Khamis, 30 Ogos 2018


Hampir setiap sekolah di negara ini mempunyai koperasi. Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh apabila menjadi ahli koperasi sekolah.

            Sejak beberapa dekad belakangan ini memang kita dapat menyaksikan peranan penting koperasi kepada warga sekolah. Koperasi merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan murid. Oleh itu, faedah yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
            Umum mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Hal ini kerana terdapat pelbagai barang kelengkapan sekolah yang dijual di situ dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.Dengan ini, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir wang.
            Selain itu, kita dapat menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Hal ini kerana secara tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Tamsilnya, perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek Prinsip Akaun dan Matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam koperasi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
            Dalam pada itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi membawa  semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid yang pelbagai kaum. Hal ini kerana hubungan ukhuwah murid-murid memudahkan guru-guru dalam menguruskan koperasi kerana jika tiada kesepakatan, pengurusan koperasi tidak akan akan berjalan dengan lancar. Natijahnya,  hubungan silaturahim antara guru dan murid juga terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi diibaratkan seperti aur dengan tebing.
                Konklusinya, penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan serta menambah baik tadbir urus koperasi kepada tahap yang lebih tinggi. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama.

1 ulasan: