Jumaat, 23 Oktober 2009

Apa pandangan anda?


JASIN - Gara-gara dituduh ponteng sekolah, seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum mendakwa ditampar seorang guru lelaki sebanyak lima kali di pipi sehingga bengkak.

Pelajar terbabit, Imran Mahfuz, 15, berkata, selepas perhimpunan pada pagi Isnin lalu iaitu kira-kira pukul 9 pagi, dia mencari kawan-kawannya di padang kerana ketika itu waktu Pendidikan Jasmani (PJ).

Menurutnya, melihat rakan-rakannya tiada di padang, dia terus ke kantin sekolah untuk mencari mereka di sana.

"Ketika melalui gelanggang bola tampar, seorang guru lelaki memanggil saya dan bertanya saya dari mana. Saya memberitahu saya dari padang kerana ketika itu waktu PJ tetapi tiada pelajar lain di padang.

"Namun guru ini tidak percaya dan menuduh saya ponteng dan berbohong lalu mencekak kolar baju dan menampar saya sebanyak dua kali di pipi kiri," ceritanya.

Imran mendakwa, guru berkenaan kemudiannya mengheretnya ke bahagian belakang bangunan dan menamparnya sebanyak dua kali lagi kerana dituduh memanjat pagar sekolah.

"Saya kemudian dibawa ke bilik guru dan ditampar sekali lagi di hadapan guru lain walaupun berulang kali saya menafikan dakwaannya," katanya.

Kata Imran, akibat ditampar, bibirnya pecah dan pipi kirinya bengkak sehingga sukar untuk makan.

Kosmo Online: 22 Oktober 2009

*Cikgu sengaja menerbitkan berita ini kerana kebetulan mengajar di sekolah yang disebut dalam keratan akhbar ini.

Isnin, 19 Oktober 2009

Bahan Bacaan

Bagaimanakah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah dapat memupuk semangat cintakan warisan bangsa dalam kalangan rakyat Malaysia?

Istilah pemeliharaan membawa maksud kerja-kerja baik pulih bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang bersesuaian seperti pencegahan, pengekalan, pengukuhan, pengembalian semula, pemulihan, pengeluaran semula, pembinaan semula dan lain-lain lagi. Perkataan pemuliharaan pula mengikut Oxford Fajar (2004:79) membawa maksud kerja memulihara dalam bentuk yang sedia ada. Burden (2004:62) pula mendefinisikan maksud perkataan ini sebagai pengurusan bangunan, monumen dan tapak untuk mengelak pereputan, kemusnahan, penyalahgunaan atau diabaikan…”

Insan yang mempunyai semangat berbangga sebagai rakyat Malaysia dapat dibentuk melalui kajian bangunan bersejarah seperti yang saya kaji kerana melalui kajian ini, kita dapat menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara dengan mempelajari dan meneruskan pemeliharaan dan pemulihan warisan bangsa ini. Dengan meneruskan dan memperkenalkan bangunan ini kepada generasi depan, bermakna mereka juga menyemai perasaan patriotik. Senario ini sekali gus menunjukkan bahawa kita menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa. Dalam erti kata lain, melalui prinsip penjagaan bangunan ini, kita dapat menunjukkan bahawa kita bangga dengan sejarah bangsa.

Melalui pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga, kita dapat menyemai semangat bersatu padu dan berharmoni antara masyarakat majmuk. Dalam melaksanakan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah seperti ini juga mengkehendaki kita bekerjasama dan tolong-menolong antara ahli masyarakat. Semangat muhibah atau semangat bermuafakat yang dibentuk seterusnya akan melahirkan semangat patriotik antara anggota masyarakat.

Dalam melaksanakan proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga, masyarakat Malaysia mestilah menunjukkan semangat disiplin yang tinggi Aktiviti seperti seperti ini juga memerlukan kita mempamerkan sikap bertindak wajar serta mematuhi undang-undang pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah Jika keadaan ini disemai berterusan, nescaya akan melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai disiplin yang tinggi terhadap peraturan negara.

Proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga mempamerkan sikap rajin dan gigih . Kita juga mesti menunjukkan sikap berdikari bagi menjayakan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah yang biasanya dilakukan secara kerjasama berpasukan. Dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah kita juga perlu menunjukkan sikap tabah menghadapi cabaran bagi melengkapkan proses tersebut. Sikap rajin, tabah dan berdikari ini akan menjadikan warga negara menyemai sikap-sikap ini bagi memajukan negara.


Diambil dan diubah suai daripada laman blog http://www.djlovehostory.blogspot.com/

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN(5)

SOALAN:Kesihatan merupakan suatu aspek yang harus dititikberatkan oleh masyarakat demi kelangsungan hidup. Namun, berita tentang pelbagai penyakit berjangkit yang melanda sesebuah kawasan yang sering menghiasi dada-dada akhbar menimbulkan banyak persoalan. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat menghidap penyakit?

PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN

A1)Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya?
(Isu)

A2)Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?
(Isu yang berkaitan)

A3)Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.
(Ulasan isu)

A4)Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?
(Hala tuju)

PERENGGAN LENGKAP

Kesihatan yang baik merupakan suatu anugerah daripada Illahi yang tidak ternilai harganya. Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah terdapat sebahagian besar daripada anggota masyarakat yang tidak menghargainya.Apakah yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?Semua persoalan ini sering bermain-main di dalam kotak fikiran kita tanpa menemukan jawapan yang konkrit.Apakah punca-punca yang menyebabkan mereka mudah diserang penyakit?


55 jumlah perkataan

Khamis, 15 Oktober 2009

CONTOH 20-KARANGAN PERIBAHASA(TEKNIK CERITA)

SOALAN:Tuliskan sebuah cerita berdasarkan peribahasa ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

Haizam seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun. Ibunya, Puan Mina pula lumpuh sebahagian daripada tubuhnya akibat diserang angin ahmar kira-kira dua tahun yang lalu.Haizam mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Najwa Amira.Adiknya berumur sembilan tahun. Lantaran kemiskinan dia terpaksa berhenti sekolah semasa berada dalam tingkatan empat walaupun mendapat tentangan daripada ibunya.

Berbekalkan sedikit wang simpanan arwah ayahnya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan. Pada mulanya dia menjual air di tepi jalan besar berdekatan dengan rumahnya tetapi kurang mendapat sambutan.Namun, dia tidak berputus asa. Dia mencuba pula menjual buah-buahan yang diambilnya daripada Pak Karim, seorang peraih buah di kampungnya.Malangnya keuntungan yang diperolehnya tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya.

Haizam sering termenung memikirkan masa depannya. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di di bandar yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Dia kemudiannya diterima sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran yang terkenal di bandar itu. Oleh sebab kerajinannya, dia telah dinaikkan pangkat sebagai pelayan di restoran tersebut.

Kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di restoran itu. Dia begitu gembira bekerja di situ kerana majikannya seorang yang bertimbang rasa, pemurah dan tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.Dia juga telah belajar memasak masakan Timur dan juga Barat daripada chef masakan di situ. Banyak pengalaman yang ditimbanya semasa bekerja di situ. Bagi menjamin masa depannya, pada setiap bulan dia akan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diterimanya ke dalam bank.Dia juga bercita-cita untuk memiliki restorannya sendiri suatu hari nanti.

Berbekalkan pengalaman dan juga wang simpanan yang dia miliki, dia telah mengusahakan sebuah gerai makanan menjual lauk-pauk secara kecil-kecilan. Oleh sebab makanan yang disediakan begitu sedap sekali, gerainya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.Dari sebuah gerai yang kecil, dia telah menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan restoran. Akhirnya, perniagaannya telah berkembang maju dan dia telah membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut.

Bak kata pepatah Melayu ’Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.Begitulah apa yang berlaku dalam kehidupan Haizam, daripada seorang pemuda yang tiada berharta,kini mempunyai kemewahan yang dicapainya melalui usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

300 patah perkataan

Selasa, 13 Oktober 2009

Peribahasa:Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah

SOALAN KARANGAN(NO.5)PERIBAHASA PMR 2009(TEKNIK HURAIAN)

SOALAN:Peribahasa ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ menasihati kita supaya sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu tujuan. Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa itu.

‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.Ungkapan peribahasa ini selalu diucapkan oleh masyarakat Melayu ketika merancang sesuatu usaha. Peribahasa ini bermaksud bahawa kalau seseorang itu mempunyai impian, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Jika diteliti pada maksud peribahasa ini,pengertiannya amat mendalam sekali. Seseorang itu diberi keyakinan bahawa cita-citanya akan dapat dicapai melalui usaha yang gigih.Justeru, seseorang itu mestilah berani menempuh sebarang cabaran dan halangan sebelum menikmati sesuatu hasil.

Sehubungan dengan itu, jika seseorang yang bercita-cita untuk menjadi doktor tidak akan dapat mencapai cita-citanya jika dia tidak belajar dengan tekun. Cita-citanya ini akan menjadi seperti angan-angan Mat Jenin. Oleh yang demikian, usaha itu adalah penting bagi mencapai cita-cita tersebut persis kata mutiara ‘Usaha itu tangga kejayaan’.

Ada kalanya juga peribahasa ini diucapkan sebagai suatu sindiran. Sindiran ini bertujuan menyedarkan seseorang itu tanpa menyakitkan hatinya. Seseorang yang memahami maksud peribahasa ini akan segera menyedari kesilapan dirinya dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan dirinya.

Selain peribahasa ini, terdapat beberapa lagi peribahasa lain yang mempunyai pengertian yang sama juga. Tamsilnya, peribahasa ‘Hati hendak, semua jadi’, ‘Kalau hendak seribu daya, kalau tak mahu seribu dalih’ dan ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Konklusinya, setiap individu mestilah berusaha untuk memperoleh apa yang mereka hajati. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tanpa usaha ibarat mengharapkan buah yang takkan gugur untuk selama-lamanya.

225 patah perkataan