Isnin, 20 Mei 2013

Merenang Gelora (Tingkatan 3)


Bahagian D
[10 markah]


Jawapan anda hendaklah berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji di Tingkatan 3 seperti yang berikut :

            1. Merenang Gelora karya Ruslan Ngah

Huraikan tiga pengajaran berserta contoh peristiwa yang berkaitan  dalam novel ini.


Berdasarkan novel yang saya kaji, Merenang Gelora karya Ruslan Ngah,terdapat beberapa pengajaran yang telah diketengahkan oleh penulis. Antaranya ialah kita perlulah tabah menghadapi cabaran untuk menyelesaikan masalah.Sebagai contoh,Badri tabah menghadapi cabaran ketika menjalankan tugas sebagai seorang pengawas walaupun telah disimbah dengan air sehingga dia berjaya menyelesaikan masalah disiplin pelajar seperti kes penjualan telefon bimbit.

Selain itu, kita haruslah mempelajari seni mempertahankan diri untuk menjaga keselamatan diri. Tamsilnya, Badri dapat mengelakkan serangan daripada Shahrul secara spontan kerana mempunyai  ilmu persilatan.

Di samping itu, kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.Sebagai contoh, Badri dan Siew Mei  gigih belajar sehingga memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sabtu, 18 Mei 2013

Kasih sayang amat penting dalam membentuk sebuah keluarga bahagia. Sebagai ketua keluarga, jelaskan cara-cara anda menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak.


Anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada insan yang bergelar ibu atau bapa. Anak memerlukan jagaan dan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya agar menjadi anak yang baik dan berguna kepada masyarakat. Pelbagai pendekatan boleh diambil oleh ibu bapa bagi menzahirkan kasih sayang mereka kepada anak-anak.

Pada pandangan saya, pendekatan yang paling penting untuk menunjukkan kasih sayang seorang bapa kepada anak-anak adalah dengan memenuhi keperluan perbelanjaan asas anak-anak. Tamsilnya, sebagai seorang bapa mereka perlulah menanggung perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak hingga ke peringkat yang paling tinggi dengan mencari nafkah yang halal. Oleh itu, anak-anak akan memahami pengorbanan yang ayah mereka lakukan bagi mencari rezeki untuk membesar dan memberi pendidikan kepada mereka.

Selain itu, sebagai seorang ketua keluarga, mereka juga haruslah memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Hal ini demikian kerana didikan agama yang mantap akan menjadi benteng kepada anak-anak daripada terjebak dengan gejala negatif yang tidak diingini pada masa ini.Sebagai contoh, anak-anak perlu dihantar mengikuti pembelajaran di kelas-kelas agama sama ada di sekolah ataupun di masjid-masjid yang berdekatan tempat tinggal mereka.Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Di samping itu, anak-anak juga perlu dibelai dan dimanjakan mengikut situasi yang tertentu. Anak-anak perlu diberikan kata-kata pujian sekiranya melakukan sesuatu perbuatan yang baik dan terpuji. Kata-kata pujian dan sentuhan ikhlas daripada ibu bapa sememangnya menjadi pendorong kepada anak-anak untuk menunjukkan tingkah laku yang baik dan bertata susila apabila bergaul dengan teman-teman mereka.

Dalam pada itu, ganjaran berupa hadiah kepada anak-anak juga merupakan salah satu prakarsa yang boleh dilakukan bagi menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Tamsilnya, hadiah boleh diberikan kepada anak-anak semasa menyambut hari kelahiran mereka dan tatkala anak-anak mendapat kejayaan dalam peperiksaan.Justeru, anak-anak akan merasakan diri mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka.

Konklusinya, ibu bapa perlulah melaksanakan kaedah yang terbaik bagi menunjukkan kasih sayang mereka kepada anak-anak.Anak-anak perlu dimanjakan tetapi bukan dengan kemewahan yang boleh merosakkannya. Justeru, anak-anak akan sentiasa merindui belaian dan sentuhan mesra daripada kedua-dua ibu bapa mereka walau di manapun mereka berada.

Rabu, 15 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU 2013


Anda telah berkunjung ke pameran komputer di sebuah pusat membeli-belah bersama dengan keluarga. Ceritakan pengalaman yang anda peroleh semasa berada di pameran tersebut


Pada hujung minggu yang lepas, saya dan ayah telah berpeluang berkunjung ke pameran komputer yang dianjurkan oleh PIKOM di MITC. Perjalanan dari rumah ke pusat pameran mengambil masa kira-kira setengah jam. Situasi di tempat letak kereta agak sesak dipenuhi dengan kereta-kereta para pengunjung. Setelah berpusing-pusing selama 15 minit, barulah ayah mendapat ruang untuk meletakkan kenderaannya.

Di ruang legar bangunan itu, kami melihat banyak kain rentang dan poster ditampal di dinding bangunan tersebut. Kami telah disambut dengan senyuman yang manis daripada petugas-petugas di situ. Saya dan ayah telah diberi dua keping kupon cabutan bertuah. Kami diberitahu bahawa cabutan bertuah akan dilakukan pada setiap jam. Hadiah yang lumayan disediakan untuk pengunjung yang bertuah.

Sememangnya tujuan kami datang ke pameran ini untuk membeli sebuah komputer riba dan gajet-gajet yang terkini yang dijual oleh pengeluar-pengeluar produk komputer seperti syarikat Acer, Asus, Lenovo dan sebagainya. Terdapat banyak kiosk yang menawarkan pelbagai barangan dan mereka bersaing untuk menawarkan harga paling rendah. Pelbagai pakej pembelian juga ditawarkan bagi menarik hati para pengunjung seperti kami.

Ayah mengajak saya pergi ke sebuah kiosk Acer yang menawarkan pelbagai jenis komputer riba, komputer meja dan tablet.Ayah begitu tertarik dengan komputer riba yang mempunyai ciri-ciri yang diidamkannya. Ayah begitu khusyuk sekali mendengar penerangan daripada penjual tersebut. Sementara itu, saya juga tidak ketinggalan membelek-belek gajet-gajet yang menarik seperti ’thumbdrive’, ’earphone’ dan sebagainya yang mempunyai pelbagai warna dan fungsi.

Setelah 15 minit berunding, ayah telah memilih untuk membeli sebuah komputer riba Acer yang mempunyai ciri-ciri terkini dan menarik. Saya pula telah dihadiahkan oleh ayah sebuah tablet berjenama Samsung. Saya memeluk ayah dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Ayah menghadiahkan tablet ini kepada saya kerana  kejayaan saya mendapat 8A dalam peperiksaan PMR yang lalu.

Sebaik sahaja hendak melangkah keluar daripada dewan tersebut kami mendengar pengumuman tentang cabutan bertuah untuk para pengunjung akan dilakukan. Ayah dan saya segera mengeluarkan kupon yang kami simpan sejak tadi lagi. Nombor yang tertera pada kupon saya telah diumumkan memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta pintar berjenama Honda Insight. Ayah dan saya berpelukan sekali lagi kerana tidak menjangkakan bahawa kunjungan kami berdua ke sana telah memberikan durian runtuh kepada saya.

Setelah selesai urusan menandatangani dokumen yang diperlukan, ayah menelefon emak untuk datang mengambil kereta ayah. Saya dan ayah pulang ke rumah dengan menaiki kereta baru yang saya menangi tadi. Saya menyimpan hasrat untuk memandunya tidak lama lagi.

Khamis, 2 Mei 2013

Sesat di Hujung Jalan, Balik ke Pangkal Jalan



”Ayah kau bising kerana kau balik lewat. Hari ini  balik cepat sikit,”kata Mak Jah semasa Adhwa sedang memakai kasut.
Adhwa ialah anak lelaki sulungnya daripada empat adik beradik. Pada Adhwalah yang diharapkan untuk menjaga keluarga jika apa-apa terjadi kepadanya.
            ”Petang ini Adhwa ada kelas tambahan. Adhwa tak janji boleh balik awal. Emak cakap sahaja pada ayah, PMR dah dekat, jadi Adhwa perlu mengulang kaji pelajaran.”
            ”Kalau kau balik lambat kerana belajar, tak apalah. Emak risau kau menyimpang ke tempat lain pula.”
            Adhwa melangkah ke arah sekolah. Tetapi di simpang tiga, Badul dan Budin sedang menunggunya.
            ”Hari ini sahaja kau ikut kami. Esok kami tak ganggu kau lagi,”kata Badul.
            ”Dah dua hari aku ponteng sekolah. Kalaulah ayah aku tahu,habislah aku,”kata Adhwa. Hatinya masih teringatkan sekolah. Tetapi keseronokan yang ada di siber kafe sukar untuk dia lupakan. Di sekolah dia terpaksa berdepan dengan peraturan yang ketat, tugasan yang menimbun, dan leteran guru yang berterusan. Adhwa berfikir lagi.
            Badul dan Budin terus memujuk. Akhirnya, Adhwa termakan dengan pujukan rakannya itu. Mereka menuju ke siber kafe seperti kebiasaannya. Di situ menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan internet termasuklah perjudian secara ’online’.Ketika melangkah masuk, sudah ramai pengunjung yang memakai uniform sekolah dari sekolah yang berdekatan. Ada juga yang menghisap rokok.
            Jika di sekolah masa terasa bergerak begitu lambat tetapi di bilik bercahaya suram itu, cepat sahaja masa berlalu. Perut Adhwa sudah berkeroncong tetapi keseronokan tanpa ada penghujung menyebabkan dia lupa akan segala-segalanya.
            ”Lari! Lari! Lari! Polis!”Tiba-tiba terdengar jeritan daripada seorang pengunjung. Tanpa membuang masa, Adhwa merempuh pintu belakang dan dia lari sekuat hati. Dia tidak tahu nasib Badul dan Budin. Apa yang difikirkan ialah nasib dirinya sendiri. Sesekali dia menoleh ke belakang, terlihat beberapa pengunjung sedang digari oleh polis. Dia takut kalau-kalau dia tertangkap.
            Oleh sebab terlalu takut dan kurang berwaspada, dia terjatuh ke dalam longkang. Tubuhnya terhempap ke mayat yang reput. Bau busuk dan hanyir menusuk ke rongga hidungnya, Dia menggeletar ketakutan. Dia bangun semula dan terus belari.
            Apabila tiba di rumah dia terus masuk ke bilik. Ibunya terkejut melihatkan tubuhnya yang kotor. Adhwa tidak menjawab pertanyaan ibunya. Dia terus mandi dan kemudian tidur. Dalam tidurnya, dia bermimpi mayat itu mengejarnya. Dia menjerit ketakutan dan tersedar daripada mimpinya.
            Keesokan harinya dia terbaca akan suatu berita di akhbar. Rupa-rupanya mayat tersebut ialah seorang penagih dadah. Dia tersedar seketika. Dia tidak mahu kesudahan hidupnya sama dengan mayat itu. Dia tidak sanggup lagi membohongi kedua-dua orang tuanya. Begitulah kata peribahasa, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
            Kini, Adhwa menjadi insan baharu yang mempunyai keazaman yang tinggi dan tidak lagi terpengaruh dengan pujukan rakan-rakan yang bersikap negatif.