http://www.medicinsaniah.my/
Kepada yang berminat boleh hubungi saya.
karangan,tatabahasa,komsas,panduan mengarang,sastera,peribahasa,surat kiriman,cereka,pengalaman,format pt3/spm,bahan bantu mengajar
Ahad, 21 April 2013
Aspek kebersihan memainkan peranan penting dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke negara kita. Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap kebersihan tempat-tempat pelancongan di Malaysia.
Kebersihan
merupakan aspek yang amat penting dalam kehidupan kita. Kebersihan melambangkan
jati diri sesuatu bangsa dan negara lebih-lebih lagi negara kita menjadi
destinasi utama para pelancong di rantau ini.Pelbagai prakarsa perlu diambil
bagi memastikan tahap kebersihan di sesuatu tempat tumpuan para pelancong
sentiasa dalam keadaan yang terbaik.
Menyediakan lebih
banyak kemudahan seperti tong sampah dan tandas awam antara tindakan yang perlu
diambil dengan segera. Oleh itu, para pengunjung tidak akan membuang sampah di
merata-rata tempat dan akan menggunakan
tandas awam dengan sebaik-baiknya apabila memerlukannya. Lantaran itu juga
pihak pengurusan juga perlu memastikan tandas awam yang ada perlu dibersihkan
dengan sekerap yang mungkin supaya tidak berbau busuk dan kotor.
Selain itu, pihak
pengurusan juga perlu menaikkan papan tanda yang mengingatkan para pengunjung
supaya sentiasa menjaga kebersihan dan memaparkan denda yang boleh dikenakan
mengikut undang-undang yang ada. Dengan ini, sudah tentu para pengunjung akan
berfikir banyak kali untuk melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan
mereka didenda.
Dalam pada itu,
pihak kerajaan bersama pihak swasta serta NGO, perlu menggunakan media cetak
dan media elektronik untuk menyampaikan maklumat tentang kepentingan dan
langkah-langkah menjaga kebersihan kepada orang ramai. Sebagai contoh, mereka boleh
menghebahkan maklumat tentang sesuatu aktiviti gotong-royong membersihkan
kawasan yang akan diadakan di sesuatu destinasi pelancongan.Secara tidak
langsung aktiviti ini dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri anggota
masyarakat.
Akhir sekali, penduduk
setempat juga perlu mengutamakan kebersihan kawasan mereka tinggal. Sekiranya
mereka berbuat demikian, sudah tentu kawasan mereka akan sentiasa dibanjiri
dengan para pelancong dari dalam dan luar negeri.Dengan itu, pendapatan
masyarakat setempat juga akan meningkat disebabkan berlakunya kegiatan ekonomi
di kawasan tersebut.
Intihanya, semua
pihak perlu perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan
tempat-tempat pelancongan di negara kita. Masyarakat perlu dididik di bangku
sekolah lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan di tempat-tempat
tersebut.Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.Dengan
itu, generasi yang akan datang tidak lagi perlu bersusah payah bagi menangani
masalah yang berkaitan dengan kebersihan ini.
Ahad, 7 April 2013
Sabtu, 9 Mac 2013
Cuti Persekolahan
Cuti persekolahan merupakan masa yang ditunggu
oleh pelajar. Terangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi
masa lapang sepanjang cuti persekolahan.
Cuti persekolahan sememangnya
merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar di negara kita. Hal
ini demikian kerana mereka telah penat memerah otak sepanjang musim
persekolahan. Pelbagai aktiviti yang menarik boleh dirancang dan dilakukan bagi
memenuhi masa yang terluang.
Mengulang kaji pelajaran bersama
dengan rakan-rakan secara berkumpulan merupakan aktiviti yang berfaedah yang
boleh dilakukan bagi memenuhi masa lapang tersebut. Tamsilnya, mereka boleh
pergi ke perpustakaan awam atau ke tempat-tempat yang sesuai bagi melakukan
aktiviti tersebut. Dengan ini, kefahaman mereka tentang sesuatu subjek akan
lebih mantap disebabkan perbincangan yang telah mereka lakukan.
Selain itu, mereka juga boleh bekerja secara
sambilan. Lantaran itu, mereka dapat membantu meringankan beban kewangan yang
terpaksa ditanggung oleh ibu bapa mereka terutama kepada golongan yang
berpendapatan rendah. Sebagai contoh, mereka boleh bekerja di premis-premis
makanan, stesen-stesen minyak dan
sebagainya.
Dalam pada itu, bagi mereka yang
terdiri daripada keluarga yang berkemampuan, mereka boleh meminta ibu bapa
mereka membawa mereka melancong sama ada di dalam atau di luar
negara.Tamsilannya, mereka boleh pergi melawat ke tempat-tempat bersejarah atau
ke kawasan peranginan yang belum pernah mereka kunjungi. Dengan ini, hubungan
kekeluargaan akan menjadi lebih erat di samping dapat menambah pengalaman baru.Bak
kata pepatah jauh berjalan, luas pandangan.
Di samping itu juga mereka boleh
menghadiri kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sebagai
contoh, mereka boleh menyertai kem motivasi diri, kem meningkatkan pengetahuan
agama, kem ketahanan diri dan sebagainya. Selain mereka memenuhi masa lapang,
mereka juga dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik pada masa
hadapan.
Konklusinya, kita mestilah
memanfaatkan masa yang terluang pada cuti persekolahan dengan sebaik-baiknya.
Pelbagai aktiviti yang dirancang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Dengan ini, masa yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja.
Isnin, 4 Mac 2013
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita haruslah tolong-menolong antara satu sama lain. Nyatakan kepentingan tolong-menolong antara satu sama lain.
Marcapada, sikap
tolong-menolong antara satu sama lain sangat penting dalam kehidupan. Bersikap
sebegini ada kepentingannya kepada kita dan masyarakat umumnya.
Antara
kepentingan sikap tolong-menolong ialah kita akan dapat merapatkan hubungan
silaturahim. Hal ini demikian kerana sikap ini memerlukan pergaulan antara
individu dengan individu lain dalam sesebuah kelompok masyarakat.
Selain
itu, hal inijuga penting kerana dengan menanam sikap ini seseorang itu dapat
meningkatkan kualiti hidupnya. Sebagai contoh, seorang lelaki yang sering
menolong orang lain mempunyai pelakuan yang baik.
Di
samping itu, sikap tolong-menolong juga dapat membentuk masyarakat yang
bersatu-padu. Tamsilnya, sesebuah masyarakat bekerjasama demi membersihkan
kawasan persekitaran sesebuah tempat.
Konklusinya,
terdapat banyak kepentingan dengan mengamalkan amalan tolong-menolong.
Sekiranya semua orang dapat mengamalkan amalan ini pasti
masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman damai.
120
patah perkataan
Ahad, 10 Februari 2013
Faedah Kitar Semula
Faedah Kitar Semula
Kitar
semula ialah suatu proses menggunakan semula bahan-bahan yang dibuang dalam
bentuk lain. Pelbagai faedah yang dapat kita perolehi hasil daripada proses
kitar semula ini.
Antara faedah mengamalkan kaedah kitar semula ialah alam sekitar akan
terpelihara. Hal ini kerana kerana sampah sarap tadi akan diproses kembali dan
tidak dibiarkan mereput yang boleh menyebabkan pencemaran.
Melalui kitar semula juga kerajaan
dapat menjimatkan wang . Hal ini demikian kerana sampah sarap tersebut tidak
perlu dilupuskan dan ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Dalam pada itu, kitar semula juga dapat menjana
pendapatan. Hal ini kerana
tin-tin dan kertas-kertas lama boleh dijual semula kepada pusat-pusat kitar
semula sekali gus menjana pendapatan kita.
Konklusinya, kitar semula adalah suatu program
yang sangat bermanfaat. Oleh itu, kita mestilah menyokong program kitar semula
ini.
Ahad, 6 Januari 2013
PMR yang terakhir...
Asalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada pengunjung blog ini.
Tahun 2012 telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan yang tidak akan berulang kembali. Semoga tahun 2013 pula akan menjadikan kita lebih baik dan berjaya daripada tahun sebelumnya. Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Peperiksaan PMR diadakan. Selepas ini semuanya dikatakan akan berubah. Cikgu sendiri tidak berapa pasti selepas ini sama ada blog ini akan menjadi relevan atau tidak. Walau bagaimanapun cikgu akan cuba mengisi blog ini dengan maklumat-maklumat yang difikirkan sesuai dengan pendidikan semasa.
Tahun 2012 telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan yang tidak akan berulang kembali. Semoga tahun 2013 pula akan menjadikan kita lebih baik dan berjaya daripada tahun sebelumnya. Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Peperiksaan PMR diadakan. Selepas ini semuanya dikatakan akan berubah. Cikgu sendiri tidak berapa pasti selepas ini sama ada blog ini akan menjadi relevan atau tidak. Walau bagaimanapun cikgu akan cuba mengisi blog ini dengan maklumat-maklumat yang difikirkan sesuai dengan pendidikan semasa.
Langgan:
Catatan (Atom)