Pada musim cuti
sekolah lawatan sambal belajar merupakan aktiviti luar bilik yang paling
popular di sekolah-sekolah di seluruh negara.Bincangkan faedah yang diperoleh
para pelajar sekiranya menyertai
aktiviti ini
Kelab dan persatuan di sekolah
sering menganjurkan lawatan sambil belajar apabila tiba musim cuti persekolahan
atau selepas musim peperiksaan berakhir. Lawatan ini biasanya dianjurkan ke
tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat menarik dan ke pusat-pusat pameran.
Pelbagai faedah yang dapat diperoleh para pelajar sekiranya menyertai aktiviti
ini.
Antara kepentingan menyertai
lawatan sambil belajar ialah para pelajar dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Sebagai contoh, jika mereka melawat ke Muzium Negara, mereka akan memperoleh
banyak maklumat tentang sejarah negara.Dengan ini, mereka dapat menggunakan
pengetahuan tersebut dalam mata pelajaran Geografi dan Sejarah di dalam bilik
darjah.
Selain itu, mereka dapat
memanfaatkan masa lapang dengan dengan aktiviti yang berfaedah seperti menyertai
lawatan ini. Tamsilnya, jika mereka
tidak mengikuti lawatan, mereka mungkin akan menghabiskan masa dengan hanya menonton
televisyen atau bermain permainan video sahaja. Hal ini sudah pasti akan
menyebabkan masa yang berharga itu sia-sia begitu sahaja.
Seterusnya, mereka akan dapat
mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan guru-guru dan rakan-rakan sekolah .
Tamsilannya, ketika mengikuti lawatan, mereka akan berkomunikasi dan
bekerjasama dengan peserta lawatan yang lain. Hal ini sudah pasti akan
mewujudkan hubungan yang lebih mesra dalam kalangan rakan mereka yang berlainan
kelas.
Dalam pada itu, mengikuti lawatan
sambil belajar juga dapat menenangkan fikiran mereka setelah penat belajar
menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana keadaan persekitaran yang nyaman dan
tenang boleh memberikan kerehatan serta kesegaran minda kepada mereka. Sebagai
contoh, tempat menarik seperti Cameron Highlands mempunyai cuaca yang sejuk dan
suasana yang boleh mendamaikan para pengunjung yang mengujunginya.
Kesimpulannya, mengikuti lawatan
sambil belajar merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Oleh itu, jika ada
kesempatan para pelajar janganlah melepaskan peluang untuk mengikuti lawatan
sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Dengan itu, mereka akan
mengetahui tempat-tempat yang menarik yang terdapat di negara ini. Sesuai
dengan kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan