Sabtu, 9 Mac 2013

Cuti Persekolahan


Cuti persekolahan merupakan masa yang ditunggu oleh pelajar. Terangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang sepanjang cuti persekolahan.

            Cuti persekolahan sememangnya merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar di negara kita. Hal ini demikian kerana mereka telah penat memerah otak sepanjang musim persekolahan. Pelbagai aktiviti yang menarik boleh dirancang dan dilakukan bagi memenuhi masa yang terluang.

            Mengulang kaji pelajaran bersama dengan rakan-rakan secara berkumpulan merupakan aktiviti yang berfaedah yang boleh dilakukan bagi memenuhi masa lapang tersebut. Tamsilnya, mereka boleh pergi ke perpustakaan awam atau ke tempat-tempat yang sesuai bagi melakukan aktiviti tersebut. Dengan ini, kefahaman mereka tentang sesuatu subjek akan lebih mantap disebabkan perbincangan yang telah mereka lakukan.

            Selain itu, mereka juga boleh bekerja secara sambilan. Lantaran itu, mereka dapat membantu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa mereka terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Sebagai contoh, mereka boleh bekerja di premis-premis makanan, stesen-stesen minyak  dan sebagainya.

            Dalam pada itu, bagi mereka yang terdiri daripada keluarga yang berkemampuan, mereka boleh meminta ibu bapa mereka membawa mereka melancong sama ada di dalam atau di luar negara.Tamsilannya, mereka boleh pergi melawat ke tempat-tempat bersejarah atau ke kawasan peranginan yang belum pernah mereka kunjungi. Dengan ini, hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih erat di samping dapat menambah pengalaman baru.Bak kata pepatah jauh berjalan, luas pandangan.

            Di samping itu juga mereka boleh menghadiri kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sebagai contoh, mereka boleh menyertai kem motivasi diri, kem meningkatkan pengetahuan agama, kem ketahanan diri dan sebagainya. Selain mereka memenuhi masa lapang, mereka juga dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan.

            Konklusinya, kita mestilah memanfaatkan masa yang terluang pada cuti persekolahan dengan sebaik-baiknya. Pelbagai aktiviti yang dirancang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dengan ini, masa yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja.

Isnin, 4 Mac 2013

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita haruslah tolong-menolong antara satu sama lain. Nyatakan kepentingan tolong-menolong antara satu sama lain.


Marcapada, sikap tolong-menolong antara satu sama lain sangat penting dalam kehidupan. Bersikap sebegini ada kepentingannya kepada kita dan masyarakat umumnya.
                Antara kepentingan sikap tolong-menolong ialah kita akan dapat merapatkan hubungan silaturahim. Hal ini demikian kerana sikap ini memerlukan pergaulan antara individu dengan individu lain dalam sesebuah kelompok masyarakat.
                Selain itu, hal inijuga penting kerana dengan menanam sikap ini seseorang itu dapat meningkatkan kualiti hidupnya. Sebagai contoh, seorang lelaki yang sering menolong orang lain mempunyai pelakuan yang baik.
                Di samping itu, sikap tolong-menolong juga dapat membentuk masyarakat yang bersatu-padu. Tamsilnya, sesebuah masyarakat bekerjasama demi membersihkan kawasan persekitaran sesebuah tempat.
                Konklusinya, terdapat banyak kepentingan dengan mengamalkan amalan tolong-menolong. Sekiranya semua orang dapat mengamalkan amalan ini pasti masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman damai.
                                                                                                                             120 patah perkataan

Ahad, 10 Februari 2013

Faedah Kitar Semula


Faedah Kitar Semula

            Kitar semula ialah suatu proses menggunakan semula bahan-bahan yang dibuang dalam bentuk lain. Pelbagai faedah yang dapat kita perolehi hasil daripada proses kitar semula ini.

Antara faedah mengamalkan kaedah kitar semula ialah alam sekitar akan terpelihara. Hal ini kerana kerana sampah sarap tadi akan diproses kembali dan tidak dibiarkan mereput yang boleh menyebabkan pencemaran.

            Melalui kitar semula juga kerajaan dapat menjimatkan wang . Hal ini demikian kerana sampah sarap tersebut tidak perlu dilupuskan dan ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

            Dalam pada itu, kitar semula juga dapat menjana pendapatan. Hal ini kerana tin-tin dan kertas-kertas lama boleh dijual semula kepada pusat-pusat kitar semula sekali gus menjana pendapatan kita.

            Konklusinya, kitar semula adalah suatu program yang sangat bermanfaat. Oleh itu, kita mestilah menyokong program kitar semula ini.

Ahad, 6 Januari 2013

PMR yang terakhir...

Asalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada pengunjung blog ini.
Tahun 2012 telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan yang tidak akan berulang kembali. Semoga tahun 2013 pula akan menjadikan kita lebih baik dan berjaya daripada tahun sebelumnya. Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Peperiksaan PMR diadakan. Selepas ini semuanya dikatakan akan berubah. Cikgu sendiri tidak berapa pasti selepas ini sama ada blog ini akan menjadi relevan atau tidak. Walau bagaimanapun cikgu akan cuba mengisi blog ini dengan maklumat-maklumat yang difikirkan sesuai dengan pendidikan semasa.

Sabtu, 6 Oktober 2012

Selamat Menduduki Peperiksaan kepada Calon-calon PMR 2012

Cikgu ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR kepada semua pelajar tingkatan tiga di seluruh negara khususnya kepada pelajar-pelajar SMK Dang Anum . Pastikan anda semua sudah bersedia dan mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa dan juga guru-guru.Semoga berjaya.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’


Tidak akan  tercapai sesuatu cita-cita itu dengan tidak kuat berusaha. Begitulah maksud peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

            Aleef merupakan pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia merupakan seorang anak yatim.Ayahnya telah meninggal dunia semasa dia berumur tujuh tahun.Kini, ibunyalah yang menanggung kehidupan mereka tiga beranak.Bertuahlah  ibunya kerana Aleef rajin dan bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan. Dialah harapan keluarganya.
            Ketika sembilan bulan sebelum peperiksaan SPM, Aleef telah membuat persiapan lebih awal. Dia senantiasa mengulang kaji pelajaran serta tidak pernah ponteng menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.Di samping itu, Aleef juga sering mengadakan diskusi secara berkumpulan.
            Walaupun sibuk dengan pelajaran, Aleef tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai anak. Setiap petang, selepas balik dari sekolah dia akan membantu ibunya di gerai pisang goreng milik ibunya. Aleef sedar bahawa daripada hasil jualan pisang goreng itulah ibunya menyara kehidupan mereka sekeluarga.
            Selain belajar dan menolong ibunya, Aleef selalu berdoa kepada Allah untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti. Aleef  berkeyakinan bahawa selain mendapat restu daripada ibunya dan rajin mengulang kaji pelajaran,dia patut berdoa agar dikurnai Allah kejayaan.
            Pada hari peperiksaan,Aleef tidak cemas. Segala soalan peperiksaan dijawabnya dengan yakin dan tenang. Aleef tidak sanggup menghampakan harapan ibunya yang telah banyak berkorban untuknya.
            Setelah empat bulan berlalu, kini keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan. Aleef berdebar-debar untuk melihat keputusan yang bakal diperolehnya. Aleef amat terkejut kerana belum pun sempat dia sampai ke arah papan kenyataan, beberapa orang rakannya telah mengucapkan tahniah kepadanya.
            Aleef tidak menyangka bahawa dia telah mendapat 10A dalam peperiksaan SPM.
            ”Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi atas kejayaanku ini,”getus Aleef dalam hati.
            Ibu dan adiknya turut berasa gembira atas kejayaan Aleef. Begitulah usaha yang membuahkan kejayaan. Bak kata pepatah,”kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.

Langkah-langkah yang Boleh diamalkan oleh Seseorang Itu untuk Memiliki Tahap Kesihatan yang Baik.


Kesihatan merujuk satu keadaan tubuh badan yang tidak mengalami sebarang masalah seperti penyakit kencing manis dan mudah diserang penyakit berjangkit lain. Kesihatan amat penting dalam menjamin keceriaan hidup setiap individu.Kesihatan yang baik tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Terdapat pelbagai langkah yang boleh diamalkan oleh seseorang itu untuk memiliki tahap kesihatan yang baik.

         Aspek pemakanan adalah faktor utama yang amat penting dalam menjamin kesihatan yang baik. Seseorang itu harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam kehidupannya. Diet yang seimbang memastikan tubuh badan seseorang memiliki semua zat yang diperlukan oleh seseorang itu.Tamsilnya, seseorang individu itu haruslah mengambil pemakanan yang seimbang dengan merujuk kepada piramid makanan.Oleh itu, pemakanan yang sebegini memberikan tahap kesihatan yang baik.

         Selain itu, seseorang harus mengamalkan aktiviti senaman. Hal ini demikian kerana terdapat orang ramai pada masa ini yang malas untuk bersenam. Tindakan melakukan senaman dua atau tiga kali seminggu menyebabkan tubuh badan seseorang berfungsi dengan baik kerana semua toksik telah dikeluarkan menerusi peluh. Sebagai contoh orang ramai boleh melakukan senaman secara berkala mengikut peringkat umur dan kesesuaian diri mereka. Oleh itu, untuk memperoleh kesihatan yang baik kita harus melakukan senaman yang konsisten dan tetap.

        Dalam pada itu, pemeriksaan kesihatan yang dibuat sepanjang tahun boleh memberi satu perspektif yang baik tentang tahap kesihatan seseorang itu. Hal ini kerana masyarakat pada masa ini hanya akan pergi ke klinik atau hospital apabila telah menghidap sesuatu penyakit.Pemeriksaan yang kerap ini menyebabkan seseorang itu mengetahui keadaan kesihatan badan mereka dan melakukan beberapa perubahan untuk memastikan mereka dalam keadaan yang seimbang. Tamsilannya, orang ramai boleh membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik-klinik kerajaan mahupun swasta bagi mereka yang berkemampuan. Sesungguhnya, pemeriksaan kesihatan yang kerap akan memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, kesihatan amat penting dalam kehidupan seseorang terutama mereka yang sudah berumur. Penjagaan kesihatan yang berkala ini menjamin kebahagiaan kehidupan seseorang. Walaupun seseorang itu berharta tetapi tidak memiliki tahap kesihatan yang baik, kehidupannya sudah pasti akan sengsara,bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.