Kebersihan
merupakan aspek yang amat penting dalam kehidupan kita. Kebersihan melambangkan
jati diri sesuatu bangsa dan negara lebih-lebih lagi negara kita menjadi
destinasi utama para pelancong di rantau ini.Pelbagai prakarsa perlu diambil
bagi memastikan tahap kebersihan di sesuatu tempat tumpuan para pelancong
sentiasa dalam keadaan yang terbaik.
Menyediakan lebih
banyak kemudahan seperti tong sampah dan tandas awam antara tindakan yang perlu
diambil dengan segera. Oleh itu, para pengunjung tidak akan membuang sampah di
merata-rata tempat dan akan menggunakan
tandas awam dengan sebaik-baiknya apabila memerlukannya. Lantaran itu juga
pihak pengurusan juga perlu memastikan tandas awam yang ada perlu dibersihkan
dengan sekerap yang mungkin supaya tidak berbau busuk dan kotor.
Selain itu, pihak
pengurusan juga perlu menaikkan papan tanda yang mengingatkan para pengunjung
supaya sentiasa menjaga kebersihan dan memaparkan denda yang boleh dikenakan
mengikut undang-undang yang ada. Dengan ini, sudah tentu para pengunjung akan
berfikir banyak kali untuk melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan
mereka didenda.
Dalam pada itu,
pihak kerajaan bersama pihak swasta serta NGO, perlu menggunakan media cetak
dan media elektronik untuk menyampaikan maklumat tentang kepentingan dan
langkah-langkah menjaga kebersihan kepada orang ramai. Sebagai contoh, mereka boleh
menghebahkan maklumat tentang sesuatu aktiviti gotong-royong membersihkan
kawasan yang akan diadakan di sesuatu destinasi pelancongan.Secara tidak
langsung aktiviti ini dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri anggota
masyarakat.
Akhir sekali, penduduk
setempat juga perlu mengutamakan kebersihan kawasan mereka tinggal. Sekiranya
mereka berbuat demikian, sudah tentu kawasan mereka akan sentiasa dibanjiri
dengan para pelancong dari dalam dan luar negeri.Dengan itu, pendapatan
masyarakat setempat juga akan meningkat disebabkan berlakunya kegiatan ekonomi
di kawasan tersebut.
Intihanya, semua
pihak perlu perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan
tempat-tempat pelancongan di negara kita. Masyarakat perlu dididik di bangku
sekolah lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan di tempat-tempat
tersebut.Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.Dengan
itu, generasi yang akan datang tidak lagi perlu bersusah payah bagi menangani
masalah yang berkaitan dengan kebersihan ini.