Tidak akan tercapai sesuatu cita-cita itu dengan tidak
kuat berusaha. Begitulah maksud peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya’.
Aleef merupakan pelajar tingkatan lima
yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia merupakan
seorang anak yatim.Ayahnya telah meninggal dunia semasa dia berumur tujuh
tahun.Kini, ibunyalah yang menanggung kehidupan mereka tiga beranak.Bertuahlah ibunya kerana Aleef rajin dan
bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan. Dialah harapan keluarganya.
Ketika sembilan bulan sebelum
peperiksaan SPM, Aleef telah membuat persiapan lebih awal. Dia senantiasa
mengulang kaji pelajaran serta tidak pernah ponteng menghadiri kelas-kelas
tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.Di samping itu, Aleef juga sering
mengadakan diskusi secara berkumpulan.
Walaupun sibuk dengan pelajaran,
Aleef tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai anak. Setiap petang, selepas
balik dari sekolah dia akan membantu ibunya di gerai pisang goreng milik
ibunya. Aleef sedar bahawa daripada hasil jualan pisang goreng itulah ibunya
menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Selain belajar dan menolong ibunya,
Aleef selalu berdoa kepada Allah untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam
peperiksaan nanti. Aleef berkeyakinan
bahawa selain mendapat restu daripada ibunya dan rajin mengulang kaji
pelajaran,dia patut berdoa agar dikurnai Allah kejayaan.
Pada hari peperiksaan,Aleef tidak
cemas. Segala soalan peperiksaan dijawabnya dengan yakin dan tenang. Aleef
tidak sanggup menghampakan harapan ibunya yang telah banyak berkorban untuknya.
Setelah empat bulan berlalu, kini
keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan. Aleef berdebar-debar untuk melihat
keputusan yang bakal diperolehnya. Aleef amat terkejut kerana belum pun sempat
dia sampai ke arah papan kenyataan, beberapa orang rakannya telah mengucapkan
tahniah kepadanya.
Aleef tidak menyangka bahawa dia
telah mendapat 10A dalam peperiksaan SPM.
”Alhamdullilah, syukur ke hadrat
Ilahi atas kejayaanku ini,”getus Aleef dalam hati.
Ibu dan adiknya turut berasa gembira atas kejayaan
Aleef. Begitulah usaha yang membuahkan kejayaan. Bak kata pepatah,”kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.