Isnin, 30 September 2013

Kraf tangan

Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita meskipun menghadapi pelbagai masalah.

Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memajukan industri ini? Jelaskan.

Industri kraf tangan ialah kerja-kerja yang berkaitan dengan penghasilan barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan satu industri yang berpotensi besar untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai prakarsa yang boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.

Langkah yang paling berkesan untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di negara ini. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.

Selain itu,kerajaan juga harus menjalankan usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.

Dalam pada itu, kempen kesedaran yang meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang lebih moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.

Di samping itu, produk kraf tangan ini juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan sumber semula jadi tempatan?

Konklusinya, industri ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur dalam negara ini seperti kata pepatah tak lapuk di hujan, tak lekang dek panas.Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi bukti betapa rendahnya pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.

Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com

Ahad, 29 September 2013

Tip PMR 2013

Fokus Karangan (Bahagian C)


1. Sekolah selamat.
2. Aspek-aspek yang harus ada pada murid cemerlang.
3. Faktor kemasukan pendatang asing ke Malaysia.
4. Penggunaan herba dalam amalan perubatan masyarakat Malaysia
5. Kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
6. Cara mengurangkan kegiatan lumba haram dalam kalangan remaja.
7. Keistimewaan masyarakat Malaysia (masyarakat majmuk).
8. Kebaikan belajar berkumpulan.
9. Aktiviti sukan lasak.
10. Kepentingan menjaga alam sekitar.
11. Sikap prihatin dalam masyarakat Malaysia.
12. Semangat sukarela.
13. Perusahaan kraf tangan di Malaysia.
14. Adat istiadat perkahwinan dalam masyarakat anda.
15. Penggunaan telefon bimbit .
16. Keindahan alam semula jadi di tempat anda.

Fokus Novel (Bahagian D) Tingkatan 1 atau 3

1. Watak dan Perwatakan
2. Latar 

Kertas 1 (Soalan 31 - 40)  Tingkatan 1 atau 3

1. Cerpen dan Sajak


Isnin, 23 September 2013

Murid Cemerlang

Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum melayakkan seseorang murid itu dinobatkan sebagai murid cemerlang.

Bincangkan faktor-faktor kejayaan murid cemerlang.

Kejayaan pelajar sering dikaitkan dengan kemampuan diri seseorang itu memperoleh sesuatu yang membanggakan diri dan keluarga dalam pelajaran serta kokurikulum. Antaranya kejayaan pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mewakili sekolah atau negara dalam acara sukan. Apakah rahsia yang menjadikan seseorang pelajar itu memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum itu?

Sudah pasti sebab utama kejayaan seseorang pelajar itu melibatkan galakan daripada ibu bapa pelajar itu sendiri. Tamsilnya, penjaga mereka perlulah memberikan galakan kepada anak-anak mereka dengan menyediakan ruang untuk belajar dan membeli keperluan kokurikulum anak-anak seperti pakaian badan beruniform, peralatan dan sebagainya. Natijahnya, pelajar akan lebih berusaha dalam akademik dan kokurikulum jika mereka melihat kesungguhan ibu bapa dalam memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi itu.

Selain itu, kejayaan pelajar juga banyak bergantung pada kemampuan diri sendiri. Hal ini demikian kerana  pelajar yang menyedari betapa pentingnya kejayaan dalam akademik dan kokurikulum akan berusaha untuk mencapainya walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Ringkasnya, pelajar yang berjaya itu mempunyai naluri ini melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin tanpa mengira masalah yang bakal berlaku.

Dalam pada itu, pengaruh rakan sebaya juga amat penting dalam membawa kejayaan kepada kehidupan pelajar itu. Rakan yang baik bukan sahaja memberikan galakan tetapi juga suatu persaingan positif yang membawa pelajar memberikan usaha terbaik mereka dalam akademik dan kokurikulum. Jelaslah, rakan yang tepat akan memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupannya.

Di samping itu, kejayaan seseorang pelajar turut ditentukan oleh pihak sekolah. Terdapat banyak sekolah yang menganjurkan pelbagai kelas tambahan dan bengkel motivasi serta latihan kokurikulum tertentu kepada pelajarnya. Sesungguhnya, usaha murni dan kegigihan daripada pihak pengurusan sekolah itu sendiri bakal membawa kejayaan kepada pelajar-pelajar mereka.

Secara tuntas, semua faktor tadi membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum boleh diperoleh dengan baiknya. Pelajar harus menyedari semua penyebab ini lantas berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan itu. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya yang membuktikan kejayaan memerlukan usaha gigih yang tinggi sahaja.


Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com


Sekolah Selamat

Berita tentang keselamatan sekolah telah menjadi bahan perbualan masyarakat.
Huraikan ciri-ciri sekolah selamat.

Sekolah yang selamat bermaksud tidak berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan guru di situ. Antara kejadian yang pernah berlaku di kawasan sekolah ialah kejadian pergaduhan, kecurian, dan perkosaan. Oleh itu, wujud pelbagai ciri yang menjadikan sesebuah sekolah itu selamat pada mata masyarakat umum.

Ciri yang paling mudah ialah pihak sekolah menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah itu. Pengawal ini juga boleh meronda kawasan sekolah mengikut masa tertentu sebagai usaha memastikan keselamatan sekolah terjaga. Justeru, tindakan menggaji pengawal keselamatan menjadi langkah mudah untuk memastikan sesebuah sekolah itu selamat daripada pencerobohan pihak yang tidak dikehendaki.

Selain itu, setiap bilik di sekolah itu perlulah dilengkapi dengan alat pemadam api yang mudah untuk diperoleh. Sementelahan pula pelajar bukan sahaja diberi latihan menggunakannya tetapi hendaklah diletakkan di tempat yang paling strategik untuk keberkesanan penggunaannya kelak. Jelaslah, penggunaan alat pemadam api dapat memastikan kebakaran yang berlaku dikawal sebelum ketibaan pihak bomba.

Di samping itu, sebuah sekolah yang selamat juga turut perlu memiliki pelan arah keselamatan apabila berlakunya sebarang kejadian seperti kebakaran, banjir, dan sebagainya. Pelan ini memudahkan pelajar mengetahui tindakan yang harus diambil oleh mereka dan arah yang dituju ketika perkara kecemasan berlaku. Sememangnya kewujudan pelan sebegini perlu bagi memastikan pelajar dapat menyelamatkan diri dalam keadaan tenang dan teratur apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu,kewujudan pengawal lalu lintas terutama di kawasan sekolah yang berhampiran jalan utama lalu lintas turut memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan warga sekolah. Pengawal ini akan memastikan pelajar dapat melintas jalan dengan selamat dan memerhatikan persekitaran ketika pelajar sedang menunggu kedatangan ibu bapa mereka itu. Sesungguhnya, pengawal lalu lintas menjadikan pelajar lebih selamat ketika keluar dari kawasan sekolah.

Konklusinya, setiap sekolah hendaklah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar mereka. Jika pihak sekolah masih berdolak-dalih dalam hal ini sudah pasti sesuatu tragedi hanya menanti masa sahaja untuk berlaku. Mungkin sudah sampai masanya pihak sekolah melihat keselamatan pelajar melebihi segala-galanya sebelum nasi menjadi bubur.


Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com

Ahad, 1 September 2013

Merenang Gelora (Tingkatan 3)

Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan tiga persoalan kebijaksanaan yang terkandung dalam novel tersebut.

            Novel yang saya kaji dalam tingkatan tiga ialah Merenang Gelora karya Ruslan Ngah. Terdapat beberapa contoh persoalan kebijaksanaan yang ada dalam novel tersebut.

            Pertamanya, bijak dalam mengurus masa. Sebagai contoh, Badri dan Badrul berada di tempat menunggu bas seawal pukul 6.40 pagi agar tidak ketinggalan bas untuk ke sekolah.

            Selain itu, bijak dalam menyelesaikan masalah kecurian. Tamsilnya, Ah Meng telah memasang CCTV di kedai telefon bimbit dan di stor kedai telefon Encik Tan bagi mengesan pencuri yang telah mencuri kad prabayar dan telefon bimbit di kedai itu. Hasil kebijaksanaannya, pencuri yang sebenarnya telah berjaya ditangkap, iaitu Meng Kong.


            Akhir sekali, bijak dalam membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Sebagai contoh, Badri, Siew Mei dan Taufik mengulang kaji pelajaran bersama-sama dengan membentuk kumpulan belajar. Mereka akhirnya berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.