Isnin, 31 Mei 2010

KARANGAN RANGSANGAN(Gotong-Royong)

PERENGGAN LENGKAP

Karangan Rangsangan-Kebaikan Bergotong-royong


Aktiviti bergotong-royong telah diamalkan oleh masyarakat di negara kita sejak dahulu lagi.Terdapat banyak kebaikan jika amalan ini diamalkan oleh kita.

Antara kebaikannya ialah kita dapat mempercepat sesuatu kerja berbanding jika dilakukan secara bersendirian.Hal ini demikian kerana sesuatu tugasan kebiasannya dilakukan dalam jumlah yang ramai.

Selain itu, melalui aktiviti ini juga kita dapat menjimatkan kos dan masa untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan.Sebagai contoh, kita tidak perlu membayar upah kepada mereka sekiranya melakukan kerja secara goton-royong .

Di samping itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan kejiranan di sesuatu kawasan perumahan.Tamsilnya, kita dapat mengenali dengan lebih rapat lagi jiran-jiran kita semasa menjalankan aktiviti ini.

Tuntasnya,kita haruslah terus menghidupkan budaya mulia ini agar amalan ini dapat diwariskan kepada generasi yang akan datang.

120 patah perkataan

KARANGAN RANGSANGAN(Gotong-Royong)

Karangan Rangsangan-Kebaikan Bergotong-royong

Pendahuluan
(A1)Aktiviti bergotong-royong telah diamalkan oleh masyarakat di negara kita sejak dahulu lagi.
(A2) Terdapat banyak kebaikan jika amalan ini diamalkan oleh kita.

Pengembangan isi
(A1)Antara kebaikannya ialah kita dapat mempercepat sesuatu kerja berbanding jika dilakukan secara bersendirian.(Isi)
(A2)Hal ini demikian kerana sesuatu tugasan kebiasannya dilakukan dalam jumlah yang ramai.(Mengapa)

A1)Selain itu, melalui aktiviti ini juga kita dapat menjimatkan kos dan masa untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. (Isi)
A2)Sebagai contoh, kita tidak perlu membayar upah kepada mereka sekiranya melakukan kerja secara goton-royong .(Contoh)

A1)Di samping itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan kejiranan di sesuatu kawasan perumahan.(Isi)
A2)Tamsilnya, kita dapat mengenali dengan lebih rapat lagi jiran-jiran kita semasa menjalankan aktiviti ini.(Contoh)

Penutup

A1)Tuntasnya,kita haruslah terus menghidupkan budaya mulia ini agar (Harapan)amalan ini dapat diwariskan kepada generasi yang akan datang.

Sabtu, 29 Mei 2010

Cerpen:Simpanlah Keranda Ini

Lelaki tua itu semakin lemah. Kudratnya sudah tiada. Segala sendinya kejang dan lemah. Penyakit demi penyakit bersarang ditubuhnya membuatkan lelaki tua itu tidak mampu lagi untuk berdiri. Setiap hari yang termampu dilakukan hanyalah berbaring dan membilang baki hari yang akan dilaluinya.


Keadaan lelaki tua itu menjengkelkan anaknya. Anak muda itu mengeluh kerana setiap hari sejak beberapa bulan bapanya terlantar, hanya dia seorang sahaja terpaksa berladang dan menjaga binatang-binatang ternakan.


Penat berladang, pulang ke rumah dia terpaksa pula memasak, membasuh, mengemas rumah serta membantu bapanya yang tidak mampu menguruskan diri sendiri. Paling dibenci anak muda itu ialah mengurus kencing berak bapanya, lantaran Si Ibu sudah beberapa tahun meninggal dunia.


"Ah! Tak guna langsung, menyusahkan saja…," keluh Si Anak yang tidak sanggup lagi menanggung beban menguruskan ayahnya. Kesabarannya hilang. Dia tidak mahu menggalas beban itu lebih lama lagi.


Suatu hari Si Anak membuat sebuah keranda daripada kayu dan membawanya balik ke rumah. Ketika itu ayahnya sedang tidur. Tanpa melengahkan masa, anak muda itu terus mengheret keranda itu ke bahagian anjung tempat ayahnya sedang berbaring. Perlahan-lahan tubuh tua ayahnya diangkat dan diletakkan ke dalam keranda kayu. Kemudian, ditutupnya keranda itu.


Anak muda itu mengheret keranda tersebut sehinggalah ke tebing sebuah gaung yang dalam dan dipenuhi bongkah batu. Segala-galanya akan berakhir sebentar lagi. Tetapi sewaktu hendak menolak keranda itu ke dalam tebing gaung, tiba-tiba dia terdengar bunyi ketukan yang lemah dari dalam keranda.


Lalu anak muda itu membukanya. Dalam keadaan terbaring lemah, lelaki tua memandang tepat ke dalam mata anaknya. "Ayah tau kau nak tolak ayah dari tebing ini..," begitu payah Si Bapa mengeluarkan suaranya.


"Boleh..kau boleh lakukannya tapi…ayah ada satu permintaan..," sambung lelaki tua itu dengan suara tersekat-sekat menahan sebak di dada. Si Anak mengangguk, menyuruh bapanya meneruskan kata-kata.


"Kau boleh tolak ayah dari sini jika kau mahu..tapi simpanlah keranda ini baik-baik sebab anakmu juga akan memerlukan keranda ini suatu masa nanti…," sambung Si Bapa.

—————————————————-

Moral: Sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga ayah dan emak ketika mereka sudah tua atau memerlukan. Jasa dan pengorbanan mereka sangat besar dan tidak terbalas oleh kita. Hargailah mereka dan sayangilah mereka selagi mereka masih hidup…

Selasa, 18 Mei 2010

CONTOH PENUTUP(8)

Penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang semakin serius. Pada pendapat anda, apakah punca-punca berlakunya gejala ini?

A1)Secara tuntas, jelaslah bahawa penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang serius di negara kita.

A2)Oleh yang demikian, kerajaan perlulah mengambil tindakan yang lebih efektif bagi membanteras gejala penderaan ini daripada terus berlaku.

A3)Sekiranya kerajaan mengambil tindakan sedemikian, sudah pasti gejala penderaan kanak-kanak ini dapat diatasi dengan berkesan.

A4)Jelaslah, kerjasama serta komitmen semua pihak amat penting dalam menangani isu yang serius ini dan tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja.

PERENGGAN LENGKAP

Secara tuntas, jelaslah bahawa penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang serius di negara kita. Oleh yang demikian, kerajaan perlulah mengambil tindakan yang lebih efektif bagi membanteras gejala penderaan ini daripada terus berlaku. Sekiranya kerajaan mengambil tindakan sedemikian, sudah pasti gejala penderaan kanak-kanak ini dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah, kerjasama serta komitmen semua pihak amat penting dalam menangani isu yang serius ini dan tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja.

Ahad, 16 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU

Pada kesempatan ini, cikgu ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang berada di negara kita ini.Bekerjalah dengan ikhlas semoga kita mendapat ganjaran daripada-Nya di akhirat kelak.Cikgu juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang pernah mendidik cikgu khususnya guru-guru yang pernah mengajar di SK Merlimau 1(1974-1979)dan Sekolah Tinggi Melaka (1980-1986).Tidak juga cikgu lupakan pensyarah-pensyarah MPKI(1987-1989) dan Universiti Sains Malaysia (1995-2000).Jasamu tetap kukenang.

Sabtu, 8 Mei 2010

KARANGAN RANGSANGAN(DENGGI)





Huraikan cara-cara untuk mengelakkan demam denggi di negara kita.

Demam denggi merupakan salah satu musuh utama negara yang telah membunuh ramai manusia di negara kita. Pelbagai langkah boleh diambil untuk mengelakkan serangan penyakit berbahaya ini.

Antara kaedah yang boleh dilakukan adalah dengan membersihkan kawasan tempat tinggal masing-masing.Tamsilnya, kita boleh menanam bekas-bekas takungan yang tidak digunakan.Oleh itu,nyamuk tidak akan dapat membiak di dalam bekas-bekas tersebut kerana telah dimusnahkan atau ditanam.

Selain itu,kita boleh membubuh racun di dalam bekas-bekas takungan air.Racun seperti Abate dapat mengelakkan nyamuk bertelur di situ. Oleh itu, nyamuk akan terhalang daripada membiak.

Seterusnya kita hendaklah mengelakkan diri daripada digigit nyamuk. Tamsilnya, kita boleh menggunakan kelambu semasa tidur pada waktu malam. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada terkena gigitan dan dijangkiti virus denggi.

Konklusinya, semua pihak perlu bekerjasama menangani masalah ini. Pihak yang berkenaan perlu mengadakan kempen kesedaran secara besar-besaran bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya penyakit ini.

Ahad, 2 Mei 2010

CONTOH PENUTUP(7)

Kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan negara sering diperkatakan. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini.

A1)Konklusinya, pelbagai usaha dapat dilakukan bagi mengatasi masalah kemerosotan mutu sukan negara.
(Kesimpulan)

A2)Sehubungan dengan itu, para atlet haruslah meningkatkan disiplin diri dan bermotivasi tinggi semasa sesi latihan dijalankan.
(Cadangan)

A3)Jika semua pihak berganding bahu untuk menangani masalah ini, sudah tentu kualiti sukan negara akan dapat ditingkatkan.
(Harapan)

A4)Jelaslah bahawa usaha yang proaktif perlu diambil segera demi meningkatkan mutu sukan negara.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Konklusinya, pelbagai usaha dapat dilakukan bagi mengatasi masalah kemerosotan mutu sukan negara. Sehubungan dengan itu, para atlet haruslah meningkatkan disiplin diri dan bermotivasi tinggi semasa sesi latihan dijalankan. Jika semua pihak berganding bahu untuk menangani masalah ini, sudah tentu kualiti sukan negara akan dapat ditingkatkan.Jelaslah bahawa usaha yang proaktif perlu diambil segera demi meningkatkan mutu sukan negara.

CONTOH PENUTUP(6)

Kajian mendapati rakyat Malaysia kurang berminat untuk membaca berbanding dengan aktiviti lain seperti hiburan. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memastikan minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini semakin meningkat.

A1)Intihanya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara kita.
(Kesimpulan)

Harga buku di pasaran juga sepatutnya dikurangkan agar lebih ramai orang mampu membeli buku.
(Cadangan)

Sekiranya semua pihak berganding bahu, sudah pasti isu ini akan dapat diatasi dengan berkesan.
(Harapan)


Jelaslah bahawa untuk memastikan negara kita mencapai matlamat Wawasan 2020, kita terlebih dahulu perlu melestarikan minat membaca dalam kalangan rakyat di negara ini.
(Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Intihanya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara kita. Harga buku di pasaran juga sepatutnya dikurangkan agar lebih ramai orang mampu membeli buku. Sekiranya semua pihak berganding bahu, sudah pasti isu ini akan dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah bahawa untuk memastikan negara kita mencapai matlamat Wawasan 2020, kita terlebih dahulu perlu melestarikan minat membaca dalam kalangan rakyat di negara ini.