Sabtu, 9 Mac 2013

Cuti Persekolahan


Cuti persekolahan merupakan masa yang ditunggu oleh pelajar. Terangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang sepanjang cuti persekolahan.

            Cuti persekolahan sememangnya merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar di negara kita. Hal ini demikian kerana mereka telah penat memerah otak sepanjang musim persekolahan. Pelbagai aktiviti yang menarik boleh dirancang dan dilakukan bagi memenuhi masa yang terluang.

            Mengulang kaji pelajaran bersama dengan rakan-rakan secara berkumpulan merupakan aktiviti yang berfaedah yang boleh dilakukan bagi memenuhi masa lapang tersebut. Tamsilnya, mereka boleh pergi ke perpustakaan awam atau ke tempat-tempat yang sesuai bagi melakukan aktiviti tersebut. Dengan ini, kefahaman mereka tentang sesuatu subjek akan lebih mantap disebabkan perbincangan yang telah mereka lakukan.

            Selain itu, mereka juga boleh bekerja secara sambilan. Lantaran itu, mereka dapat membantu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa mereka terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Sebagai contoh, mereka boleh bekerja di premis-premis makanan, stesen-stesen minyak  dan sebagainya.

            Dalam pada itu, bagi mereka yang terdiri daripada keluarga yang berkemampuan, mereka boleh meminta ibu bapa mereka membawa mereka melancong sama ada di dalam atau di luar negara.Tamsilannya, mereka boleh pergi melawat ke tempat-tempat bersejarah atau ke kawasan peranginan yang belum pernah mereka kunjungi. Dengan ini, hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih erat di samping dapat menambah pengalaman baru.Bak kata pepatah jauh berjalan, luas pandangan.

            Di samping itu juga mereka boleh menghadiri kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sebagai contoh, mereka boleh menyertai kem motivasi diri, kem meningkatkan pengetahuan agama, kem ketahanan diri dan sebagainya. Selain mereka memenuhi masa lapang, mereka juga dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan.

            Konklusinya, kita mestilah memanfaatkan masa yang terluang pada cuti persekolahan dengan sebaik-baiknya. Pelbagai aktiviti yang dirancang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dengan ini, masa yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja.

Isnin, 4 Mac 2013

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita haruslah tolong-menolong antara satu sama lain. Nyatakan kepentingan tolong-menolong antara satu sama lain.


Marcapada, sikap tolong-menolong antara satu sama lain sangat penting dalam kehidupan. Bersikap sebegini ada kepentingannya kepada kita dan masyarakat umumnya.
                Antara kepentingan sikap tolong-menolong ialah kita akan dapat merapatkan hubungan silaturahim. Hal ini demikian kerana sikap ini memerlukan pergaulan antara individu dengan individu lain dalam sesebuah kelompok masyarakat.
                Selain itu, hal inijuga penting kerana dengan menanam sikap ini seseorang itu dapat meningkatkan kualiti hidupnya. Sebagai contoh, seorang lelaki yang sering menolong orang lain mempunyai pelakuan yang baik.
                Di samping itu, sikap tolong-menolong juga dapat membentuk masyarakat yang bersatu-padu. Tamsilnya, sesebuah masyarakat bekerjasama demi membersihkan kawasan persekitaran sesebuah tempat.
                Konklusinya, terdapat banyak kepentingan dengan mengamalkan amalan tolong-menolong. Sekiranya semua orang dapat mengamalkan amalan ini pasti masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman damai.
                                                                                                                             120 patah perkataan