Rabu, 25 April 2012

Cara-cara untuk Memupuk Minat Membaca Bahan Berilmiah dalam Kalangan Remaja.

Dewasa ini, dalam meniti arus modenisasi jika kita lihat senario di pusat beli-belah , pengunjung toko buku adalah amat sedikit jika dibandingkan di kedai-kedai lain.Jika pun ada pengunjung yang datang, mereka lebih berminat untuk membeli bahan bacaan yang bercorak hiburan semata-mata.Mengapakah berlaku demikian? Segala persoalan ini sentiasa bermain-main di benak fikiran kita. Apakah kaedah yang boleh dilaksanakan agar bahan berilmiah menjadi santapan harian para remaja ini?

 Antara prakarsa yang boleh diimplementasikan adalah dengan melalui ibu bapa yang mengutamakan pendidikan anak-anak melalui pembacaan bahan-bahan berilmiah. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang memainkan peranan dominan dalam hal ini dan menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini bertepatan dengan mutiara kata, anak-anak ibarat kain putih,ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Tamsilnya, ibu bapa boleh memberikan ensiklopedia yang menarik sebagai bahan bacaan untuk anak-anak. Oleh itu, anak-anak bukan sahaja minat membaca, malah mempunyai ilmu pengetahuan yang luas hasil daripada pembacaan bahan-bahan seperti ini.Jika ibu bapa memainkan peranan, maka minat membaca bahan berilmiah dapat dipupuk dengan berkesan.

 Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan bahan bacaan berilmiah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini disebabkan para pelajar menghabiskan masa kira-kira lapan jam di sekolah. Justeru, seharusnya guru-guru memainkan peranan untuk memupuk minat ini dalam kalangan pelajar mereka. Sebagai mengorak langkah,latihan yang terdapat dalam majalah-majalah berilmiah boleh dibuat di dalam kelas.Sebagai contoh, majalah Fokus,Dewan Siswa dan lain-lain boleh menjadi wadah yang amat efektif dalam usaha untuk memupuk minat ini. Sekiranya guru-guru menggunakan bahan bacaan ini semasa mengajar, sudah pasti akan lahirlah golongan intektual dalam kalangan remaja.

 Di samping itu,peranan media massa juga tidak dapat dinafikan lagi.Sepatutnya pihak media massa boleh memberikan publisiti kepada bahan bacaan berilmiah tetapi hal sebaliknya pula berlaku dewasa ini kerana majalah-majalah hiburan seperti Mangga,URTV,HIP dan pelbagai lagi pula yang diberi publisiti secara meluas. Oleh sebab itu, media massa perlu memberi publisiti kerana remaja kini lebih tertarik dengan iklan-iklan yang terpapar di depan mata mereka.Untuk langkah pertama, surat khabar boleh menyediakan rubrik untuk mempromosikan buku-buku ilmiah.Natijahnya, para remaja akan tertarik ketika melihat rubrik ini lantas membeli bahan bacaan yang diiklankan itu.Jika pihak media massa bekerjasama, maka impian untuk melihat generasi berilmu dilahirkan akan dapat direalisasikan.

 Konklusinya,tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan,tiada kusut yang tidak dapat dileraikan.Terdapat pelbagai langkah boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Dengan demikian, sepatutnya harga buku boleh dikurangkan oleh pihak berkenaan. Sekiranya semua pihak bersendel bahu untuk mengatasi masalah ini,maka generasi adiwangsa dapat dilahirkan kerana bahan bacaan berilmiah sentiasa menjadi santapan minda para remaja.

 380 patah perkataan