Ahad, 20 Mei 2018


Langkah-Langkah Mengatasi Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja

Pada era globalisasi ini, gejala sosial dalam kalangan remaja begitu membimbangkan dan berleluasa. Secara umumnya, gejala sosial ini dikaitkan dengan perlakuan negatif yang dilakukan oleh remaja kebelakangan ini. Oleh itu, inisiatif segera perlu diambil oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengekang kemelut ini daripada terus menular.

Pada hemat saya, peranan diri sendiri merupakan peranan utama bagi mengatasi gejala sosial ini. Hal ini demikian kerana apa-apa yang dilakukan oleh seseorang remaja itu adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan diri sendiri. Oleh itu, sekiranya diri sendiri tidak mahu melakukan perkara yang menyalahi norma kehidupan, maka mereka tidak akan melakukannya.

Selain itu, peranan ibu bapa juga penting dalam mengekang masalah gejala sosial ini.Hal ini kerana sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah mendidik dan mengajar mereka dengan didikan agama yang syumul kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

Seterusnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa media massa juga menyemai benih- benih salah laku dalam kalangan remaja justeru saluran media massa seperti televisyen, filem dan majalah perlu mendidik remaja agar tidak terlibat dengan kemelut kebejatan moral. Tamsilannya, siaran yang memaparkan remaja yang berjaya mesti sering dipaparkan di media massa sebagai motivasi untuk diteladani. Dengan itu, media massa berupaya untuk mengurangkan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hingga ke peringkat akar umbinya. 

Konklusinya, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja ini. Selain peranan ibu bapa dan media massa, masyarakat sekitar juga tidak boleh lepas tangan bagi menyelesaikan masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja ini. Sekiranya, masyarakat menegur tindakan golongan remaja ini sudah pasti gejala ini dapat dibendung agar tidak menjadi semakin parah.

Tiada ulasan:

Catat Komen