Isnin, 7 Oktober 2013

Cadangan Jawapan Kertas Bahasa Melayu Kertas 1 PMR 2013

1. B
2. A
3. B
4. D
5. C
6. A
7. A
8. C (dihadiahkan)
9. D
10. A (mengisi)
11. C (rendang ayam)
12. C (penganjur)
13. B (dengan)
14. A (deretan rumah)
15. C (iv - longlai)
16. C
17. A (iii - merintis)
18. D
19. B
20. B                                31. C
21. C                                32. D
22. D                                33. C
23. A                                34. A
24. D                                35. A
25. C                                36. D
26. B                                37. C
27. B                                38. D
28. C                                39. B
29. D                                40. D
30.A

Isnin, 30 September 2013

Kraf tangan

Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita meskipun menghadapi pelbagai masalah.

Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memajukan industri ini? Jelaskan.

Industri kraf tangan ialah kerja-kerja yang berkaitan dengan penghasilan barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan satu industri yang berpotensi besar untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai prakarsa yang boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.

Langkah yang paling berkesan untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di negara ini. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.

Selain itu,kerajaan juga harus menjalankan usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.

Dalam pada itu, kempen kesedaran yang meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang lebih moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.

Di samping itu, produk kraf tangan ini juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan sumber semula jadi tempatan?

Konklusinya, industri ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur dalam negara ini seperti kata pepatah tak lapuk di hujan, tak lekang dek panas.Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi bukti betapa rendahnya pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.

Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com

Ahad, 29 September 2013

Tip PMR 2013

Fokus Karangan (Bahagian C)


1. Sekolah selamat.
2. Aspek-aspek yang harus ada pada murid cemerlang.
3. Faktor kemasukan pendatang asing ke Malaysia.
4. Penggunaan herba dalam amalan perubatan masyarakat Malaysia
5. Kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
6. Cara mengurangkan kegiatan lumba haram dalam kalangan remaja.
7. Keistimewaan masyarakat Malaysia (masyarakat majmuk).
8. Kebaikan belajar berkumpulan.
9. Aktiviti sukan lasak.
10. Kepentingan menjaga alam sekitar.
11. Sikap prihatin dalam masyarakat Malaysia.
12. Semangat sukarela.
13. Perusahaan kraf tangan di Malaysia.
14. Adat istiadat perkahwinan dalam masyarakat anda.
15. Penggunaan telefon bimbit .
16. Keindahan alam semula jadi di tempat anda.

Fokus Novel (Bahagian D) Tingkatan 1 atau 3

1. Watak dan Perwatakan
2. Latar 

Kertas 1 (Soalan 31 - 40)  Tingkatan 1 atau 3

1. Cerpen dan Sajak


Isnin, 23 September 2013

Murid Cemerlang

Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum melayakkan seseorang murid itu dinobatkan sebagai murid cemerlang.

Bincangkan faktor-faktor kejayaan murid cemerlang.

Kejayaan pelajar sering dikaitkan dengan kemampuan diri seseorang itu memperoleh sesuatu yang membanggakan diri dan keluarga dalam pelajaran serta kokurikulum. Antaranya kejayaan pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mewakili sekolah atau negara dalam acara sukan. Apakah rahsia yang menjadikan seseorang pelajar itu memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum itu?

Sudah pasti sebab utama kejayaan seseorang pelajar itu melibatkan galakan daripada ibu bapa pelajar itu sendiri. Tamsilnya, penjaga mereka perlulah memberikan galakan kepada anak-anak mereka dengan menyediakan ruang untuk belajar dan membeli keperluan kokurikulum anak-anak seperti pakaian badan beruniform, peralatan dan sebagainya. Natijahnya, pelajar akan lebih berusaha dalam akademik dan kokurikulum jika mereka melihat kesungguhan ibu bapa dalam memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi itu.

Selain itu, kejayaan pelajar juga banyak bergantung pada kemampuan diri sendiri. Hal ini demikian kerana  pelajar yang menyedari betapa pentingnya kejayaan dalam akademik dan kokurikulum akan berusaha untuk mencapainya walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Ringkasnya, pelajar yang berjaya itu mempunyai naluri ini melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin tanpa mengira masalah yang bakal berlaku.

Dalam pada itu, pengaruh rakan sebaya juga amat penting dalam membawa kejayaan kepada kehidupan pelajar itu. Rakan yang baik bukan sahaja memberikan galakan tetapi juga suatu persaingan positif yang membawa pelajar memberikan usaha terbaik mereka dalam akademik dan kokurikulum. Jelaslah, rakan yang tepat akan memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupannya.

Di samping itu, kejayaan seseorang pelajar turut ditentukan oleh pihak sekolah. Terdapat banyak sekolah yang menganjurkan pelbagai kelas tambahan dan bengkel motivasi serta latihan kokurikulum tertentu kepada pelajarnya. Sesungguhnya, usaha murni dan kegigihan daripada pihak pengurusan sekolah itu sendiri bakal membawa kejayaan kepada pelajar-pelajar mereka.

Secara tuntas, semua faktor tadi membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum boleh diperoleh dengan baiknya. Pelajar harus menyedari semua penyebab ini lantas berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan itu. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya yang membuktikan kejayaan memerlukan usaha gigih yang tinggi sahaja.


Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com


Sekolah Selamat

Berita tentang keselamatan sekolah telah menjadi bahan perbualan masyarakat.
Huraikan ciri-ciri sekolah selamat.

Sekolah yang selamat bermaksud tidak berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan guru di situ. Antara kejadian yang pernah berlaku di kawasan sekolah ialah kejadian pergaduhan, kecurian, dan perkosaan. Oleh itu, wujud pelbagai ciri yang menjadikan sesebuah sekolah itu selamat pada mata masyarakat umum.

Ciri yang paling mudah ialah pihak sekolah menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah itu. Pengawal ini juga boleh meronda kawasan sekolah mengikut masa tertentu sebagai usaha memastikan keselamatan sekolah terjaga. Justeru, tindakan menggaji pengawal keselamatan menjadi langkah mudah untuk memastikan sesebuah sekolah itu selamat daripada pencerobohan pihak yang tidak dikehendaki.

Selain itu, setiap bilik di sekolah itu perlulah dilengkapi dengan alat pemadam api yang mudah untuk diperoleh. Sementelahan pula pelajar bukan sahaja diberi latihan menggunakannya tetapi hendaklah diletakkan di tempat yang paling strategik untuk keberkesanan penggunaannya kelak. Jelaslah, penggunaan alat pemadam api dapat memastikan kebakaran yang berlaku dikawal sebelum ketibaan pihak bomba.

Di samping itu, sebuah sekolah yang selamat juga turut perlu memiliki pelan arah keselamatan apabila berlakunya sebarang kejadian seperti kebakaran, banjir, dan sebagainya. Pelan ini memudahkan pelajar mengetahui tindakan yang harus diambil oleh mereka dan arah yang dituju ketika perkara kecemasan berlaku. Sememangnya kewujudan pelan sebegini perlu bagi memastikan pelajar dapat menyelamatkan diri dalam keadaan tenang dan teratur apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu,kewujudan pengawal lalu lintas terutama di kawasan sekolah yang berhampiran jalan utama lalu lintas turut memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan warga sekolah. Pengawal ini akan memastikan pelajar dapat melintas jalan dengan selamat dan memerhatikan persekitaran ketika pelajar sedang menunggu kedatangan ibu bapa mereka itu. Sesungguhnya, pengawal lalu lintas menjadikan pelajar lebih selamat ketika keluar dari kawasan sekolah.

Konklusinya, setiap sekolah hendaklah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar mereka. Jika pihak sekolah masih berdolak-dalih dalam hal ini sudah pasti sesuatu tragedi hanya menanti masa sahaja untuk berlaku. Mungkin sudah sampai masanya pihak sekolah melihat keselamatan pelajar melebihi segala-galanya sebelum nasi menjadi bubur.


Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com

Ahad, 1 September 2013

Merenang Gelora (Tingkatan 3)

Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan tiga persoalan kebijaksanaan yang terkandung dalam novel tersebut.

            Novel yang saya kaji dalam tingkatan tiga ialah Merenang Gelora karya Ruslan Ngah. Terdapat beberapa contoh persoalan kebijaksanaan yang ada dalam novel tersebut.

            Pertamanya, bijak dalam mengurus masa. Sebagai contoh, Badri dan Badrul berada di tempat menunggu bas seawal pukul 6.40 pagi agar tidak ketinggalan bas untuk ke sekolah.

            Selain itu, bijak dalam menyelesaikan masalah kecurian. Tamsilnya, Ah Meng telah memasang CCTV di kedai telefon bimbit dan di stor kedai telefon Encik Tan bagi mengesan pencuri yang telah mencuri kad prabayar dan telefon bimbit di kedai itu. Hasil kebijaksanaannya, pencuri yang sebenarnya telah berjaya ditangkap, iaitu Meng Kong.


            Akhir sekali, bijak dalam membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Sebagai contoh, Badri, Siew Mei dan Taufik mengulang kaji pelajaran bersama-sama dengan membentuk kumpulan belajar. Mereka akhirnya berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Khamis, 11 Julai 2013

Huraikan pendapat anda tentang tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.

Sejak dahulu lagi manusia memelihara pelbagai jenis haiwan untuk dijadikan haiwan kesayangan. Namun, komitmen yang tinggi perlu bagi memastikan kebajikan haiwan tersebut sentiasa terjaga.

Memberikan makanan yang berkhasiat kepada haiwan peliharaan memberikan kesan yang besar kepada kesihatan haiwan yang dipelihara. Sekiranya pemakanan haiwan tersebut diabaikan, sudah tentu mudah diserang penyakit.

Selain itu, haiwan tersebut perlu diberikan rawatan perubatan yang sempurna. Tamsilnya, pemilik haiwan perlu membawa haiwan mereka ke klinik haiwan secara rutin bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dan bukannya membiarkan sahaja haiwan tersebut menanggung kesengsaraan.

Dalam pada itu, pemiliknya juga mesti menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada haiwan tersebut. Sebagai contoh, kandang yang disediakan mestilah bersesuaian dengan saiz haiwan peliharaan mereka.

Akhir sekali, pemilik juga perlu menitikberatkan kebersihan haiwan mereka. Dengan itu, haiwan kesayangan mereka tidak mudah diserang sebarang penyakit yang boleh membawa maut.


Konklusinya, penjagaan haiwan peliharaan sangat penting. Oleh itu, sebelum mengambil keputusan untuk memelihara haiwan kesayangan, pastikan kita sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang akan dipikul itu.

Kadar kemalangan jalan raya di negara kita agak tinggi terutamanya pada musim-musim perayaan. Cadangkan cara-cara yang berkesan untuk mengatasi masalah tersebut.

Saban hari berita tentang kemalangan jalan raya menghiasi dada-dada akhbar di negara kita ini. Walaupun pelbagai pendekatan telah diambil tetapi kadar kemalangan jalan raya di negara kita ini semakin meningkat dari hari ke hari. Justeru, pendekatan yang lebih efektif perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Mempunyai lesen yang sah merupakan perkara yang paling utama sebelum seseorang itu dibenarkan memandu sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya. Hal ini demikian kerana memandu tanpa lesen yang sah mengundang pelbagai masalah kerana mereka yang tidak mempunyai lesen memandu tidak akan memahami undang-undang jalan raya. Oleh itu, setiap individu bertanggungjawab bagi memastikan diri mereka mempunyai lesen memandu yang sah sebelum memandu sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya.Bak kata pepatah hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

Selain itu, ibu bapa juga perlulah melarang anak-anak mereka yang tidak mempunyai lesen memandu daripada menunggang motosikal atau memandu kereta di atas jalan raya. Hal ini demikian kerana kes kemalangan yang melibatkan remaja yang tiada lesen memandu amat tinggi jumlahnya. Sekiranya ibu bapa memberikan kerjasama dan cakna tetang perkara ini, pasti perkara ini dapat disekat daripada berleluasa.

Dalam pada itu, orang ramai juga perlulah bersikap bertimbang rasa semasa menggunakan jalan raya. Hal ini demikian kerana terdapat mereka yang kurang bertimbang rasa sering melakukan pelbagai kesalahan jalan raya yang mengundang kepada kemalangan berlaku. Sebagai contoh, terdapat sesetengah daripada mereka memotong kenderaan lain di kawasan yang tidak dibenarkan dan melanggar lampu isyarat kerana sikap tidak sabar.

Di samping itu juga pihak berkuasa perlu membaiki jalan-jalan yang rosak seberapa cepat yang mungkin. Hal ini demikian kerana terdapat banyak kemalangan jalan raya  yang melibatkan penunggang motosikal disebabkan keadaan jalan yang berlubang-lubang dan tidak rata.Sekiranya jalan-jalan tersebut diselenggara dengan baik, sudah pasti kemalangan dapat dielakkan.

Konklusinya pelbagai prakarsa boleh diambil bagi membendung peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara kita ini. Hukuman yang lebih berat juga perlu dikenakan ke atas individu yang menjadi penyebab kepada sesuatu kemalangan itu berlaku. Dengan ini, mereka akan lebih berwaspada semasa menggunakan jalan raya dan mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan.




                                                                                                                   300 patah perkataan

Isnin, 20 Mei 2013

Merenang Gelora (Tingkatan 3)


Bahagian D
[10 markah]


Jawapan anda hendaklah berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji di Tingkatan 3 seperti yang berikut :

            1. Merenang Gelora karya Ruslan Ngah

Huraikan tiga pengajaran berserta contoh peristiwa yang berkaitan  dalam novel ini.


Berdasarkan novel yang saya kaji, Merenang Gelora karya Ruslan Ngah,terdapat beberapa pengajaran yang telah diketengahkan oleh penulis. Antaranya ialah kita perlulah tabah menghadapi cabaran untuk menyelesaikan masalah.Sebagai contoh,Badri tabah menghadapi cabaran ketika menjalankan tugas sebagai seorang pengawas walaupun telah disimbah dengan air sehingga dia berjaya menyelesaikan masalah disiplin pelajar seperti kes penjualan telefon bimbit.

Selain itu, kita haruslah mempelajari seni mempertahankan diri untuk menjaga keselamatan diri. Tamsilnya, Badri dapat mengelakkan serangan daripada Shahrul secara spontan kerana mempunyai  ilmu persilatan.

Di samping itu, kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.Sebagai contoh, Badri dan Siew Mei  gigih belajar sehingga memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sabtu, 18 Mei 2013

Kasih sayang amat penting dalam membentuk sebuah keluarga bahagia. Sebagai ketua keluarga, jelaskan cara-cara anda menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak.


Anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada insan yang bergelar ibu atau bapa. Anak memerlukan jagaan dan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya agar menjadi anak yang baik dan berguna kepada masyarakat. Pelbagai pendekatan boleh diambil oleh ibu bapa bagi menzahirkan kasih sayang mereka kepada anak-anak.

Pada pandangan saya, pendekatan yang paling penting untuk menunjukkan kasih sayang seorang bapa kepada anak-anak adalah dengan memenuhi keperluan perbelanjaan asas anak-anak. Tamsilnya, sebagai seorang bapa mereka perlulah menanggung perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak hingga ke peringkat yang paling tinggi dengan mencari nafkah yang halal. Oleh itu, anak-anak akan memahami pengorbanan yang ayah mereka lakukan bagi mencari rezeki untuk membesar dan memberi pendidikan kepada mereka.

Selain itu, sebagai seorang ketua keluarga, mereka juga haruslah memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Hal ini demikian kerana didikan agama yang mantap akan menjadi benteng kepada anak-anak daripada terjebak dengan gejala negatif yang tidak diingini pada masa ini.Sebagai contoh, anak-anak perlu dihantar mengikuti pembelajaran di kelas-kelas agama sama ada di sekolah ataupun di masjid-masjid yang berdekatan tempat tinggal mereka.Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Di samping itu, anak-anak juga perlu dibelai dan dimanjakan mengikut situasi yang tertentu. Anak-anak perlu diberikan kata-kata pujian sekiranya melakukan sesuatu perbuatan yang baik dan terpuji. Kata-kata pujian dan sentuhan ikhlas daripada ibu bapa sememangnya menjadi pendorong kepada anak-anak untuk menunjukkan tingkah laku yang baik dan bertata susila apabila bergaul dengan teman-teman mereka.

Dalam pada itu, ganjaran berupa hadiah kepada anak-anak juga merupakan salah satu prakarsa yang boleh dilakukan bagi menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Tamsilnya, hadiah boleh diberikan kepada anak-anak semasa menyambut hari kelahiran mereka dan tatkala anak-anak mendapat kejayaan dalam peperiksaan.Justeru, anak-anak akan merasakan diri mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka.

Konklusinya, ibu bapa perlulah melaksanakan kaedah yang terbaik bagi menunjukkan kasih sayang mereka kepada anak-anak.Anak-anak perlu dimanjakan tetapi bukan dengan kemewahan yang boleh merosakkannya. Justeru, anak-anak akan sentiasa merindui belaian dan sentuhan mesra daripada kedua-dua ibu bapa mereka walau di manapun mereka berada.

Rabu, 15 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU 2013


Anda telah berkunjung ke pameran komputer di sebuah pusat membeli-belah bersama dengan keluarga. Ceritakan pengalaman yang anda peroleh semasa berada di pameran tersebut


Pada hujung minggu yang lepas, saya dan ayah telah berpeluang berkunjung ke pameran komputer yang dianjurkan oleh PIKOM di MITC. Perjalanan dari rumah ke pusat pameran mengambil masa kira-kira setengah jam. Situasi di tempat letak kereta agak sesak dipenuhi dengan kereta-kereta para pengunjung. Setelah berpusing-pusing selama 15 minit, barulah ayah mendapat ruang untuk meletakkan kenderaannya.

Di ruang legar bangunan itu, kami melihat banyak kain rentang dan poster ditampal di dinding bangunan tersebut. Kami telah disambut dengan senyuman yang manis daripada petugas-petugas di situ. Saya dan ayah telah diberi dua keping kupon cabutan bertuah. Kami diberitahu bahawa cabutan bertuah akan dilakukan pada setiap jam. Hadiah yang lumayan disediakan untuk pengunjung yang bertuah.

Sememangnya tujuan kami datang ke pameran ini untuk membeli sebuah komputer riba dan gajet-gajet yang terkini yang dijual oleh pengeluar-pengeluar produk komputer seperti syarikat Acer, Asus, Lenovo dan sebagainya. Terdapat banyak kiosk yang menawarkan pelbagai barangan dan mereka bersaing untuk menawarkan harga paling rendah. Pelbagai pakej pembelian juga ditawarkan bagi menarik hati para pengunjung seperti kami.

Ayah mengajak saya pergi ke sebuah kiosk Acer yang menawarkan pelbagai jenis komputer riba, komputer meja dan tablet.Ayah begitu tertarik dengan komputer riba yang mempunyai ciri-ciri yang diidamkannya. Ayah begitu khusyuk sekali mendengar penerangan daripada penjual tersebut. Sementara itu, saya juga tidak ketinggalan membelek-belek gajet-gajet yang menarik seperti ’thumbdrive’, ’earphone’ dan sebagainya yang mempunyai pelbagai warna dan fungsi.

Setelah 15 minit berunding, ayah telah memilih untuk membeli sebuah komputer riba Acer yang mempunyai ciri-ciri terkini dan menarik. Saya pula telah dihadiahkan oleh ayah sebuah tablet berjenama Samsung. Saya memeluk ayah dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Ayah menghadiahkan tablet ini kepada saya kerana  kejayaan saya mendapat 8A dalam peperiksaan PMR yang lalu.

Sebaik sahaja hendak melangkah keluar daripada dewan tersebut kami mendengar pengumuman tentang cabutan bertuah untuk para pengunjung akan dilakukan. Ayah dan saya segera mengeluarkan kupon yang kami simpan sejak tadi lagi. Nombor yang tertera pada kupon saya telah diumumkan memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta pintar berjenama Honda Insight. Ayah dan saya berpelukan sekali lagi kerana tidak menjangkakan bahawa kunjungan kami berdua ke sana telah memberikan durian runtuh kepada saya.

Setelah selesai urusan menandatangani dokumen yang diperlukan, ayah menelefon emak untuk datang mengambil kereta ayah. Saya dan ayah pulang ke rumah dengan menaiki kereta baru yang saya menangi tadi. Saya menyimpan hasrat untuk memandunya tidak lama lagi.

Khamis, 2 Mei 2013

Sesat di Hujung Jalan, Balik ke Pangkal Jalan



”Ayah kau bising kerana kau balik lewat. Hari ini  balik cepat sikit,”kata Mak Jah semasa Adhwa sedang memakai kasut.
Adhwa ialah anak lelaki sulungnya daripada empat adik beradik. Pada Adhwalah yang diharapkan untuk menjaga keluarga jika apa-apa terjadi kepadanya.
            ”Petang ini Adhwa ada kelas tambahan. Adhwa tak janji boleh balik awal. Emak cakap sahaja pada ayah, PMR dah dekat, jadi Adhwa perlu mengulang kaji pelajaran.”
            ”Kalau kau balik lambat kerana belajar, tak apalah. Emak risau kau menyimpang ke tempat lain pula.”
            Adhwa melangkah ke arah sekolah. Tetapi di simpang tiga, Badul dan Budin sedang menunggunya.
            ”Hari ini sahaja kau ikut kami. Esok kami tak ganggu kau lagi,”kata Badul.
            ”Dah dua hari aku ponteng sekolah. Kalaulah ayah aku tahu,habislah aku,”kata Adhwa. Hatinya masih teringatkan sekolah. Tetapi keseronokan yang ada di siber kafe sukar untuk dia lupakan. Di sekolah dia terpaksa berdepan dengan peraturan yang ketat, tugasan yang menimbun, dan leteran guru yang berterusan. Adhwa berfikir lagi.
            Badul dan Budin terus memujuk. Akhirnya, Adhwa termakan dengan pujukan rakannya itu. Mereka menuju ke siber kafe seperti kebiasaannya. Di situ menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan internet termasuklah perjudian secara ’online’.Ketika melangkah masuk, sudah ramai pengunjung yang memakai uniform sekolah dari sekolah yang berdekatan. Ada juga yang menghisap rokok.
            Jika di sekolah masa terasa bergerak begitu lambat tetapi di bilik bercahaya suram itu, cepat sahaja masa berlalu. Perut Adhwa sudah berkeroncong tetapi keseronokan tanpa ada penghujung menyebabkan dia lupa akan segala-segalanya.
            ”Lari! Lari! Lari! Polis!”Tiba-tiba terdengar jeritan daripada seorang pengunjung. Tanpa membuang masa, Adhwa merempuh pintu belakang dan dia lari sekuat hati. Dia tidak tahu nasib Badul dan Budin. Apa yang difikirkan ialah nasib dirinya sendiri. Sesekali dia menoleh ke belakang, terlihat beberapa pengunjung sedang digari oleh polis. Dia takut kalau-kalau dia tertangkap.
            Oleh sebab terlalu takut dan kurang berwaspada, dia terjatuh ke dalam longkang. Tubuhnya terhempap ke mayat yang reput. Bau busuk dan hanyir menusuk ke rongga hidungnya, Dia menggeletar ketakutan. Dia bangun semula dan terus belari.
            Apabila tiba di rumah dia terus masuk ke bilik. Ibunya terkejut melihatkan tubuhnya yang kotor. Adhwa tidak menjawab pertanyaan ibunya. Dia terus mandi dan kemudian tidur. Dalam tidurnya, dia bermimpi mayat itu mengejarnya. Dia menjerit ketakutan dan tersedar daripada mimpinya.
            Keesokan harinya dia terbaca akan suatu berita di akhbar. Rupa-rupanya mayat tersebut ialah seorang penagih dadah. Dia tersedar seketika. Dia tidak mahu kesudahan hidupnya sama dengan mayat itu. Dia tidak sanggup lagi membohongi kedua-dua orang tuanya. Begitulah kata peribahasa, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
            Kini, Adhwa menjadi insan baharu yang mempunyai keazaman yang tinggi dan tidak lagi terpengaruh dengan pujukan rakan-rakan yang bersikap negatif.

Ahad, 21 April 2013

Penjagaan kesihatan bagi masyarakat di negara ini masih banyak yang perlu diperbaik. Huraikan cara-cara yang dapat dilakukan untuk menjaga kesihatan.


Kesihatan yang baik merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada manusia. Justeru, kesihatan diri hendaklah dijaga supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Pelbagai uslub boleh dilakukan bagi mendapatkan tahap kesihatan yang  terbaik untuk diri seseorang itu.

Menjaga kesihatan diri, tempat tinggal, dan alam sekeliling merupakan perkara utama dalam penjagaan kesihatan. Hal ini demikian kerana persekitaran yang bersih menghalang diri seseorang daripada mendapat jangkitan penyakit dan sebagainya.Sebagai contoh, demam denggi tidak akan berlaku sekiranya tiada nyamuk Aedes yang membiak di kawasan persekitaran tempat tinggal kita.

Selain itu, kita perlu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat utuk pemakanan kita. Dengan ini, badan kita akan mendapat zat dan vitamin yang diperlukan untuk tubuh kita. Tamsilnya, kita tidak mengambil makanan yang dapat menjejaskan kesihatan seperti makanan yang mengandung terlalu banyak lemak, gula dan minyak serta menjauhi rokok dan minuman keras.

Dalam pada itu, kita juga perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Sekiranya kita melakukannya, kita akan dapat mengesan penyakit yang ada dari peringkat awal lagi kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Sebagai contoh, kita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan diri setiap enam bulan di klinik-klinik kerajaan atau di klinik-klinik swasta sekiranya kita berkemampuan berbuat demikian.

Di samping itu, kita juga hendaklah melakukan senaman mengikut jadual yang terancang. Hal ini demikian kerana kita akan dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan otak dengan bersenam. Tamsilannya, kita boleh melakukan aktiviti seperti berjoging, bermain badminton, berenang dan sebagainya.

Akhir sekali, kita hendaklah beriadah untuk menenangkan fikiran yang stres. Hal ini demikian kerana kita perlu mempunyai masa yang rehat yang mencukupi untuk diri kita. Dengan ini, kesihatan mental juga akan terjaga dengan baik.

Konklusinya, pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan kita. Masyarakat perlu mengutamakan penjagaan kesihatan diri.Sememangnya kesihatan diri yang baik menjanjikan kebahagiaan dalam kehidupan.

KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH

http://www.medicinsaniah.my/

Kepada yang berminat boleh hubungi saya.

Aspek kebersihan memainkan peranan penting dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke negara kita. Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap kebersihan tempat-tempat pelancongan di Malaysia.


Kebersihan merupakan aspek yang amat penting dalam kehidupan kita. Kebersihan melambangkan jati diri sesuatu bangsa dan negara lebih-lebih lagi negara kita menjadi destinasi utama para pelancong di rantau ini.Pelbagai prakarsa perlu diambil bagi memastikan tahap kebersihan di sesuatu tempat tumpuan para pelancong sentiasa dalam keadaan yang terbaik.

Menyediakan lebih banyak kemudahan seperti tong sampah dan tandas awam antara tindakan yang perlu diambil dengan segera. Oleh itu, para pengunjung tidak akan membuang sampah di merata-rata tempat  dan akan menggunakan tandas awam dengan sebaik-baiknya apabila memerlukannya. Lantaran itu juga pihak pengurusan juga perlu memastikan tandas awam yang ada perlu dibersihkan dengan sekerap yang mungkin supaya tidak berbau busuk dan kotor.

Selain itu, pihak pengurusan juga perlu menaikkan papan tanda yang mengingatkan para pengunjung supaya sentiasa menjaga kebersihan dan memaparkan denda yang boleh dikenakan mengikut undang-undang yang ada. Dengan ini, sudah tentu para pengunjung akan berfikir banyak kali untuk melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan mereka didenda.

Dalam pada itu, pihak kerajaan bersama pihak swasta serta NGO, perlu menggunakan media cetak dan media elektronik untuk menyampaikan maklumat tentang kepentingan dan langkah-langkah menjaga kebersihan kepada orang ramai. Sebagai contoh, mereka boleh menghebahkan maklumat tentang sesuatu aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan yang akan diadakan di sesuatu destinasi pelancongan.Secara tidak langsung aktiviti ini dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri anggota masyarakat.

Akhir sekali, penduduk setempat juga perlu mengutamakan kebersihan kawasan mereka tinggal. Sekiranya mereka berbuat demikian, sudah tentu kawasan mereka akan sentiasa dibanjiri dengan para pelancong dari dalam dan luar negeri.Dengan itu, pendapatan masyarakat setempat juga akan meningkat disebabkan berlakunya kegiatan ekonomi di kawasan tersebut.

Intihanya, semua pihak perlu perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan tempat-tempat pelancongan di negara kita. Masyarakat perlu dididik di bangku sekolah lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan di tempat-tempat tersebut.Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.Dengan itu, generasi yang akan datang tidak lagi perlu bersusah payah bagi menangani masalah yang berkaitan dengan kebersihan ini.

Sabtu, 9 Mac 2013

Cuti Persekolahan


Cuti persekolahan merupakan masa yang ditunggu oleh pelajar. Terangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang sepanjang cuti persekolahan.

            Cuti persekolahan sememangnya merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar di negara kita. Hal ini demikian kerana mereka telah penat memerah otak sepanjang musim persekolahan. Pelbagai aktiviti yang menarik boleh dirancang dan dilakukan bagi memenuhi masa yang terluang.

            Mengulang kaji pelajaran bersama dengan rakan-rakan secara berkumpulan merupakan aktiviti yang berfaedah yang boleh dilakukan bagi memenuhi masa lapang tersebut. Tamsilnya, mereka boleh pergi ke perpustakaan awam atau ke tempat-tempat yang sesuai bagi melakukan aktiviti tersebut. Dengan ini, kefahaman mereka tentang sesuatu subjek akan lebih mantap disebabkan perbincangan yang telah mereka lakukan.

            Selain itu, mereka juga boleh bekerja secara sambilan. Lantaran itu, mereka dapat membantu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa mereka terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Sebagai contoh, mereka boleh bekerja di premis-premis makanan, stesen-stesen minyak  dan sebagainya.

            Dalam pada itu, bagi mereka yang terdiri daripada keluarga yang berkemampuan, mereka boleh meminta ibu bapa mereka membawa mereka melancong sama ada di dalam atau di luar negara.Tamsilannya, mereka boleh pergi melawat ke tempat-tempat bersejarah atau ke kawasan peranginan yang belum pernah mereka kunjungi. Dengan ini, hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih erat di samping dapat menambah pengalaman baru.Bak kata pepatah jauh berjalan, luas pandangan.

            Di samping itu juga mereka boleh menghadiri kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sebagai contoh, mereka boleh menyertai kem motivasi diri, kem meningkatkan pengetahuan agama, kem ketahanan diri dan sebagainya. Selain mereka memenuhi masa lapang, mereka juga dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan.

            Konklusinya, kita mestilah memanfaatkan masa yang terluang pada cuti persekolahan dengan sebaik-baiknya. Pelbagai aktiviti yang dirancang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dengan ini, masa yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja.

Isnin, 4 Mac 2013

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita haruslah tolong-menolong antara satu sama lain. Nyatakan kepentingan tolong-menolong antara satu sama lain.


Marcapada, sikap tolong-menolong antara satu sama lain sangat penting dalam kehidupan. Bersikap sebegini ada kepentingannya kepada kita dan masyarakat umumnya.
                Antara kepentingan sikap tolong-menolong ialah kita akan dapat merapatkan hubungan silaturahim. Hal ini demikian kerana sikap ini memerlukan pergaulan antara individu dengan individu lain dalam sesebuah kelompok masyarakat.
                Selain itu, hal inijuga penting kerana dengan menanam sikap ini seseorang itu dapat meningkatkan kualiti hidupnya. Sebagai contoh, seorang lelaki yang sering menolong orang lain mempunyai pelakuan yang baik.
                Di samping itu, sikap tolong-menolong juga dapat membentuk masyarakat yang bersatu-padu. Tamsilnya, sesebuah masyarakat bekerjasama demi membersihkan kawasan persekitaran sesebuah tempat.
                Konklusinya, terdapat banyak kepentingan dengan mengamalkan amalan tolong-menolong. Sekiranya semua orang dapat mengamalkan amalan ini pasti masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman damai.
                                                                                                                             120 patah perkataan

Ahad, 10 Februari 2013

Faedah Kitar Semula


Faedah Kitar Semula

            Kitar semula ialah suatu proses menggunakan semula bahan-bahan yang dibuang dalam bentuk lain. Pelbagai faedah yang dapat kita perolehi hasil daripada proses kitar semula ini.

Antara faedah mengamalkan kaedah kitar semula ialah alam sekitar akan terpelihara. Hal ini kerana kerana sampah sarap tadi akan diproses kembali dan tidak dibiarkan mereput yang boleh menyebabkan pencemaran.

            Melalui kitar semula juga kerajaan dapat menjimatkan wang . Hal ini demikian kerana sampah sarap tersebut tidak perlu dilupuskan dan ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

            Dalam pada itu, kitar semula juga dapat menjana pendapatan. Hal ini kerana tin-tin dan kertas-kertas lama boleh dijual semula kepada pusat-pusat kitar semula sekali gus menjana pendapatan kita.

            Konklusinya, kitar semula adalah suatu program yang sangat bermanfaat. Oleh itu, kita mestilah menyokong program kitar semula ini.

Ahad, 6 Januari 2013

PMR yang terakhir...

Asalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada pengunjung blog ini.
Tahun 2012 telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan yang tidak akan berulang kembali. Semoga tahun 2013 pula akan menjadikan kita lebih baik dan berjaya daripada tahun sebelumnya. Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Peperiksaan PMR diadakan. Selepas ini semuanya dikatakan akan berubah. Cikgu sendiri tidak berapa pasti selepas ini sama ada blog ini akan menjadi relevan atau tidak. Walau bagaimanapun cikgu akan cuba mengisi blog ini dengan maklumat-maklumat yang difikirkan sesuai dengan pendidikan semasa.