Langkah-Langkah Mengatasi Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja
Pada era globalisasi ini, gejala sosial dalam kalangan remaja
begitu membimbangkan dan berleluasa. Secara umumnya, gejala sosial ini
dikaitkan dengan perlakuan negatif yang dilakukan oleh remaja kebelakangan ini.
Oleh itu, inisiatif segera perlu diambil oleh pihak-pihak berkenaan
untuk mengekang kemelut ini daripada terus menular.
Pada hemat saya, peranan diri sendiri merupakan peranan utama bagi
mengatasi gejala sosial ini. Hal ini demikian kerana apa-apa yang dilakukan
oleh seseorang remaja itu adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan diri
sendiri. Oleh itu, sekiranya diri sendiri tidak mahu melakukan perkara yang
menyalahi norma kehidupan, maka mereka tidak akan melakukannya.
Selain itu, peranan ibu bapa juga penting dalam mengekang masalah
gejala sosial ini.Hal ini kerana sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa
mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Sebagai contoh, ibu
bapa perlulah mendidik dan mengajar mereka dengan didikan agama yang
syumul kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan
pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Seterusnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa media massa juga
menyemai benih- benih salah laku dalam kalangan remaja justeru saluran media
massa seperti televisyen, filem dan majalah perlu mendidik remaja agar tidak
terlibat dengan kemelut kebejatan moral. Tamsilannya, siaran yang memaparkan
remaja yang berjaya mesti sering dipaparkan di media massa sebagai motivasi
untuk diteladani. Dengan itu, media massa berupaya untuk mengurangkan masalah
keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hingga ke peringkat
akar umbinya.
Konklusinya, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi
mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja ini. Selain peranan ibu bapa dan
media massa, masyarakat sekitar juga tidak boleh lepas tangan bagi
menyelesaikan masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja ini. Sekiranya, masyarakat
menegur tindakan golongan remaja ini sudah pasti gejala ini dapat dibendung
agar tidak menjadi semakin parah.