertai satu perkhemahan perdana unit beruniform. Pasukan unit beruniform yang terlibat ialah pasukan Pengakap, Kadet Bomba, Kadet Polis, Kadet JPJ  dan Bulan Sabit Merah. Perkhemahan itu diadakan di padang sekolah dan dijalankan selama tiga hari dua malam.
              
                Pada petang Jumaat itu, kami semua berkumpul di padang sekolah.Kami mendengar  taklimat daripada  Komandan Kem  iaitu Cikgu Sahabudin.Selepas itu, kami diagihkan mengikut pasukan uniform masing-masing.Kami kemudian dibekalkan dengan khemah dan diarahkan untuk memasang khemah masing-masing sebelum malam menjelang tiba. Pada sebelah malamnya, kami diarahkan bergotong-royong menyediakan juadah untuk dimakan.

                Pada awal  pagi kami sudah bangun. Kami diarahkan solat Subuh secara berjemaah bagi yang beragama Islam. Selepas itu, kami melakukan senam robik yang diketuai oleh Cikgu Suhaili.Selepas bersarapan kami diarahkan mengemaskan khemah masing-masing.Pada pagi itu diadakan pemeriksaan khemah  paling cantik dan kemas.Khemah pasukan Kadet Polis telah diumumkan sebagai pemenang.

                Selepas itu,satu pertandingan memasak telah diadakan.Semua bahan telah disediakan oleh guru-guru penasihat .Kami diminta memasak nasi,lauk-pauk dan menggoreng ikan dengan menggunakan kayu sebagai bahan bakar.Pemenang dikira berdasarkan keenakan dan susun atur serta hiasan.Kali ini kumpulan saya telah muncul sebagai johan.

                Selepas makan malam,persembahan malam kebudayaan diadakan.Setiap persembahan mengikut unit uniform masing-masing.Antara persembahan adalah seperti nyanyian,tarian,lakonan dan sebagainya.Kali ini kumpulan pengakap menjadi johan dengan persembahan boria yang menarik.

                Keesokan harinya,kami bergotong-royong membersihkan kawasan tapak perkhemahan dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.Penyampaian hadiah dan sijil turut diadakan kepada para pemenang. Perkhemahan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Selepas itu,saya  dan  rakan-rakan  pulang dengan perasaan yang gembira. Saya berharap dapat menyertai lagi perkhemahan seperti ini pada masa akan datang.

Khamis, 30 Ogos 2018


Hampir setiap sekolah di negara ini mempunyai koperasi. Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh apabila menjadi ahli koperasi sekolah.

            Sejak beberapa dekad belakangan ini memang kita dapat menyaksikan peranan penting koperasi kepada warga sekolah. Koperasi merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan murid. Oleh itu, faedah yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
            Umum mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Hal ini kerana terdapat pelbagai barang kelengkapan sekolah yang dijual di situ dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.Dengan ini, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir wang.
            Selain itu, kita dapat menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Hal ini kerana secara tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Tamsilnya, perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek Prinsip Akaun dan Matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam koperasi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
            Dalam pada itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi membawa  semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid yang pelbagai kaum. Hal ini kerana hubungan ukhuwah murid-murid memudahkan guru-guru dalam menguruskan koperasi kerana jika tiada kesepakatan, pengurusan koperasi tidak akan akan berjalan dengan lancar. Natijahnya,  hubungan silaturahim antara guru dan murid juga terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi diibaratkan seperti aur dengan tebing.
                Konklusinya, penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan serta menambah baik tadbir urus koperasi kepada tahap yang lebih tinggi. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama.


Pada musim cuti sekolah lawatan sambal belajar merupakan aktiviti luar bilik yang paling popular di sekolah-sekolah di seluruh negara.Bincangkan faedah yang diperoleh para  pelajar sekiranya menyertai aktiviti ini

Kelab dan persatuan di sekolah sering menganjurkan lawatan sambil belajar apabila tiba musim cuti persekolahan atau selepas musim peperiksaan berakhir. Lawatan ini biasanya dianjurkan ke tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat menarik dan ke pusat-pusat pameran. Pelbagai faedah yang dapat diperoleh para pelajar sekiranya menyertai aktiviti ini.
Antara kepentingan menyertai lawatan sambil belajar ialah para pelajar dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, jika mereka melawat ke Muzium Negara, mereka akan memperoleh banyak maklumat tentang sejarah negara.Dengan ini, mereka dapat menggunakan pengetahuan tersebut dalam mata pelajaran Geografi dan Sejarah di dalam bilik darjah.
               Selain itu, mereka dapat memanfaatkan masa lapang dengan dengan aktiviti yang berfaedah seperti menyertai lawatan  ini. Tamsilnya, jika mereka tidak mengikuti lawatan, mereka mungkin akan menghabiskan masa dengan hanya menonton televisyen atau bermain permainan video sahaja. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan masa yang berharga itu sia-sia begitu sahaja.
               Seterusnya, mereka akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan guru-guru dan rakan-rakan sekolah . Tamsilannya, ketika mengikuti lawatan, mereka akan berkomunikasi dan bekerjasama dengan peserta lawatan yang lain. Hal ini sudah pasti akan mewujudkan hubungan yang lebih mesra dalam kalangan rakan mereka yang berlainan kelas.
Dalam pada itu, mengikuti lawatan sambil belajar juga dapat menenangkan fikiran mereka setelah penat belajar menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana keadaan persekitaran yang nyaman dan tenang boleh memberikan kerehatan serta kesegaran minda kepada mereka. Sebagai contoh, tempat menarik seperti Cameron Highlands mempunyai cuaca yang sejuk dan suasana yang boleh mendamaikan para pengunjung yang mengujunginya.
               Kesimpulannya, mengikuti lawatan sambil belajar merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Oleh itu, jika ada kesempatan para pelajar janganlah melepaskan peluang untuk mengikuti lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Dengan itu, mereka akan mengetahui tempat-tempat yang menarik yang terdapat di negara ini. Sesuai dengan kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan.

Ahad, 20 Mei 2018


Langkah-Langkah Mengatasi Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja

Pada era globalisasi ini, gejala sosial dalam kalangan remaja begitu membimbangkan dan berleluasa. Secara umumnya, gejala sosial ini dikaitkan dengan perlakuan negatif yang dilakukan oleh remaja kebelakangan ini. Oleh itu, inisiatif segera perlu diambil oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengekang kemelut ini daripada terus menular.

Pada hemat saya, peranan diri sendiri merupakan peranan utama bagi mengatasi gejala sosial ini. Hal ini demikian kerana apa-apa yang dilakukan oleh seseorang remaja itu adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan diri sendiri. Oleh itu, sekiranya diri sendiri tidak mahu melakukan perkara yang menyalahi norma kehidupan, maka mereka tidak akan melakukannya.

Selain itu, peranan ibu bapa juga penting dalam mengekang masalah gejala sosial ini.Hal ini kerana sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah mendidik dan mengajar mereka dengan didikan agama yang syumul kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

Seterusnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa media massa juga menyemai benih- benih salah laku dalam kalangan remaja justeru saluran media massa seperti televisyen, filem dan majalah perlu mendidik remaja agar tidak terlibat dengan kemelut kebejatan moral. Tamsilannya, siaran yang memaparkan remaja yang berjaya mesti sering dipaparkan di media massa sebagai motivasi untuk diteladani. Dengan itu, media massa berupaya untuk mengurangkan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hingga ke peringkat akar umbinya. 

Konklusinya, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja ini. Selain peranan ibu bapa dan media massa, masyarakat sekitar juga tidak boleh lepas tangan bagi menyelesaikan masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja ini. Sekiranya, masyarakat menegur tindakan golongan remaja ini sudah pasti gejala ini dapat dibendung agar tidak menjadi semakin parah.