Ahad, 12 Julai 2009

CONTOH 7-KARANGAN PENDAPAT

Kajian mendapati rakyat Malaysia kurang berminat untuk membaca berbanding dengan aktiviti lain seperti hiburan. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memastikan minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini semakin meningkat.

Marcapada, jika kita pergi ke toko buku di gedung membeli-belah, kita akan dapati hanya segelintir orang sahaja berada di situ. Malah, pengunjung di toko buku itu boleh dihitung dengan jari. Pengunjung lebih gemar pergi ke kedai-kedai pakaian dan makanan berbanding kedai buku. Pandangan awal ini menggambarkan sikap orang ramai yang bagai acuh tak acuh tentang kepentingan membaca. Hal ini semakin serius apabila kajian mendapati rakyat di negara ini secara purata hanya membaca dua muka surat setahun. Justeru, langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi melestarikan minat membaca dalam kalangan orang ramai di negara kita ini.

Antara langkah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat ialah ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak-anak mereka. Hal ini berlaku demikian kerana, ada pujangga menyebut “anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya”jelas membuktikan peranan ibu bapa amat besar dalam membentuk minat membaca dalam diri anak-anak. Minat membaca dapat dibentuk apabila ibu bapa membeli pelbagai variasi buku untuk anak-anak mereka seperti buku cerita, biografi, keagamaan, politik dan lain-lain.Semasa berada di rumah, ibu bapa juga boleh membaca akhbar, majalah dan buku cerita untuk menarik minat anak-anak untuk membaca. Sekiranya ibu bapa mengutamakan pendidikan, sudah pasti minat membaca akan dapat ditingkatkan dalam kalangan anak-anak mereka.

Selain itu, sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani isu ini dengan mewujudkan suasana membaca di dalam kawasan sekolah. Hal ini kerana, sebahagian besar masa pelajar dihabiskan di sekolah. Dengan mewujudkan suasana ini di sekolah, sedikit demi sedikit pelajar akan mula menanam minat membaca dalam diri mereka. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh membina pondok-pondok bacaan, sudut bacaan di dalam kelas dan membenarkan pelajar meminjam buku di perpustakaan mengikut kemampuan mereka.Jika pihak sekolah mewujudkan suasana membaca di sekolah, maka minat membaca akan terus bercambah dalam diri para pelajar.

Media massa juga tidak kurang pentingnya dalam memberikan publisiti kepada buku-buku bercorak ilmiah. Hal ini disebabkan orang ramai kurang mengetahui tentang penerbitan buku-buku ini di pasaran. Dengan ini, orang ramai akan mengetahui dan lebih mengenali buku-buku ini, bak kata pujangga,“tak kenal,maka tak cinta”.Tamsilnya, media elektronik dan media cetak boleh mengiklankan dan mengadakan ruangan khas bagi mengulas kandungan buku-buku tersebut.Sekiranya publisiti ini diadakan secara bersungguh-sungguh, sudah pasti bilangan pembaca di negara kita akan meningkat.

Intihanya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara kita. Harga buku di pasaran juga sepatutnya dikurangkan agar lebih ramai orang mampu membeli buku. Sekiranya semua pihak berganding bahu, sudah pasti isu ini akan dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah bahawa untuk memastikan negara kita mencapai matlamat Wawasan 2020, kita terlebih dahulu perlu melestarikan minat membaca dalam kalangan rakyat di negara ini.

350 patah perkataan

Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Cempaka 2008

14 ulasan: